Kerajaan Pulau Pinang sebulat suara berdiri
teguh di belakang kumpulan serpihan PAS, Gerakan Harapan Baru (GHB),
kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng malam tadi.
Lim berkata beliau sebagai ketua menteri, timbalan beliau Rashid Hasnon
dan P Ramasamy, dan semua anggota exco kerajaan negeri menyokong gerakan
itu.
Dibentuk oleh 18 pemimpin PAS progresif yang kalah dalam pemilihan parti
mereka Jun lalu, GHB bersedia untuk menjadi sebuah parti politik bagi
menggantikan PAS dalam pakatan pembangkang baru yang akan ditubuhkan
tidak lama lagi selepas GHB didaftarkan.
Ucapan Lim disambut tepukan gemuruh hadirin di majlis Aidilfitri bersama ketua menteri di Seberang Jaya malam tadi.
Menurutnya, ia adalah pendirian kerajaan Pulau Pinang dan tiada siapa yang menentang keputusan kerajaan negeri itu.
Tegasnya, jika ada yang menentang keputusan itu, mereka bukan dari kerajaan negeri.
"Tanpa sebarang keraguan, kerajaan Pulau Pinang menyokong penuh Gerakan Harapan Baru," katanya disambut tepukan gemuruh.
Turut hadir ialah ketua Parlimen DAP yang juga MP Gelang Patah, Lim Kit
Siang, dan pemimpin utama GHB termasuk Mohamad Sabu, Datuk Mujahid Yusof
Rawa (MP Parit Buntar) dan Khalid Samad (MP Shah Alam).
Di majlis itu, pemimpin DAP, PKR dan pemimpin GHB memotong kek besar sebagai menandakan "perpaduan" dalam gerakan baru itu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan