OLEH HAZAYANI ZAKARIA
Bukan sekadar seni pengucapan awam yang menarik tetapi tindakan
spontan membaling mikrofon di atas pentas adalah terjemahan kepada
perasaan marah dan kecewa Presiden Amanah Mohamad Sabu terhadap sikap
rakyat Malaysia.
Bagi Setiausaha Agung Amanah Anuar Tahir yang turut bersama pada
Himpunan 365 #BebasAnwar di hadapan Penjara Sungai Buloh Ahad lalu,
tindakan Mohamad itu sudah pasti akan lebih diingati oleh orang ramai.
“Tak sampai lima minit beliau berucap, empat minit lebih kurang itu
digunakan dengan baik sekali untuk menyampaikan mesej dan secara spontan
melakukan satu aksi yang menyebabkan ucapannya itu akan lebih diingati.
“Lemparan mikrofon itu sebagai dramatik kepada perasaan kecewanya. Ia
sebagai satu seni pengucapan awam yang menarik dan hanya
pemidato-pemidato hebat sahaja yang berani melakukan aksi begitu,”
katanya ketika ditemui Malaysia Dateline di Wisma Amanah, Kuala Lumpur.
Menjawab sesetengah pandangan sinis bahawa setiap ucapan seharusnya
diakhiri dengan laungan takbir seperti kebiasaan dalam ceramah Pas
dahulu, Anuar berkata sesuatu aksi itu biar kena pada tempat dan
situasi.
“Beliau mengemukakan pandangan bahawa kita masih belum cukup berani
(melawan kerajaan). Takkan kita nak takbir? Bila beliau cakap ada rakyat
yang pengecut, takkan nak takbir Allahuakbar.
“Mesej yang dibawa malam itu memang tepat dan orang semua terdiam.
Dalam keadaan semua ucapan positif, Mohamad mengambil kesempatan untuk
tukar tempo, kena sebut juga yang negatif, kelemahan rakyat di Malaysia.
“Kalau dah terlampau menjolok sangat orang akan memberontak tetapi di
Malaysia orang marah begitu-begitu sahaja. Apabila Mohamad membawa
pendekatan itu, ia sesuai dengan keadaan,” katanya.
Anuar yang merupakan bekas pelajar dalam bidang komunikasi turut menyifatkan Mohamad sebagai komunikator yang hebat.
“Kepada semua pelajar komunikasi harus belajar. Orang yang bercakap
mesti menguasai pemikiran, dapat sampaikan pemikiran dan mesej dengan
baik. Mohamad memang seorang komunikator yang hebat.
Beliau turut menceritakan pengalaman mendengar sendiri ucapan
pemimpin-pemimpin dunia yang disifatkan sebagai sangat berpengaruh.
“Saya pernah menghadiri seminar parti-parti politik Asia di Manila
pada tahun 2000 sewaktu saya menjadi setiausaha Parti Keadilan Nasional
dan saya melihat pelbagai tokoh dengan gaya ucapan masing-masing seperti
Fidel V. Ramos, Joseph Estrada, Benazir Bhutto.
“Fidel V Ramos misalnya dia mencampakkan teks ucapan dia
berpuluh-puluh helai sambil berucap, bagi saya ini satu daya penarik.
Orang-orang yang hebat sahaja boleh buat kejutan begitu dan kejutan itu
akan diingat.
“Sekarang sudah 16 tahun berlalu tapi saya masih ingat lagi peristiwa
itu. Sebagai komunikator yang hebat Mohamad berjaya mengingatkan kita
kepada mesejnya,” katanya.
Baling mikrofon tanda marah dan kecewa Mat Sabu
Written By Wadah Baru on Sabtu, 13 Februari 2016 | 11:10 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan