Home » , » ‘Saya tak dendam Tun Mahathir’

‘Saya tak dendam Tun Mahathir’

Written By Wadah Baru on Jumaat, 14 Oktober 2016 | 8:48 PG


SHAH ALAM – “Memang hati saya terguris namun kita tidak boleh pendam kerana saya juga manusia biasa.” Itulah luahan ikhlas Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berhubung tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad memecat  suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet  ketika menggalas jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.

Walaupun mengakui berasa terguris hati dengan tindakan Tun Mahathir itu, Wan Azizah menyatakan beliau tidak lagi memendam perasaan kerana sedar manusia biasa tidak lari daripada melakukan kesilapan.

Wan Azizah berkata, anak-anaknya memang merasa sedih apabila Anwar terpaksa dimasukkan ke penjara ketika usia mereka masih muda namun tiada sebarang dendam disimpan ekoran insiden tersebut.

“Kalau orang buat jahat pada kita dan kita tidak pendam, insya-ALLAH itu akan membawa kebaikan pada satu masa nanti.

“Ia tidak seindah dan semudah yang saya katakan....namun saya mesti telan dan mengatasi perasaan ini dengan niat yang betul,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Sinar Harian, semalam.

Anwar ditangkap pada 20 September 1998, dan pada tahun 1999 beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun kerana didapati bersalah di atas kesalahan penyalahgunaan kuasa.

Pada tahun 2004, Mahkamah Persekutuan telah menggugurkan sabitan kesalahan liwat kerana pihak pendakwa raya gagal mengemukakan bukti yang kukuh tanpa sebarang keraguan bahawa perbuatan meliwat tersebut telah berlaku, oleh itu beliau telah dibebaskan.

Pada Julai 2008, Anwar telah ditahan sekali lagi atas dakwaan beliau telah meliwat pembantu peribadinya iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mana akhirnya pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan telah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan tersebut.

Menceritakan lebih lanjut mengenai saat-saat penahan Anwar pada tahun 1998 lalu, Wan Azizah berkata, beliau turut sama menaiki van yang membawa Anwar selepas beliau ditangkap di rumah kediamannya.

“Ketika di pertengahan jalan sekitar satu lokasi yang sunyi, Anwar telah dipindahkan ke dalam van lain dan kami tidak tahu dia hendak di bawa ke mana.

“Dalam van tersebut, beliau telah digari dan pada waktu saya melihat van tersebut, Anwar sempat berkata, ‘See you later Zah’,” katanya.

Mengulas  detik-detik Anwar dipecat, Wan Azizah berkata, apabila isu berkenaan timbul, Anwar memaklumkan kepadanya bahawa beliau mempunyai dua pilihan iaitu sama ada untuk meletak jawatan ataupun dipecat oleh kerajaan.

“Saya kata kepadanya, kalau you dah resign, orang akan keluarkan 50 dalil itu so dia kata ok. “Then of course, Mahathir lucutkan dia daripada jawatan tersebut,” katanya.

Ketika ditanya apakah pesanan Anwar kepada beliau sebelum dimasukkan ke dalam penjara, Wan Azizah menceritakan bahawa dirinya terpaksa belajar sendiri daripada rakan-rakan dan teman berhubung perkara-perkara politik.

Wan Azizah berkata, sewaktu Anwar mula-mula giat dalam bidang politik, beliau telah berpesan kepadanya supaya tidak masuk campur dalam sebarang hal berkaitan kerja.

“Semua program beliau saya tiada kena mengena kerana hanya dia yang terlibat.

“Disebabkan itu, selepas Anwar di penjara, bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor orang yang memberi kekuatan kepada saya di samping banyak pihak lain yang turut membantu,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger