Home » , » Cenderahati Tun Dr Mahahthir Untuk Rakyat Malaysia ...

Cenderahati Tun Dr Mahahthir Untuk Rakyat Malaysia ...

Written By Wadah Baru on Selasa, 30 Ogos 2016 | 6:14 PG


Oleh Hayar Hassan 

 Entah mengapa seusai saya menatap muka pertama akhbar Sinar Harian Edisi Utara hari ini, tanggal 25 Ogos 2016, suatu rasa kegembiraan yang amat sangat saya rasakan apabila saya menatap tajuk berita utamanya “ SAYA MOHON MAAF”, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri (PM) ke 4 Malaysia .

Tun Dr Mahathir Mohamad minta maaf atas pindaan perlembagaan yang menyebabkan kelulusan, tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak lagi perlu untuk jadikan suatu Akta Parlimen sebagai undang-undang. Kalau dihalusi, impak terhadap pindaan perlembagaan itu amat besar sekali. Kuasa yang dimiliki oleh seorang Perdana Menteri Malaysia sekarang ini amat besar sekali dan sukar diganggugugat.

Kegembiraan dan sedikit rasa terkejut  apabila saya  mula membaca tulisan tersebut. Sebelum ini saya sering beranggapan bahawa perkataan “ Saya Mohon Maaf” itu mustahil dapat dituturkan dari  seorang yang bernama Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau sering kali dikenali sebagai seorang yang berwatak tegas, teguh kepada pendirian, berani dan kadang kala dilihat terlalu keras terhadap orang-orang yang tidak disenanginya.

Saya masih ingat lagi perkara pertama yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad apabila memegang amanah sebagai PM adalah menyeragamkan waktu seluruh negara. Tindakan beliau ternyata memberikan banyak manafaat kepada semua rakyat Malaysia. Hampir semua golongan masyarakat menyetujuinya.

Namun demikian, seiringnya masa berlalu, populariti Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM mulai menurun. Itu adalah Sunnahtullah. Sehebat mana pun seorang pemimpin di dunia ini , akan akhirnya menjadi sudah tidak popular apabila sudah terlalu lama memegang tampok kuasa.

Kemuncak menurunnya kehebatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM adalah apabila beliau memecat Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai Timbalan Perdana Menteri(TPM). Umum mengetahui, sebelum itu pun telah dua orang TPM dipecat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagi saya Tun Dr Mahathit Mohamad mempunyai satu keistimewaan. Sekali sekala beliau akan membuat tindakan yang tidak dijangka oleh kebanyakan orang. Kenyataan beliau semalam adalah bukti bahawa kadang kala beliau seorang sosok yang sukar diramal akan tindakan-tindakannya. Pastinya permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad ini akan membuatkan banyak pihak yang teruja dan kajet.

Satu waktu dulu, semasa menghadiri satu ceramah  yang disampaikan oleh Dato’ Dr Daniel Zainal Abidin (DDDZA) seorang ilmuan Agama Islam dan tokoh motivasi, beliau menganjurkan kita mengamalkan tiga (3) kata-kata ajaib(Three Magic Words). Tiga perkataan tersebut adalah “ MAAF, POHON@TOLONG dan TERIMA KASIH(SORY, PLEASE & THANK YOU).

Memang benar, seandainya kita sering kali menggunakan ketiga-tiga perkataan hebat ini semasa berkomunikasi dengan kebanyakan orang, urusan kita akan menjadi mudah. Kita akan lebih dihormati, mudah menerima bantuan orang lain dan kita  akan disenangi oleh semua pihak. Kemampuan kita menggunakan perkataan-perkataan tersebut akan membuatkan kita dilihat sebagai seorang yang beradab, menghormati orang lain, menghargai orang lain dan tidak suka mencari masalah dan bermusuh dengan orang lain.  

Berbalik kepada permohonan “ Maaf” daripada Tun Dr Mahathir Mohamad itu, saya berpendapat ianya amat wajar. Semoga Tun Dr Mahathir Mohamad ikhlas dan jujur semasa melafazkannya. Amat sukar sekali seorang yang sebelum ini mempunyai pengaruh kuasa yang amat besar boleh memohon maaf kepada semua rakyatnya. Bukan semua orang boleh melakukannya. Hanya orang yang berjiwa besar sahaja boleh melakukannya.

Dalam ajaran agama Islam sendiri pun ada anjuran agar umatnya selalu beristighfar, menyesali perbuatan dosanya yang lalu. Dari Hadis riwayat Abu Daud 2/86 dan Tirmidzi 2/257 yang bermaksud “ Tidaklah ada seorang hamba berbuat suatu dosa, lantas berwudhu dengan sempurna, kemudian berdiri untuk melakukan shalat dua ra’kaat, kemudian membaca istigfhar kecuali pasti diampuni dosanya”. Hadis ini dishahihkan oleh Al- Albani dalam Shahih Abi Daud 1/283.

Selanjutnya, kalau kita amati berita-berita di akhbar-akhbar , dalam tempoh seminggu ini, ada lagi ucapan maaf diucapkan oleh individu penting negara ini. Dato’ Lee Chong Weng(DLCW), jaguh pemain persaorangan badminton Negara Malaysia bertaraf dunia turut melafaskan permohonan “Maaf” kepada seluroh rakyat Malaysia atas kegagalannya menyumbangkan pingat emas pada acara Sukan Olimpik Rio De Janeiro yang baru berakhir.

Sebutir pingat emas Sukan Olimpik memanglah menjadi impian seluruh rakyat Malaysia. Tidak banyak orang tahu bahawa DLCW  sebenarnya dilahirkan di Batu Lima(5), Parit Buntar ,Perak. Kemudian keluarga DLCW berpindah dari pekan kecil Batu Lima (5) ke Berapit Bukit Mertajam. Semoga DLCW masih boleh berusaha lagi untuk mendapatkan pingat emas Olimpik .

Pada pendapat saya,  permohonan “Maaf” dari dua (2) orang penting diatas cukup bermakna kepada kita semua menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke 59 yang bakal kita sambut pada minggu hadapan. Ianya umpama hadiah cenderahati untuk kita semua dalam suasana negara yang dilanda pelbagai masalah . Sikap yang telah ditunjukkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato’ Lee Chong Wei wajar diteladani oleh semua rakyat Malaysia. Kita semua amat berharap akan ada lagi pemimpin-pemimpin negara yang mampu tampil ke hadapan memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kekhilafan yang pernah mereka lakukan. Memohon “Maaf” itu bukanlah suatu kekalahan, malahan ianya akan membuatkan kita lebih dihormati dan dikenang dalam sejarah.

Sekian, Terima Kasih.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke 59, MERDEKA !

Hayar Hassan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger