Home » , » Kenali Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Pengerusi Amanah Negeri Terengganu

Kenali Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Pengerusi Amanah Negeri Terengganu

Written By Wadah Baru on Rabu, 28 Oktober 2015 | 4:43 PTG

Oleh Fouziah Amir

KISAH beliau melarikan dua anaknya dari Australia ke tanah air, menjadi arkitek dikagumi dalam memperjuangkan seni bina Melayu tradisional, pembela bangunan warisan, kini pemilik nama Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Raja Bahrin), 60, menjadi sebutan dalam arena politik.

Beliau menjadi ahli Parlimen Kuala Terengganu atas tiket Pas pada Pilihan Raya 2013 dengan kemenangan majoriti 10,785 undi. Pada 31 Julai lalu, beliau diumumkan sebagai Pengerusi Parti Amanah Negara Terengganu. Dengan pelantikan tersebut, beliau diketepikan dari segi perhubungan, kerjasama, bantuan dan kemudahan oleh Pas Kuala Terengganu.

Dalam mengharungi suka duka perjuangan politik ini, bapa kepada anak lapan ini tidak menoleh ke belakang walaupun didesak untuk letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu. Baginya, apa yang penting rakyat menilai, memilih dan mengundi beliau.

"Prinsip hidup saya sebagaimana Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat kata, kita mesti beramanah apa yang kita buat. Apabila orang lantik kita, jawatan kita terima atas amanah dan lakukan sebaik-baik. Oleh itu saya terpaksa keluar dari Pas kerana sewaktu terima jadi calon, konsep rahmatan lil alami kita bukan sahaja jaga orang Melayu dan orang Islam tapi semua di negara majmuk.

“Dulu, saya tak terfikir menjadi ahli politik. Tapi kecenderungan saya terhadap rakyat bermula sejak di zaman sekolah. Saya banyak bersama kawan asrama yang datang daripada keluarga susah. Bakat mereka tinggi tapi tak ada duit nak beli peralatan dan kasut sukan," ujar bekas ketua murid Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Anak tunggal kepada pasangan Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Tengku Zaleha Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pernah tinggal di Kuala Lumpur selama lima tahun bersama datuknya, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Zainal Abidin III Muazzam Shah yang menjadi Yang di-Pertuan Agong ketika itu.

“Datuk merupakan bekas majistret sebelum menjadi Yang di-Pertuan Agong. Mungkin orang sangkakan duduk di istana itu hidup mewah, tapi sebenarnya saya banyak belajar daripada datuk. Datuk tidak dibesarkan sebagai anak raja, jadi datuk pandai bawa diri.

"Saya ingat kata-kata datuk: ‘kalau datuk boleh tinggal duit banyak mana pun kepada cucu, duit itu tak berguna kerana suatu hari akan habis. Tapi kalau kamu pandai cari ilmu, ilmu akan kekal dengan kamu sampai bila-bila’. Pesanan itu saya kongsikan dengan anak,”katanya.

PERTAHAN WARISAN

Graduan lulusan seni bina dari University of Melbourne, Australia (1978-1981) ini pernah menimba pengalaman bekerja setahun dalam bidang pemuliharaan bangunan lama yang kebanyakannya sejarah warisan Victorian di Melbourne. Jadi beliau mencuba menjalankan usaha yang sama di Malaysia.

Sekembali ke tanah air, Raja Bahrin berkhidmat sebagai arkitek di sektor kerajaan di Terengganu selama dua tahun sebelum membuka syarikat sendiri, Senibahri Arkitek di Kuala Terengganu. Antara hasil seni bina dan reka beliau ialah Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali Masjid Terapung di Kuala Terengganu, Istana Melawati dan Hotel Pullman di Putrajaya dan Muzium Negeri Terengganu iaitu muzium terbesar Asia.

“Perjuangan saya dari 1980-an hingga kini adalah menyelamatkan bangunan bersejarah. Di Malaysia ada pelbagai warisan, seperti Belanda, Melayu, Jawa, Minang dan Bugis. Tetapi orang kita tak ambil berat masa itu.

"Saya bersama Allahyarham Tan Sri Mubin Sheppard menubuhkan Badan Warisan Malaysia 1983 dalam usaha menyelamatkan bangunan lama.

“Dengan kerjasama Pengerusi Petronas, Tan Sri Abdullah Mohd Salleh ketika itu, kita dapat selamatkan bangunan pertama, Istana Tengku Long yang dipindahkan dari Besut ke atas tapak Muzium Kuala Terengganu, seluas 24.3 hektar,” katanya.

Beliau menyarankan kepada golongan siswa bidang seni bina kenal diri, kampung dan warisan sebelum belajar seni bina orang lain. Katanya, apabila kita memulihara bangunan lama, mengkaji dan menghayati, maka dengan sendiri kita menyerap roh sejarah lama di dalam hati sanubari. Jadi senang cari ilham untuk tonjolkan dalam pembangunan.

“Kita banyak kelemahan mengenal sejarah. Kita hanya menghafal sejarah untuk lulus peperiksaan tapi tak ada penghayatan. Golongan muda mencari-cari sesuatu. Tak boleh salahkan mereka kerana kita tinggalkan terlalu sikit untuk mereka,” ujar beliau.

SUARA SISWA

Raja Bahrin tidak asing dalam kalangan siswa yang terlibat dalam aktiviti politik. Beliau berpendapat golongan anak muda penting dan berhak mengetahui hal politik semasa, kerana mereka bakal pemimpin masa hadapan.

“Pada masa sama, siswa perlu bijak mengimbangi perjuangan dan pelajaran agar masa depan tidak jejas. Jika terlibat dengan kesalahan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, biasiswa mungkin ditarik balik dan diberhentikan pengajian. Tetapi jika semua siswa mengambil jalan selamat, siapa pula nak berjuang?"

Katanya, kawalan ketat di kampus di mana siswa digantung dan dibuang jika tidak patuh arahan pihak berkuasa, ini melahirkan generasi siswa yang pekak, buta dan tuli dengan isu semasa.
“Mereka yang mahu menceburi dunia politik, perlu ada asas (kelulusan) untuk cari makan keluarga. Politik memang perlukan pengorbanan besar termasuk kewangan. Saya kagumi sikap mereka yang berani dan celik maklumat.

"Apa jua rintangan dan cabaran dihadapi, apa yang penting kita percaya lakukan untuk kebaikan umum. Hidup ini tak ada makna kalau kita tak dapat menyumbang. Setiap manusia diberi kelebihan cara masing-masing..." katanya.

(Tulisan Fouziah Amir, Sinar Harian 28 Oktober 2015)

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger