Home » , » Pertandingan 2 penjuru belum tentu untungkan PAS

Pertandingan 2 penjuru belum tentu untungkan PAS

Written By Wadah Baru on Sabtu, 10 Disember 2016 | 1:01 PTG

PETALING JAYA: PAS bersedia mempertimbangkan pertandingan 3 penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sekiranya ia memberi keuntungan kepada parti Islam itu, kata ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, ia boleh dijadikan strategi bagi memposisikan kemenangan parti itu memandangkan pertandingan 2 penjuru mungkin hanya menguntungkan parti pembangkang lain.

“Sebagai parti ke-2 terbesar dari sudut keahlian beragama Islam dan Melayu, PAS perlu memposisikan dirinya dalam politik tanah air. Cukuplah PAS sebelum ini hanya menghirup kuah sementara isinya diratah pembangkang lain dalam pilihan raya.

“PAS perlu terus dengan pendirian tersendiri. Biarkan Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan DAP, PKR, Amanah dan Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bercakaran sesama mereka berebut kerusi untuk bertanding,” katanya menerusi kenyataan
Sebelum ini, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyatakan penyertaan PPBM dalam PH dijangka diputuskan pada 13 Disember depan.

Salahuddin berkata, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat majlis presiden PH yang diadakan setiap bulan bagi membincangkan gerak kerja gabungan parti pembangkang itu.
Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, parti Islam itu perlu yakin untuk membawakan agenda dan manifesto sendiri pada pilihan raya.

“Lagipun PAS bertanding dengan fokus utama kemenangan di kerusi Melayu yang bersaing dengan Umno,” katanya.

Khairuddin menegaskan, rundingan bersama parti pembangkang lain dengan kelahiran parti baharu seperti Amanah dan PPBM akan mengurangkan kerusi PAS.

“Berisiko meletakkan PAS menjadi mangsa mainan pembangkang dengan jentera PAS dipergunakan sepenuhnya sedangkan kerusi dimiliki parti lain sebagaimana berlaku sekarang,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger