Home » , » Kajian projek terowong dasar laut 90% siap, kata ketua menteri

Kajian projek terowong dasar laut 90% siap, kata ketua menteri

Written By Wadah Baru on Ahad, 25 Ogos 2019 | 7:24 PTG

GEORGE TOWN: Kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan terowong dasar laut kini di peringkat 90% penelitian, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, draf laporan itu masih diperiksa jurutera perunding bebas yang dilantik, HSS Engineers Bhd.

“Setelah segalanya dibereskan di pihak jururunding, barulah ia akan dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi kelulusan.

“Ia merupakan proses timbal balik, setelah mereka (Consortium Zenith Construction Sdn Bhd) kemukakan kepada HSSI, HSSI akan kaji dan memberi komen sebelum menghantar semula kepada Zenith bagi penambahbaikan.
“Ia masih pada tahap 90%, kerajaan negeri sentiasa menerima maklumat yang dikemas kini,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang dirasmikan Majimor Shariff, isteri Yang Dipertua Pulau Pinang, Abdul Rahman Abbas.

Projek terowong sepanjang 7.2km itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos anggaran RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook baru-baru ini mengenai komitmen menaik taraf sistem perkhidmatan feri Pulau Pinang, termasuk pelan memperkenalkan bot jenis Catamaran yang boleh memberi kesan kepada projek terowong dasar laut, Chow berkata, tiada sebarang keputusan dibuat lagi ketika ini.

“Tiada keputusan lain selain meneruskan kajian kebolehlaksanaan. Tetapi (terowong) bukan keutamaan, keutamaan adalah lebuh raya (dari lebuh raya) dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. Kami berharap dapat memulakannya dalam tempoh 2 bulan.”

Sementara itu, laporan sebuah akhbar berbahasa Cina berkaitan perbezaan harga Toyota Camry 2.5 CBU baru yang dibeli kerajaan Pulau Pinang berbeza dengan Perak, Chow berkata, Pulau Pinang tidak mendapat pengecualian cukai.

“Tidak ada pengecualian cukai, jadi kami membelinya dengan harga pasaran, Perak mungkin telah mendapatnya (pengecualian cukai). Itulah sebabnya wujud perbezaan harga.”

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger