Kes Fahmi Reza gugat kebebasan suara — Aliran

Isnin, 26 Februari 2018

Baru-baru ini, Mahkamah Sesyen Ipoh telah menjatuhkan hukuman selama sebulan penjara dan denda sebanyak RM30,000 terhadap kartunis dan penulis politik, Fahmi Reza selepas beliau didapati bersalah dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Aliran berasa amat terkejut dengan hukuman keras yang dijatuhkan hanya kerana mempersendakan pemimpin dan institusi yang menyokong mereka.

Ini adalah di antara undang-undang menindas (termasuk Akta Hasutan) yang digunakan oleh kerajaan Malaysia untuk "mendiamkan" suara-suara yang pengkritik dan menakut-nakutkan mereka.

Tujuan wujudnya undang-undang ‘draconian’ seperti ini adalah untuk membenarkan kerajaan mentafsirkan peruntukkan undang-undang mengikut agenda mereka iaitu dengan mengekalkan kuasa mereka dan mendiamkan sesiapa yang mengkritik.

Fahmi telah didakwa dan didapati bersalah dibawah Seksyen 233(1)(a) yang menyatakan secara meluas:

Seseorang yang menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar telah membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain

Ramai yang tidak faham bagaimana karikatur tentang penyalahgunaan kuasa di media sosial dilihat sebagai satu ancaman dan menyingung perasaan.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, tujuan seksyen ini adalah untuk mengatasi isu buli diatas talian yang berleluasa di media sosial. Bukan untuk melindungi kerajaan daripada dikritik.

Ini jelas sekali memperlihatkan bagaimana kerajaan mengunakan tukul untuk menghentam pengkritik di media sehingga mereka akur.

Kita juga tertanya-tanya bagaimana sebuah kerajaan yang mempunyai semua jentera kuasa melihat dirinya sebagai mangsa buli di atas talian dan perlukan perlindungan undang-undang.

Selain itu, terdapat juga persoalan di mana terdapatnya pelanggaran hak Fahmi untuk kebebasan bersuara seperti yang termaktub di dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan dan ditegakkan oleh perjanjian antarabangsa hak asasi manusia.

Seperti yang kita sedia maklum, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara kita dan sebarang pelanggaran terhadap kebebasan bersuara dan berekspresi adalah tidak berpelembagaan kecuali atas sebab luar biasa dan penting.

Terkini, Fahmi mencabar adakah Akta Komunikasi dan Multimedia mengikut perlembagaan, dan kami berharap beliau berjaya mendesak agar undang-undang yang menindas ini ditarik balik.

Fahmi juga telah menubuhkan satu tabung bagi mengumpul dana untuk membayar denda RM30,000 melalui penjualan barangan.

Kepada yang ingin membantu Fahmi mengumpul dana boleh ke laman facebook beliau.

Rakyat Malaysia mesti bangun dan pertahankan kebebasan bersuara dan ekpresi seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Agihan kerusi Pakatan Harapan Johor seimbang

Sabtu, 27 Januari 2018

Oleh Suhaizan Kaiat 

 Terdapat usaha mengelirukan rakyat dengan menyatakan AMANAH Johor telah dipinggirkan dalam pengagihan kerusi di Negeri Johor setelah dimuktamadkan pada 18 Januari 2018 dalam Retreat PH Johor.

Kedudukan kerusi di Johor adalah 18 PPBM, 14 DAP, 12 AMANAH, 12 PKR.

PPBM sememangnya lebih kerusi daripada parti-parti lain di Johor kerana itulah persetujuan ke empat-empat parti yang telah meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Johor.
Tidak mungkin berlakunya PPBM lebih rendah kerusinya daripada parti-parti yang lain.

Kerusi Dun yang ditinggalkan oleh Paskebanyakannya diagihkan pada AMANAH dan PPBM.

PPBM yang mempunyai kekuatan menembusi kawasan-kawasan luar bandar seperti Felda dan kampung tradisi diberi tanggungjawab mendepani kawasan sukar seperti Dun Kahang dan Dun Panti.

Untuk berlaku adil PPBM juga diberi kawasan campuran tetapi pada jumlah yang sangat minima seperti Dun Puteri Wangsa dan Dun Bukit Permai.

Terdapat lebih 30% kerusi Dun sukar menang di Negeri Johor. Dengan kekuatan jentera, PPBM yakin boleh menang sebahagian daripada kawasan sukar ini. Maka hasilnya PPBM mendapat kerusi yang lebih berbanding parti-parti lain.

AMANAH pula diberi tanggungjawab memberi fokus di kerusi campuran dan tidak memfokus kerusi sukar menang. Berdasarkan kekuatan yang ada pada AMANAH, kerusi campuran adalah lebih mudah dimenangi berbanding kerusi luarbandar.

Walaubagaimana pun kerusi campuran ini telah dikongsi bersama dengan rakan-rakan PKR dan DAP. Maka bilangannya sangat terhad.

AMANAH diberi lebih kerusi Dun mudah menang seperti Sungai Abong, Parit Yaani dan Nusajaya. Kerusi yang diperolehi AMANAH memang jumlahnya sedikit iaitu 12 kerusi tetapi lebih 80% mudah menang.

Jumlah ini sudah cukup membuatkan petugas AMANAH seluruh Negeri Johor tidak cukup tidur malam sebelum PRU14. AMANAH fokus kepada kualiti, PPBM fokus kepada kuantiti. Itulah konsep yang kita gunakan untuk menuju Nusajaya.

PKR dan DAP juga telah menerima jumlah kerusi yang sama seperti dalam PRU13. Walaupun mereka sebenarnya memiliki kekuatan bertanding di kawasan campuran lain tetapi atas rasa hormat dalam Pakatan Harapan mereka sedia kekal dengan bilangan kerusi seperti PRU13 yang lalu.

Mereka akan sama-sama berusaha untuk mempastikan kerusi masing-masing menang dalam PRU14. Saya sangat berbangga dengan muafakat semua pimpinan dalam Pakatan Harapan Johor.

Saya telah diberi tanggunjawab oleh AMANAH untuk aktif di Dun Puteri Wangsa lebih setahun yang lalu. Telah banyak antiviti yang dilaksanakan. Telah ramai pengundi disantuni. Organisasi telah dibina. Dana pula telah dikumpul.

Tetapi atas rasa ingin menang bersama menuju Nusajaya dan rasa hormat saya kepada rakan-rakan dalam Pakatan Harapan saya tiada masalah Dun Puteri Wangsa ditandingi PPBM.

Masih banyak lagi Dun boleh menang untuk saya tandingi dalam PRU14. Malam semalam saya sempat berceramah bersama rakan-rakan PH di Felda Ulu Tebrau, Dun Puteri Wangsa walaupun AMANAH tidak bertanding disitu. Yang lebih penting adalah Pakatan Harapan Johor dapat diperkukuh untuk diterima rakyat bagi mengalahkan BN dalam PRU14. Jom Sokong Pakatan Harapan!

*Penulis Suhaizan Kaiat  adalah Setiausaha Organisasi Parti Amanah Negara.

Usahlah Bagi Haters Membiak

Selasa, 2 Januari 2018


Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) Tak perlu pun nak kecam Dato Mahfuz Omar. Takde faedah. Orang nampak buruk pada PAS lagi ada lah. Dia nak keluar, dia punya pasal lah. Anda kata dah tahu dia nak keluar. Anda kata gembira dia keluar. Patut ucaplah alhamdulillah. Bukannya provok macam taknak bagi dia keluar pulak.

2) Ini tidak. Harummanis busuk lah. Pondan siamlah. Gaji haram lah. Ayam bertelur lah. Langgar baiah lah. Ini semua zikir yang 'dirancang' secara sedar atupun tidak. Jika dikehendaki, Dato Mahfuz boleh saja keluar bersama Dato Amiruddin. Kena maki serentak. Selesai. Tapi tidak. Bagaikan dirancang supaya zikir makian ini diulang-ulang.

3) Dato Amiruddin keluar, kena kecam. Agak kelihatan reda daripada kecaman, Dato Mahfuz pula keluar. Zikir kecam panas kembali. Dia belum umum nak join parti mana lagi. Dia akan umum setelah kecaman hari ini agak reda. Bila umum, kena kecam lagi. Daripada siapa? Daripada Pemimpin dan ahli serta penyokong PAS.

4) Lepas reda, akan ada lagi sorang wakil rakyat PAS akan keluar PAS. Kenduri zikir pulak. Sebelum sampai pilihanraya, umat akan baca berita pemimpin PAS membuat pelbagai 'hukuman' dan 'label' kepada orang yang tidak sehaluan dengan mereka.

5) Mohon simpan dulu kepercayaan anda yang mengatakan PAS betul. Itu hak anda untuk meyakini PAS itu betul. Ia takkan tergugat lagi. Tapi, sekarang cuba lihat secara lebih luas kesan jika anda dan pemimpin anda terus bersikap demikian. Ia memburukkan imej parti dan mengiyakan kempen-kempen lawan anda yang mengatakan sikap anda memang begitu. Takfiri kata mereka.

6) Walaupun anda yakin PAS benar dan betul, tindakan anda yang suka mengeluarkan label-label pelik hanya akan membiakkan haters dan pembenci PAS. Pengundi PAS bukan hanya ahli PAS. Jika anda mahu menang besar, anda perlu kreatif dan inovatif untuk membuatkan haters mengundi anda.

7) Dato Mahfuz Omar ada strategi dan berusaha untuk bagi orang PAS undi PH. Walaupun dipandang sinis, tapi dia yakin PH sukar menang tanpa undi orang PAS. Sebab itu dia berusaha. Tetapi PAS tidak mahu berusaha untuk tackle penyokong PH mengundi PAS. Hanya mahu mengharapkan undi orang Umno. Malah orang Umno pun kalau tengok pemimpin PAS asyik 'menghukum' secara keras, takut juga depa nak undi.

8 )Saya tidak menolak prinsip "dengan bantuan Allah, golongan sedikit boleh mengalahkan golongan yang banyak". Namun berimanlah kepada ayat-ayat Allah dengan lebih realistik. Jika dengan melabel orang pelik-pelik dan dengan cara itu anda menang besar pilihanraya, anda mendatangkan kebimbangan besar kepada masa depan umat.
Sekian

PAS, Berhentilah Perdagangkan Nama Allah Dan Rasul

Sabtu, 2 Disember 2017

Oleh Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi

1. Bila agaknya pemimpin parti Pas nak berhenti perdagangkan nama Allah dan rasul? Berjanji dgn parti Pas dikata bai'ah dgn Allah dan rasul. Keluar parti Pas dianggap setaraf dgn keluar agama Allah dan rasul.

2. Sudahlah. Allah adalah Tuhan semua makhluk dan rasul adalah rahmat utk alam semesta. Allah dan rasul bukan hanya utk parti Pas saja. Tanpa parti Pas pun, Allah tetap Tuhan dan Muhammad tetap rasul. Tak terjejas apa-apa pun.


3. Raihlah sokongan rakyat dlm politik dgn kekuatan parti sendiri. Usahlah perdagang nama Allah dan rasul. Wujudnya politik dlm ajaran Islam bukan membawa maksud nama Allah dan rasul boleh diperdagang utk kepentingan parti politik.

4. Parti Pas hanya salah satu aktor politik, mcm parti-parti politik lain juga. Parti Pas bukan mengisi keseluruhan ruang politik Islam yg luas itu. Jika parti Pas tidak wujud pun, parti politik lain boleh mengisi ruang politik yg ditinggalkan oleh parti Pas.

5. Bahkan kini, Islam yg indah telah tercemar apabila parti Pas terlibat dlm mengisi ruang politik Islam kerana politik Islam bertujuan melakukan islah, tetapi parti Pas telah menyebabkan ruang politik itu tercemar apabila nama Allah dan rasul diperdagang dlm aktiviti politik parti itu.

6. Aku harap parti Pas berhentilah menjual nama Allah dan rasul dalam aktiviti politik mereka apatah lagi nama Allah dan rasul dijual apabila parti Pas gagal dalam aksi politiknya atau kalah pilihanraya.

7. Contohnya, apabila ada wakil rakyat parti Pas keluar parti itu, dia dikata langgar bai'ah dgn Allah dan rasul. Sejak bila pula teks perjanjian dgn parti Pas Allah wahyukan atau nabi sabdakan?

"Ibu Segala Posting "!!!!

Ahad, 5 November 2017

Oleh Hanipa Maidin

1. Setelah namakan "Bajet Kleptokrat" beliau sebagai "Ibu Segala Bajet", kini dilaporkan media yang MO1 namakan pula PRU 14 yang tak tahu bila akan kunjung tiba sebagai " Ibu Segala Pilihanraya".

2. Mungkin yang dia lupa nak sebut skandal 1MDB yang berskala amat besar itu adalah, setakat ini , " Ibu Segala Skandal Kewangan" dalam negara ini. Dan yang best lagi, beliau terpalit sama dalam "Ibu Segala Skandal Kewangan" tersebut.

3. Namun "Ibu Segala Skandal Kewangan" itu, sepertimana boleh dilihat dengan jelas dalam saman DoJ, mengundang pula " Ibu Segala Komen" dalam dunia-saman DoJ adalah campurtangan asing!!!!

4. Saya harap ibu kepada anak-anak saya tak marah anak bongsu saya jika beliau tersasul sebut " Bajet Kleptokrat" sebagai " Bajet Keparat".

Don't be sad honey, itu hanyalah "Ibu segala tersasul".

Seni Mengurus Perbezaan Pandangan : Permata Yang Hilang Dari Pas

Khamis, 2 November 2017

Oleh Ridzwan Abu Bakar

1. Berbeza pandangan adalah satu lumrah dalam kehidupan manusia, yang mengharmonikan 'perbezaan' itu adalah seni dalam menguruskan perbezaan !.

2. Sebagaimana dalam masyarakat lain, Pas juga tidak pernah sunyi dari perbezaan pandangan dan cara fikir. Namun, satu ketika dahulu Pas berjaya mengadunkan pelbagai latar pemikiran dan menguruskannya dengan baik dan mengambil kira masalahah yang lebih besar.

3. Dalam Pas, ada pelbagai aliran (hatta aliran beragama); ada Salafi, ada Ahbash (ada pimpinan Muslimat Pas yang sambung belajar di Universiti Ahbash di Lubnan), ada syiah, ada aliran pondok yang keras dan ada yang tikam Ekoq. Namun segala perbezaan itu diharmonikan dengan matlamat yang sama.

4. Ustaz Hasan Al Banna (Mursyidul Am Ikhwan) mengariskan kaedah / seni mengurus perbezaan "Kita bekerjasama dalam perkara yang disepakati, dan kita berlapang dada dalam perkara yang kita berbeza". Pas - zaman dulu - mengunakan seni ini dalam menguruskan perbezaan..

5. Tapi, pra pemilihan 2015, segala seni itu hilang apabila 'label' dan hukum dijadikan mainan utama; 'asal berbeza dengan Presiden maka anda MUNAFIK HARAKI, LIBERAL, SKULAR, MUSUH ISLAM dan macam-macam lagi !

Banjir PAS menang? Gunalah akal

Jumaat, 22 September 2017

Dakwaan oleh ketua Pemuda PAS Pulau Pinang yang PAS akan menang besar di Pulau Pinang kerana isu banjir di negeri itu adalah andaian yang tidak logik dan bersifat kegilaan.

Jika kita melihat daripada logik Afnan Hamimi, adakah ini bermakna dengan banjir teruk tahunan di Kelantan, PAS akan kalah teruk di Kelantan?

Harus diingati bencana yang menimpa Kelantan adalah kerana isu pembalakan haram yang tidak dipedulikan oleh kerajaan negeri.

Umum diketahui bahawa banjir kilat yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini adalah disebabkan oleh taufan Doksuri yang menyebabkan berlaku taburan hujan luar biasa. Taufan ini turut melanda negara Vietnam. PAS harus dapat maklumat sahih dulu sebelum memberikan komen kurang cerdik.

Adalah tidak matang bagi sebuah parti politik yang menggunakan logik bencana alam sebagai kayu pengukur sokongan politik.

Sebagai parti yang kononnya memperjuangkan Islam, Pemuda PAS Pulau Pinang sepatutnya menggunakan akal dan fakta untuk menyampaikan maklumat kepada umum dan bukan fitnah atau komen kurang cerdik. Tengok rumah sendiri dulu sebelum bercakap pasal rumah orang lain.

* Muhammad Shakir Ameer Mohideen adalah setiausaha eksekutif Pemuda Sosialis DAP 

Ketua menteri Melayu pertama Pulau Pinang

Rabu, 20 September 2017

Oleh Hasmi Hashim

SUDAH sampai masanya Pulau Pinang perlu mempunyai seorang ketua menteri Melayu. Kalau bukan daripada Umno-BN, dia boleh datang daripada mana-mana parti dalam Pakatan Harapan.
Mungkin ramai yang merasakan BN takkan mampu melaksanakan idea itu. Lebih-lebih lagi, BN sendiri yang memulakan tradisi sedemikian. Sejak merdeka lagi.

Kalau Pulau Pinang kekal di bawah BN, maka sampai kiamat pun Pulau Pinang takkan mengubah formula yang ditinggalkan Umno-BN. Entah dari mana perjanjian setan itu datang, tak siapa tahu dan kekal misteri.

Sekiranya dari satu PRU ke PRU yang baru jawatan ketua menteri Pulau Pinang hanyalah wajib untuk etnik Cina sama ada dari DAP dan Gerakan, maka apa pun yang terjadi, orang Melayu Pulau Pinang hanyalah percaturan dua parti itu saja.

Maka benarlah tuduhan bahawa mujur saja jawatan Yang di-Pertua Negeri satu jawatan lantikan. Kalau tidak, jawatan itu pun tak pasti selamat kepada orang Melayu. Macam di Singapura.
Baru-baru ini riuh di media sosial apabila presiden Singapura terkini kembali kepada tangan seorang berketurunan Melayu. Lebih digembar-gemburkan dia seorang perempuan. Bertudung pula. Tinggal pun hanya di rumah pangsa.

Terakhir Singapura memiliki presiden Melayu ialah Yusof Ishak dari 1965 sampai 1970. Yusuf seorang wartawan – dengan lantikan itu mudah difahami tak lain adalah untuk membeli jiwa wartawan dan surat khabar Melayu supaya meredakan perjuangan atas nama bangsa. Terimalah seadanya.

Singapura pun pada tahun itu baru berpisah dari Malaysia. Dengan lantikan Yusuf, warga Melayu Singapura paling tidak masih dibenarkan untuk berangan-angan bahawa masa depan politik tetap milik mereka. Nama jawatan itu pun belum dipanggil sebagai “presiden”. Dipanggil sebagai “Yang di-Pertuan Negara”: satu nama yang mirip kepada “Yang di-Pertuan Agung” bagi Malaysia.

Hari ini jumlah Melayu Singapura sekitar 500,000, lebih kecil daripada populasi penduduk Petaling Jaya sekalipun. Jumlah keseluruhan rakyat Singapura sekitar 6 juta dan hampir 1.5 juta daripadanya pendatang luar. Dalam kata lain, Melayu yang dulunya menguasai dan menjadi penduduk terbesar Singapura lebih rendah waima berbanding para pendatang.

Kuasa presiden sebenarnya pun tidaklah sebesar mana. Jawatan itu tak ubah sebagai “lambang negara” dan segala urusan harian masih tetap ditadbir oleh perdana menteri. Demikian sorakan “kemenangan” segelintir kaum liberal termasuk Malaysia bahawa konon Melayu Singapura mencipta pencapaian hebat hanyalah peluru kapur. Kampung tetap tergadai jua.

Di Pulau Pinang, kesnya sama tapi tak serupa. Sama ada BN atau Pakatan Harapan, keduanya masih gagal melihat peri penting seorang ketua menteri Melayu diangkat ke tampuk kuasa. Sudah tentu Melayu yang perlu diangkat itu seorang Melayu yang layak dan tanpa menafikan unsur merit. Kalau tak lebih hebat daripada Lim Guan Eng, sama hebat pun cukuplah.

Mustahil bagi sebuah negeri dengan penduduk lebih 1.7 juta tak ada seorang pun tokoh pemimpin Melayu yang layak. Perdana menteri ke-5 adalah dari Pulau Pinang. Mantan TPM yang kini ketua umum PKR, bahkan ketua pembangkang Parlimen juga dari sana. Senarai tokoh besar anak jati Pulau Pinang bukti yang pulau mutiara itu sebenarnya tidak kurang tokoh politik dan kepimpinan Melayu.

Dalam DAP sendiri, umum tahu ramai sudah tokoh hebat berbondong-bondong menyertai DAP.

Daripada seorang peguam sehinggalah pensyarah dan pakar perlembagaan sudah menganggotai parti itu. Malah satu-satunya Sasterawan Negara yang kini bersama parti politik adalah seorang ahli DAP.

Senarai itu belum lagi disebut saf tokoh agama dan aktivis masyhur yang bersedia mempertahan parti itu daripada apa juga serangan luar.

Sama ada mereka memang orang Pulau Pinang atau tidak, pertimbangan itu bukan segala-galanya. Guan Eng sendiri bukanlah anak jati Pulau Pinang. Dia orang luar yang dibawa masuk untuk menjadi ketua menteri. Lantikan itu lebih mudah kerana Guan Eng anak Lim Kit Siang.

Sedangkan keturunan Jenatun yang membuka Pulau Pinang pun tidak dipandang besar, maka persoalan anak jati atau tidak bukanlah pra-syarat memilih ketua menteri.

Apabila tamat saja penggal kali ini yang diramal dalam beberapa bulan lagi – dan kebetulan ketua menteri Guan Eng sudah menjawat jawatan berkenaan selama dua penggal, maka nama ketua menteri Melayu pertama Pulau Pinang sudah wajar diwar-warkan. Perkara ini juga janji Pakatan Harapan untuk mengehadkan jawatan tertinggi hanya untuk dua penggal.

Janji itu bukan baru. Sudah dibeberkan sejak 2008 dan menjadi antara kempen penarik sehingga berjaya menumbangkan BN.

Inilah waktunya kata dikotakan. Paling tidak, keadaan di Pulau Pinang akan menjadi seberkas bukti sejunjung azimat bagaimana komitednya Pakatan Harapan mahu membuka tirai Malaysia baru. Namun andainya tidak, sekali lagi semua kata-kata tak lebih hanyalah ungkapan pemanis bibir, dalam ceramah, pada malam bicara.

Bolehkah tsunami Melayu berlaku pada PRU14?

Isnin, 11 September 2017

Oleh

PERALIHAN undi orang Melayu secara besar-besaran atau "tsunami Melayu" kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) masih jauh daripada realiti, kata penganalisis.

Mereka berkata, walaupun ramai orang Melayu menghadiri program anjuran PH terutamanya selepas Dr Mahathir Mohamad mengetuai gabungan itu, belum tentu kehadiran tersebut akan diterjemahkan sebagai undi.

Timbalan Pengerusi Insititut Darul Ehsan (IDE) Prof Dr Redzuan Othman berkata, sehingga kini, gelombang pengundi Melayu terutamanya di luar bandar masih belum kelihatan.

“Saya masih belum nampak tsunami Melayu nak berlaku pada masa ini.

“Dalam pemerhatian saya di ceramah-ceramah PH di luar bandar yang menampilkan Dr Mahathir Mohamad seperti di Bera, Pahang, ramai yang hadir tetapi masih belum kelihatan mereka nak bagi komitmen untuk bersama PH,” kata Redzuan

Katanya, keadaan ini berbeza ketika tsunami politik berlaku pada 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga buat pertama kalinya sejak tahun 1969.

“Pada ketika itu memang sudah boleh nampak komitmen rakyat untuk bersama pembangkang. Walaupun ramai yang hadir ke program ceramah sekarang, euforia seperti 2008 dalam kalangan orang Melayu masih belum kelihatan.

“Kalau nak kata peningkatan kos sara hidup bakal mengubah undi mereka saya tengok sukar juga, sebab walaupun ramai orang terkesan disebabkan peningkatan kos sara hidup, tapi belum sampai tahap tak makan.

“Saya tengok Raya Haji baru ini, di Perak dan Pahang, lembu yang dikorbankan banyak juga, ada yang sampai 10 ekor satu kampung,” kata bekas pensyarah Universiti Malaya itu.
Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) itu berkata, mengikut kajian yang dilakukan IDE pada 11-16 Ogos 2017 melibatkan 4,486 responden di 130 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, 50% daripada pengundi sudah pun membuat keputusan parti mana bakal diundi pada PRU14.

Domino Semenanjung

Tsunami Melayu mula diperkatakan oleh Ahli Strategi DAP Liew Chin Tong dalam tulisannya bertajuk “Domino Semenanjung” pada Julai 2015, dengan meletakkan asas peralihan undi Melayu di kawasan yang dikuasai Umno.

“(Pada PRU13) Umno memenangi 88 kerusi di peringkat nasional, termasuk 14 kerusi dari Sabah dan satu dari Labuan, manakala 73 kerusi selebihnya datang dari Semenanjung Malaysia.
“Daripada 73 kerusi di Semenanjung, Umno dijangka menang sekurang-kurangnya 30 kerusi di kawasan kampung, yang sememangnya disediakan untuk Umno dengan campuran undi Felda, undi pos, dan kerahan jentera kerajaan.

“Daripada 39 kerusi marginal yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dengan majoriti kurang daripada 10% dalam PRU yang lalu, 32 kerusi itu dimiliki Umno. Inilah gelanggang pertaruhan untuk PRU akan datang,” tulis ahli Parlimen Kluang itu.


Istilah tsunami Melayu menjadi popular tahun ini dan turut diperkatakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. Ahli Parlimen Pagoh itu menjangkakan tsunami Melayu akan melanda Malaysia pada PRU14 menyebabkan Umno dan BN tersingkir dari Putrajaya.

Kajian dilakukan firma Politweet mendapati BN mendapat 51% undi Melayu di Semenanjung Malaysia pada PRU13. Kajian itu juga mendapati PAS mewakili 21% undi Melayu di Semenanjung Malaysia.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, istilah tsunami Melayu dilontarkan untuk memberikan harapan dan pemikiran optimis kepada PH untuk memecahkan dominasi Umno di kawasan majoriti Melayu terutamanya di luar bandar.

“Namun begitu, untuk mewujudkan satu gelombang luar biasa sehingga mencecah skala magnitud tsunami dalam pola politik Melayu satu misi yang berat dan mencabar malah hampir mustahil sifatnya.
“Tsunami pada istilahnya ialah berpunca daripada rekahan lapisan bumi bawah permukaan lautan menghasilkan gelombang besar dan membadai secara mengejut. Skala impaknya besar,” kata Hisommudin

Katanya, melihat kepada pola pengundi Melayu dalam sejarah politik, ada sedikit “gegaran” semasa era Reformasi selepas Dr Mahathir memecat Anwar Ibrahim pada 1998.

“Sehebat goncangan Melayu ketika itu tidak berlaku pada skala nasional kerana pengundi Melayu di zon tengah dan selatan Semenanjung Malaysia tidak mencukupi di samping undi bukan Melayu masih kekal dengan BN ketika itu. Tidak wujud tsunami Melayu.

“Ini kerana pengundi Melayu mereka mengundi lebih kepada atas identifikasi parti. Bahasa mudahnya mengundi kerana parti melebihi atas faktor calon mahupun isu yang diperjuangkan.

“Maka, sudah tentu kepada parti baharu seperti Bersatu dan Amanah mengalami kesukaran untuk merintis dan membuka laluan menubuhkan cawangan, mencari anggota baharu di kawasan seumpama ini,” katanya.

Bekas pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata tsunami Melayu sukar berlaku kerana BN mempunyai kelebihan dari segi jentera dan kewangan.

Katanya, ketika BN dalam proses merapatkan barisan, parti-parti dalam PH sedang cuba dipecahkan gabungan pemerintah itu.

“Faktor Dr Mahathir mampu membantu PH untuk menang PRU14, kalau menang pun menang tipis.
“Tsunami Melayu masih belum kelihatan untuk berlaku. Kalau setakat 10% undi Melayu yang selama ini berpihak kepada BN beralih ke PH itu tidak mustahil berlaku dengan faktor Dr Mahathir,” katanya
 ________________________________________________________________________________
Pengunjung "wadah baru"boleh juga mengikuti perkembangan politik di http://akhbarrakyat.blogspot.my/

Kongres khas tentukan kerjasama PKR-Pas

Isnin, 28 Ogos 2017

Oleh RAFIZI RAMLI 

PERSOALAN mengenai bentuk kerjasama di antara PKR dengan PAS berpanjangan kerana ia satu keputusan yang memberi kesan kepada semua, bukannya PKR semata-mata.

Keputusan sama ada PKR menumpukan kepada persediaan pilihan raya bersama Pakatan Harapan (PH) sepenuhnya (termasuk bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru dengan PAS) atau “berada di dalam dua kolam” (bersama PH tetapi juga bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru) adalah keputusan yang perlu mengimbangi perkara-perkara berikut:

1. Soal prinsip – adakah keperluan mengekalkan kemenangan di Selangor atau mengekalkan kemenangan di kerusi-kerusi PKR di seluruh negara mengatasi perkara-perkara prinsip yang selama ini menjadi roh perjuangan PKR?

2. Soal realiti semasa – apakah situasi sokongan rakyat sekarang kepada setiap parti untuk menilai sama ada pertandingan tiga penjuru yang sangat ditakuti itu benar-benar memberi kelebihan mutlak kepada Umno seperti yang dihujahkan beberapa pihak?

3.  Soal tanggungjawab moral – PKR mempunyai tanggungjawab moral untuk berada di barisan paling hadapan dalam usaha menumpaskan pentadbiran Najib Razak demi membela rakyat. Keutamaan membela rakyat adalah nadi yang menghidupkan parti ini sejak hari pertama saya mengenalinya.

Sudah tentu ketiga-tiga perkara di atas adalah pertimbangan berat dan saling berhubung kait. Ia disukarkan lagi kerana penilaian kepada ketiga-tiga perkara itu banyak bergantung kepada persoalan tahap sokongan pengundi semasa yang tidak dapat dipastikan dengan mudah.

Satu-satunya cara yang paling objektif untuk menentukan tahap sokongan pengundi semasa ialah dengan bersandarkan kepada laporan-laporan kaji selidik tahap sokongan pengundi. Masalahnya badan kaji selidik yang berlainan memberi gambaran dan laporan yang sangat berbeza.

Perbezaan pendapat yang berpanjangan

Sebab itu, kepimpinan kanan PKR baik di Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memang berbeza pendapat mengenai perkara ini sejak sebelum pun PH ditubuhkan.

Malah semasa Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penubuhan PH dan saya mengaturkan langkah-langkah sebelum dan selepas itu, kumpulan yang tidak bersetuju dengan penubuhannya telah mengumpul satu petisyen untuk memecat saya daripada jawatan setiausaha agung pada ketika itu.

Hakikatnya, perbezaan pendapat itu berlarutan sejak pertengahan 2015 hingga sekarang di antara dua pemikiran berbeza di dalam PKR.

Di satu pihak merasakan keutamaan parti yang tertinggi ialah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor. Oleh itu, sebarang keputusan politik PKR mestilah mengambil kira terlebih dahulu kesannya kepada penguasaan PKR sebagai tonggak kerajaan Selangor.

Hasil pendapat ini adalah mudah: PKR tidak sepatutnya mengambil langkah yang ada risiko kerana sebarang risiko boleh menyebabkan ketidaktentuan kepada kerajaan Selangor.

Maka, pihak ini sangat menolak sebarang perbincangan yang boleh menyebabkan berlakunya pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya.

Pendekatan pragmatis begini tidaklah mengejutkan kerana itu perkara biasa dalam politik. Keakraban segelintir sahabat-sahabat pimpinan di dalam PKR dengan PAS dalam perkara ini bukanlah atas kecintaan kepada PAS kerana beberapa orang pemuka utama yang membawa aliran ini (seperti Latheefa Koya, N Surendran dan Sivarasa) mempunyai rekod yang panjang mengkritik PAS sebelum itu.

Di satu pihak lagi merasakan PKR mempunyai tanggungjawab moral untuk terus memimpin pembelaan rakyat melalui pembentukan satu gabungan pembangkang yang berpandukan kepada prinsip keadilan sosial dan merangkumi semua kumpulan, kaum dan agama bagi menyambung usaha yang dimulakan melalui Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Relevannya PKR di dalam politik tanahair adalah kerana ia adalah orang tengah yang menyatukan pelbagai kumpulan dan parti di dalam barisan pembangkang.

Kumpulan ini meletakkan tanggungjawab itu mengatasi kepentingan memenangi kerusi kerana prinsip dan rekod perjuangan adalah lebih penting daripada pragmatis politik untuk berkuasa semata-mata.

Kemenangan yang menampakkan PKR sanggup mengorbankan prinsip perjuangan akan menyebabkan ia dilihat sebagai tidak berbeza dengan Umno atau parti lain.

Seluruh dunia tahu bahawa antara pimpinan kanan PKR yang berpendapat begini adalah saya, Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Johari Abdul (Ketua Whip), Nik Nazmi Nik Ahmad (Ketua AMK), Tan Yew Kew (Bendahari Agung), Syed Ibrahim Syed Noh (Ketua Penerangan) dan William Leong sendiri.

Parti terbahagi dua

Sudah tentu perbezaan pendapat dalam perkara besar yang berlanjutan panjang seperti ini akan meresahkan mana-mana parti. Ramai juga pimpinan yang menjadi serba salah kerana perbezaan pendapat di antara dua pihak seperti ini dan kelihatan tersepit di tengah-tengah.

Maka, tugas Wan Azizah sebagai presiden parti bukanlah mudah. Saya faham beliau terpaksa mengemudi PKR tanpa dilihat menyebelahi mana-mana pihak kerana kedua-dua pendapat tadi masing-masing ada baik dan buruknya.

Walau apa pun kritikan terhadap beliau, saya terhutang budi kepada beliau kerana memimpin PKR membidani lahirnya PH dicelah-celah kecelaruan politik negara tanpa mengendahkan bantahan termasuk daripada aktivis-aktivis civil society.

Keputusan awal sejak 2015 ialah supaya PKR membina PH dan dalam masa yang sama mengambil pendekatan bersaudara dengan PAS atas kepercayaan perselisihan PAS dengan rakan-rakan di dalam PH dapat diredakan.

Matlamat utama ialah untuk membina satu barisan pembangkang yang kuat untuk masuk PRU14 dan kaedah paling logik ke arah itu ialah dengan mendapat persetujuan satu lawan satu di antara parti-parti pembangkang utama negara (termasuk PAS, sama ada ia berada di dalam PH atau tidak).
Bagaimana pun, dalam keadaan PRU14 semakin hampir dan banyak perkembangan terkini membayangkan PAS tidak akan bersetuju untuk tidak bertanding di kerusi-kerusi yang diagihkan kepada Amanah dan Bersatu, sudah tentu persoalan timbul sama ada strategi pragmatis untuk terus mendampingi PAS itu wajar.

Kaji selidik yang semakin merumitkan

Pertembungan di antara dua pendekatan ini (pragmatis lawan prinsip) dirumitkan lagi apabila tiadanya persetujuan mengenai laporan kaji selidik yang mana yang perlu dijadikan panduan. Lebih-lebih lagi, semua laporan kaji selidik yang digunakan oleh kedua-dua pihak bukan sahaja berlainan tetapi dapatannya juga adalah bertentangan.
Kumpulan yang masih mahu mendampingi PAS sering memetik dapatan daripada Merdeka Centre dan Institut Darul Ehsan yang menurut mereka menunjukkan (daripada kaji selidik kedua-dua badan ini) bahawa PAS adalah parti Melayu paling kuat. Oleh itu, pada perkiraan mereka, sebarang pertandingan tiga penjuru dengan PAS akan menyebabkan Umno menang besar.
Malah, perkembangan terakhir yang mendorong kepada keputusan untuk terus berunding dengan PAS walaupun PH telah jauh berlari ke depan adalah bersandarkan pembentangan terkini Redzuan Othman (daripada Institut Darul Ehsan) dan Mohd Noor Nawawi (daripada Unisel).
Mereka memberi pendapat, berdasarkan kajian mereka, bahawa pengundi bukan Melayu sangat membenci Umno sehinggakan mereka akan tetap mengundi PKR/PH walaupun PKR dilihat terus berunding dan menjalin kerjasama dengan PAS.
Oleh itu, demi mencapai pertandingan satu lawan satu, rundingan mesti diteruskan kerana ia tidak ada kesan besar kepada sokongan pengundi bukan Melayu kepada PKR.
Saya tidak pernah melihat data yang terperinci daripada Merdeka Centre atau Institut Darul Ehsan (IDE).
Kaedah dan jenis sampel kaji selidik yang mereka jalankan juga berbeza dari apa yang dikendalikan oleh Pusat Kaji Selidik Invoke yang saya rujuk dalam memahami pola sokongan rakyat terkini.
Sudah tentu dapatan kaji selidik Invole sangat berbeza malah bertentangan dengan dapatan Merdeka Centre dan IDE itu.
Seawal Januari 2017, dalam kaji selidik yang terbesar pernah dibuat di negara ini mengenai kecenderungan mengundi, kami dapati undi Umno sudah pun jatuh ke tahap 40%.
Itu memungkinkan senario pertandingan tiga penjuru yang berpihak kepada PH jika undi bukan Melayu kekal tinggi dan ia berjaya mendapatkan 30% sokongan Melayu.
Setakat kaji selidik Invoke yang terkini iaitu Julai 2017, menyimpulkan undi Melayu PH adalah hampir sama dengan undi Melayu Umno iaitu sekitar 30+ %.
Pertembungan dua set data berbeza yang masing-masing menyokong pendapat satu pihak juga disebabkan oleh latar belakang setiap badan yang mengeluarkan dapatan tersebut.
Invoke ditubuhkan oleh saya, maka dapatannya dituduh berat sebelah hanya untuk menyokong pandangan saya dan rakan-rakan.
Kaedah dan sistem yang digunakan menepati piawaian antarabangsa dan saya pastikan data dan dapatan dibuka kepada orang ramai agar jika benar ada manipulasi, ia boleh dibuktikan segera.
IDE adalah milik kerajaan Selangor dan bergantung belanjawannya kepada ihsan menteri besar Selangor.
Malah, kaji selidik IDE hanyalah melibatkan pengundi di Selangor (bukannya di seluruh Malaysia) dan sehingga kini, saya masih belum diyakinkan sama ada sampel yang dipilih adalah benar-benar rawak seperti kehendak sebuah kaji selidik.
Bagi Merdeka Centre pula, saya tidak pernah melihat laporan kecenderungan pengundi seluruh negara yang terkini.
Merdeka Centre juga tidak pernah menyiarkan berapa orang yang ditelefon, berapa kadar jawab (response rate), bagaimana sampel itu dipilih untuk memastikan ia benar-benar rawak dan pelbagai soalan lain.
Saya juga tahu pengurusan Merdeka Centre juga diberi tanggungjawab menguruskan satu projek bernama #teamSelangor di bawah kerajaan Selangor yang dimaklumkan melibatkan peruntukan RM13 juta.
Bagi saya pula, sementara saya menerima pelbagai input dari IDE dan Merdeka Centre, kaji selidik  mereka yang dikemukakan untuk menyokong pendapat kumpulan yang mahu terus berunding dengan PAS ini tidaklah menggambarkan keadaan sebenar dan tidaklah sebebas yang didakwa kerana keterlibatan mereka secara rapat dengan pentadbiran Azmin Ali.
Oleh sebab ini jugalah (dan peranan maklumat yang berbeza-beza dari kajiselidik-kajiselidik seperti yang saya sebut di atas), perbezaan pendapat kami di peringkat pimpinan berpanjangan sejak 2015 dan menjadi lebih kuat dengan dapatan terkini yang dibentangkan oleh Redzuan Othman dan Mohd Noor Nawawi mengenai sokongan pengundi Cina yang tidak begitu terkesan dengan kerjasama PKR-PAS.

Usaha yang mustahil membuahkan hasil

Mengambil kira perkara-perkara ini, saya bimbang perkara ini akan terus berlanjutan dalam bulan-bulan terakhir sebelum PRU14 kerana ia mengheret sama PH dalam keadaan secara rasionalnya, sebarang rundingan di antara PKR-PAS yang tidak melibatkan PH adalah satu usaha yang mustahil membuahkan hasil.

Saya menyebut begitu kerana PKR tidak boleh merundingkan bagi pihak Amanah dan Bersatu dalam keadaan sebahagian besar tuntutan PAS itu melibatkan Amanah, Bersatu (dan juga DAP).

PAS berkehendakkan supaya kerusinya di Selangor dan seluruh negara tidak disentuh. Ini bermakna Amanah dan Bersatu tidak ada kerusi untuk bertanding.

Saya tidak yakin PKR dan DAP akan menyerahkan kerusi kepada Amanah dan Bersatu semata-mata untuk memenuhi tuntutan PAS.

Contohnya, satu konfigurasi kerusi di Selangor yang disebut-sebut di bawah cadangan “satu lawan satu” yang diusahakan diantara PKR dan PAS ini ialah PKR bertanding 15 kerusi, DAP bertanding 15 kerusi, PAS bertanding 14 kerusi, Bersatu bertanding 10 kerusi dan Amanah bertanding dua kerusi.
Saya tahu perkara itu mustahil dicapai kerana Azmin tidak akan dapat meyakinkan DAP untuk menerima PAS di dalam kerajaan Selangor selepas ini dan beliau tidak akan dapat meyakinkan Amanah untuk bertanding hanya dua kerusi.

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran

Oleh itu, dalam keadaan rundingan itu mustahil membuahkan apa-apa kerana PKR tidak ada kuasa dan mandat untuk memaksakan persetujuannya ke atas PH, rundingan pada saat ini hanya akan melengah-lengahkan rundingan kerusi di peringkat PH yang sedang berjalan.

Dengan kenyataan demi kenyataan PAS yang bukan sahaja menolak pelawaan kumpulan daripada PKR yang mahu berkawan tetapi menghina PKR dari semasa ke semasa, strategi terus melayan karenah PAS dan menyakitkan hati rakan daripada PH hanya akan menyebabkan kekalahan seberapa ramai calon PKR termasuklah dari kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan itu.
Ini kerana dalam proses cuba memujuk PAS itu, PKR akan dilihat tidak berprinsip dan mementingkan diri.

Apabila rundingan itu gagal akhirnya (kerana ia mustahil dicapai seperti disebut di atas), PKR bukan sahaja tidak mendapat undi daripada penyokong PAS, malah hilang undi bukan Melayu dan pengundi tegar PH yang marah dengan tindakan membelakangkan PH itu.

Selesai melalui undian akar umbi di kongres khas

Itulah latar belakang kenapa tidak ada titik pertemuan atau kompromi di kalangan pimpinan PKR di peringkat Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat mengenai isu ini.

Perbezaan pendapat ini telah berlanjutan terlalu lama dan kita tidak lagi boleh mengheret anggota biasa PKR dan rakyat keseluruhannya ke dalam kancah ini.

Perbezaan pendapat ini juga telah membahagikan parti ini kepada dua kumpulan sejak kebelakangan ini sehinggakan mengelirukan akar umbi untuk meneka pandangan setiap pemimpin pusat.

Oleh kerana ada di kalangan pemimpin pusat yang turut memegang jawatan kanan di peringkat PH, perbezaan pendapat ini ada kesan kepada persediaan PRU14.

Di satu pihak, yang bersetuju dengan Azmin untuk terus berunding dengan PAS termasuklah naib-naib presiden Tian Chua, Sdr Shamdul Iskandar dan naib presiden dilantik iaitu Xavier Jeyakumar dan Dr Shaharuddin (yang menjadi wakil rundingan PKR dan PAS).

Pimpinan lain yang dikenali ramai yang bersetuju dengan pandangan ini ialah Zuraida Kamaruddin (ketua Wanita), ahli-ahli Biro Politik iaitu Sivarasa Rasiah, Saifuddin Abdullah,  Kamaruddin Jaafar, Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi) dan Surendren.

Ahli MPP pula termasuklah Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aaishah Sheikh Ismail, Dr Mohamad Nur Manuty, Latheefa Koya, Afif Baharuddin dan Haniza Talha.

Di satu pihak yang tidak bersetuju dan mahukan komitmen penuh kepada PH, selain saya sendiri, termasuklah Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agung), Nik Nazmi (Ketua Pemuda), Tan Yew Kew (Bendahari Agung), Syed Ibrahim Syed Noh (Ketua Penerangan), Johari Abdul (Ketua Whip), Sim Tze Tzin (Pengarah Strategi), Fariz Musa (Ketua Setiausaha Pengelola), William Leong, Jeneral (B) Hadi (Pengerusi Lembaga Disiplin) dan Christina Liew (Pengerusi Sabah) di peringkat Biro Politik.

Pimpinan lain yang berpendapat begini di peringkat MPP antaranya ialah Abdullah Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail, Fuziah Salleh, Manivanan, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron.

Pembahagian pimpinan mengikut pendapat masing-masing sebegini berlaku dari peringkat Biro Politik ke MPP hinggalah ke peringkat akar umbi.

Oleh demikian, sampai masanya ia diputuskan secara keseluruhan mengikut perlembagaan parti supaya jalan buntu itu diselesaikan mengikut kaedah terbaik iaitu demokrasi.

Saya mengesyorkan supaya satu kongres khas kebangsaan dipanggil dengan segera untuk memutuskan perkara ini dengan melibatkan pengundian perwakilan cabang-cabang PKR dari seluruh negara seperti yang diperuntukkan perlembagaan parti.

Setelah undian dibuat dan kedua-dua pihak ada peluang yang adil untuk membentangkan hujah masing-masing, saya yakin apa pun keputusannya keseluruhan anggota PKR dari atas hingga bawah bertanggungjawab memikul apa-apa kesan dari keputusan itu tanpa boleh menuding jari kepada satu pihak lagi.

Hanya dengan keputusan yang dimuktamadkan mengikut kaedah kongres khas ini barulah kita boleh berlaku adil kepada rakyat Malaysia, rakan-rakan PH dan diri kita sendiri.

* Rafizi Ramli adalah Ahli Parlimen Pandan dan Naib Presiden PKR.

Amanah isi kubu tersendiri hadapi PRU14

Rabu, 23 Ogos 2017

Oleh ZAKARIA MUSA 

Kewujudan Parti Amanah Negara berbeda dengan kelahiran parti-parti baru lain. Misalnya, Parti Semangat 46 lahir daripada konflik dalaman Umno selepas proses pemilihan parti April 1987 mencetuskan pertikaian berpanjangan. Aktor utamanya Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Mahathir Mohamad. Kedua-duanya dikenali umum dan popular; seorang bekas menteri kewangan dan seorang lagi perdana menteri.

Parti Keadilan Nasional muncul selepas Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Anwar dilihat sebagai pewaris terdekat takhta Dr Mahathir. Gagasan Reformasi yang dipimpin Anwar mudah difahami rakyat. Isu mata lebam Anwar mendapat perhatian segera masyarakat.

Semangat 46 mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1990, menjadikan pertembungan pembangkang dengan Umno-BN tambah tajam, yang sebelumnya hanya menyaksikan Pas sebagai pencabar terkuat di kalangan pengundi Melayu di lokasi tertentu sahaja. Laluan untuk Semangat 46 memperolehi kerusi agak mudah, terutama apabila mendapat restu Pas yang sama-sama membentuk Angkatan Perpaduan Ummah.

Begitu juga dengan Keadilan, yang turut didukung Pas, dalam Barisan Alternatif, dalam PRU1999. Ketika itu tidak wujud lagi Semangat 46 yang berkubur selepas PRU1995 apabila diserap masuk semula secarfa en blocke dalam Umno. Persaingan sesama parti pembangkang tidak begitu ketara.

Krisis dalaman

Keadaan agak berbeda dengan Amanah, yang lahir ekoran krisis dalaman Pas yang tidak berjaya diuruskan dengan baik dan bijaksana. Umum tidak begitu mengetahui punca perbalahan, malah sebahagian ahli-ahli Pas sendiri jahil mengenainya. Lagi pun masyarakat luar tidak peduli dengan segala pertikaian dalaman sebuah parti pembangkang.

Orang ramai beranggapan pergeseran di antara pemimpin mana-mana pertubuhan politik adalah perkara biasa. Justeru, pemilihan kepemimpinan Pas pada 2015 walaupun digambarkan media sebagai pertarungan yang sengit di antara kumpulan ulamak dan profesional, masyarakat luar tidak memberi perhatian kepadanya.

Malah, ketika itu, kumpulan yang dianggap profesional dalam Pas, tidak mengisytiharkan secara terbuka penentangan terhadap Presiden, Ustaz Abdul Hadi Awang. Jadi apabila mereka kalah secara berkelompok dalam pemilihan itu, maka ditohmah pembentukan parti baru Amanah hanya kerana rasa kecewa tidak dapat menerima keputusan muktamar.

Kelahiran Semangat 46 dan Keadilan tentu lebih mendapat perhatian masyarakat disebabkan ia tumbuh dan membesar di atas konflik parti pemerintah. Justifikasi kewujudannya mudah difahami, apatah lagi tokoh kepemimpinannya adalah figura popular nasional yang mempunyai daya karismatik tersendiri. Titik pertembungan mereka adalah dengan perdana menteri, yang melibatkan polisi dan isu-isu kepentingan awam.

Jadi, tidak pelik jika masyarakat umum kurang mengenali kewujudan Parti Amanah Negara berbanding parti-parti serpihan Umno, termasuk yang terbaru Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang dipimpinan Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin. Bersatu yang lebih muda usianya berbanding Amanah, mudah dikenali kerana faktor negarawan ulung Dr Mahathir dan isu besar yang dibawanya iaitu skandal mega 1MDB.

Wadah alternatif

Amanah walaupun menampilkan bekas pemimpin kanan dalam Pas dahulu, misalnya Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Husam Musa, tetapi mereka tidak pernah memegang jawatan awam yang strategik. Mereka mungkin popular tetapi hanya dalam kalangan aktivis dan penyokong pembangkang, manakala Husam sebagai pembantu rapat Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih dikenali di negeri Kelantan. Apa pun tokoh-tokoh Amanah ini mengisi keunikan tersendiri bagi "menyempurnakan" satu kebangkiran rakyat yang menyeluruh.

Amanah juga lahir sebagai parti Islam yang progresif dan inklusif; bertindak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pas dalam pakatan pembangkang. Ia mengamalkan pendekatan lebih sederhana dan bersikap terbuka, terutama untuk menangani realiti kemajmukan di Malaysia.

Amanah turut memegang kukuh ikatan dan persefahaman di antara rakan-rakan parti pembangkang, serta bersikap tegas menolak politik perkauman dan tidak berkompromi dengan elit penguasa yang zalim dan korup.

Ketika pemimpin utama Pas, terutama Ustaz Abdul Hadi dan barisan ulamaknya dilihat condong dan bermesra dengan kleptokrat Najib Razak, Amanah muncul menawarkan wadah alternatif. Kekal berpaksikan Islam tetapi dengan konsep meratakan Islam sebagai rahmatan lil alamin; Islam yang indah dan ramah. Bagaimana mungkin pencinta Islam boleh bertolak-ansur dengan amalan rasuah, salahguna kuasa dan kecurian wang negara yang maha dahsyat itu? Bukankah ia memberi imej negatif buat Islam sendiri?

Ramai pemerhati politik percaya, jika Amanah tidak ditubuhkan, kemungkinan besar Pas nekad mengambil pendekatan politik untuk berbaik-baik dengan Umno-BN. Dengan kewujudan Amanah, hasrat itu tertunda kerana dibimbangi ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi akan berduyun-duyun menyertai parti Islam progresif itu jika Pas mengadakan tahaluf siyasi dengan Umno.

Malah permusuhan tajam Pas dengan DAP juga dilihat satu strategi untuk memudahkan pembentukan koalisi baru bersama Umno. Semua menyedari, termasuk strategis Pas bahawa tidak mungkin satu parti secara solo dapat membentuk kerajaan tanpa kerjasama dengan parti-parti lain.

Pas juga mungkin kehilangan sebahagian besar kerusi, apatah lagi di negeri-negeri Johor dan Selangor jika ia tidak mengadakan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan ataupun Barisan Nasional.

Laluan sukar

Dalam situasi seperti ini, ketika Pas dilihat belum terserlah hasratnya untuk bersama Umno -- walaupun lenggok badannya ditafsirkan ke arah itu -- maka pengaruh Amanah seakan-akan tersekat. Upayanya untuk menarik sokongan majoriti ahli-ahli Pas memerlukan lebih masa, termasuk kempen penerangan yang intensif dan penjelasan terperinci.

Tambah sukar apabila rakan-rakan kerjasama, seperti Keadilan, dikatakan masih mengintai peluang untuk mengadakan pakatan pilihan raya dengan Pas. Berpakat dengan Pas, apatah lagi dengan berunding tanpa restu Pakatan Harapan, hanya akan mengetepikan Amanah.

Namun, diteliti respons melulu pemimpin Pas, tampak agak mustahil untuk membentuk semula jalinan kerjasama dengan Pas. Malah Pas seperti berasa besar diri dan beranggapan dirinya terlalu penting sehingga diperlukan oleh semua pihak.

Mendekati beberapa personaliti utama Amanah, yang terkenal dengan semangat juang yang tinggi dan komitmen tidak berbelah-bahagi, parti itu mempunyai masa depan yang cerah.

Justeru, tanggapan negatif bahawa pengaruh Amanah hanya sekitar 1 peratus pasti tidak meninggalkan impak negatif, malah mampu menjadi pendorong untuk bekerja lebih gigih, menyampaikan risalah ke seluruh pelosok negara, berganding bahu dengan rakan-rakan Pakatan Harapan bagi menyelamatkan tanahair tercinta ini.

Ada pihak beranggapan kewujudan parti baru Bersatu pimpinan Dr Mahathir adalah satu anugerah tidak ternilai kepada gabungan pembangkang. Benar sekali, tetapi kelahiran Amanah juga adalah pelengkap kepadanya kerana tanpa Amanah nescaya akan wujud ketempangan sokongan pencinta Islam di negara ini kepada Pakatan Harapan.

Moga keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan ini, yang mengisi posisi tersendiri dan kubu masing-masing, mampu menggembleng dukungan rakyat untuk menyelamatkan negara ini dalam PRU14.

Kesempatan terbaik ini tidak datang selalu dan ia sama sekali tidak boleh dibiarkan berlalu hanya disebabkan perbedaan titik-bengik ataupun sedikit ketamakan yang tidak terurus.

Penahanan Isa: 'Nasi sudah jadi bubur'

Rabu, 16 Ogos 2017

Kami warga Felda yang selama ini berjuang menyelamatkan Felda dari kerangkusan Isa Samad berjoli dengan duit Felda dan FGV melihat perkembangan penahanan Isa pada hari ini (15 Ogos 2017) sebagai ibarat kata 'nasi sudah menjadi bubur'.

Selama hampir tujuh  tahun, kami di kalangan aktivis keluar masuk tanah rancangan di hampir seluruh negara sejak dari perlantikan Isa Samad sebagai Pengerusi Felda pada 1 Januari 2011.

Pelbagai rintangan dan kesan negetif kami terpaksa pikul kerana warga Felda seolah sangat teruja dengan perlantikan Isa Samad ini.

Umno dan kerajaan menggunakan segala sumber mereka menyakinkan warga Felda cadangan penyenaraian Felda ke BSKL akan mengubah kehidupan warga Felda kepada golongan yang berpendapatan tinggi seperti mereka di negara maju.

Laungan ini masih terngiang ditelinga kami apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib sendiri yang melaungkanya pada awal tahun 2012.

Isa sebagai pengerusi Felda

Agenda penyenaraian Felda melalui FGV menjadi agenda utama pelantikan Isa Samad sebagai pengerusi Felda.

Tahun pertama Isa telah menyejuk bekukan 37 pegawai kanan Felda yang tidak setuju atau memberi pendapat berbeza dengan kehendak ini.

2012 menyaksikan FGV disenaraikan dengan dan Koperasi Permodalan Felda disingkirkan dari Felda Holding setahun kemudian.

KPF yang menguasai 51 peratus ekuiti dalam Felda Holdings Berhad (FHB) telah ditendang keluar dari Felda apabila perwakilan dari kalangan peneroka bersetuju menyerahkan 112,199,999 kepada Felda Global Venture Holdings Berhad (FGVH) dengan kaedah mengangkat tangan tanpa melalui penerangan dan taklimat khas berkaitan.

Sejarah hitam ini berlaku pada 27 Oktober 2013 jam 10 pagi di Dewan Banquet Menara Felda.
Penyingkiran KPF dari dari menguasai FHB dengan 51 peratus pegangang saham yang sebelum ini menjadi kebanggaan peneroka selama ini mengejutkan peneroka setahun selepas itu apabila bonus dan dividen yang sebelum ini 17 peratus dibayar kepada mereka turun mendadak selepas itu.

Sehingga beberspa tahun hanya 10 peratus sahaja dibayar. FGV telah mengambil alih semua kepentingan 112,199,999 unit saham bersamaan 51 peratus dengan nilai yang sangat tidak munasabah iaitu RM2.2bilion ataupun RM19.61 sesaham.

Peneroka yang hanya diberi pemilikan 800 unit saham FGV yang bernilai RM3,560 disyaratkan membuat pinjaman bank untuk membiayai saham ini. Dengan jaminan pegangan hanya setahun sahaja peneroka dijanjikan pulangan yang membolehkan mereka menjadi kaya-raya selepas itu.
Setelah beberapa tahun saham FGV gagal menyerlah dan terpaksa dikeluarkan dari senarai papan utama kerana kejatuhan melepasi had untuk kekal di papan utama bursa.

Apabila nilai pinjaman tidak mampu ditebus atau dilangsaikan dengan nilai semasa saham, pihak kerajaan telah mengambil alih pinjaman ini dari bank untuk meredakan kemarahan peneroka Felda.
Pengambilalihan ini bukan percuma, peneroka terpaksa memotong pendapatan mereka selama 60 bulan dengan kadar RM50 sebulan.

Apabila hampir dengan pilihan raya, di Sambutan Hari Peneroka di Putrajaya baru-baru ini, Perdana Menteri telah menawarkan inisiatif antaranya penghapusan hutang pinjaman saham ini dan beberapa inisiatif lagi sebagai halangan undi peneroka tidak terarah kepada pembangkang sebagai protes tidak puas hati prestasi dan isu membarah terhadap Felda dan FGV.

Jual aset di luar negara

Tindakan-tindakan lain seperti penjualan aset di luar negara juga menjadi peristiwa trajis bagi Felda dan FGV.

Felda Global Vantures Holdings Berhad (FGV) menjual keseluruhan kepentingannya dalam Twin Rivers Technologies Enterprises de Transformation de Granines Oleagineuses du Quebec Inc (TRT- ETGO) dengan nilai AS$180 juta atau RM608.2 juta, isu ini terus menjadi tanya rakyat Malaysia kerana pihak FGV tidak pernah menjelaskan kedudukan keuntungan yang didakwanya mencecah RM65 juta.

Sebaliknya ada sumber menggatakan operasinya mengalami kerugian mencecah RM800 juta.
Pada awal julai 2015 lalu, FGV seperti mana dilaporkan Bloomberg dijangka memperolehi lebih RM1 bilion selepas berjaya menjual kilang TRT -ETGO yang telah menarik minat pembida pada harga AS$180 juta (RM686 juta) hingga AS$250 juta (RM953 juta) .

Hanya sebulan selepas laporan Bloomberg, FGV telah melaporkan penjualan TRT - ETGO ini dengan harga RM608.2 juta kepada Viterra Inc, pengendali dan pemasar bijirin dan minyak terkemuka Kanada.

Pada 11 Ogos 2015, Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Emir Mavani mengesahkan bahawa perbincangan dengan lima syarikat antarabangsa untuk membida TRT-ETGO masih berjalan. Hanya jarak waktu 14 hari , FGV telah mengumumkan penjualan ini.

Apa yang peliknya, penjualan ini dijual di bawah harga pembida seperti laporan Bloomberg.
Sedangkan ada pembida berminat dengan harga hampir RM1 bilion. Ini diantara contoh penjualan aset yang rugi tetapi didakwa untung. Ada sumber lain mengatakan kos pelaburan TRT ini mencecah RM1.2 bilion.

RM47.6 juta lesap

Sudah banyak isu berkaitan Felda, FGV dan FIC yang kami dedahkan dan catatkan yang menjadi kenyataan selepas beberapa tahun.

Isu Projek ikan Sturgeon yang bernilai RM135juta dinamakan Projek Felda Carviartive Blue Dream Park terletak di Kuala Tahan, Jerantut Pahang.

Projek yang menggunakan teknologi Korea Selatan ini didakwa mampu menghasilkan 30 metrik tan karvia setahun dan menjana pulangan RM360 juta setahun. Harga semasa telur ikan ini mencecah RM12,000 sekilogram.

Laporan ketua juru audit negara mengesahkan RM47.6 juta lesap tanpa dapat dikesan.
Bekas seorang Pengurus Besar Felda telah didakwa oleh SPRM (kes masih berjalan). Kes ini hanya melibatkan kakitangan Felda, Isa Samad masih meloloskan diri dan berjaya kekal sehinggalah bermacam masalah timbul.

Peneroka bangkit membuat desakan agar sesuatu tindakan drastik diambil dan selepas itu menyaksikan Isa Samad ditendang dari Felda pada 2016.

Langkah selamat Najib

Tidak beberapa bulan selepas itu pada Jun 2017 Isa telah disingkirkan dari FGV pula kerana Najib terpaksa mengambil tindakan ini bila kemarahan rakyat Malaysia kemuncak.

Pelbagai pihak, Ngo dan warga Felda dilihat kehadapan dan tanpa segan mengungut akan tidak menyokong Barisan Nasional lagi di PRU ke 14 nanti. Tindakan ini juga dilihat satu tindakan politik Perdana Menteri.

Peneroka Felda yang sebahagian besarnya warga emas, sangat mudah terpedaya dengan langkah-langkah selamat dari Perdana Menteri. Bukan cakap dan janji kosong, peneroka Felda ditawarkan tunai RM5,000 untuk mereka pada akhir bulan Ogos ini.

Sepantas kilat bertahun Isa Samad menjolikan berbilion ringgit duit mereka, duit Felda dan FGV mereka lupakan.

Mereka sudah boleh bercakap-cakap sesama mereka, yang jahat Isa, yang kianat Isa, sekarang Isa sudah dipecat. Isa sudah ditahan.

Sekarang Najib dah pulihkan Felda, Najib sayang Felda, Najib tidak kianat. Najib selamatkan kita.

Sudah tentu tindakan licik Perdana Menteri ini akan terus memastikan undi Felda di 54 parlimen akan kekal dan memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional jika tiada usaha bersepadu dan penerangan secara holistik penyelewengan skandal FELDA, FGV, ISA DAN NAJIB kepada pengundi Felda dalam masa terdekat.

Mereka sudah tidak kisah duit berbilion ringgit yang dihilangkan Isa.

Naraza Muda ialah Pegawai Khas Seranta Felda PAS Terengganu

Jalan Mudah Ialah Memijak Mereka Yang Diam

Selasa, 15 Ogos 2017



Barisan Nasional Selangor masih tidak tahu mengapa mereka kalah teruk dalam pilihan raya 2013.
Mereka beranggapan kekalahan BN Selangor pada 2008 kerana saya. Mereka lupa BN juga kalah di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Wilayah Persekutuan.

Lalu mereka perlu singkirkan saya untuk memberi imej gemerlapan dan gemilang kepada BN Selangor. Saya dibicara dan dipenjarakan.

Malangnya pada 2013 tanpa saya, BN Selangor kalah lagi teruk.

BN rampas Perak dan Kedah, namun nyaris kalah di Terengganu. BN Terengganu tinggal majoriti 2 kerusi.

Masalah dalam BN dan UMNO ialah mereka tidak berani membuat penilaian sebenar, hidup dalam kepura-puraan mengenai persepsi rakyat.

_Mereka bersorak menang besar di Sungai Besar. Sebelum PRK semua diminta bersatu dan membantu parti. Selepas menang, jasa dan sumbangan milik orang tertentu sahaja.._

PRK Sungai Besar, Undi yang diterima calon Barisan Nasional, YB Budiman Mohd Zohdin hanyalah 16,800 undi berbanding undi yang diterima oleh Allahyarham Noriah Kasnon sebanyak 18,695 undi. Bayangkan undi merosot hampir 2000.

_*Jadi kuat di mana kita? Kuat hanya kerana pihak musuh berpecah, Jika esok mereka bersatu, apa strategi kita?*_

*Dr Mohd Khir Toyo*
Mantan MB Selangor

Dr Mahathir masih mempunyai aura yang digeruni lawannya.

Jumaat, 4 Ogos 2017

Oleh

MENGAPA sejak lebih 40 tahun lalu, sukar bagi pembangkang untuk menewaskan Barisan Nasional (BN)? Apakah kesaktian BN, jika ada, yang menyebabkan ia kekal sebagai kerajaan Malaysia hingga ke hari ini? Dan apa pula senjata ampuh untuk menentangnya?

Dengan meletak ke tepi seketika isu demokrasi Malaysia yang pincang dan kemerosotan hak asasi, undang-undang yang menyebelahi kerajaan memerintah, kawalan media, serta program berasaskan satu kaum dan agama, tulisan ini akan hanya menumpukan kepada faktor politik semata-mata tanpa mengambil kira tekanan dan penindasan yang dihadapi pembangkang.

Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 merupakan platform pertama pembangkang pelbagai aliran bersatu untuk membentuk gabungan menentang BN. Namun, ia gagal apabila pengundi memilih untuk kekal bersama BN pimpinan Dr Mahathir.

Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno serta ditangkap pada 1998 dan kemudiannya dipenjarakan. Ia mencetuskan gelombang kebangkitan orang Melayu. Bagi kebanyakan mereka, Anwar adalah idola pengganti Dr Mahathir.

Namun, pada PRU1999, percubaan untuk menjatuhkan Mahathir dan BN sekali lagi gagal. Walaupun banyak undi Melayu berubah kepada pembangkang, undi kaum lain, khususnya Cina, kekal bersama BN.

PRU2008 pula diadakan dalam keadaan tiada sebarang gabungan antara pembangkang. Keputusannya mengejutkan apabila Abdullah Ahmad Badawi yang memegang teraju kepimpinan negara sejak persaraan Dr Mahathir pada 2003 kehilangan majoriti dua pertiga Parlimen serta kalah di lima negeri.

Pada PRU2013, BN di bawah pentadbiran Najib Razak mengekalkan kemenangan tetapi tanpa banyak perubahan. Malah undi popular Pakatan Rakyat meningkat menjadi 53% tetapi persempadanan kawasan pilihanraya membolehkan BN menguasai lebih banyak kerusi. BN tetap kekal sebagai kerajaan.

Mengapa begitu?

Dalam hal ini, ia melibatkan faktor Dr Mahathir. Sejak 1990 pembangkang gagal membuat sebarang impak kerana aura Dr Mahathir sebagai ketua kerajaan yang dilihat majoriti pengundi sebagai pemimpin yang layak memimpin mereka. Maksud “aura” di sini merupakan kecekapan beliau menggunakan muslihat politik, strategi dan taktik yang bercampur bersih dan kotor, serta penggunaan aparatus negara.

Contohnya pada PRU1990, walaupun Tengku Razaleigh Hamzah memimpin Semangat 46 bersama separuh bekas pemimpin kanan Umno, beliau gagal kerana mereka adalah “pembangkang”, dan bukannya “kerajaan”.

Maksudnya pengundi Melayu khususnya mahu parti Umno yang menjadi kerajaan kerana diajar sejak Merdeka bahawa “hanya kerajaan dapat menjamin masa depan rakyat”. Pembangkang pula dilihat sebagai pihak yang “jahat dan tidak bertanggungjawab”.

Sejak PRU1990 (malah sebenarnya lebih awal, sejak PRU1982), Mahathir sebagai perdana menteri berjaya memomokkan pembangkang sebagai kumpulan yang mahu memecahbelahkan perpaduan Melayu serta boleh menjejaskan hidup serta masa depan orang Melayu. Mudah sahaja alasan ini diterima kerana Dr Mahathir dan Umno menjadi teraju kepimpinan BN.

Oleh itu sukar pembangkang menang kerana mereka tetap dilihat sebagai “pembangkang” oleh majoriti orang Melayu, dan bukan sebagai “kerajaan yang menanti”.

Kini menjelang PRU14, Najib cuba meneruskan skrip lama Dr Mahathir untuk menakutkan orang Melayu agar terus bersama Umno dan BN. Namun, keadaan sudah berubah.

Perbezaan paling ketara hari ini ialah yang menjadi kepala pembangkang adalah Dr Mahathir sendiri, seorang pemimpin yang masih dikagumi orang Melayu. Kini beliau menerajui sebuah parti Melayu yang mahu menggantikan Umno, iaitu Bersatu. Ia bergabung dengan Pakatan Harapan untuk menubuhkan kerajaan baru.

Maksudnya orang Melayu kini melihat Dr Mahathir menawarkan alternatif untuk menolak Umno. Jika dahulu, semua yang melawan Dr Mahathir adalah orang nombor dua atau tiga di bawah beliau.

Yang melawan guru semuanya kalah. Kini beliau sebagai mantan nombor satu bangkit melawan Najib. Ia seperti guru menentang anak muridnya yang melanggar sumpah setia.

Dalam keadaan sebegini, Najib pula memilih jalan untuk mengutuk, menghina dan memperlekehkan Dr Mahathir. Sedangkan Dr Mahathir masih dilihat oleh kebanyakan orang Melayu sebagai tokoh besar yang membuka peluang kepada mereka memasuki arena perniagaan yang tidak pernah dimimpikan sebelum dekad 1980-an.

Memang benar cara Dr Mahathir turut melahirkan kronisme, sistem ekonomi limpahan kapitalis, sikap mediokriti dan pelbagai kelemahan dalam pentadbiran. Namun beliau juga menjadi kebanggaan rakyat Malaysia dengan program pembangunan serta mercu tanda yang dikenali dunia.

Suka atau tidak, Dr Mahathir masih mempunyai aura yang digeruni lawannya. Malah, tindakan dangkal perkauman seperti membangkitkan keturunan kaum datuknya menjadikan lebih ramai rakyat Malaysia termasuk orang Melayu tampil membela Dr Mahathir.

Beliau kini bersama musuh lama politiknya – Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Ismail, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu – bersatu tenaga untuk menumbangkan BN bagi menubuhkan kerajaan baru.

Berbeza dengan keadaan dahulu di mana orang bawahan Dr Mahathir yang cuba menjatuhkannya, kini beliau sendiri menerajui gelombang politik Melayu yang melawan Najib.

Malah, jika benar Dr Mahathir yang melahirkan pemimpin seperti Najib, biar beliau sendiri yang menyelesaikan masalah yang diciptanya itu.

Hanya Sandiwara Penglipur Lara Umno

Selasa, 1 Ogos 2017

Oleh Syed Ibrahim Syed Noh

Sementara rakyat sedang terus menjerit kenaikan harga barang dan kos sara hidup, Datuk Seri Najib kini sedang giat menglipur lara perwakilan persidangan Umno Bahagian tentang kehebatan tadbir urus dan ekonomi negara serta keburukan pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH). Meskipun mesej oleh Datuk Seri Najib Abdul Razak ditujukan kepada perwakilan Umno namun ternyata liputan media secara meluas bertujuan supaya mesej itu sampai ke seluruh pelusuk rumah di bandar dan desa.

Di Parit, Perak, Datuk Seri Najib menegaskan bahawa pemimpin UMNO perlu sentiasa memberikan harapan dan keyakinan bagi pembangunan rakyat, bukannya memainkan elemen ketakutan seperti yang dilakukan pembangkang. Menurutnya, permainan “politic of fear” hanya digunakan oleh pihak yang tidak mempunyai kuasa dan bertujuan menumbangkan pemimpin di tampuk pemerintahan.

Tetapi keesokannya di Kuala Lipis, Pahang, beliau menggunakan elemen ketakutan dengan mengatakan bahawa menukar kerajaan boleh mendatangkan bala dan bencana. Malah katanya rakyat seharusnya mengambil iktibar daripada peristiwa kebangkitan rakyat atau Arab Springs yang menyaksikan banyak negara Timur Tengah seperti Iraq bergolak.

Dua mesej yang bertentangan oleh Datuk Seri Najib tersebut sudah cukup untuk membuktikan yang Umno BN tidak yakin untuk kekal menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Umno BN sedang terdesak untuk terus berkuasa dan cemas dengan kebangkitan pembangkang.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Presiden PH dalam kenyataannya pada 25 Julai, telah dengan tegas mencadangkan agar Datuk Seri Najib tidak memperlekeh kekuatan dan iltizam PH dalam membina Malaysia yang lebih baik, dan sebaliknya beliau perlu mengumumkan bahawa beliau bersedia menerima kehendak rakyat dan memastikan peralihan kuasa yang baik sekiranya PH memenangi PRU14 nanti.

Pada pendapat saya, lama kelamaan rakyat akan bertambah muak dengan pendekatan seloka penglipur lara tetapi sombong dan hipokrit Umno BN.

Kalau benar utamakan rakyat, yakin dengan sokongan, apa perlu ditakut-takutkan rakyat dengan bencana dan mudarat jika PH berjaya mengambilalih Putrajaya?

Kalau benar yakin dengan kekuatan sendiri, apa perlu menuding kepada peranan tokoh lama, mengkambinghitamkan orang, mengaburi dan melindungi pelbagai skandal besar yang berlanjutan tanpa penyelesaian segera?

Kalau benar ekonomi negara baik berdasarkan laporan agensi-agensi antarabangsa, mengapa kadar inflasi dan pengangguran tinggi, tidak rendah seperti yang dikatakan Datuk Seri Najib dalam Invest KL 2017 baru-baru ini?

Kadar inflasi mendadak naik sehingga 4.3 peratus pada suku pertama tahun ini (tahun lepas 2.1 peratus). Antara indeks barangan makanan yang mencatatkan kenaikan ketara dalam bulan Mac 2017 berbanding tempoh yang sama tahun lepas ialah minyak masak (+48.5 peratus). Ini dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Mengapa laporan ini tidak dipetik oleh Datuk Seri Najib?

Kadar pengangguran telah naik sebanyak 12 peratus tahun lepas. Di kalangan belia, kadarnya 10.7 peratus, lebih tinggi daripada tahun lepas (10.2 peratus), malah di kalangan lulusan universiti, kadar pengangguran lebih tinggi pada 15.3 peratus jika dibandingkan dengan mereka yang tanpa kelulusan tinggi iaitu 9.8 peratus. Laporan ini merupakan penerbitan oleh Bank Negara Malaysia untuk Laporan Tahunan 2016. Mengapa laporan ini juga tidak dipetik oleh Datuk Seri Najib?

Mengapa Speaker Parlimen tolak 30 soalan berkenaan 1MDB sedangkan Datuk Seri Najib sendiri boleh pula jawab semasa Invest KL 2017 bahawa kerajaan mengambil serius tentang kepincangan dalam tata kelola 1MDB dan telah mengarahkan siasatan terbesar dalam sejarah negara?

Amat pelik, bangga dengan tindakan yang diambil tetapi bersembunyi di belakang Speaker daripada menjawab soalan wakil rakyat. Banyak perkara bercanggah antara ucapan dan perbuatan Datuk Seri Najib dan pemimpin Umno BN dalam isu skandal 1MDB.

Di samping itu, rakyat masih tertanya-tanya kenapa hutang negara terus bertambah walaupun cukai GST telah dikutip dan banyak subsidi telah dihapuskan? Kenapa harga barang seperti ikan kembung naik sehingga lebih RM20 sekilo? Kenapa tambang pengangkutan awam meningkat? Kenapa harga barang tetap naik walaupun dikatakan akan turun apabila ada GST dan apabila harga minyak turun?

Kenapa kadar kenaikan gaji tetap rendah di mana tahun lepas, gaji hanya meningkat kurang dari satu peratus atau RM17 manakala lebih separuh daripada pekerja di Malaysia hanya memperolehi gaji kurang daripada RM2,000 sebulan? Kenapa matawang negara masih rendah berbanding dollar Amerika, malah antara yang terendah di rantau ini?

Hakikatnya, tumpuan utama perlu diberikan kepada meleraikan kekusutan dan kemelut ekonomi yang dihadapi rakyat. Apakah dasar kerajaan dalam memastikan harga barang tidak naik? Apakah langkah kerajaan dalam memastikan kos sara hidup dapat dikawal dan seimbang dengan kemajuan negara? Apakah polisi kerajaan terhadap sumber tenaga kerja dan penggajian?

Kerajaan parti pemerintah ada amanah yang perlu ditunaikan iaitu membela nasib rakyat Malaysia secara menyeluruh, bukan secara sekerat-sekerat atau mi segera, apatah lagi hanya mencari peluang merompak wang rakyat.

Anwar Ibrahim dalam kenyataannya pada 30 Julai telah menjelaskan azam PH. Katanya, “Muafakat inklusif PH memuktamadkan prinsip asas perjuangan ke arah negara demokratik, adil dan saksama. Dasarnya tidak samar melalui retorik umum, tetapi menggagaskan tonggak negara hukum dengan memulihkan kewibawaan dan kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), badan kehakiman, penguatkuasaan dan menghindari kerakusan, amalan rasuah, kronisme dan kleptokrasi”.

“Dasar ekonomi negara perlu menjurus kepada pemacuan pertumbuhan dan jaminan pengagihan adil dan peduli rakyat. Kita menolak dasar ekonomi pemerintah Umno-BN yang memelihara kepentingan kelompok kecil mahakaya dan mendera rakyat melalui sistem percukaian dan GST; lesen dan kenaikan harga barang”, jelasnya lagi.

Menurut Anwar, PH lebih jelas dan tegas dalam usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu sambil menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda. Malah katanya, memartabatkan kedudukan Islam harus disertai nilai dan etika luhur; tidak hanya pada lambang tetapi membiakkan rasuah dan kezaliman.

Sedang kita memandang ke hadapan dan memberikan harapan buat rakyat, kita tidak boleh berdiam diri terhadap penyelewengan dan kepincangan di hadapan mata.

Penglipur lara akan terus bersandiwara tetapi kecurangan, rompakan dan skandal demi skandal angkara parti pemerintah merupakan kisah benar yang sudah lama terlanjur, dibiarkan malah diselindungi. Ia merupakan satu pengkhianatan kepada majoriti besar melayu bumiputera, peneroka, petani, pesawah, peniaga kecil dan rakyat marhaen. Justeru, amat wajar dibanteras dengan kewibawaan, keadilan dan kebenaran, bukan ketakutan dan ancaman.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat
Pakatan Harapan
#BinaSemulaNegara

Tiga YB Pas bakal tinggalkan parti?

Ahad, 30 Julai 2017

Oleh Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Spekulasi beberapa wakil rakyat Pas bakal meninggalkan parti itu semakin kencang diperkatakan kebelakangan ini apabila mereka yang juga antara tonggak utama parti kini lebih mesra Pakatan Harapan.

Kelibat Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bersama dua Adun Pas, Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) dan Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan) semakin menonjol apabila mula menghiasi pentas ceramah Pakatan Harapan.

Walaupun Mahfuz terlebih dahulu mengorak langkah dengan menerajui aktiviti Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) sejak 2016, namun beliau tetap mengisytiharkan diri sebagai ahli Pas. Manakala Amiruddin dan Mohd Nasir dilihat seakan ‘mengacah’ secara perlahan merapatkan ukhuwah bersama pimpinan Pakatan Harapan.

Telahan ini makin dikuatkan dengan ketidakhadiran mereka pada program anjuran Pas, yang turut disertai pimpinan Pusat, termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah pada Muktamar Tahunan Pas lalu yang diadakan di Kompleks Pas Kedah, ketiga-tiganya tidak hadir.

Gelagat tiga sekawan ini sudah dihidu Pas Kedah, namun tiada tindakan dikenakan, sekadar diberikan surat mohon penjelasan.

Pemerhati politik menyifatkan Mahfuz-Amiruddin-Mohd Nasir memiliki pengaruh yang besar di kawasan masing-masing.

Mahfuz menang di kerusi Parlimen Pokok Sena sejak 1999, sebelum tewas pada calon BN (2004), namun kembali merampas kerusi itu pada PRU 2008 dengan majoriti 5,371 undi, beliau satu-satunya calon parlimen Pas yang kekalkan kemenangan pada PRU 2013 lalu.

Walaupun pertaruhan awal Amiruddin di Parlimen Langkawi (1999) tidak menjadi, beliau sekali lagi diberi kepercayaan sebagai calon PRK Dun Anak Bukit, menggantikan tempat dikosongkan Presiden Pas, Datuk Fadzil Mohd Nor, yang meninggal dunia pada 23 Jun 2002.

Penyandang kerusi itu selama tiga penggal dan merupakan antara kubu kuat Pas di Kedah sejak zaman Allahyarham Fadzil.

Mohd Nasir pula pemimpin muda yang berjaya merobek kubu kuat BN yang sebelum ini diwakili bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain di Dun Kubang Rotan, namun pengaruh BN di kawasan itu beransur hilang dan Mohd Nasir memenangi kerusi itu pada PRU12 dan PRU13.

Adakah Pas bimbang sekiranya ketiga-tiga wakil rakyat itu menyatakan pendirian politiknya yang kurang senada, sekali gus membawa bersama pengundi tetap untuk memangkah mereka walaupun tidak lagi mewakili Pas.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi ketika diminta mengulas perkembangan ini menyifatkan Pas tidak ketandusan calon untuk bertanding PRU14, sekiranya terdapat wakil rakyat Pas ‘lompat parti’.

“Pas tidak pernah sepi dibarisi calon-calon berpotensi dan ada wibawa. Kemenangan Adun Pas adalah hasil muafakat ahlinya, bukan individu. Sama ada kerusi disandang Pas tergugat atau tidak, tunggu sahaja tiupan wisel PRU14 nanti,” katanya.

Sementara penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Pas bakal berkubur jika pemimpin utamanya berhijrah ke parti lain menjelang PRU14.

“Pas akan berkubur di Kedah kerana parti itu sudah tiada pemimpin yang hebat sekiranya pemimpin utamanya sertai Amanah atau Bersatu. Saya percaya Pas tidak sempat persiapkan pemimpin muda untuk ambil alih,” katanya.

Menurutnya, dalam situasi tempoh matang penggal ini akan berakhir (Jun 2018), calon gantian Pas tidak mungkin dapat dibentuk mengikut acuan dikehendaki untuk bersaing dengan penyandangnya jika mereka mewakili Pakatan Harapan.

“Jika ditakdirkan berlaku tiga penjuru, BN ada kelebihan untuk menang. Saya percaya ramai ahli akan tinggalkan Pas sebaik sahaja PRU disahkan tarikhnya,” katanya.

Tambahan pula situasi semasa memperlihatkan pendekatan Abdul Hadi yang mesra Umno.
“Masih sukar Pas bekerjasama dengan Pakatan Harapan selagi pemimpin utama menolak kerjasama itu,” katanya.

Sukar untuk ROS luluskan Harapan sebagai gabungan politik?

Selasa, 25 Julai 2017

Oleh Mohd Sayuti Omar

Pihak Pakatan Harapan telah menghantar permohonan kepada Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk mendaftarkan Harapan sebagai sebuah gabungan parti politik. Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Harapan Dr Mahathir Mohamad dalam sidang akhbarnya hari ini.

Katanya permohonan itu dibuat menerusi talian seperti mana dikehendaki oleh RoS.

Sama ada Harapan akan diluluskan sebagai sebuah gabungan politik seperti BN, ia ditunggu dengan penuh debaran oleh orang ramai. Mungkin pimpinan Harapan sudah dapat membaca apa keputusan yang bakal diterima nanti. Namun kerana ia ada peluang dan jaminan ia dilakukan juga mengikut prosuder yang ada.

Sebelum ini pihak kerajaan memberi jaminan, bahkan mencabar agar parti-parti pembangkang menubuhkan sebuah gabungan dan didaftarnya untuk berdepan dengan BN secara gentlemen. Cabaran sudah disahut namun kelulusan sebuah gabungan pembangkang tidak pernah menjadi kenyataan.

Sewaktu Pakatan Rakyat dahulu ia pernah dipohon didaftarkan sebagai gabungan oposisi tetapi tidak diluluskan dengan berbagai alasan teknikal.

Kini cabaran itu telah disahut sekali lagi.

Bagaimana pun dalam firasat saya permohonan Harapan itu tidak akan dilulsukan. Ia akan diolak dengan berbagai alasan dan teknik. Amat mustahil ia akan diluluskan. Zahid Hamidi sebagai menteri KDN bertanggungjawab dalam hal ini sama sekali tidak berani untuk membenarkannya kerana jika Harapan diluluskan ia sepertilah membukan jalan lebar kepada Harapan untuk menumbangkan kerajaan kleptokrasi.

Lainlah kalau Zahid juga mempunyai hajat sama untuk menumbangkan kerajaannya sendiri apabila dia sudah menghidu yang hayatnya dalam parti itu dengan kedudukkan kini tidak begitu selamat lagi.

Sekiranya RoS menolak permohonan itu parti-parti Harapan perlu menyediakan pelan kedua untuk menghadapi pilihan raya. Hanya ada dua kemungkinan bakal diambil, parti-parti gabungan itu bertanding atas tikit masing-masing atau pun memilih untuk menggunakan satu simbol sahaja derngan memilih mana-mana simboil di antara empat buah parti gabungan itu, Bunga Raya, Mata, Roket atau pun Gunung atau Obor (Amanah).

Yang penting kini Harapan perlu mengestbelishkan gabungan itu di kalangan rakyat dan menunjukkan solidariti yang utuh bagi diyakini rakyat. Aspirasi dan agenda Harapan biarlah berada dalam jiwa rakyat. Bila aspirasi sudah tertanam di jiwa, bertandinglah atas apa simbol sekali pun rakyat akan bersama Harapan.

Manakala penolakan permohonan Harapan itu bolehlah dianggap BN sudah mulai kecut perut untuk berhadapan secara satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang.

Anda juga boleh ikuti perkembangan politik yang makin kontroversi di laman web http://akhbarrakyat.blogspot.my/

Patutkah Pas yg khianat perjuangan rakyat menerima undi ?

Rabu, 19 Julai 2017

Oleh Anak Jati PAS

1. Dulu-dulu, dalam usrah, kuliah, tamrin, mukhayyam, kami anak muda dibakar semangat oleh ulama Pas supaya lawan Umno. Kalau mati kerana lawan Umno, mati syahid. Kalau menang, hidup mulia.


2. Kenapa kena lawan Umno? Sebab pemimpin Umno zalim. Mereka nasionalis, sekularis, pragmatis, tolak Islam. Mereka zalim kpd ulama dan rakyat. Lawan mereka adalah tuntutan agama.

3. Lalu ayat al-Quran tentang tegahan cenderung kpd orang yg melakukan kezaliman pun dibaca, dihurai, disyarah dgn panjang lebar. Sokong Umno, sokong orang zalim. Sokong orang zalim kena sambar dgn api neraka. Nak selamat drpd neraka mesti berjuang bersama Pas.

4. Ada pemuda yg letak jawatan dlm kerajaan utk berjuang bersama Pas. Ditukar, kena tindakan disiplin, tak naik pangkat perkara biasa. Pukul 4 ptg balik kerja, terus ke markas Pas buat kerja utk lawan Umno. Ada duit bagi duit, ada tenaga bagi tenaga.

5. Itu dulu-dulu. Semasa Yusof Rawa dan Fadhil Nor pimpin Pas. Semasa Abdul Hadi belum jadi presiden dan bermenantukan Din. Semasa Nik Abduh, Nasrudin belum jadi MP. Semasa Mat Sabu, Mahfuz, Salahudin memimpin kami para pemuda. Semasa Taib Azamudin masih jadi imam Masjid Negara.

6. Kini, segala-galanya berputar. Umno bukan lagi zalim. Najib tak perlu dijatuhkan. Lawan Umno dikira khianat. Berkawan dgn DAP dikira musuh Islam.

Ayat al-Quran tadi bukan dihala kpd Umno lagi tapi dihala kpd musuh Umno pula.

7. Padahal, Umno yg dahulu dan kini adalah sama dan tak berubah pun. Maknanya, pihak yg berubah adalah Pas.

Berubah daripada lawan Umno kepqda mesra Umno. Kononnya politik matang padahal politik gostan ke belakang.

8. Siapa khianat perjuangan jika ini yg berlaku?
Jawabnya ialah PAS

Patutkah Pas yg khianat perjuangan rakyat menerima undi ?

Anak Jati PAS
Permatang Pauh

Betulkah Pas Lawan Umno ?

Oleh Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi

1. "Carilah hujah lain untuk menentang kami. Sedangkan kita lihat 13 kali PRU, sekali sahaja PAS tak lawan Umno iaitu pada tahun 1974. PRU yang lain kita lawan BN." Demikianlah kata Idris Ahmad utk kawal kerosakan yg sedang ditanggung oleh Pas kini akibat sikap pemimpinnya yg membawa parti itu menjadi pasangan tanpa nikah Umno.

2. Kata Idris tu betul. Atas sebab itulah, dulu-dulu kami masuk Pas. Tak akan ada orang mahu masuk Pas, berkorban segala-galanya, masuk penjara, kalau bukan kerana Pas lawan Umno. Kalau tak mau lawan Umno, baik masuk Umno saja. Itu juga asas penubuhan APU, BA, Gerak, Bersih dan PR.

3. Isunya sekarang ialah, pemimpin Pas cakap lain, tapi bikin lain. Cakap lawan Umno, tapi beri oksigen kpd Umno. Setakat bergambar dgn pemimpin Umno, berpegang tangan dgn Najib dan tak serang Najib, memanglah bukan hujah yg kuat utk kata Pas tak lawan Umno.

4. Hujah yg paling kuat ialah apabila melalui muktamar, Pas putuskan muafakat politik dgn Keadilan dan DAP. Hasilnya ialah terbubarnya PR. Bertempik sorak pemimpin Umno apabila PR terbubar kerana itu petanda hapusnya ancaman terbesar kpd Umno. Penghapus ancaman itu ialah Pas.

5. Keputusan muktamar itu tidak berlaku secara spontan tetapi dimukaddimahkan dgn pelbagai aksi pemimpin utama Pas yg menjalin hubungan sulit dgn pemimpin Umno. Siapa tak tahu peranan Nasharudin Mat Isa dan Hasan Ali? Siapa tak tahu pertemuan sulit Abdul Hadi dan Abdullah Badawi? Siapa tak tahu hubungan intim bekas MA Pas dgn menteri-menteri Umno?

6. Ah, biasalah bertemu...! Tidak, itu bukan pertemuan biasa, tetapi pertemuan beragenda. Dan, agendanya ialah, Pas dan Umno mesti bergabung demi survival Melayu, dan untuk lebih Islamik, ditambah ungkapan demi masa depan Islam di negara ini. Selepas bertemu secara sulit, dan nampaknya pertemuan itu direstui, barulah terjadi pertemuan terbuka di stadium sempena Rohingya dan banyak lagi.

7. Serentak dgn semua peristiwa itu juga, terpacullah kenyataan demi kenyataan lunak terhadap Umno, timbullah slogan politik matang, Najib tak salah dalam 1MDB, campurtangan kuasa asing, termasuk MA Pas sekarang yg berkata Pas bersedia bertahaluf siyasi dgn Umno. Pada masa yg sama, kerajaan Pulau Pinang diserang, kerajaan Kelantan pula nampak semakin mesra Umno, yg semuanya itu menjadi isyarat bahawa Pas memang sudah sangat intim dgn Umno.

8. Cuma, apabila Pas nampak, kalau semua itu tak dikawal, Pas akan semakin rosak teruk, apatah lagi selepas penubuhan Amanah, bocornya mesti ditampal. Caranya ialah seperti yg Idris lakukan iaitu nafikan Pas kerjasama dgn Umno. Beritahu ahlinya, Pas nak lawan Umno, yg hakikatnya seperti menampal tanah liat pada papan perahu yg bocor.

9. Pas kini sudah bersendirian. Gagasan Sejahtera tak ada apa-apa pun, hanya nama. Dengan terpersadanya PH dgn kesatuan logo dan halatuju, Pas semakin tersudut. Apa yg Pas boleh buat kini ialah kawal ahlinya yg cuma tinggal separuh drpd jumlah asal drpd terus berlari keluar. Kecuali pentaksub, Pas dah tak terkawal lagi.

10. Satu lagi pilihan yg Pas ada ialah, halalkan hubungan sumbang Pas - Umno. Ini dilihat lebih baik bagi Pas, bagi PH, bagi rakyat dan bagi agama ini. Idris tak perlu bimbang, kalau dia rasa Pas sudah terperosok, dia boleh bersama Amanah. Dia juga tak perlu bimbang, tanpa Pas pun agama ini akan tetap terbela.
 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger