Home » , » Dr Mahathir Mohamad tidak gentar dengan penubuhan RCI

Dr Mahathir Mohamad tidak gentar dengan penubuhan RCI

Written By Wadah Baru on Rabu, 23 Ogos 2017 | 1:49 PTG

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak gentar dengan penubuhan sebuah lagi suruhanjaya siasatan diraja (RCI) terhadapnya untuk merungkai insiden Kampung Memali lebih 3 dekad lalu.

“Banyak perkara yang berlaku semasa pentadbiran saya. Saya rasa mereka harus siasat segala-galanya. Orang yang bekerja dengan saya juga perlu disiasat,” kata bekas perdana menteri
Menurutnya, tindakan menubuhkan RCI hanya menunjukkan niat memburukkan mereka yang menentang kerajaan.

“Kita boleh tubuhkan banyak RCI, kerana kita mahu tunjukkan yang penentang kerajaan salah,” katanya dengan nada sinis.

Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sedia pertimbangkan penubuhan RCI untuk mengkaji peristiwa Memali 1985.

Dr Mahathir kini menjadi tumpuan dalam RCI mengenai kerugian tukaran matawang asing Bank Negara Malaysia yang memulakan prosiding minggu ini.

Peristiwa di Kampung Memali yang meragut 18 nyawa termasuk 4 anggota polis menjadi tumpuan selepas soalan mengenainya diajukan kepada Dr Mahathir pada forum “Nothing to Hide” anjuran PPBM pada 13 Ogos lalu.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri ketika peristiwa itu yang menyaksikan konfrontasi antara polis dan pengikut guru agama dan pemimpin PAS Ibrahim Mahmud, yang cuba ditahan pihak berkuasa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kerajaan pernah menerbitkan kertas putih mengenai insiden Memali pada 1986, tetapi kandungannya dipersoalkan penduduk kampung dan PAS.

Dr Mahathir sebelum ini mempertahankan tindakan polis ketika itu dan berkata mereka mesti mempertahankan diri daripada serangan penyokong Ibrahim.

Ketika ditemui di pejabatnya semalam, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu yang terkenal dengan sikap tenang menjawab soalan wartawan, apabila ditekan, menyindir Datuk Seri Najib Razak:
“Seperti yang Najib cakaplah, saya tidak berbuat apa-apa sepanjang 22 tahun itu. Selama 22 tahun saya duduk dan tak buat apa-apa.

“Jadi dia mesti ada bukti. Mungkin gambar saya sedang duduk dan tak buat apa-apa. Tentu sekali semua dakwaan itu politik.”

Beliau mengulangi gesaan menubuhkan RCI menyiasat dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib.

“Mereka mesti tidak mahu tubuhkan suruhanjaya untuk siasat RM2.6 bilion dalam akaun Najib, atau ke mana perginya wang 1MDB.

“Kita mahu tahu ke mana perginya itu, tetapi kamu jangan siasat, kerana peguam negara kata Najib tidak melakukan kesalahan.

“Apabila peguam negara kata begitu, bererti Najib tidak melakukan kesalahanlah,” katanya sinis.
Najib sebelum ini mendakwa wang RM2.6 bilion yang diterimanya pada 2013 merupakan derma daripada kerabat diraja Arab Saudi kepada Umno.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger