Home » » Orang muda Sabah boleh dapat manfaat daripada Gojek, kata Pemuda PPBM negeri

Orang muda Sabah boleh dapat manfaat daripada Gojek, kata Pemuda PPBM negeri

Written By Wadah Baru on Ahad, 25 Ogos 2019 | 7:26 PTG

KOTA KINABALU: Pemuda PPBM Sabah menyambut baik pengenalan perkhidmatan e-panggilan motosikal Gojek di negara ini dan berharap perkhidmatan tersebut akan diperluaskan ke negeri ini dalam masa terdekat.

Ketuanya Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, mereka yang memiliki motosikal di Sabah, terutamanya orang muda akan mendapat manfaat sekiranya perkhidmatan itu dimulakan di negeri ini segera.

Beliau berkata, ramai orang muda yang hanya mampu memiliki motosikal sebagai pengangkutan peribadi setakat hari ini, justeru Gojek boleh membantu memberikan pendapatan tambahan kepada golongan itu dengan serta-merta.

“Gojek akan membuka peluang kepada generasi muda selain memberi mereka pendapatan tambahan.
“Ia akan memberi kesan positif kepada orang muda terutamanya di bandar dan pinggir bandar,” katanya selepas menghadiri seminar anjuran Pemuda PPBM Tuaran dekat sini, hari ini.
Isquzawan berkata, kesesakan lalu lintas di bandar menyukarkan pemandu motokar sampai ke destinasi mereka tepat masa.

“Kadang-kadang satu jam pun tidak cukup untuk ke bandar, misalnya dari Putatan di mana saya tinggal (kira-kira 20 minit dari bandar) untuk menyudahkan urusan saya jika diambil kira masalah kesesakan dan parkir

“Tapi dengan Gojek, tempoh masa itu boleh dipendekkan.”

Bagaimanapun katanya, peraturan dan undang-undang berkaitan perkhidmatan tersebut harus diperketatkan, termasuk isu wanita sebagai penunggang atau pembonceng.

“Ini bagi mengelakkan kemalangan dan masalah berkaitan sosial daripada berlaku” kata beliau.

Baru-baru ini, Kabinet bersetuju untuk memperkenalkan perkhidmatan Gojek, sebuah syarikat gergasi berpangkalan di Indonesia yang menawarkan perkhidmatan e-panggilan motosikal yang turut beroperasi di negara Asean lain.

Kementerian Pengangkutan diberikan masa sebulan untuk mencadangkan peraturan berkaitan perkhidmatan itu, terutama isu keselamatan pembonceng dan perlindungan insurans.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kebimbangan seorang mufti berkait pengguna berlainan jantina juga akan ditangani.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger