Home » , » Salahuddin Ayub: Putrajaya gopoh tangani Korea Utara

Salahuddin Ayub: Putrajaya gopoh tangani Korea Utara

Written By Wadah Baru on Sabtu, 18 Mac 2017 | 1:00 PTG

Oleh Salahuddin Ayub

Malaysia seperti mengambil pendekatan konfrontasi apabila mengumumkan untuk menjadikan mayat Kim Jong Nam sebagai tebusan atau pertukaran dengan pegawai-pegawai dan rakyat kita yang ditahan di Korea Utara, ia telah memberikan persepsi yang kurang bijak bagaimana skil diplomasi kita Malaysia mendepani isu ini dengan negara penyanggak seperti Korea Utara.

Sekiranya benar ia satu pilihan adakah itu pilihan terbaik yang ada pada kita dan kenapa ia perlu diumumkan terlalu awal?

Malaysia telah memulakan tindakan persona non grata dengan menghalau pulang duta Korea Utara sebelum kita membuat “clearence” iaitu memanggil pulang dahulu duta, pegawai-pegawai dan rakyat kita di Korea Utara. Tindakan ini boleh dipersoalkan kebijaksanaanya sehingga memangsakan pegawai dan rakyat kita di Pyongyang.

Kita yakin negara sebenarnya memiliki diplomat dan bekas diplomat yang terlatih dan cemerlang yang bersedia memberikan khidmat terbaik mereka dengan pengarahan yang tepat dan betul dari pimpinan utama negara.

Malangnya sejak berlakunya ketegangan KL-Pyongyang dalam isu kematian misteri Jong Nam, Perdana Mentari dan Timbalannya termasuk Menteri Luar nampak seperti terkapai-kapai, panik dan hilang panduan. Sepatutnya pada saat yang begitu kritikal ini kita bercakap dalam laras bahasa dan tindakan diplomatik yang sewajarnya.

Sebenarkan kita boleh bermula dengan pendekatan “quiet diplomacy” iaitu menggunakan ruang lebih “condusive” di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan membuka ruang rundingan dengan Duta Tetap Korea Utara di PBB. Suasana panas KL-Pyongyang boleh disejukan sedikit dengan angin nyaman di awal musim bunga di kota New York.

Kita juga ada pilihan untuk menggunakan forum ASEAN dengan mengadakan perbincangan bertukar-tukar nota diplomatik dan ini sekali gus menghantar isyarat kepada Pyongyang bahawa Kuala Lumpur tidak keseorangan dalam menghadapi isu ini.

Apabila Timbalan Perdana Menteri menyatakan bahawa Malaysia tidak perlu negara ketiga untuk menyelesaikan isu ini, kita merasakan beliau agak gopoh membunuh satu peluang yang ada di hadapan kita. Adakah ini satu kenyataan yang bijak atau hanya kononnya mengatakan kita ada maruah dan tak perlu pertolongan orang lain?

Bukanlah satu perkara yang mengaibkan bagi negara-negara kecil seperti Malaysia menggunakan khidmat negara ketiga untuk menjadi mediator kerana itu adalah sebahagian dari adat dan resam dunia diplomatik. Yang memalukan ialah kita mengeluarkan kenyataan yang kurang cermat dan tindakan yang gopoh dan dunia mentertawakan kita.

Salahuddin Ayub ialah Timbalan Presiden Parti Amanah Negara

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger