Home » , » RUU 355: BN boleh bentang tapi PAS mahu tengok draf

RUU 355: BN boleh bentang tapi PAS mahu tengok draf

Written By Wadah Baru on Ahad, 19 Mac 2017 | 1:00 PG

CYBERJAYA: PAS menganggap hasrat Barisan Nasional (BN) untuk membentangkan sendiri Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Parlimen sebagai keputusan tidak muktamad, kata Presiden PAS.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS memilih untuk melihat terlebih dahulu isi kandungan RUU355 dan berharap agar ia tidak menjejaskan kepentingan semua pihak.

“Kita tidak anggap itu muktamad. Kita hendak lihat drafnya dahulu. Kalau lain dari yang kita mahukan, itu sudah tidak betul. Kita tidak mahu bertindih.

“Kita mahu kerjasama baik dalam perkara yang mementingkan kepentingan orang Islam, Mahkamah Syariah dan tidak menjejaskan orang bukan Islam,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Profesional Malaysia, hari ini.

Semalam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, tindakan membentangkan RUU355 di Dewan Rakyat selaras dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang komited mengetengahkan hasrat berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkembangan itu memperlihatkan kerjasama kerajaan BN dengan “rakan baru” yang pernah menjadi musuh politik untuk bersama memelihara kesucian agama Islam dan kedaulatan bangsa.

Sehubungan itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, demi meningkatkan taraf mahkamah syariah, PAS tidak teragak-agak untuk bekerjasama dengan BN, malah beranggapan ia adalah tanggungjawab bersama.

“Ya kerjasama (antara BN dan PAS),” kata Hadi.

“Kita sudah sama-sama berhasrat untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah. Ini kepentingan bersama PAS atau Umno.

“Kita minta penghormatan orang bukan Islam kepada hak orang Islam ini dipelihara dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebab itu campur tangan orang bukan Islam satu perkara yang tidak manis dalam kita bermasyarakat majmuk,” katanya.

RUU 355 pertama kali dibentangkan Hadi pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Ahli Parlimen Marang itu pada sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimun 100 sebatan berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger