Home » , » Orang Asal Pahang, Perak ditahan di sekatan balak

Orang Asal Pahang, Perak ditahan di sekatan balak

Written By Wadah Baru on Selasa, 29 November 2016 | 1:31 PTG

GUA MUSANG: Seramai 47 Orang Asal direman ekoran membina sekatan laluan lori balak di Pos Bihai dan Pos Tohoi, di mana ia bertentangan dengan Akta Perhutanan Negara 1984.

Hampir kesemua Orang Asal yang ditahan dalam operasi tersebut bukan penduduk tempatan, sebaliknya berasal dari Pahang dan Perak.

Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan (Operasi), Radhi Chu Abdullah berkata, mereka yang terlibat dibawa ke Mahkamah Seksyen Gua Musang.

"Mereka diambil tindakan di bawah kesalahan Seksyen 32 dan Seksyen 47 serta Seksyen 81 Akta Perhutanan Negara 1984," katanya selepas operasi meroboh sekatan tersebut hari ini.

Operasi merobohkan blockade dan pondok dilakukan Jabatan Perhutanan Negeri turut dibantu 62 anggota dan sembilan pegawai polis.

Jika disabit kesalahan mereka yang menduduki kawasan hutan simpan kekal tanpa permit boleh didenda sebanyak RM50,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Suprintendan Yap Sow Sing menganggap operasi tersebut sebagai berjaya menepati sasaran.

Menurutnya, objektif operasi berkenaan hanya bertujuan meruntuhkan blockade dan bangunan selain memberi keselamatan kepada kakitangan Jabatan Perhutanan.

"Hanya beberapa orang sahaja yang bawa senjata, kalau kita mengikut SOP apabila kita beruniform menjalankan tugas kita kena dilengkapkan senjata.

"Tetapi oleh kerana kita buat penilaian yang mereka (Orang Asal) tidak melawan dan tugas kita memberi jaminan keselamatan Jabatan Perhutanan," katanya.

Radhi juga berkata bagi memastikan Orang Asal tidak lagi membina sekatan pihaknya akan membuat rondaan kerana ia membabitkan kawasan hutan simpan kekal.

Kata beliau juga aktiviti pembalakan diteruskan semula atau tidak, itu diserahkan kepada kerajaan negeri.

Menurutnya juga Orang Asal tidak boleh mengadakan sekatan dalam hutan simpan kekal kerana kawasan itu berada di bawah pegawasan Jabatan Perhutanan selaras Akta Perhutanan Negara 1984

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger