Home » , » Hubungan PAS dengan PKR, PPBM bakal putus?

Hubungan PAS dengan PKR, PPBM bakal putus?

Written By Wadah Baru on Jumaat, 9 Disember 2016 | 8:55 PG

Oleh Zulkifli Sulong
KUALA LUMPUR: Pertemuan rasmi antara Pakatan Harapan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 13 Disember ini bakal menentukan sama ada PAS akan terus bekerjasama dengan PKR dan PPBM, menurut pemerhati politik.

Ia juga akan menyerlahkan pengaruh Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang sebelum ini memberikan PAS tarikh akhir untuk mengesahkan jika ia mahu bekerjasama dengan pembangkang lain.

Permerhati berpandangan, Dr Mahathir yang sebelum ini secara terbuka menyokong PPBM menyertai Pakatan Harapan, dijangka akan memutuskan hubungan PPBM dengan PAS.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini beberapa kali meluahkan keyakinan PAS akan turut serta dengan pembangkang lain memastikan pertandingan satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) bagi memberikan peluang lebih cerah kemenangan pembangkang.

Pemerhati juga beranggapan PKR akan mengambil langkah sama memutuskan hubungan dengan PAS, sekiranya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mempunyai pengaruh.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menolak sebarang kerjasama dengan DAP dan Amanah.

Pemerhati politik Mohd Sayuti Omar berkata, hubungan PAS-PPBM dan PAS-PKR akan terputus dengan rasminya selepas PPBM menyertai Pakatan Harapan (PH) susulan pertemuan mereka 13 Disember ini.

Malah, Sayuti yakin PAS akan bersama Umno selepas itu.

“Selepas itu, saya yakin 100% PAS akan bersama Umno dan memutuskan hubungan dengan PPBM dan PKR,” kata Sayuti

Menurutnya, PAS akan memutuskan hubungan dengan PPBM dan PKR kerana kedua-dua parti itu mengadakan kerjasama rasmi dengan DAP dan Amanah.

“Ekoran itu, saya jangka akan berlaku sedikit perpecahan dalam PAS dan sebahagian pemimpin PAS akan tidak aktif lagi, termasuk Iskandar Samad,” kata Sayuti, merujuk Naib Presiden dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Samad yang merupakan sebahagian Exco Selangor.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hassan berkata PAS akan hanya bekerjasama dengan PPBM dan PKR sekiranya mereka tidak bekerjasama dengan DAP dan Amanah.

Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Zahid Mat Arip pula menaruh harapan besar kepada pertemuan minggu depan itu, supaya keputusan dibuat demi kepentingan rakyat.

“Saya berharap semua pemimpin yang hadir dalam pertemuan bersejarah ini datang dengan kepala dingin dan berjiwa besar serta dengan dada terbuka,” kata Zahid yang juga cucu bekas timbalan perdana menteri, Tun Ghafar Baba.

Zahid yang mempunyai sejarah tersendiri dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap semua pihak dapat mengambil kira kehendak rakyat ketika membuat keputusan.

“Saya harap mereka dapat ambil kira kehendak rakyat yang dahagakan kerajaan yang bersih, kukuh dan stabil seperti zaman Tun Dr Mahathir dahulu,” kata Zahid yang pernah menerajui sebuah kumpulan pendesak menentang Anwar bernama “Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim” atau Tibai.

Zahid antara pemimpin PPBM yang tidak senang dengan sikap PAS sejak kebelakangan ini termasuk Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

“Saya meminta Hashim jelaskan, apakah PAS boleh memimpin dan dominan ketika bekerjasama dengan Umno dalam sebarang isu?”

Sebelum ini, Hashim berkata PAS perlu jadi pemimpin dalam sebarang kerjasama.
Zahid turut kesal dengan sikap Takiyudin yang tidak mahu PPBM bekerjasama dengan DAP dan Amanah.

“Saya nak minta Takiyudin suluh muka dia dulu. Siapa yang bekerjasama dengan DAP dan Amanah dalam kerajaan negeri Selangor sekarang?” soal beliau.

Beliau mengingatkan Takiyudin, ahli DAP antara pihak yang mengibarkan bendera PAS dalam beberapa pilihan raya yang lalu, dan oleh tidak perlulah keras sangat dengan mereka.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger