Home » » ADUAN SALAH LAKU DAN/ATAU PERLANGGARAN KOD ETIKA HAKIM SYARIE

ADUAN SALAH LAKU DAN/ATAU PERLANGGARAN KOD ETIKA HAKIM SYARIE

Written By Wadah Baru on Khamis, 3 September 2015 | 2:42 PTG

Saya ingin merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian khususnya Berita Harian Online bertarikh 2 September 2015 yang mana melaporkan antaranya bahawa Datuk Daud Muhammad, Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan menyatakan bahawa perkahwinan antara Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli dan isterinya, sah gugur talak tiga selepas melanggar baiah yang dilafazkan sebelum ini. 

Beliau juga dilaporkan berkata "Perkara itu berlaku berdasarkan kandungan baiah (yang dilafazkan). 

Memandangkan mereka bukan lagi pasangan suami isteri, mereka tidak boleh lagi tinggal bersama".
Mengulas lanjut, Daud meminta pasangan terbabit hadir ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan status mereka. 


"Sehingga kini, Dr Hatta dan pasangannya belum mendaftar mengenai status perkahwinan mereka di Mahkamah Syariah," katanya.
Laporan berita tersebut boleh didapati dipautan berikut :-
http://www.bharian.com.my/node/79063

Saya memohon merujuk kepada Arahan Amalan No. 1 Tahun 2001 yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bertarikh 2 Februari 2001 yang bersamanya menguatkuasakan KOD ETIKA HAKIM SYARIE.

Saya memohon merujuk kepada Peraturan 3 (g) Kod Etika Hakim Syarie yang memperuntukkan seperti berikut :
Kod Etika Di Luar Mahkamah.
Seseorang Hakim Syarie tidak boleh :-

(g) memberi pendapat mengenai sesuatu perkara atau keadaan yang ianya sedang dibicarakan atau berkemungkinan akan menjadi suatu isu dalam mana-mana perbicaraan di hadapannya, kerana pendapatnya itu boleh kemudiannya digunakan oleh sesuatu pihak untuk menyokong hujahnya;

Berbalik kepada laporan akhbar Berita Harian di atas, maka jelas bahawa Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan telah melanggar Peraturan 3 (g) Kod Etika Hakim Syarie kerana telah mengeluarkan pendapat mengenai sesuatu perkara atau keadaan yang ianya berkemungkinan akan menjadi isu dalam mana-mana perbicaraan kerana pendapatnya itu boleh kemudiannya digunakan oleh suatu pihak lain menyokong hujahnya.

Sebagai Ketua Hakim Mahkamah Syariah, beliau telah mengeluarkan pendapat dengan memutuskan isu yang mungkin akan dibawa ke hadapan Hakim Syarie di bawahnya. Ini jelas merupakan perlanggaran Kod Etika Hakim Syarie.

Saya dengan ini memohon suatu siasatan dijalankan dan tindakan diambil terhadap Ketua Hakim Mahkamah Syariah Kelantan di bawah Peraturan 2 (2) yang memperuntukkan seperti berikut :-
Pelanggaran mana-mana peruntukan Kod Etika ini boleh menjadi suatu alasan bagi tindakan diambil di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.[P.U.(A)395/93]
Sekian, Terima kasih.

ZULHAZMI SHARIFF
3 SEPTEMBER 2015

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger