Home » , » , Pelbagai kejutan dalam Nunji 2015

, Pelbagai kejutan dalam Nunji 2015

Written By Wadah Baru on Rabu, 19 Ogos 2015 | 10:49 PG

OLEH XIFU NASER

SALAH satu ciri seorang pendakwah adalah umpama seorang restaurant critic (penilai restoran). Kita tidak taksub kepada mana-mana restoran, mana-mana menu. Amanah kita ialah kita cuba pelbagai restoran dan menu untuk menilai sejauh mana makanannya halalan dan tayyiban (berkhasiat).

"Gua mau pegi NUNJI 2015 lah? Itu GHB mau buat menu Nadwah al-‘Ulama Lin-Nahdah al-Jadidah," saya zahirkan niat saya.

"Xifu, ini konvensyen hanyalah propaganda sebuah parti politiklaah. Mesti promosi partinya dan mindset monokultural: masuk Islam, masuk Melayu!" sahabat Cina Muslim tidak setuju dengan niat saya.

Tiada seorang pun aktivis Cina Muslim yang mahu hadir! Tiada manfaat pun bagi seorang Cina Muslim kerana dia dah jemu dengan wacana Melayu-Islam.

Kita faham kalau Ulama Muda Umno hanya terdiri daripada pemikir Melayu sahaja kerana amanah Umno ialah membela Melayu. Tetapi yang regresifnya ialah apabila Pas yang memperjuangkan Islam For All meniru Umno kerana tiada seorang pun ulama atau tokoh pendakwah Cina Muslim dalam Majlis Syura Ulama Pas. Pas adalah parti yang bermindset Tuan Melayu juga, tetapi dibalut jenama ‘Islam’.

Tiada pun pelan Pas yang serius sejak 57 tahun lalu untuk melahirkan ulama Cina Muslim. Perspektif Cina Muslim hanya kasta bawahan walaupun Cina mempunyai saham terbesar dalam menjaga maslahat ekonomi Malaysia.

Yang kita belajar daripada Pas masa kini ialah ‘Lu barua’, ‘Lu kafir harbi’, ‘Lu pengkhianat’, ‘Lu murtad jemaah’, ‘Lu dengar, gua cakap’, ‘Lu mau hudud siku dan lutut kah’, ‘Lu pi talak isterilah!’

Ugutan, ancaman, hinaan bertubi-tubi dari sebuah parti yang menggelarkan dirinya ‘Jemaah Islam’. Dr Mujahid, Pengarah NUNJI berkata, ‘Islam itu ramah-ramah, bukan marah-marah’!

Maka, saya hadir sebagai restaurant critic atas jemputan Haji Kamal Koh, aktivis GHB. Di NUNJI, saya dikejutkan oleh mukadimah Dr Mujahid bahawa wacana kafir harbi / kafir dzimmi sudah tak realistik lagi.

Katanya, kita perlu Fiqh Malizi yang mengambil berat realiti multikultural dalam konteks Malaysia. Konsep ‘ummah’ perlu inklusif pelbagai budaya, bukan eksklusif untuk Muslim sahaja.

Dikejutkan juga oleh Dr Siddiq Fadhil yang mengusulkan bahawa fiqh perlu peka kaum. Mungkin sesuatu adalah halal bagi satu kaum tetapi haram bagi kaum yang lain seperti wujudnya madrasah ahli ra’yi dan ahli hadis.

Terkejut lagi apabila Mufti Pulau Pinang, SS Datuk Dr Wan Salim mengusulkan perlunya memudahkan Fiqh [taisir al-fiqh] untuk hadapi konteks masyarakat multikultural, bukan memberatkan mahupun meringankan.

Ustaz Ahmad Awang berjubah seperti seorang ulama konservatif. Tetapi wacana beliau tidak menakut-nakutkan dengan aspek Shari’ah-legalisma seperti hudud tetapi memprioritaskan imej Islam sebagai Rahmah Lil-‘aalamiin.

Syeikh Ferjani, aktivis politik Tunisia menekan bahawa melaksanakan hudud umpama berwuduk. Kalau kondisi-kondisi sosial tidak sesuai, jangan terburu-buru melaksanakan hudud. Bertayamumlah! Tetapi setiap orang Islam wajib menjaga maslahat negaranya. Berpolitik untuk menang khidmat, bukan menang kuasa.

Dr Maszlee pula mensyarahkan hadis bahawa Nabi SAW mengiktiraf sebarang ‘khair’ (kebaikan) walaupun Nabi tidak pernah sebut tentangnya. Kebaikan bersifat universal.

Bagi saya sebagai restaurant critic, apa yang ‘unsangkarable’ di NUNJI ialah saya tidak nampak taksub promosi parti. Ia mengetengahkan Islam, bukan parti, sebagai agenda utama.

Lagi ‘unsangkarable’ bagi saya ialah ulama-ulama Melayu di NUNJI berusaha keluar dari zon selesa monokultural. Mindset Melayu yang menganggap Islam sebagai hak milik Melayu adalah satu warisan psikologi yang sukar direntas. NUNJI adalah ‘restoran’ baharu yang ajak kita rasa menu multikultural yang halal.

Bagi mereka yang selama ini hanya rasa satu jenis menu masakan, maka mereka mungkin terbuka selera di NUNJI untuk cuba masakan budaya lain pula. Saya berharap NUNJI juga akan mengajak tokoh Cina Muslim pula untuk memberi syarahan utama tentang hala tuju wacana Islam.

Tokoh Melayu di NUNJI bukan sekadar bermindset Melayu, tetapi mereka berusaha memakai topi mindset Cina, India, Dayak, Kadazan untuk menghasilkan wacana Fiqh Maliziang pragmatis beyond politico-cultural partisanship dalam konteks Malaysia. Ini langkah pertama yang luar biasa.

Saya akan pergi lagi untuk makan!

* Abdul Naser Tun Rahman Ketua Biro Pendidikan, Persatuan Cina Muslim

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger