Home » , » Kenapa hanya Tuan Ibrahim bersuara dalam PAS

Kenapa hanya Tuan Ibrahim bersuara dalam PAS

Written By Wadah Baru on Selasa, 4 Ogos 2015 | 9:55 PG

Oleh Ibnu Yusuf al-Samari

100 hari semakin hampir bagi usia Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Dr Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad memegang jawatan baharu mereka. 100 hari yang ditetapkan ulama sains sosial bagi mengesan prestasi seseorang politikus menjelaskan visi, misi dan strategi peribadi masing-masing dalam menjayakan visi, misi dan strategi parti.

Serius, mereka masih gagal jika sayalah yang menjadi juru nilai dan ukur mereka. Cuba Dr Mohd Zuhdi Marzuki melakukan survey sendiri, atau berbisik tanya sahaja kepada UMCedel.

Saya belum berminat menilai Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana adanya beliau di posisinya selepas  pemilihan lalu, tidak menambah apa-apa kepada PAS. Orang luar kata, mungkin hanya terus membebankan parti. Bagi saya, tidaklah begitu kerana sayakan ahli parti, angguk sahaja kehendak pengundi dan juru kempen, termasuk menantu beliau.

Saya bertanya di atas, pada tajuk tulisan ini, masih tidurkah naib presiden PAS? Kerana, sehingga fajar hari ini, hanya Tuan Ibrahim sahaja yang galak mengulas dan mencuit isu-isu negara melibatkan kepenringan rakyat melata jelata. Apakah PAS hanya membenarkan Tuan Ibrahim sahaja mengulas? Ohh salah cara, jika begitu. Beliau boleh diangkat sebagai juru bicara rasmi bagi menjelaskan pendirian rasmi parti, tetapi jangan menghalang naib presiden mengulas, sekurangnya dengan bahasa sendiri, lenggok sendiri, pendekatan sendiri tetapi berisikan pendirian parti.

Di manakah Amar? Hanya kelihatan berminat menanti cahaya di hujung lorong hudud terpancar dari pelita ajaib Umno yang tersangkut di bahu suami Datin Seri Rosmah Mansor?

Di manakah Idris? Hanya sempat menziarahi jamuan raya, kenduri kesyukuran, doa selamat, aqiqah anak dan majlis nikah rakyat jelata Bukit Gantang?

Di manakah Iskandar? Seorang profesional yang diharap menggantikan kelantangan Salahuddin atau ketepatan statement Datuk Husam Musa versi PAS sebelum pemilihan, tetapi masih gagal menaikkan dirinya ke tahap naib presiden sebuah parti pembangkang terhebat Malaysia.

Jika bukan soalan tentang tidur, soalan apa yang lebih tepat?

Atau kita mahu bertanya inikah sahaja kebolehan mereka? Saya enggan meletakkan ahli dan pengundi PAS kecewa jika kita menutup terus kebarangkalian untuk mereka meningkatkan prestasi masing-masing. Jangan begitu. Beri mereka peluang. Lebih tepat, berikan mereka kritikan pedas-pedas.

Jangan mereka hanyut dengan slogan dan perasaan 'kamilah bahtera istiqamah', 'kamilah pencinta parti', 'kamilah penyatu perjuangan', 'kamilah PAS tulen', 'kamilah pembantu tegar Hadi', 'kamilah pemimpin anda'. Tetapi tidak perform!!!

Mungkin juga kerana ketiga mereka ini tidak bersedia di posisi sekarang? Hadirnya mereka pun kerana tersenarai dalam cai kempen ahli Majlis Syura Ulamak (MSU) parti? Saya ulang, ahli MSU. Bukan MSU.
Sebagai penutup, saya sarankan agar tentera siber PAS memusing 180 darjah badan mereka dari menghadap GHB kepada menghadap isu yang saya bangkitkan ini. Tak akan kukuh PAS dengan terus menembak GHB di status FB pemimpin dan penyokong GHB.

Parti pun satu, daripada mencula ahli yang hadir ke majlis GHB, culalah prestasi parti secara keseluruhan.
Kerana saya percaya, dengan prestasi PAS seperti fajar ini, jika GHB terbentuk menjadi sebuah parti Islam bernuansa progresif syarie, maka PAS akan ditinggalkan rakyat biasa, media dan kupasan ikhlas ahli akademik.

Segeralah bangun. Subuh kian habis.

- /www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger