Home » » Bekas ketua Pemuda PBS bawa lebih 1,100 ahli BN sertai Warisan

Bekas ketua Pemuda PBS bawa lebih 1,100 ahli BN sertai Warisan

Written By Wadah Baru on Isnin, 20 November 2017 | 3:31 PTG

KENINGAU: Bekas ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jake Nointin hari ini membawa lebih 1,100 ahli Barisan Nasional menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Bercakap pada satu perhimpunan Warisan hari ini, Nointin berkata, PBS bukan sebuah parti yang berprestasi lagi.

“PBS adalah parti yang bagus dahulu, tetapi ia tidak lagi boleh diharapkan kerana prestasi buruknya.
“Parti itu wujud berpuluh-puluh tahun, tetapi kita belum nampak pembangunan sebenar yang dibawa kepada Sabah.

“Apa yang mereka pentingkan dalam PBS ialah kedudukan mereka.


“Mereka takut kehilangan jawatan lebih daripada kebajikan rakyat Sabah.”

Nointin menyerahkan 1,119 borang keahlian baharu kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal pada perhimpunan itu.

Semalam, PBS mengadakan kongresnya dengan pemangku Presiden, Datuk Seri Maximus Ongkili akan dilantik sebagai presiden pada perhimpunan agung tahunan parti itu tahun depan.

Nointin meninggalkan PBS pada September lalu kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan BN melantik bekas presiden dan Pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebagai pengerusi Jawatankuasa Teknikal untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin, yang didakwanya mempunyai konflik kepentingan.

Ketika meletak jawatan daripada PBS, Nointin berkata, parti itu sudah hilang arah tuju di bawah pimpinan Ongkili.

Beliau mendakwa kepimpinan itu seolah-olah tidak lagi memfokuskan prinsip teras dan matlamat asalnya.

PBS kemudiannya melantik timbalan Nointin, Christopher Mandut, sebagai pemangku ketua Pemuda PBS.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger