PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) “merehatkan” seorang pensyarah
berpangkat profesor yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur
perkauman, daripada mengajar kelas membabitkan 2 pelajar India yang
dikatakan menjadi mangsa penghinaannya.
Naib Canselor UM, Tan Sri Prof Dr Mohd Amin Jalaludin dalam satu
kenyataan kepada FMT hari ini berkata, tindakan itu diambil susulan
nasihat panel penyiasat dan siasatan masih diteruskan serta “ia berjalan
seperti dirancang”.
“Pihak universiti mengambil semua langkah sewajarnya, termasuk
menubuhkan panel siasatan awal bagi mencari bukti dan asas kepada aduan
berkenaan, panel luar dan langkah lain yang ditetapkan.
“Berdasarkan cadangan panel siasatan, pensyarah terbabit sudah
direhatkan daripada tugas memberi kuliah untuk kelas terbabit. Cadangan
ini dibuat bagi memastikan siasatan penuh dapat dijalankan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof
Datuk Dr Raduan Che Rose dilaporkan berkata, pihaknya selesai
menjalankan siasatan dan laporan sudah diserahkan kepada Amin, minggu
lalu.
Dr Raduan berkata, MPN mencadangkan beberapa langkah dan tindakan
untuk diambil UM dan terpulang kepada naib canselornya bagi menentukan
tindakan lanjut.
Dr Amin berkata, UM tidak akan membiarkan sebarang tindakan bersifat rasis dan prejudis terhadap mana-mana pihak.
“Tindakan tegas seperti termaktub dalam undang-undang negara, kaedah
dan peraturan akan diambil bagi mengendalikan kes sedemikian.
“Sementara menunggu siasatan selesai, UM menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu,” katanya.
Pada 17 Februari lalu, salah seorang pelajar terbabit, Lalitha
Sudeshna melalui Facebooknya mendakwa seorang pensyarah di Fakulti
Pendidikan UM bersikap rasis dengan melarang beliau dan rakannya duduk
bersebelahan atas alasan orang India meniru tugasan masing-masing.
“Ketika kami mengambil tempat, beliau tiba-tiba berkata, ‘India, saya
tak suka India duduk bersama-sama. Jangan bawa budaya Unitar ke sini.
India duduk sama-sama lepas itu akan tiru assignment dan plagiarise.
Saya kenal India’.
“Kemudian beliau berkata kepada saya, ‘You, baju merah, duduk depan sekarang’.
“Kemudiannya berkata kepada rakan saya, ‘You duduk sana’,” katanya menceritakan pengalaman bersama rakannya.
Lalitha mendakwa ia bukan kejadian pertama dengan pensyarah berkenaan
kerana mereka pernah menerima kata-kata menyakitkan ketika sesi
orientasi pelajar.
Catatan Facebook itu kemudiannya menjadi tular.
UM ‘rehatkan’ pensyarah didakwa hina pelajar
Written By Wadah Baru on Jumaat, 17 Mac 2017 | 9:55 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan