Home » , » Buku diharamkan setelah 10 tahun, penulis hairan tindakan KDN

Buku diharamkan setelah 10 tahun, penulis hairan tindakan KDN

Written By Wadah Baru on Sabtu, 10 September 2016 | 10:27 PTG

PETALING JAYA: Penulis buku ‘Malaysia and The Club of Doom: The Collapse of The Islamic Countries’ hairan mengapa bukunya yang berada di pasaran 10 tahun lalu kini diharamkan.

Namun yang lebih membingungkan Syed Akbar Ali, bukunya itu bukan penulisan mengenai agama sebaliknya berkisar mengenai kedudukan ekonomi, sosial dan politik negara Islam.

“Dalam buku itu saya banyak sentuh perkara yang bagi saya akan menyebabkan kejatuhan tamadun, masyarakat Islam dan ia sudah berlaku pun seperti Arab Spring,” katanya
“Saya tidak berapa jelas apa sebab dikatakan sebagai menyeleweng fakta Islam.”

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim mengumumkan perintah larangan keatas empat buku kerana mengandungi unsur bercanggah dengan ajaran dan akidah Islam, serta fakta tidak benar mengenai institusi keselamatan negara.

“Malaysia And The Club Of Doom: The Collapse Of The Islamic Countries”, “Pergolakan Pemikiran Islam: Catatan Harian Ahmad Wahib”, “Torture In Malaysia Prisons: Who You Didn’t Know And Need To Know To Act” dan “The Qoran: A Very Short Introduction” dikenakan perintah larangan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau Akta 301.

Seksyen itu menangani kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan fikiran orang ramai, memudaratkan kepentingan awam, berlawanan dengan mana-mana undang-undang dan memudaratkan kepentingan negara.

Alwi dilaporkan berkata tiga daripada buku yang dilarang itu boleh menimbulkan salah faham mengenai pelaksanaan dan amalan agama Islam aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini, manakala sebuah buku jika dibiarkan boleh mengelirukan pandangan orang ramai tehadap institusi keselamatan negara.

Syed Akbar bagaimanapun tidak merancang untuk mencabar keputusan KDN memandangkan buku itu tidak lagi dicetak dan sukar dijumpai di kedai buku.

Beliau juga berasa sedih kerana larangan itu menunjukkan peluang membaca dan perbincangan di negara ini masih terkawal.

“Antara sebab yang saya nampak negara Islam menghadapi masalah adalah tidak ada ruang untuk bincang isu-isu besar.

“Kita bercita-cita menjadi negara maju dan antara ciri negara maju adalah masyarakat boleh berbincang secara terbuka tanpa perlu merasa takut tindakan akan diambil,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger