Oleh Hayar Hassan
Seluroh negara telah mengetahui apa yang
telah terjadi kepada Saudara Lim Guang Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang
merangkap Setiausaha Agong DAP. Beliau telah dituduh di mahkamah atas
tuduhan rasuah dan salahguna kuasa. Semua orang memberikan komen
terutamanya politikus-politikus parti pemerintah atau pun daripada
parti-parti pembangkang. Kelihatannya strategi-srategi BN untuk
memporakperandakan pakatan pembangkang menjelang PRU ke 14 sedang
diteruskan.
Dalam
sistem demokrasi, masing-masing punya hak untuk bersuara untuk
menyatakan pendapat. Cuma dewasa ini , ada sedikit kelainan terhadap
amalan demokrasi di Malaysia. Banyak akta dan perundangan yang boleh
menyebabkan anda boleh didakwa atas alasan tulisan dan percakapan anda
di khalayak ramai telah menyinggung hati dan perasaan individu-individu
tertentu.
Kes terbaru, dikatakan seorang warga emas berumur 76 tahun
daripada Johor telah direman selama tiga hari semata-mata kerana telah
menulis sesuatu yang dikatakan telah menjatuhkan maruah PM di dalam
kumpulan " What's group" nya. Rupanya ber"title"kan warga emas pun tidak
banyak keistimewaan. Seperti orang lain juga , warga emas terpaksa
membayar GST dan terdedah kepada direman oleh pihak berkuasa apabila
keadaan memerlukan. Warga emas cuma mendapat diskaun bayaran tiket KTM
apabila menggunakan ETS.
Rupanya
di zaman serba canggih ini, jenayah-jenayah juga bertukar wajah.
Dahulu, masyarakat hanya tahu bahawa anda telah melakukan jenayah
sekiranya anda mencuri, merompak, membunuh, mencederakan orang lain dan
lain-lain lagi. Sekarang ini hanya dengan menulis di alam maya anda
boleh didakwa seandainya tulisan anda itu bersifat fitnah, dusta atau
pun menghina sesaorang. Di dalam Islam, kita juga diajarkan begitu.
Namun demikian, kita dibolehkan untuk membuka aib sesaorang seandainya
perbuatan itu boleh menghindarkan orang lain terinanya.
Contohnya
kita membuka aib seorang pemuda yang terbukti sering menipu dan
memperdayakan gadis-gadis dan keluarga mereka. Apabila kita
menceritakan kebejatan pemuda berkenaan kepada bakal keluarga gadis lain
yang bakal akan dipinangnya. Ini adalah dibenarkan malah dituntut agar
keluarga dan gadis tersebut selamat daripada tertipu oleh pemuda bejat
itu. Demikian lah indah dan lengkapnya ajaran agama Islam. Cuma kita
kena pandai menjejaki ilmu-ilmu yang bermanafaat dari guru-guru agama
yang amanah dalam memberikan kuliah, bukan sebarangan orang yang
bergelar Al Fadil Ustaz !.
Kembali
kepada tribulasi yang sedang dialami oleh YAB Ketua Menteri Pulau
Pinang, Saudara Lim Guan Eng, ini bukanlah pertama kali beliau dituduh
di mahkamah Malaysia. Pada tahun 1994, LGE yang pada waktu itu sebagai
Ahli Parlimen Kota Melaka, telah disabitkan penjara selama 18 bulan
berkaitan kes pencabulan gadis remaja Melayu bawah umur. Sebelum itu,
pada tahun 1987, Saudara LGE telah ditahan selama 18 bulan juga dibawah
ISA dalam " Operasi Lalang " bersama-sama dengan beberapa tokoh-tokoh
parti pembangkang.
Oleh
yang demikian kes mahkamah , penjara dan tahanan tanpa bicara bukan lah
perkara baru bagi tokoh pembangkang ini yang bernama LGE ! Tidak
menghairankan apabila beliau mampu memberi komen, " Saya rela mati
berdiri , daripada melutut tunduk kepada mereka !". Itu lah semangat dan
prinsip seorang pejuang , rela menghadapi risiko dan sebarang
tribulasi. Rupanya DSAI sudah mempunyai teman yang kental dan berhati
waja dalam perjuangan ini. Semoga kedua-dua keluarga besar tokoh-tokoh
ini bersabar dan tenang menghadapi mehnah ini. Kata pepatah Melayu lama ,
" Usah berumah di tepi pantai, kalau takut dilambung ombak". Ujian dan
tribulasi yang terlalu berat seperti yang telah dan sedang dialami oleh
DSAI dan LGE pastinya tidak akan dialami oleh politikus-politus parti
pemerintah. Apa yang termampu dibuat oleh mereka adalah berundur
daripada aktif berpolitik atau pun diberikan jawatan-jawatan ahli
lembaga pengarah dalam syarikat-syarikat Kerajaan.
Menyorot
kembali kepada kisah sedih terkini Saudara YAB Lim Guan Eng, Hampir
setiap orang mahu memberikan pendapat, cumanya banyak yang tidak berani
dan amat berhati-hati kerana takut dikatakan menghina mahkamah atau pun
bakal diambil tindakan oleh parti DAP. Kita tahu bahawa DAP mempunyai
pasukan peguamnya yang hebat dan disegani oleh semua orang. Telah banyak
kali LGE menerima wang ganti rugi daripada individu atau
syarikat-syarikat akhbar yang ternyata telah memfitnahnya.
Keberadaan
begitu ramai peguam-peguam hebat seperti mendiang Karpal Singh dalam
DAP adalah suatu kelebihan kepada parti itu. Mendiang Karpal Singh,
Pengerusi DAP Pusat bukan sahaja hebat berhujah di mahkamah, tetapi
mempunyai keberanian yang luar biasa. Hanya beliau seorang yang terlalu
berani bersuara atas perkara-perkara yang terlalu sensitif ! Orang lain
hanya diam membisu sambil mengerut dahi . Oleh yang demikian, amat wajar
sekali Kerajaan PR Pulau Pinang memberikan penghormatan kepada mendiang
dengan menamakan sebatang jalanraya di Pulau Pinang sebagai Jalan
Karpal Singh.
Almarhum
TGNA sendiri amat hormat kepada mendiang Karpal Singh. Kita ingat lagi
bagaimana Almarhum TGNA bersusah payah telah datang ke rumah mendiang
Karpal Singh di Pulau Pinang daripada Kota Baru Kelantan, semata-mata
untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran mendiang Karpal Singh dengan
membawa sebiji kek harijadi. Ini adalah suatu sentuhan TGNA yang di luar
jangkaan orang ramai memandangkan mendiang Karpal Singh tidak pernah
setuju dengan cadangan Hudud PAS. Kedua-dua tokoh lagenda ini memang
dapat beramal dan mempraktikkan slogan" We agreed to disagree". Walau
pun berbeza pendapat, kedua-dua tokoh ini masih dapat berkawan dan
hormat menghormati antara satu sama lain.
Rupanya
simpati rakyat terhadap Saudara LGE amat besar sekali dan di luar
jangkaan musuh-musuh politiknya. Dalam masa hanya lebih kurang 21 jam
setelah keluar berita beliau ditahan oleh SPRM, Tabung Bantuan LGE yang
telah diusahakan oleh DAP telah berjaya mengutip sumbangan sebanyak 1
juta ! Belum pernah terjadi dalam sejarah Malaysia, seorang terduduh di
mahkamah menerima sumbangan derma sebagitu besar dan dalam waktu yang
singkat ! Luar biasa sekali. Pada pagi hari Ahad berikutnya, tanggal 3
Julai 2016, sekitar 3 ribu orang simpatisan LGE turut bersama dalam
acara " Morning Walk With LGE " di Esplanade Georgetown, Pulau Pinang.
Seusai
acara " Morning Walk With LGE" itu, semua penyokong PH dan saya
sendiri telah berkumpul di Dewan Sri Pinang untuk mendengar sendiri
taklimat khas atas isu berkenaan daripada pemimpin-pemimpin PH. Semua
tempat duduk dewan berkenaan telah dipenuhi oleh orang ramai walau pun
ianya diadakan pada bulan Ramadhan. Melihatkan kepada tepukan gemuruh
yang telah diberikan oleh orang ramai kepada setiap ucapan yang
diberikan oleh pemimpin-pemimpin PH, saya berkeyakinan bahawa PH akan
terus menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang selepas PRU ke 14 nanti.
Aura reformasi yang tercetus pada tahun 1998 ekoran daripada penangkapan
DSAI , seolah-olah hidup kembali ! Rakyat sepertinya tidak gentar
untuk menyatakan pendirian mereka walau pun hadir bersama-sama di dewan
berkenaan adalah SB-SB!
Orang
Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa boleh duduk bersama dan
bertepuk tangan memberikan sokongan kepada LGE. Pemimpin-pemimpin PKR,
DAP dan PAN kelihatannya padu sekali memberikan sokongan solidariti
kepada LGE. Semua pimpinan PR sebulat suara menyatakan bahawa
pertuduhan-pertuduhan yang dihadapkan kepada LGE adalah merupakan
pertuduhan-pertuduhan yang berbau politik. Hikmahnya kepada PH adalah
pemimpin-pemimpin pelbagai parti itu cepat membuat ketetapan-ketetapan
bersama dalam sebarang isu. Pendirian mereka adalah sama dan sekata.
Belum tentu suasana maufakat sebegini boleh wujud seandainya PAS ada
bersama dalam PH!
Walau
apa pun, satu waktu dulu, di dalam PAS itu sendiri masih ada
ahli-ahlinya yang mengkagumi Saudara LGE. Contohnya, pada bulan Ogos
tahun 2010, Ustaz Zakaria Ahmad, Mudir Maahad Tarbiah Changkat Jering
dalam khutbah Jumaatnya di sebuah Masjid di Pulau Pinang telah berdoa
agar Saudara LGE diberikan Allah SWT hidayah dan memeluk Agama Islam.
Ustaz Zakaria Ahmad adalah merupakan adinda kepada SS Mufti Kerajaan
Negeri Pulau Pinang ketika itu, Dato Hassan Ahmad. Ada pihak tertentu
telah membuat laporan polis terhadap Ustaz Zakaria Ahmad. Akhbar-akhbar
aliran perdana pula sibuk mempermainkan isu khutbah Jumaat kontroversi
itu, sehinggakan Ustaz Zakaria Ahmad telah dipanggil oleh MAIPP.
Mujurlah Ustaz Zakaria Ahmad tidak didakwa.
Ada
pendapat menyatakan bahawa berdoa untuk orang yang masih bukan Islam
agar diberikan hidayah oleh Allah SWT supaya memeluk Islam adalah
dibolehkan. Yang tidak dibenarkan adalah mendoakan kesejahteraan orang
bukan Islam. Mudah-mudahan doa Ustaz Zakaria Ahmad itu akhirnya
dimakbulkan jua oleh Allah SWT. Amiin.
Di
peringkat antarabangsa pula, dua pertubuhan telah membantah akan
pertuduhan-pertuduhan ini. Progressive Alliance yang merupakan himpunan
130 parti-parti politik daripada 180 negara dan Network Of Social
Democracy In Asia ( Socdem Asia ) turut prihatin terhadap musibah yang
telah ditimpakan kepada Saudara LGE. Dua pertubuhan ini kesal di atas
tindakan pertuduhan-pertuduhan tersebut.
Kelihatannya
Strategi-Strategi Untuk Memporakperandakan Pembangkang sedang
dilaksanakan oleh BN menjelang PRU ke 14. DSAI sendiri meramalkan bahawa
mungkin ada lagi tokoh-tokoh pembangkang yang akan dibawa ke mahkamah
selepas ini. Sebelum ini pun Saudara Mohamad Sabu, YB Saudara Rafizi
Ramli dan YB Saudara Tian Chua telah dituduh dimahkamah. Siapakah
tokoh-tokoh lain yang akan menerima nasib yang sama seperti mereka itu ?
Sama-sama lah kita tunggu dan lihat. Apa pun daripada pengalaman kes
DSAI, kes mahkamah Saudara LGE ini pastinya akan mengambil masa yang
panjang sehingga ianya selesai.
Parti
DAP pastinya akan disibukan dengan kes ini . Masa, tenaga dan wang
ringgit mereka akan terpaksa ditumpukan kepada kes mahkamah ini.
Keputusan Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi adalah bergantung kepada
persaksian saksi-saksi dan bukti-bukti yang akan dibentangkan oleh pihak
pendakwa. Pihak peguam bela pula akan mencuba sedaya upaya untuk
menimbulkan keraguan terhadap bukti-bukti dan persaksian saksi-saksi
pihak pendakwa.
Seperti
kes liwat dan salah guna kuasa DSAI yang lalu, Mahkamah dan Sistem
Kehakiman Malaysia akan sekali lagi diperhatikan dengan penuh minat oleh
masyarakat antarabangsa. Kehebatan Peguam Negara juga akan diperhatikan
oleh seluruh rakyat Malaysia. Sebagai rakyat biasa, kita mengharapkan
LGE akan mendapat pengadilan yang saksama kerana itu adalah hak seorang
rakyat sebuah negara demokrasi. Sesaorang itu hanya didapati benar-benar
bersalah setelah dibuktikan tanpa ragu-ragu oleh mahkamah.
Terima kasih
Hayar Hassan
0 ulasan:
Catat Ulasan