Home » » AMANAH Sabah sedia bertanding 2 kerusi Parlimen, 3 Dun

AMANAH Sabah sedia bertanding 2 kerusi Parlimen, 3 Dun

Written By Wadah Baru on Jumaat, 9 Februari 2018 | 10:01 PTG

AMANAH Negeri Sabah telah melakukan persediaan untuk bertanding di 2 kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan kerjasama parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) negeri.
Setiausaha AMANAH negeri, Abdillah Matlin berkata, sejak penubuhannya, AMANAH Sabah telah melakukan gerak kerja pilihan raya di kawasan-kawasan yang bakal ditandingi itu.

“Kerusi-kerusi yang akan ditandingi AMANAH Sabah adalah Parlimen Batu Sapi, Parlimen Kalabakan, DUN Merotai dan DUN Bugaya.

“Keempat-empat kerusi tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat rundingan kerusi Pakatan Harapan Sabah untuk AMANAH Sabah meletakkan calonnya.

“Selain itu, AMANAH sedang mempertimbangkan satu lagi kerusi Dun iaitu Dun Sekong untuk ditandingi,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun tambah beliau, perkara ini akan dibawa ke meja rundingan dengan PKR Sabah bagi memberi laluan kepada AMANAH negeri menghadapi BN.

Menurut beliau, berdasarkan keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu, calon Parlimen Batu Sapi Hamzah Abdullah telah dikenali, diterima baik dan disokong pengundi Parlimen Batu Sapi.

Hamzah ialah pengerusi AMANAH Sabah dan bertanding di Batu Sapi pada PRU lalu atas tiket Pas.

Menyentuh tindakan bekas timbalan pengerusi AMANAH negeri, Alias Sani menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), Abdillah berkata AMANAH Sabah menghormati pilihan beliau.

“Sejurus selepas Alias keluar daripada AMANAH Sabah dan menyertai Warisan, AMANAH Sabah telah melantik Arbaani Akum sebagai timbalan pengerusi,” jelas beliau.

Arbaani Akum ialah Ketua AMANAH Kalabakan dan mempunyai pengalaman luas dalam politik Sabah.

“Beliau pernah ditawarkan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan namun menolak kesemua tawaran tersebut kerana yakin PH khususnya AMANAH Sabah adalah parti yang benar-benar mengangkat suara rakyat Sabah.

“Dalam pada itu, beliau juga pernah memperjuangkan isu gajah yang diburu secara haram di hutan simpan membabitkan Yayasan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar,” ujar Abdillah.










0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger