Oleh Aedi Asri
Hanya satu perkara menjadi tumpuan pada Konvensyen Pakatan Harapan
yang julung kali diadakan Sabtu lalu – iaitu Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) dan komitmennya dalam menyertai Pakatan Harapan.
Maka yang banyak, dan relevan untuk, dilaporkan berkaitan konvensyen
itu adalah kenyataan pemimpin mereka mengenai penyertaan dalam Pakatan
Harapan.
Selebihnya adalah pengulangan daripada pemimpin DAP, PKR dan Amanah
tentang komitmen berkhidmat untuk rakyat serta betapa perlunya perpaduan
dan keyakinan dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Konvensyen ditujukan kepada ahli parti, atau lebih khusus, untuk menaikkan semangat mereka. Jadi nada begini adalah biasa.
Walaupun di sebalik tabir, pemimpin ketiga-tiga parti barangkali
bertelingkah bertepuk meja dalam bilik mesyuarat dan saling menyimpan
prasangka. Itu belum diambil kira persaingan pengaruh dalam parti
masing-masing.
Politik kepartian adalah tentang percaturan kuasa. Hubungan antara
parti dalam Pakatan Harapan adalah tentang tolak-ansur dalam pembahagian
kuasa – dalam bentuk pembahagian kerusi – melebihi perjuangan bersama.
Jika tidak, tentulah kita tidak akan mendengar pergeseran dalam
perebutan kerusi antara mereka pada pilihan raya lalu, serta perebutan
hak bertanding dalam PRK Sungai Besar.
Maka selepas mendengar ucapan di konvensyen yang sudah diulang entah
berapa kali sebelum ini, tidak pasti sejauh mana kemajuan dalam
kerjasama Pakatan Harapan yang berjaya dicapai, 11 bulan selepas ia
wujud secara rasmi, pada Januari lalu.
Ucapan bernada sembang kencang nampaknya sudah menjadi resam kepada ahli politik Malaysia, tidak kira berada di pihak mana.
Pemimpin BN tanpa segan-silu berkata mereka bersih daripada rasuah,
walaupun bertimbun dakwaan yang dihumban ke atas mereka tidak terjawab.
Pemimpin Pakatan pula bersahaja menyuarakan keyakinan dan bersatu
untuk menumpaskan BN dalam pilihan raya, walaupun baru semalam berbalah
sesama sendiri.
Ketika konvensyen, ada beberapa pemimpin menyatakan keyakinan mereka untuk ke Putrajaya dan pada masa sama menghentam PAS.
Walaupun tidak mustahil, ia bukanlah pandangan yang berpijak di bumi
nyata. Buktinya ialah keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Bukti yang lebih kuat adalah hakikat PAS memiliki jentera besar di
peringkat akar umbi, dan memegang sokongan kedua terbesar di kalangan
orang Melayu, berkat doktrinasi berpuluh tahun lamanya, tidak kiralah
baik atau buruk proses doktrinasi itu.
Adakah ahli politik ini jahil tentang hakikat ini? Tentulah tidak.
Mereka sudah bertahun, malah berdekad, terlibat dalam politik.
Sia-sialah pengalaman itu jika mereka benar-benar memaksudkannya.
(Tetapi jika mereka memang memaksudkan kata-kata tentang mengenepikan
PAS, selamat untuk dikatakan yang Putrajaya bukan lagi matlamat mereka,
sebaliknya mengekalkan kuasa yang ada.
PKR di Selangor dan DAP di Pulau
Pinang. Pokok bergoyang kerana angin yang bertiup, tetapi ini cerita
lain.)
Maka penjelasan yang paling hampir adalah ia untuk menaikkan semangat dan menyedapkan hati semata-mata.
Apatah lagi perbincangan tetap diteruskan antara PKR dan PAS, dan PAS
turut diundang menghadiri konvensyen. Hal ini dinyatakan masing-masing
oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan timbalannya,
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Tidak salah sembang kencang seumpama ini, jika khalayak politik di
negara ini juga menganggapnya sedemikian. Tetapi masalahnya apabila
politik Malaysia sudah dilihat sebagai hitam dan putih, watak baik
melawan watak jahat.
Masih ada, dan ramai, yang menganggap ahli politik sebagai wira
penyelamat negara, juru selamat yang akan mengeluarkan mereka daripada
segala macam kesusahan. Kata-kata mereka ditelan mentah-mentah.
Pilihan raya 5 tahun sekali dianggap usaha menjatuhkan penjahat dan
mengangkat penyelamat, atau sebaliknya. Ia bukan lagi untuk memilih
pentadbir negara, yang tingkah laku mereka dikawal oleh sistem dan
institusi negara yang berfungsi.
Ahli politik bukanlah wira penyelamat atau sinar harapan. Mereka
adalah calon pentadbir negara yang dibayar gaji oleh rakyat – seperti
yang sering dilaungkan. Semakin cepat hal ini diterima, semakin kurang
rasa kecewa.
Ahli politik di depan orang dan belakang tabir
Written By Wadah Baru on Selasa, 15 November 2016 | 10:38 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan