RAKYAT Malaysia tidak usah gundah gulana – kita masih ada sebuah
kerajaan yang boleh berfungsi walaupun wakil rakyat kerajaan berlaga
pandangan tentang dasar dan janji.
Hakikatnya, sepak terajang ini adalah sebahagian daripada demokrasi –
sesuatu yang kita tidak biasa sejak Malaya merdeka pada 1957 dan
Malaysia kemudian dibentuk pada 1963.
Kita lebih terbiasa dengan janji yang dimungkiri, yang mencetuskan
kekecohan ini serta tanggapan bahawa pandangan masing-masing saja yang
betul. Kita lebih terbiasa dengan kata yang tidak dikota, yang
menyebabkan fahaman sempit dan isu perkauman jadi relevan ketika dunia
pesat berubah.
Baik Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN) berkuasa, satu
perkara yang mustahak untuk negara lancar kalau pun tidak aman adalah
ekonomi. Hampir setiap sepuluh tahun, kita mengharungi masa sukar ketika
ekonomi menguncup dan meleset.
Malaysia masih bergelut melepasi jurang itu, sama seperti kebanyakan negara ekonomi lain di dunia.
Cuma, kita selama ini memang berdepan dengan masyarakat yang tidak
menentu dan barangkali untuk kali kedua sejak 1974, kita ada sebuah
gabungan politik yang berpakat walaupun saling membenci dan tidak
percaya antara satu sama lain.
Tidak usahlah kita berpura-pura bahawa inilah kerajaan yang
dikehendaki oleh banyak rakyat Malaysia. Sebahagian rakyat menyingkirkan
BN pada Mei 2018 dengan harapan Dr Mahathir Mohamad dan sekutu barunya
boleh membetulkan cara penyangak Najib Razak dan membongkar skandal
1MDB.
Itu sesuatu yang sedang diusahakan.
Tetapi selagi Dr Mahathir dan kerajaannya tidak mengotakan janji
ekonomi, selagi itu gesaan agar beliau letak jawatan atau berundur dan
kekecohan terhadap setiap perkara akan terus dapat perhatian. Samalah
juga dengan Jemaah Menterinya.
Ini kerana beliaulah yang memilih anggota kabinetnya, yang mungkir
beberapa janji dan tidak pula melaksanakan banyak perkara untuk rakyat.
Misalnya, pilihan raya kerajaan tempatan masih tiada berita, kilang
Lynas boleh beroperasi semula sementara beberapa konvensyen hak asasi
masih belum ditandatangani. Sebaliknya, ada tulisan khat di sekolah
rendah jenis kebangsaan dan kereta nasional ketiga, dan barangkali
kereta terbang.
Masalahnya, sesetengah anggota kerajaan hari ini akan melompat kalau
cadangan ini dibuat oleh mana-mana kerajaan lain. Apatah lagi, mereka
mewakili rakyat yang mahu janji dikota, bukannya dimungkiri.
Dalam erti kata lain, wajarlah Dr Mahathir dan pemimpin PH lain
dikritik dan dipertanggungjawabkan oleh ahli politik mereka sendiri.
Jika mereka tidak selesa, mungkin mereka patut pertimbangkan kedudukan mereka dalam kerajaan ini.
Kerajaan Mahathir mesti lebih mengotakan janji daripada memungkirinya.
Janji itu harus bermula dengan soal ekonomi sekarang dan pada masa sama, merintis sesuatu untuk masa depan.
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan