Oleh Fouziah Amir
KISAH beliau melarikan dua anaknya dari Australia ke tanah air,
menjadi arkitek dikagumi dalam memperjuangkan seni bina Melayu
tradisional, pembela bangunan warisan, kini pemilik nama Datuk Raja
Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Raja Bahrin), 60, menjadi sebutan dalam
arena politik.
Beliau menjadi ahli Parlimen Kuala Terengganu atas
tiket Pas pada Pilihan Raya 2013 dengan kemenangan majoriti 10,785
undi. Pada 31 Julai lalu, beliau diumumkan sebagai Pengerusi Parti
Amanah Negara Terengganu. Dengan pelantikan tersebut, beliau diketepikan
dari segi perhubungan, kerjasama, bantuan dan kemudahan oleh Pas Kuala
Terengganu.
Dalam mengharungi suka duka perjuangan politik ini,
bapa kepada anak lapan ini tidak menoleh ke belakang walaupun didesak
untuk letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu. Baginya, apa
yang penting rakyat menilai, memilih dan mengundi beliau.
"Prinsip hidup saya sebagaimana Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat kata,
kita mesti beramanah apa yang kita buat. Apabila orang lantik kita,
jawatan kita terima atas amanah dan lakukan sebaik-baik. Oleh itu saya
terpaksa keluar dari Pas kerana sewaktu terima jadi calon, konsep
rahmatan lil alami kita bukan sahaja jaga orang Melayu dan orang Islam
tapi semua di negara majmuk.
“Dulu, saya tak terfikir menjadi
ahli politik. Tapi kecenderungan saya terhadap rakyat bermula sejak di
zaman sekolah. Saya banyak bersama kawan asrama yang datang daripada
keluarga susah. Bakat mereka tinggi tapi tak ada duit nak beli peralatan
dan kasut sukan," ujar bekas ketua murid Sekolah Menengah Sultan
Sulaiman, Kuala Terengganu.
Anak tunggal kepada pasangan Raja
Ahmad Baharuddin Shah dan Tengku Zaleha Almarhum Sultan Ismail
Nasiruddin Shah, pernah tinggal di Kuala Lumpur selama lima tahun
bersama datuknya, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum
Sultan Sir Zainal Abidin III Muazzam Shah yang menjadi Yang di-Pertuan
Agong ketika itu.
“Datuk merupakan bekas majistret sebelum
menjadi Yang di-Pertuan Agong. Mungkin orang sangkakan duduk di istana
itu hidup mewah, tapi sebenarnya saya banyak belajar daripada datuk.
Datuk tidak dibesarkan sebagai anak raja, jadi datuk pandai bawa diri.
"Saya ingat kata-kata datuk: ‘kalau datuk boleh tinggal duit banyak
mana pun kepada cucu, duit itu tak berguna kerana suatu hari akan habis.
Tapi kalau kamu pandai cari ilmu, ilmu akan kekal dengan kamu sampai
bila-bila’. Pesanan itu saya kongsikan dengan anak,”katanya.
PERTAHAN WARISAN
Graduan lulusan seni bina dari University of Melbourne, Australia
(1978-1981) ini pernah menimba pengalaman bekerja setahun dalam bidang
pemuliharaan bangunan lama yang kebanyakannya sejarah warisan Victorian
di Melbourne. Jadi beliau mencuba menjalankan usaha yang sama di
Malaysia.
Sekembali ke tanah air, Raja Bahrin berkhidmat sebagai
arkitek di sektor kerajaan di Terengganu selama dua tahun sebelum
membuka syarikat sendiri, Senibahri Arkitek di Kuala Terengganu. Antara
hasil seni bina dan reka beliau ialah Masjid Tengku Tengah Zaharah atau
lebih dikenali Masjid Terapung di Kuala Terengganu, Istana Melawati dan
Hotel Pullman di Putrajaya dan Muzium Negeri Terengganu iaitu muzium
terbesar Asia.
“Perjuangan saya dari 1980-an hingga kini adalah
menyelamatkan bangunan bersejarah. Di Malaysia ada pelbagai warisan,
seperti Belanda, Melayu, Jawa, Minang dan Bugis. Tetapi orang kita tak
ambil berat masa itu.
"Saya bersama Allahyarham Tan Sri Mubin
Sheppard menubuhkan Badan Warisan Malaysia 1983 dalam usaha
menyelamatkan bangunan lama.
“Dengan kerjasama Pengerusi
Petronas, Tan Sri Abdullah Mohd Salleh ketika itu, kita dapat selamatkan
bangunan pertama, Istana Tengku Long yang dipindahkan dari Besut ke
atas tapak Muzium Kuala Terengganu, seluas 24.3 hektar,” katanya.
Beliau menyarankan kepada golongan siswa bidang seni bina kenal diri,
kampung dan warisan sebelum belajar seni bina orang lain. Katanya,
apabila kita memulihara bangunan lama, mengkaji dan menghayati, maka
dengan sendiri kita menyerap roh sejarah lama di dalam hati sanubari.
Jadi senang cari ilham untuk tonjolkan dalam pembangunan.
“Kita
banyak kelemahan mengenal sejarah. Kita hanya menghafal sejarah untuk
lulus peperiksaan tapi tak ada penghayatan. Golongan muda mencari-cari
sesuatu. Tak boleh salahkan mereka kerana kita tinggalkan terlalu sikit
untuk mereka,” ujar beliau.
SUARA SISWA
Raja Bahrin tidak
asing dalam kalangan siswa yang terlibat dalam aktiviti politik. Beliau
berpendapat golongan anak muda penting dan berhak mengetahui hal
politik semasa, kerana mereka bakal pemimpin masa hadapan.
“Pada masa sama, siswa perlu bijak mengimbangi perjuangan dan pelajaran
agar masa depan tidak jejas. Jika terlibat dengan kesalahan
undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)
2012, biasiswa mungkin ditarik balik dan diberhentikan pengajian. Tetapi
jika semua siswa mengambil jalan selamat, siapa pula nak berjuang?"
Katanya, kawalan ketat di kampus di mana siswa digantung dan dibuang
jika tidak patuh arahan pihak berkuasa, ini melahirkan generasi siswa
yang pekak, buta dan tuli dengan isu semasa.
“Mereka yang mahu
menceburi dunia politik, perlu ada asas (kelulusan) untuk cari makan
keluarga. Politik memang perlukan pengorbanan besar termasuk kewangan.
Saya kagumi sikap mereka yang berani dan celik maklumat.
"Apa jua
rintangan dan cabaran dihadapi, apa yang penting kita percaya lakukan
untuk kebaikan umum. Hidup ini tak ada makna kalau kita tak dapat
menyumbang. Setiap manusia diberi kelebihan cara masing-masing..."
katanya.
(Tulisan Fouziah Amir, Sinar Harian 28 Oktober 2015)
Home »
artikel
,
Penulis Tamu
» Kenali Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Pengerusi Amanah Negeri Terengganu
Kenali Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Pengerusi Amanah Negeri Terengganu
Written By Wadah Baru on Rabu, 28 Oktober 2015 | 4:43 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan