Selamat Datang Sahabatku Husam!

Selasa, 30 Ogos 2016

Oleh Mazlan Aliman

Selamat Datang Sahabatku Husam!

Mengenalinya sejak saya belajar di Kota Bharu Kelantan tahun 1983 lagi. Karismanya memang menyerlah. Bersamanya dalam Dewan Pemuda PAS Pusat dan Jawatan Kuasa PAS Pusat.

Ramai orang bertanya pada saya, bila Husam akan putuskan wadah baru selepas di pecat dari PAS. Saya katakan, akan tiba masanya nanti. Orang seperti Husam akan ada pertimbangan teliti. Beberapa kali bertemunya, saya faham 'cara dia'.

Tengahari tadi dapat berbual melalui talipon bimbit dengannya. Dia kata lama tak bersembang dengan saya. Dia harap saya hadir majlis makan malam esok.

 Saya berseloroh, kalau setakat makan malam, tak pergi la...
Dia akan buat pengumuman penting, sudah tiba masanya!

Tentu sekali saya gembira. Tokoh sepertinya, akan memberi impak besar, bukan sahaja pada parti, tapi rakyat keseluruhannya.

Bahkan, dia menyatakan hasrat ke Johor....negeri paling berpotensi mengalahkan BN!
Moga usaha kita di berkati Allah.

Husam Sertai Parti Amanah Negara

Oleh Husam Musa

Esok 30hb Ogos , Saya Menyarung Jersi Baru
Kini, menghampiri empat bulan saya terpecat dari Pas.

Dalam tempoh itu, nampaknya tidak ada sebarang isyarat saya diterima semula. Tiada semakan atas pemecatan saya. Surat penjelasan saya kepada Presiden Pas tidak berguna apa-apa.

Saya menikmati tempoh bertenang. Sambil menemui anggota masyarakat untuk bertanya pandangan mereka. Terburu-buru adalah dari syaitan, kata Nabi s.a.w.

Memerhatikan apa yang berlaku. Merenung dan mencari petanda-petanda pedoman.
Nyata, negara menuju keadaan yang lebih kritikal dari sebelumnya.
Negeri kelahiran saya juga, tidak menjadi lebih baik selepas ombak pengislahan bermula 1990.

Wadah yang saya harapkan dulu, se akan telah 'terjual'. Tertambat dengan kejumudan tanpa inovasi, takwilan nas di luar relevansi, pelabelan dan syok sendiri, membelakangkan budaya argumentasi tetapi mengutamakan emosi, laungan tidak sama dengan aksi, terikat dengan umpan politik lawan dan gagal menerapkan agenda perjuangan yang lebih luas meliputi.

Berdiam diri bukanlah pilihan. Al Qur'an menggelarkan orang yang duduk-duduk tanpa berbuat apa-apa sebagai al Qa'idun.

Ia disinonimkan dengan perempuan yang lemah atau orang tua yang uzur.
Saya?

Mencari gua persembunyian dari kelelahan perjuangan akan sia-sia. Berpaling kerana kecewa belum diberikan kejayaan perjuangan, adalah sama dengan apa yang dialami Nabi Yunus a.s ketika ditelan ikan dalam lautan. Tiga kegelapan menyelubungi baginda sebagai pengajaran untuk kita.

Sesekali, ketika fikiran terlintas untuk berehat dari mendayung perjuangan kerana digempur keberatan bebannya, kebimbangan atas pedoman Al Qur'an melalui kisah Yunus a.s itu menerpa.

Dunia bukan tempat istirehat.
Bersendirian? Juga bukan pilihan.
Empat bulan bukan singkat tetapi tidak pula tersangat panjang.
Di penghujung empat bulan penantian, saya memilih untuk menyertai bahtera baru untuk sama berganding mencuba merealisasikan: Islam Adalah Penyelesaian.

Yang lama dilaungkan tetapi belum menjadi realiti. Yang pernah sebahagian menjadi realiti, tetapi kini kabur semula.

Saya mencapai ketetapan, perjuangan Islam bukan hanya milik satu pihak, apa lagi satu parti.
Malam esok, bertempat di Cyberjaya, sebagai tetamu makan malam sebuah pertubuhan, saya berhasrat menamatkan masa penantian saya.

Dan mengumumkan parti baru pilihan saya.

Husam Musa
29 Ogos 2016
26 Dzulkaedah 1437

Cenderahati Tun Dr Mahahthir Untuk Rakyat Malaysia ...


Oleh Hayar Hassan 

 Entah mengapa seusai saya menatap muka pertama akhbar Sinar Harian Edisi Utara hari ini, tanggal 25 Ogos 2016, suatu rasa kegembiraan yang amat sangat saya rasakan apabila saya menatap tajuk berita utamanya “ SAYA MOHON MAAF”, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri (PM) ke 4 Malaysia .

Tun Dr Mahathir Mohamad minta maaf atas pindaan perlembagaan yang menyebabkan kelulusan, tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi perlu untuk jadikan suatu Akta Parlimen sebagai undang-undang. Kalau dihalusi, impak terhadap pindaan perlembagaan itu amat besar sekali. Kuasa yang dimiliki oleh seorang Perdana Menteri Malaysia sekarang ini amat besar sekali dan sukar diganggugugat.

Kegembiraan dan sedikit rasa terkejut  apabila saya  mula membaca tulisan tersebut. Sebelum ini saya sering beranggapan bahawa perkataan “ Saya Mohon Maaf” itu mustahil dapat dituturkan dari  seorang yang bernama Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau sering kali dikenali sebagai seorang yang berwatak tegas, teguh kepada pendirian, berani dan kadang kala dilihat terlalu keras terhadap orang-orang yang tidak disenanginya.

Saya masih ingat lagi perkara pertama yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad apabila memegang amanah sebagai PM adalah menyeragamkan waktu seluruh negara. Tindakan beliau ternyata memberikan banyak manafaat kepada semua rakyat Malaysia. Hampir semua golongan masyarakat menyetujuinya.

Namun demikian, seiringnya masa berlalu, populariti Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM mulai menurun. Itu adalah Sunnahtullah. Sehebat mana pun seorang pemimpin di dunia ini , akan akhirnya menjadi sudah tidak popular apabila sudah terlalu lama memegang tampok kuasa.

Kemuncak menurunnya kehebatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM adalah apabila beliau memecat Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai Timbalan Perdana Menteri(TPM). Umum mengetahui, sebelum itu pun telah dua orang TPM dipecat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagi saya Tun Dr Mahathit Mohamad mempunyai satu keistimewaan. Sekali sekala beliau akan membuat tindakan yang tidak dijangka oleh kebanyakan orang. Kenyataan beliau semalam adalah bukti bahawa kadang kala beliau seorang sosok yang sukar diramal akan tindakan-tindakannya. Pastinya permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad ini akan membuatkan banyak pihak yang teruja dan kajet.

Satu waktu dulu, semasa menghadiri satu ceramah  yang disampaikan oleh Dato’ Dr Daniel Zainal Abidin (DDDZA) seorang ilmuan Agama Islam dan tokoh motivasi, beliau menganjurkan kita mengamalkan tiga (3) kata-kata ajaib(Three Magic Words). Tiga perkataan tersebut adalah “ MAAF, POHON@TOLONG dan TERIMA KASIH(SORY, PLEASE & THANK YOU).

Memang benar, seandainya kita sering kali menggunakan ketiga-tiga perkataan hebat ini semasa berkomunikasi dengan kebanyakan orang, urusan kita akan menjadi mudah. Kita akan lebih dihormati, mudah menerima bantuan orang lain dan kita  akan disenangi oleh semua pihak. Kemampuan kita menggunakan perkataan-perkataan tersebut akan membuatkan kita dilihat sebagai seorang yang beradab, menghormati orang lain, menghargai orang lain dan tidak suka mencari masalah dan bermusuh dengan orang lain.  

Berbalik kepada permohonan “ Maaf” daripada Tun Dr Mahathir Mohamad itu, saya berpendapat ianya amat wajar. Semoga Tun Dr Mahathir Mohamad ikhlas dan jujur semasa melafazkannya. Amat sukar sekali seorang yang sebelum ini mempunyai pengaruh kuasa yang amat besar boleh memohon maaf kepada semua rakyatnya. Bukan semua orang boleh melakukannya. Hanya orang yang berjiwa besar sahaja boleh melakukannya.

Dalam ajaran agama Islam sendiri pun ada anjuran agar umatnya selalu beristighfar, menyesali perbuatan dosanya yang lalu. Dari Hadis riwayat Abu Daud 2/86 dan Tirmidzi 2/257 yang bermaksud “ Tidaklah ada seorang hamba berbuat suatu dosa, lantas berwudhu dengan sempurna, kemudian berdiri untuk melakukan shalat dua ra’kaat, kemudian membaca istigfhar kecuali pasti diampuni dosanya”. Hadis ini dishahihkan oleh Al- Albani dalam Shahih Abi Daud 1/283.

Selanjutnya, kalau kita amati berita-berita di akhbar-akhbar , dalam tempoh seminggu ini, ada lagi ucapan maaf diucapkan oleh individu penting negara ini. Dato’ Lee Chong Weng(DLCW), jaguh pemain persaorangan badminton Negara Malaysia bertaraf dunia turut melafaskan permohonan “Maaf” kepada seluroh rakyat Malaysia atas kegagalannya menyumbangkan pingat emas pada acara Sukan Olimpik Rio De Janeiro yang baru berakhir.

Sebutir pingat emas Sukan Olimpik memanglah menjadi impian seluruh rakyat Malaysia. Tidak banyak orang tahu bahawa DLCW  sebenarnya dilahirkan di Batu Lima(5), Parit Buntar ,Perak. Kemudian keluarga DLCW berpindah dari pekan kecil Batu Lima (5) ke Berapit Bukit Mertajam. Semoga DLCW masih boleh berusaha lagi untuk mendapatkan pingat emas Olimpik .

Pada pendapat saya,  permohonan “Maaf” dari dua (2) orang penting diatas cukup bermakna kepada kita semua menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke 59 yang bakal kita sambut pada minggu hadapan. Ianya umpama hadiah cenderahati untuk kita semua dalam suasana negara yang dilanda pelbagai masalah . Sikap yang telah ditunjukkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Lee Chong Wei wajar diteladani oleh semua rakyat Malaysia. Kita semua amat berharap akan ada lagi pemimpin-pemimpin negara yang mampu tampil ke hadapan memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kekhilafan yang pernah mereka lakukan. Memohon “Maaf” itu bukanlah suatu kekalahan, malahan ianya akan membuatkan kita lebih dihormati dan dikenang dalam sejarah.

Sekian, Terima Kasih.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke 59, MERDEKA !

Hayar Hassan

Muhyiddin dakwa hampir RM4 bilion dalam akaun Najib

Isnin, 29 Ogos 2016

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa hampir RM1 bilion telah berada dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sebelum kemasukan RM2.6 bilion dilapor secara meluas.

Najib mendakwa AS$ 681 juta yang diterimanya pada Mac 2013 adalah sumbangan daripada ahli keluarga diraja Arab selepas dihebahkan pada Julai tahun lepas.

Muhyiddin berkata beliau mendapat tahu mengenai deposit yang diterima sebelum 'derma Arab' itu apabila peguam negara ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail berkongsi maklumat dengannya.

"Sah tuan-tuan. Saya tengok, waktu peguam negara itu ialah Gani Patail. dia tunjuk dengan saya, macam saya nak pengsan ada duit banyak itu dalam akaun Datuk Seri Najib.

"Tengok duit masuk akaun peribadi. Sebenarnya disebutkan peguam negara dahulu, sebelum dia juga nasibnya sama macam saya dipecat, dah ada hampir RM1 bilion dalam akuan Datuk Najib sebelum itu.
"Jadi semua yang disebutkan hampir RM4 bilion dalam akaun perdana menteri. Kamu percaya tak," soalnya dalam satu ceramah di Ketereh, Kelantan semalam.

Rakaman video ceramah itu dimuat naik di TV Gerakan Harapan Baru dan KiniTV.

Muhyiddin berkata beliau hampir pengsan selepas melihat angka-angka dalam akaun bank peribadi Najib.
Dakwaan Muhyiddin dilihat menyokong laporan ABC News yang berpengkalan di Australia pada Mac yang meletakkan angka dalam akaun bank Najib berjumlah AS $ 1.051 bilion (RM4.2 bilion) berdasarkan penyata bank.

Menurut laporan itu, sebelum deposit RM2.6 bilion daripada Tanore Finance, Najib juga menerima AS$ 120 juta daripada Blackstone Asia Real Estate Partner Ltd (BVI), AS$ 80 juta dari Kementerian Arab Saudi dan AS$ 75 juta daripada Putera Faisal bin Bandar Al Saud.

Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat juga menekankan beberapa deposit tidak disebut atau didedahkan dalam laporan ABC News, termasuk tambahan sebanyak AS $ 10 juta pada 23 Februari 2011 dan AS$ 10 juta pada 13 Jun 2011 dari Putera Turki Abdullah Al Saud yyang dirujuk sebagai "pengasas bersama PetroSaudi".

Tambahan AS$ 5 juta pada 30 Oktober 2012 dan AS$ 25 juta pada 19 November 2012 juga datang dari Blackstone Asia Real Estate Partner Ltd (BVI), menurut DOJ.

Ini meletakkan jumlah keseluruhan sebelum deposit RM2.6 bilion pada AS$ 325 juta, atau di bawah RM1 bilion berdasarkan kadar pertukaran pada tahun 2011 dan 2012.

DOJ mendakwa deposit daripada Tanore Finance, Blackstone Asia Real Estate Partner Ltd dan pengasas PetroSaudi berasal daripada 1MDB. DOJ banyak memberi fokus kepada jejak wang melalui sistem kewangan AS.

Najib menafikan salah laku dan berkata beliau tidak pernah mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi. Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membersihkan perdana menteri daripada sebarang tuduhan salah laku.

Muhyiddin dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada Julai tahun lepas.

Muhyiddin mendakwa beliau dipecat selepas menentang isu kemasukan wang berkenaan ke akaun perdana menteri. Pemecatannya kebetulan sama dengan penyingkiran peguam negara waktu itu, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Amanah pertahan mufti Perlis, bidas agamawan ‘tutup mata’

PETALING JAYA: Pengerusi Amanah Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mempertahankan Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang menggambarkan sokongan kepada tindakan golongan mahasiswa berdemonstrasi hujung minggu lalu mendesak MO1 ditangkap atas kehilangan wang 1MDB seperti dinyatakan dalam tuntutan saman Jabatan Kehakiman (DoJ).

Raja Kamarul yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata agamawan perlu menjalankan tugas menyuarakan ketidakadilan yang berlaku dalam negara ini, terutama sekali apabila golongan mahasiswa menaruh harapan yang tinggi supaya ulama menjadi penyelamat ummah.

Beliau berkata jika anak muda sudah bersuara, kenapa agamawan “bersara” daripada menjalankan tanggungjawab mereka.

“Yang berani bersuara seperti Datuk Asri diserang semalam oleh setiausaha veteran Umno Datuk Mustafa Yacob, yang ingin beliau dihentikan perkhidmatan sebagai mufti. Yang celik dua belah mata seperti Asri hendak dihentikan khidmat.

“Inilah situasi yang aneh hari ini. Asri berani bercakap tentang isu semasa seperti 1MDB. Bagaimana mufti lain?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Sabtu lepas, Asri dalam Facebook memuat naik status seolah-olah menyokong perhimpunan #TangkapMO1 yang dianjurkan sekumpulan mahasiswa di ibu negara.
“Kibarkan jalur gemilang kita, bangkitlah membela amanah bernegara, tahniah mahasiswa!”
Ia mengundang gesaan daripada Mustapha supaya Asri meletak jawatan dan menceburi politik.
“Tidak salah dia menegur kepimpinan dengan cara berhemah sesuai dengan jawatannya. Tetapi bukan secara berterusan campur tangan sehingga melebihi batas kemuliaan institusi mufti itu,” Mustapha dilaporkan berkata.
Raja Bahrin berkata ketika Umno menggesa Asri dipecat kerana bersuara tentang kemungkaran, mengapa ulama lain tidak mempertahankannya dan ini menunjukkan sindrom membisu sekali lagi melanda agamawan ketika sahabat rakan sejawat mereka dizalimi.
“Adakah mereka hanya sanggup mengiakan kata-kata pemerintah dan hanya membisu dalam keadaan sahabat sejawatan dan angkatan dianiayai?
“Kami tidak menuduh mereka ‘menutup sebelah mata’ dalam isu tersebut, tetapi kami menuduh mereka ‘menutup kedua-dua belah mata’ dalam isu pembelaan Asri dan 1MDB. Semua orang yang memegang tugas mesti menjalankan tanggungjawab mereka seperti kami bersuara di Parlimen.

“Bagaimana pula agamawan dan ulama? Apa yang jelas diakui timbalan menteri kewangan di Parlimen, 1MDB melabur berbilion ringgit di pusat wang haram, judi dan dadah sedunia di Kepulauan Cayman.

Apabila saya menyoal kenapa kerajaan melabur di kepulauan Cayman, kerajaan mengakui ia untuk jangka masa pendek saja,” katanya.

Raja Bahrin turut mempertikaikan apa pendapat ulama kerajaan dalam isu ini kerana 1MDB juga menaja jemaah haji ke Mekah.

Pada masa sama, Raja Bahrin berkata himpunan #TangkapMO1 anjuran mahasiswa Sabtu lalu ialah kejayaan besar apabila beribu-ribu anak muda dan mahasiswa berkumpul berhampiran Dataran Merdeka memandangkan mereka tidak ada sumber kewangan dan kemudahan komunikasi yang baik untuk menjayakan satu himpunan yang besar.

“Gema Suara anak muda jelas kedengaran dan adakah kerajaan akan peka keluhan anak muda serta mahasiswa? Amanah menyambut baik semangat keberanian anak muda yang menghadapi pelbagai dugaan pemotongan bantuan murid miskin daripada RM200 juta sehingga tinggal RM10 juta saja diluluskan di Parlimen.

“Itu tidak termasuk pemotongan biasiswa, tuntutan pinjaman PTPTN dan peningkatan kos sara hidup. Ayah dan emak mereka pula dikenakan GST, kenaikan harga minyak serta elektrik dan kejatuhan nilai ringgit membebankan tanggungan anak belajar di luar negara.

“Setelah susah payah mendapat ijazah mereka bergelut pula membayar hutang PTPTN dan itu pun kalau bernasib baik mendapat pekerjaan. Itulah nasib yang menimpa anak muda hari ini,” katanya.

Henti raikan ‘kemerdekaan’ Malaysia pada 31 Ogos

Ahad, 28 Ogos 2016

Oleh Dewitt Ferrer Motijun 

Apabila tiba saja bulan Ogos pada setiap tahun, akan timbul persoalan tentang tarikh kemerdekaan Malaysia yang sebenar. Sesetengah pihak mendakwa Malaysia merdeka pada 31 Ogos, dan ada juga yang mempertikaikan tarikh tersebut dan mengatakan Malaysia sebenarnya hanya merdeka pada 16 September.

Harus diingat Malaya, Sabah dan Sarawak diperintah dan dikawal secara berbeza semasa zaman penjajahan British dan diberikan kemerdekaan secara berasingan. Persekutuan Malaya dimerdekakan British pada 31 Ogos 1957, manakala Sabah dimerdekakan pada 31 Ogos 1963. Sarawak pula mendapat kemerdekaan lebih awal daripada Sabah, iaitu pada 22 Julai 1963.

Fakta sejarah jelas menunjukkan Malaysia tidak pernah dijajah atau dimerdekakan kerana Malaysia adalah satu Persekutuan baru yang dibentuk bersama oleh Sabah, Sarawak, Singapura dan Malaya secara rasmi pada 16 September 1963 (Singapura meninggalkan Persekutuan Malaysia pada 1965). Persekutuan Malaysia dibentuk melalui Perjanjian Malaysia yang ditandatangani di London pada 9 Julai 1963.

Adalah jelas Malaysia sebagai satu Persekutuan baru hanya terbentuk pada 16 September 1963 dan bukannya 31 Ogos. Tidak ada “kemerdekaan” Malaysia yang harus diraikan pada setiap tahun kerana Malaysia dibentuk dan bukan dimerdekakan. Apa yang harus diraikan ialah Hari Malaysia pada 16 September.

Sekiranya kerajaan serius menyatukan rakyat dan membina satu Persekutuan bersatu dan stabil, kerajaan seharusnya memberi pengiktirafan yang lebih kepada tarikh 16 September dan berhenti meraikan “kemerdekaan” Malaysia pada 31 Ogos, sebaliknya hanya meraikan Hari Malaysia pada 16 September.

Penggunaan nama ‘Hari Kebangsaan’ sebagai panggilan rasmi perayaan dengan tidak menyebut bilangan ulang tahun sambutan tidak menyelesaikan isu ini, kerana yang menjadi persoalannya adalah tarikh 31 Ogos.
Meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos adalah tidak betul kerana Malaysia tidak pernah dijajah atau dimerdekakan, sebaliknya Malaysia adalah Persekutuan baru yang dibentuk pada 16 September.

Sabah dan Sarawak tidak menyertai Persekutuan Malaya, sebaliknya bersama Malaya dalam membentuk Persekutuan Malaysia. Kerajaan perlu membuat keputusan menyambut hari kemerdekaan di dalam konteks Pembentukan Malaysia pada 1963.

Rakyat Malaysia harus rajin membaca untuk mengetahui kebenaran fakta sejarah, terutamanya Perjanjian Malaysia yang membawa kepada penubuhan Persekutuan Malaysia. Sejarah sudah tertulis dan kita tidak boleh mengubahnya.

Dewitt Ferrer Motijun ialah pelajar kajian politik dan pemerintahan di Universiti Malaysia Sarawak.

PAS menilai dasar Bersatu sebelum bekerjasama

Sabtu, 27 Ogos 2016

KUANTAN: PAS akan menilai dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebelum bersetuju untuk mengadakan kerjasama atau rundingan pembahagian kerusi pada pilihan raya umum ke-14.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata setakat ini, PAS masih tidak mempunyai sebarang hubungan dengan parti yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

“PAS menunggu pendaftaran parti baharu itu selesai dahulu. Tengok polisi parti sejauh mana yang boleh untuk kita bekerjasama atau tidak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim ditemui selepas menghadiri Majlis Penerangan dan Wacana Bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pemimpin PAS Pahang di sini hari ini, yang disertai Pemangku Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil.

Beliau diminta mengulas kenyataan Muhyiddin baru-baru ini iaitu parti baharu itu akan mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan pembangkang sebaik sahaja pendaftarannya diluluskan Pendaftar Pertubuhan.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim memaklumkan pendirian teguh PAS bersama SPRM dalam menangani rasuah dan berharap badan bebas itu akan terus berkhidmat tanpa rasa takut.

“Jika ada sahaja elemen rasuah, biar SPRM datang siasat. Sebagai sebuah parti yang membawa imej Islam, maka kita tidak boleh mempunyai elemen yang menjejaskan. Sebab itu kita mahu kerjasama dengan SPRM akan berkekalan,” katanya.

PKR pecat Chegubard kerana jejas imej parti

Jumaat, 26 Ogos 2016

PETALING JAYA: PKR hari ini memutuskan untuk memecat ahli seumur hidupnya, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) kerana menjejaskan imej parti dan memecahbelahkan ahli parti.

Pemecatan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu diketahui FMT daripada imej yang dimuatnaik di Facebook Chegubard.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dalam surat itu memberitahu Badrul keputusan untuk memecatnya dicapai dalam mesyuarat Jawatankasa Lembaga Displin PKR 4 Ogos lalu.

“Dengan pemecatan tersebut maka saudara secara langsung dilucutkan segala jawatan yang dipegang atas nama parti dan tidak dibenarkan menjalankan atau membuat apa-apa aktiviti atas nama parti atau membuat kenyataan atas nama parti,” kata surat berkenaan.

Surat itu tidak menyatakan kesalahan yang dilakukan Badrul sehingga membawa kepada pemecatan.

Bagaimanapun, Badrul sebelum ini dikecam kerana mendakwa salah laku dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Timbalan Presiden PKR, terbaru kontrovesi pelengkungan semula tanah lahan basah Paya Indah yang dikaitkan dengan sebuah pemaju terkemuka.

Terdahulu, keahlian parti Badrul digantung serta-merta selepas mendakwa ada unsur penipuan dalam pemilihan parti 2014 yang juga didakwa tidak telus.

Menjawab pemecatan ini, Badrul sempat memberi bayangan yang dia mempunyai akses kepada maklumat dalaman parti.

“Apa beza PKR dengan Umno apabila dedah salah laku dan serang rasuah merupakan satu jenayah,” kata Badrul melalui Facebook.

“Cuma kena ingat saya duduk dalam kelambu bukan sekadar ruang tamu PKR. Dapat email pagi ini setelah semalam menolak pujukan terakhir,” katanya.

Penyelaras SAMM itu boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk dipertimbangkan dalam tempoh 14 hari.

Kes skandal lagi dahsyat dari IMDB..

Khamis, 25 Ogos 2016

Oleh Zaharin Mohd Yasin

Saya bukan pemakan dedak. saya tulis apa saya suka, jika salah dari segi undang2, boleh dakwa saya, jika banyak wang.. samanlah saya.. yang penting sekarang perjuangan perut rakyat.

Semalam Najib Razak lancarkan LRT 3, dari Sungai Buloh ke Shah Alam.. Perunding Projek berikan kepada syarikat kilang buat meter air bernama George Kent dalam hari yang sama George Kent ditawarkan sebagai Kontrektor di MRT.

Mana dalam sejarah dunia.. dia perunding projek, dia tempat lain kontrektor dalam projek yang sama.. berbeza antara L dan M sahaja.. Hanya di Malysia.

Peliknya GK usahasama dengan CCCC, satu syarikat dari China yang disahkan oleh World Bank. sebagai syarikat penipu.

Syarikat ini ditawarkan Tender bukan kerana dia harga rendah. Harga rendah ditawarkanoleh syarikat bumiputra. Akhirnya dibuat keputusan eksekutif, GK diminta turunkan harga lebih rendah dari syarikat bumiputra.. tanpa di tender semula..

Senang nak jadi kaya dan menyamun.. Jika tak boleh bersaing, minta syarikat kroni.. turunkan harga. Kamudian menjerit akulah pejuang 'Agenda Memperkasa Bumiputra' tetapi sebaliknya syarikat bumiputra di pijak dan ditendang.

Maka ada atau tidak yang hendak mengiring aku ke Balai Polis buat aduan penyelewengan ini. Nak tengok adakah SPRM ini ada berani menyiasat kes ini atau setaraf dengan gay di lorong gelap.

Kes skandal lagi dahsyat dari IMDB..
Jalan Selimang
August 25.2016.

PETIKAN FB Zaharin Mohd Yasin

Menanti Episod Kemuncak Sinetron 1MDB

Oleh Hayar Hassan

Membaca novel-novel religi (berunsur agama) karya penulis tersohor dari negara jiran Indonesia, Habiburrahman El Shirazy (Kang Abik ) adalah antara aktibiti masa lapang saya semenjak beberapa tahun lalu. Hampir setiap novel karya Kang Abik telah saya miliki dan selesai membacanya. Uniknya setiap novel-novel Kang Abik tidak terlepas daripada kisah roman cinta anak muda, tetapi tetap berlandaskan kepada syariat Islam.

Hebatnya jalan cerita karya Kang Abik itu telah membuatkan produser-produser filem dan TV Indonesia berlumba-lumba menerbitkan karya-karyanya dalam bentuk filem dan siri-siri sinetron(sinema elektronik). Ternyata filem-filem Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2 dan Dalam Mihrab Cinta mampu menjadi filem-filem “box-office”.

Bukan filem sahaja, karya-karya Kang Abik turut dijadikan siri-siri sinetron bernuansakan religi oleh Stesyen TV popular yang boleh ditonton melalui pakej Pelangi Astro Malaysia. Keberadaan begitu ramai warga Indonesia di Malaysia, Singapura, Brunei Darus Salam, Hong Kong, Arab Saudi, Jerman, Australia dan lain-lain negara membuatkan sinetron-sinetron tersebut menduduki rating yang tinggi.

Mesej yang hendak disampaikan oleh Kang Abik dalam novel ,filem dan sinetronnya adalah “ Islam Itu Adalah Satu Cara Hidup “. Orang Islam akan mudah menjalani kehidupan di dunia fana ini sendainya kita selalu dan tetap istiqamah berpegang kepada ajaran-ajaran Islam berlandaskan Al Quran dan Sunnah-Sunnah Rasulullah SAW.

Sekali sekala saya terfikir juga kalau Kang Abik diberikan ilham untuk menulis cerita sekitar “ 1MDB “. Sayangnya, jalan cerita “1MDB “ ini tidak punya cerita-cerita roman cinta anak muda dan mesej dakwah Islam yang sepertinya menjadi kriteria utama karya-karya Kang Abik. Umum mengetahui, “ 1MDB “ ini sarat dengan kepincangan skandal kewangan dan penonjolan kehidupan mewah penuh pembaziran beberapa kerat individu.

Plot cerita begini tidak menarik minat penulis tersohor itu . Mungkin nanti ada penulis yang berupaya menulisnya. Tetapi yang pasti “1MDB ” adalah kisah nyata, bukannya khayalan penulis semata-mata. Ianya penuh dengan fakta-fakta dan peristiwa-peristiwa yang berjejak pada alam nyata.

Dikhabarkan hebohnya kisah-kisah sinetron “1MDB “ ini adalah seawal tahun 2011. Lima (5) tahun lalu Bank Negara Malaysia telah mula menyiasatnya. Beberapa Ahli-Ahli Parlimen Malaysia semenjak tahun 2014 lagi, telah menzahirkan akan kebimbangan mereka terhadap malapetaka yang bakal menimpa negara tercinta ini . Namun kisah sinetron ini tidak punya penonton dan peminat yang ramai, tidak seperti sinetron-sinetron “ Tukang Bubur Naik Haji “ atau “ Pesantren Rock & Roll “. Sinetron-sinetron ini sudah memasuki episode-episod ratusan !

Namun bagitu saya merasakan sinetron “ 1MDB “ ini masih diminati oleh ramai penonton , tetapi hanya segelintir dari mereka sahaja yang berani memberikan komentar dan analisa terbuka seperti individu-individu bergelar Lim Kit Siang, Tony Phua, Husam Musa, Rafizi Ramli, Mahfuz Omar dan beberapa orang lagi.

Sayangnya, komentar-komentar mereka itu pun tidak termuat dalam akhbar-akhbar arus perdana. Paling sensasi pun, cuma sekali sekala termuat dalam akhbar Sinar Harian. Yang pastinya, cerita-cerita “1MDB” banyak tersiar di dunia maya. Kepada yang berminat, bolehlah mengikutinya di blog-blog Malaysiakini.com, Malaysiadateline.com, Wadahbaru.blogspot.my, Keadilandaily.com dan Roketkini.com. Warga Malaysia yang mempunyai internet dan “smartphone” sahaja yang berupaya mengikuti kisah-kisahnya.

Itu pun kalau mereka mempunyai minat untuk mengetahuinya ! Orang-orang lain kelihatannya kurang berminat untuk mengikutinya. Itulah kekurangannya sinetron “1MDB “ ini. Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan PM ke 4 Malaysia, ramai rakyat sudah malas membaca kerana kekenyangan memakan dedak. Dulu beliau berkata orang kita “mudah lupa”. Walau apa pun itulah kenyataannya sinetron ini sukar menghasilkan rating yang tinggi.

Terakhir, lokasi pengambaraan sinetron ini sudah dibawa ke Negara Uncle Sam, Amerika Syarikat. Produsernya juga telah bertukar. Sekonyong-konyong produser yang bergelar “DOJ” telah membuat kejutan sensasi seantaro dunia. DOJ dengan secara terperinci telah menyediakan skripnya untuk episod-episod seterusnya.

Peminat setia sinetron ini seperti Husam Musa dan Matthias Chang telah bersusah payah membeli tiket penerbangan ke negara “Uncle Sam” itu dengan harapan untuk terus menonton siri sinetron ini. Bagitulah kata orang kalau penonton itu sudah terlalu minat dengan ceritanya, dia akan berbuat segala-galanya demi rasa ingin tahu bagaimana kisah sinetron ini akan berakhir.

Bersama-samalah kita berharap dengan penyedian skrip DOJ itu sinetron ini akan sampai ke kemuncaknya. Sebenarnya ramai orang telah kelelahan dan keletihan untuk terus mengikuti sinetron ini. Yang pastinya sesuatu yang bermula itu akan ada penghujungnya. Cumanya, kita tidak tahu bilakah ianya akan selesai dan bagaimanakah akhir kisahnya.

Semoga rakyat masih punya minat untuk terus mengikutinya. Semoga penantian kita itu nanti ada penghujungnya. Sinetron ini sebenarnya sudah mengambil terlalu banyak masa rakyat Malaysia. Fokus, tenaga dan buah fikiran kita banyak terbuang kerana memikirkan cerita-cerita “ 1MDB “. Malaysia cuma mempunyai masa kurang daripada 4 tahun sahaja lagi sebelum impian besar menjadi “ Negara Maju “ menjadi kenyataan. Apakah impian itu akan menjadi kenyataan atau pun hanya masih satu mimpi indah.

Saya masih ingat lagi suatu waktu dahulu, semasa masyarakat Malaysia ketandusan kehadiran filem-filem warna tempatan yang berkualiti, Tan Sri Jins Samsudin (TSJS) berjaya mengeluarkan filem Menanti Hari Esok. Ianya kemudian disusuli dengan filem-filemi Tiada Esok Bagi Mu dan Esok Masih Ada. Sekurang-kurangnya TSJS berhasil melegakan kegelisahan peminat-peminat filem tempatan dengan filem-filemnya. Semoga “ 1MDB “ juga akan menemui penghujung ceritanya !

Sekian. “ Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke 59, MERDEKA ! “

Tuan Ibrahim sudah dilantik jadi ‘Timbalan Presiden Umno’ ?

Netizen sejak petang semalam gempar apabila jawatan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Timbalan Presiden Pas sudah bertukar kepada Timbalan Presiden Umno seperti laporan muka depan akhbar Harakah Bil. 2175.

Laman web dan Facebook Harakahdaily menyebut pihak editorial Harakah mengakui wujudnya kesilapan tersebut pada keluaran Edisi Jumaat akhbar rasmi Pas itu.

Walau bagaimanapun, rata-rata netizen menempelak kecuaian besar itu bahkan secara sinis mengaitkan dengan petanda hubungan mesra Pas dan Umno sejak tahun lalu.

Pengguna Facebook, Aimy Lavender menulis, “Nampak sangat dah terpaut hati kat Umno. Dedak Umno lazat ke?” yang dilihat senada dengan komentar Marzuki Mat, “Jiwa Harakah adalah jiwa Umno.”

Sementara itu, Zuhairi Husin berpendapat, “Sat lagi Harakah nak bersatu dengan Berita Hairan” manakala Hazmi Salamon secara menyindir berkata, “Ni mesti salah DAP”.

Pemerhatian Malaysia Dateline turut mendapati berita bertajuk, “Jelaskan siapa MO1 sebenar” itu juga salah menulis MO1 sebagai ‘Malaysian Officer One’ walhal yang tepatnya adalah ‘Malaysian Official 1’.

Rata-rata komentar di pelbagai kumpulan di media sosial WhatsApp turut memberitahu editorial Harakah kerap melakukan kesilapan ejaan selain ayat berulang dan tidak jelas dalam laporan mereka sebelum ini.

Isu 1MDB tidak dianggap 'jenayah agama' di kalangan agamawan, bidas Husam

Isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dianggap sebagai 'jenayah agama' dikalangan golongan agamawan di negara ini dalam konteks berkerajaan, kata Adun Salor Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, golongan agamawan melihat 'good government' ini sebagai tanggungjawab yang dipisahkan daripada Islam sehingga ia tidak dianggap sebagai 'jenayah agama' oleh pelakunya.

"Dalam kes 1MDB jika menghilangkan wang yang di amanahkan rakyat itu tidak dianggap sebagai 'jenayah agama' apa lagi?

" Kita nak kejam mata sebelah. Jika ustaz-ustaz mendapat maklumat seluasnya mereka akan istigfar 100 kali, malah tidak ada seorang ustaz pun dalam Pas akan duduk diam," ujarnya ketika sesi soal jawab dalam Wacana Harapan: 1MDB Ke Mana Hujungnya? di Rumah Gerak Budaya, Petaling Jaya malam tadi yang dianjurkan oleh akhbar mingguan Amanah semalam.

Mengulas lanjut mengenai jenayah agama ini, Husam berkata,di dalam al-Quran banyak disebut pemimpin agama dikalangan Bani Israel mereka membiarkan penyelewengan harta benda rakyat dengan tidak menegur pemimpin dan penguasanya, maka dikutuk Allah swt.

"Selain al- Quran dalam hadis Rasullullah saw juga mengecam pemimpin masyarakat membiarkan amalan pecah amanah berlaku berleluasa.

"Apa yang berlaku dalam kes 1MDB ini ternyata jumlah pecah amanahnya cukup besar  berbilion ringgit digunakan untuk perkara bertentangan dengan agama Islam.

"Pastinya golongan agamawan mempunyai kewajiban yang besar berbanding orang biasa seperti kita.
"Isu 'good government atau berkerajaan yang baik ini masih lagi agak asing bagi kebanyakan agamawan.
"Mereka hanya melihat Islam sebagai hukum berkaitan ibadat dan kekeluargaan semata-mata, tetapi kes bernegara kurang diberikan perhatian untuk membincangkannya," ujarnya.

Apakah punca berlaku keadaan ini dikalangan ulama, naib presiden Pas ini berkata, dua sebab menjadi penghalangnya.

"Pertama golongan agamawan belum mendapat maklumat sepenuhnya mengenai isu ini kerana kebanyakan bahan-bahannya disebarkan dalam bahasa Inggeris.

"Tetapi itu tidak boleh dijadikan penghalang untuk golongan agamawan ini mencari duduk perkara sebenar yang berlaku dalam isu 1MDB ini.

"Keduanya masalah kita antara kefahaman agama dengan konsep kenegaraan Islam ada jurangnya. Kebanyakan orang yang beraliran agama masih ada pemisahan sekular dan islamik yang menghalan mereka untuk bertindak dan menyuarakan pandangan.
Rakyat ternanti-nanti sikap agamawan Islam dalam isu 1MDB kerana tanggungawab di bahu golongan agamawan sangat besar apa hala tuju mereka bagi menangani isu ini, masih lagi tidak dijelaskan,"ujarnya

Dalam perkembangan sama Presiden Amanah Mohamad Sabu juga pernah membidas sikap ulama negara ini yang membisu dalam isu membabitkan 1MDB.

Mohamad dipetik berkata, Malaysia ketandusan ulama yang berani menentang korupsi dan salah laku dalam pentadbiran negara.

Katanya penentangan terhadap korupsi di negara ini masih perlahan, Mohamad berkata umat Islam khususnya menunggu ulama yang lantang menentang penyalahgunaan kuasa pemerintah persis Imam Nawawi, Ayatullah Khasyani dan juga Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong.

Bertanding 30 kerusi, AWAN Kelantan siap sedia

Cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding 30 kerusi di Kelantan pada PRU 14 akan datang disambut baik jentera parti itu.

Pengarah Biro Pilihan Raya (BPR) Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Kelantan, Norashidah Jaafar berkata pihaknya telah bersiap sedia menunggu arahan untuk menjalankan tugas bagi menghadapi pilihan raya umum.

Lagipun katanya berdasarkan senario politik semasa, arah tuju parti pemerintah negeri sekarang tidak menjamin masa depan melihat kepada keangkuhan pemimpin-pemimpin mereka.

Menurutnya, Amanah meneruskan perjuangan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengambil tampuk pemerintahan di Putrajaya daripada Umno-BN.

"Alhamdulillah kita telah menghadapi pilihan raya negeri Sarawak dan dua pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar membolehkan kita menilai dan mengemaskini jentera," katanya kepada Malaysia Dateline ketika ditemui di program ziarah tokoh di Kubang Kerian.

Cadangan ini katanya amat munasabah kerana Amanah telah berjaya bergerak dengan baik sejak penubuhannya setahun lalu.

"Sekarang organisasi peringkat negeri dan kesemua 14 kawasan di Kelantan telah berjaya diwujudkan secara berdaftar.

"Operasi sekarang ialah penubuhan cawangan-cawangan disusuli pemuda dan AWAN yang bergerak rancak seperti sasaran yang dijadualkan," katanya.

Walaupun organisasi AWAN masih di peringkat penaja katanya, struktur untuk peringkat negeri dan seluruh kawasan-kawasan telah lengkap.

"Proses seterusnya hanyalah peringkat teknikal dan saya yakin dapat menyelesaikan kesemua peringkat organisasi sebelum masuk tahun depan," katanya.

Bagi pihak biro pilihan raya katanya, AWAN sudah pun menyusun jadual kerja untuk melatih semua peringkat jentera.

"Kita akan ikuti semua rancangan kerja seperti diperincikan dalan Retreat Amanah Kelantan pertengahan Ogos lalu bagi melahirkan pasukan kerja mampu menang di semua peringkat organisasi," katanya.

Ditanya mengenai calon pilihan raya, beliau berkata AWAN Kelantan sudah mengenalpasti tokoh-tokoh wanita untuk dipertandingkan dalam PRU nanti.

Dengan sambutan hebat golongan profesional, aktivis masyarakat dan bekas pemimpin parti lama serta NGO katanya, beliau yakin calon-calon yang dikemukakan nanti akan disambut baik masyarakat Kelantan.
"Apa pun soal calon bukan agenda yang perlu diperbesarkan kerana pimpinan parti lebih mampu membuat penilaian," katanya.

Naib Ketua Pemuda Amanah dihukum penjara 8 bulan

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar didapati bersalah di bawah Akta Hasutan dan dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan.

Namun begitu beliau dibenarkan membuat rayuan ke atas hukuman itu dengan dikenakan jaminan RM5,000.
Fakrurazi didakwa di bawah akta itu atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut dalam siri protes jalanan #KitaLawan, tahun lalu.

Fakhrulrazi didakwa menyebut kata-kata menghasut di hadapan Kompleks Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 4.30 petang, 21 Februari 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib didakwa beli hormon anti penuaan RM1.4 juta guna wang 1MDB

Bekas naib presiden Pas, Datuk Husam Musa mendakwa, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya telah membeli hormon anti penuaan bernilai RM1.4 juta menggunakan wang berkait dengan 1MDB.
Mengikut laporan itu, kata Husam dalam kenyataannya, Najib dan isteri menggunakan hormon anti penuaan yang tercanggih dan termahal.
"Dengan cara ini, tidak mustahil DS Najib dan isteri kekal menerajui Malaysia bagi tempoh yang lama.
"Salah satu pembayaran menggunakan wang berkait 1MDB adalah untuk bil hormon suplemen berkenaan - RM 1.4 juta!
"Kata laporan itu, dokumen berkait pembayaran bil hormon terdapat dalam laporan SPRM.
"Sehingga kini, laporan itu tidak dinafikan," kata Husam dalam kenyataan itu.
Menurut Husam, berdasarkan ucapan-ucapan beliau sendiri dalam jelajah merasmikan Mesyuarat Agung Umno Bahagian kini, Malaysia sangat memerlukan sosok bernama Najib Tun Razak.
"Apa salahnya kita mengharapkan beliau panjang umur. Terus mentadbir Malaysia untuk seratus tahun akan datang.
"Itulah caranya untuk menjadikan UMNO dan Malaysia terus kukuh - mengikut ukuran DS Najib," katanya.
Jika ini berterusan, katanya, bayangkan jumlah wang yang perlu dibelanjakan oleh negara untuk mengekalkan DS Najib terus hidup untuk mentadbir semua rakyat bagi seratus tahun akan datang.
"Tapi apa salahnya, asal rakyat bahagia.......Saya seronok jika beliau hidup lama untuk membolehkan DS Najib melunaskan hutang-hutang negara yang telah dilakukan sebelum ini bila tiba tempoh matang hutang-hutang itu. Termasuk hutang-hutang 1MDB!" katanya.
Husam Musa ketika berucap dalam satu forum malam tadi.Husam Musa ketika berucap dalam satu forum malam tadi.Menurut Husam, paling dekat untuk matang, mengikut senarai dalam buku Laporan PAC mengenai 1MDB , ialah pada tahun 2022 sejumlah RM 19 billion termasuk bunga.
Bermakna 6 tahun dari sekarang, katanya.
Jika diandaikan PRU 14 adalah pada tahun 2017 dan lima tahun kemudian PRU 15 diadakan, maka DS Najib kena menguruskan pembayaran hutang 1MDB itu pada tahun PRU 15 diadakan iaitu tahun 2022.
"Syabas! Pada waktu itu, umur DS Najib adalah 69 tahun. Masih muda," katanya.
Kata Adun Salor itu, pada umur Najib 70 tahun iaitu setahun kemudian, beliau kena menguruskan pembayaran hutang 1MDB sebanyak RM 15.7 billion lagi!
Bon pertama dikeluarkan 1MDB berjumlah RM 5 billion pula akan matang pada tahun 2039.
Mengikut laporan PAC lagi, apabila tempoh matang pada tahun 2039 nanti, negara perlu membayar sebanyak RM 13.625 billion iaitu RM 5 billion untuk bayaran pokok dan RM 8.625 billion lagi untuk bayaran keuntungan.
Pada hal, jumlah bersih yang diperolehi oleh 1MDB dari bon ini hanya RM 4.3 billion kerana pelbagai yuran yang dikenakan adalah tertinggi, katanya.
"Ini kelebihan cara DS Najib. Jangan bimbang. 2039 adalah dua tahun selepas PRU 18 dengan andaian setiap lima tahun PRU akan diadakan. Parlimen tidak digantung kerana negara didharuratkan seperti dilakukan Marcos. Umur DS Najib di waktu itu adalah 86 tahun.
"Saya tidak pasti saya masih hidup atau tidak, kerana saya seperti mana rakyat Malaysia yang lain, kami tidak mampu membeli hormon anti penuaan semahal digunakan oleh PM kesayangan ramai. Di samping itu, negara juga perlu menjelaskan tanggungan lain," katanya.
Antara terbesar, mengikut Laporan PAC, katanya, 1MDB terhutang kepada rakan kongsinya IPIC sebanyak USD 1 billion atau RM 4 billion.
"Namun kini, IPIC mendakwa Malaysia terhutang kepadanya sebanyak USD 6.5 billion atau RM 26 billion!" katanya.
Ini kerana, bayaran yang dibuat oleh 1MDB tersalah masuk ke dalam akaun syarikat yang namanya serupa dengan anak syarikat IPIC tetapi entitinya berbeza! Aabar dua serupa!
"Hebat! Hanya Malaysia Boleh! Ia kini dalam proses untuk perbicaraan di Mahkamah Arbitarasi London.
"Jika 1MDB kalah, melayang lah lagi wang negara kita sejumlah RM 26 billion itu," katanya.
Bagi Husam, kalau dibangunkan negara kita dengan dusun moden musang king dengan wang sejumlah itu, bayangkan betapa makmurnya rakyat Malaysia menikmati durian yang enak itu.
"Tak dapat makan hormon anti penuaan, dapat makan musang king pun dah satu keberkatan bagi rakyat," katanya menyindir Najib.
Bagi, katanya, memandangkan kewangan Malaysia sangat kukuh, jumlah sebesar itu enteng saja bagi DS Najib menguruskannya.
Sekalipun pendapatan Petronas merosot 96% dari biasa kerana kejatuhan harga minyak, dengan sumbangan rakyat Malaysia melalui GST dan kenaikan terus menerus bil elektrik, negara akan terus kukuh di bawah DS Najib, sindir Husam.
"Jika negara kita ada masalah, banyak lagi aset yang kita boleh jualkan kepada negara asing," katanya lagi.
Untuk 100 tahun akan datang, katanya, negara akan menyaksikan banyak lagi ragam kepimpinan DS Najib dalam menerajui Malaysia dan UMNO untuk kekal kukuh.
"Saya turut berbangga bersama ahli Umno yang sentiasa setia mengekori walau apa pun dunia kata.
"Seratus tahun akan datang, sungguh mendebarkan....Apa lagi untuk orang bernama Zahid dan Hishamuddin," kata ahli politik dari Kelantan itu.

Dr M: Ada 4 Tan Sri, seorang mungkin khianat

Rabu, 24 Ogos 2016

Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan terdapat empat individu bergelar 'Tan Sri' dan salah seorang daripada mereka mungkin mengkhianati yang lain.

Sebelum ini, bekas perdana menteri itu memberi gambaran tiga pegawai tinggi kerajaan yang dituduh bersubahat untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Razak telah "dikhianati".

"Ada seorang yang tidak termasuk. Terdapat empat daripada mereka, seorang daripada mereka tidak termasuk.

"Ada kemungkinan bahawa seorang (tidak termasuk itu) yang khianat," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Ditanya sama ada beliau merujuk kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang juga mempunyai gelaran berkenaanu, Mahathir menjawab: "Saya tidak tahu. Saya tidak tahu. Saya tidak mahu ditangkap."

Pada hujung minggu lalu, Mahathir mendakwa jika tidak kerana tindakan khianat itu, perdana menteri sudah tentu akan menghadapi tindakan.

Bulan lalu, Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun membuat laporan polis terhadap bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz, bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamad.

Khairul Azwan mendakwa tiga Tan Sri itu memberi maklumat sulit kepada agensi-agensi asing tanpa kebenaran dan memalsukan butiran untuk mencapai agenda mereka.

Bagaimanapun, Khalid berkata polis tidak akan menyiasat laporan ketua Pemuda Umno itu kerana ia dibuat berdasarkan andaian.

Amanah sudah matang untuk berada di arus perdana

Selasa, 23 Ogos 2016

Parti Amanah Negara (Amanah) kini sudah sampai ke usia matang dan bersedia untuk sebaris dengan parti lain di arus perdana, kata Setiausaha Agungnya Anuar Tahir.

Beliau berkata, dengan 150 kawasan dan 350 cawangan yang telah diluluskan, sejak parti itu ditubuhkan setahun lalu, Amanah terbukti dapat diterima oleh sebahagian rakyat.

"Setelah genap setahun ini, kita menganjak ke alam kedewasaan dalam politik negara, oleh sebab itu sukacita kita maklumkan keberadaan kita dalam politik negara sudah sampai usia matang.

Anuar Tahir"Jadi kini kami (Amanah) sudah benar-benar bersedia untuk menjadi parti utama, parti politik arus perdana dalam negara kita," katanya dalam sidang media diadakan di ibu pejabat parti itu pagi tadi.

Sempena setahun penubuhan Amanah, parti itu akan mengadakan majlis makan malam yang akan berlangsung di Kelab Alumni Universiti Malaya pada 17 September ini.

Dijangka akan diharidir oleh semua pimpinan parti dan penyokong yang akan dijemput untuk meraikan bersama pada hari tersebut.

Beliau yang juga merupakan pengerusi sambutan setahun Amanah berkata, ‎pihaknya juga akan membuat sambutan kemuncak parti itu pada 24 September ini di Muar Johor.

"Pelbagai aktiviti akan diadakan di Kompleks Y Square Hall, Lebuh AMJ Sungai Abong akan berlangsung pada jam 7 pagi berakhir 12 malam," katanya.

Amanah yang diasaskan oleh Mohamad Sabu, bekas Timbalan Presiden Pas yang meninggalkan parti itu bersama-sama beberapa bekas pimpinan Pas lainnya.

Parti ini didaftarkan sebagai parti Pekerja-Pekerja Malaysia dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara dan dilancarkan pada 16 September 2015.

Amanah ketika ini mempunyai enam Ahli Parlimen yang sebelum ini menang selepas bertanding atas tiket Pas.

Amanah: Bersatu boleh bawa Melayu jauhi politik kaum

Oleh Sheith Khidhir Bin Abu Bakar
 |KUALA LUMPUR: Amanah menganggap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menunggu kelulusan pendaftarannya bukan bersifat perkauman walaupun hanya membenarkan ahli Bumimputera menganggotainya.

“Walaupun mengkhaskan keahliannya kepada Melayu and Bumiputera, tidak semestinya mereka bersifat perkauman,” kata Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad pada sidang media disertai pimpinan parti itu hari ini.

“Perkauman ditakrifkan sebagai perasaan anti sesuatu kaum, mencintai kaum sendiri bukan perkauman.”
Bersatu yang dinaungi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bakal dipimpin bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyerahkan permohonannya didaftarkan sebagai parti politik pada 9 Ogos lalu.

Selain disokong Amanah, ia dijangka akan mengadakan kerjasama dengan PKR dan DAP.
Bagaimanapun, keahlian yang terbatas kepada satu kaum itu tidak disenangi beberapa pihak, yang menganggap ia langkah ke belakang dalam usaha parti pembangkang menjauhkan diri daripada politik berasaskan kaum.

Ia turut dibantah Pemuda DAP yang berkata parti yang mengamalkan diskriminasi kaum tidak akan menyelamatkan Malaysia dan tidak berbeza dengan Umno.

Bagaimanapun, Khalid, yang juga ahli Parlimen Shah Alam, berkata penubuhan Bersatu adalah salah satu fasa dalam proses membawa keluar pemikiran Bumiputera negara ini dari politik perkauman.

“Pendekatan seperti ini kita harap akan dibawa Muhyiddin dan Dr Mahathir sebagai penaja utama mereka.
“Kami harap corak

politik perkauman akan sentiasa dijauhi supaya bina parti Melayu yang bebas daripada perkauman dan mengutamakan prinsip keadilan,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir menjelaskan Bersatu mensasarkan Melayu dan penduduk luar bandar yang selama ini selesa dengan Umno.

“Orang bandar yang canggih dan berpendidikan tinggi percaya politik perkauman tidak sesuai untuk masa ini. Tetapi di kawasan lain ia adalah berbeza.

“Bagi penduduk luar bandar yang kebanyakannya miskin, bangsa bukan sahaja penting tetapi mereka percaya ia adalah perlu untuk kesejahteraan mereka. Umno popular kerana ia adalah parti perkauman,” tulis beliau dalam catatan blognya baru-baru ini.

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger