PETALING JAYA: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan
sendiri rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) 1965 atau RUU 355 di sidang Parlimen kali ini, kata timbalan
perdana menteri.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dipetik Utusan Malaysia berkata,
tindakan itu selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang
begitu komited mengetengahkan hasrat berkenaan tanpa mengganggu-gugat
kepentingan kaum dan agama lain di negara ini.
Timbalan pengerusi BN itu berkata, perkembangan itu memperlihatkan
kerjasama kerajaan BN dengan “rakan baru” yang pernah menjadi musuh
politik untuk bersama memelihara kesucian agama Islam dan kedaulatan
bangsa.
“RUU 355 akan dibentang sendiri oleh kerajaan di Parlimen tidak lama
lagi. Insya Allah dengan doa untuk kita menyatukan orang Melayu. Biarlah
kita kehilangan segelintir ‘kawan’ kita, tapi kita akan dapat ‘kawan
baru’ yang kumpulannya lebih besar bersama kita.
“‘Kawan baharu’ kita ini mungkin dulu musuh politik kita, tapi mereka
sudah faham untuk sama-sama tangani masalah (berkaitan Islam) dengan
tidak mengetepikan agama lain,” katanya dipetik akhbar itu hari ini.
Ahad lalu, Najib dilaporkan berkata, kerajaan pimpinan BN
mengutamakan langkah mendahulukan rakyat dalam sebarang kerjasamanya
dengan PAS demi memastikan kesejahteraan rakyat.
Katanya, pemimpin parti berkenaan perlulah mengetepikan ideologi
sempit politik kepartian dalam jalinan kerjasama sedemikian kerana ia
tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.
RUU 355 pertama kali dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang di Dewan Rakyat pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah
Syariah.
Ahli Parlimen Marang itu pada sesi terakhir Parlimen November lalu
meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda
tidak melebihi RM100,000 dan maksimun 100 sebatan berbanding maksimum 3
tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan
Mahkamah Syariah ketika ini.
BN akan bentang RUU 355 di Parlimen, kata Zahid
Written By Wadah Baru on Sabtu, 18 Mac 2017 | 10:30 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan