Home » , » Tiada pilihan raya awal di Selangor, kata Azmin

Tiada pilihan raya awal di Selangor, kata Azmin

Written By Wadah Baru on Khamis, 22 September 2016 | 11:50 PG

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan bahawa tidak ada rancangan untuk pilihan raya awal di negeri itu.

Menurut kenyataan media dikeluarkan Pengarah Komunikasi Strategik di pejabat Datuk Menteri Besar, Yin Shao Loong, beliau bertegas mahu mandat rakyat perlu dihormati.

"Mandat diserahkan kepada Kerajaan Selangor oleh pengundi dalam pilihan raya 2013 yang perlu dihormati dan tidak boleh diketepikan untuk kepentingan politik.

"Adalah lebih baik semua ahli politik menyokong usaha Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk memudahkan pengundi melaksanakan hak-hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan membantah persempadanan semula yang dicadangkan oleh SPR," katanya seperti dilaporkan.

Beliau berkata, Mohamed Azmin turut meninjau langkah-langkah undang-undang lain yang boleh dilaksanakan untuk mendukung Perlembagaan dan prinsip demokrasi.

"Ini akan diumumkan dalam masa terdekat. Demokrasi boleh dan perlu dipertahankan oleh rakyat.
"Pengundi perlu menyuarakan pendapat mereka kepada SPR. Kerajaan Selangor akan membuat segala usaha untuk menyokong dan menegakkan hak-hak demokratik," katanya.

Cadangan persempadanan semula SPR melibatkan 128 kawasan Parlimen, dan boleh dibantah kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi dalam kelompok 100 orang, sebelum 15 Oktober.

Sebelum itu Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menyarankan agar Selangor mengadakan pilihanraya negeri lebih awal, bahkan lebih baik jika langkah tersebut disekalikan dengan Pulau Pinang.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger