Amanah isi kubu tersendiri hadapi PRU14

Rabu, 23 Ogos 2017

Oleh ZAKARIA MUSA 

Kewujudan Parti Amanah Negara berbeda dengan kelahiran parti-parti baru lain. Misalnya, Parti Semangat 46 lahir daripada konflik dalaman Umno selepas proses pemilihan parti April 1987 mencetuskan pertikaian berpanjangan. Aktor utamanya Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Mahathir Mohamad. Kedua-duanya dikenali umum dan popular; seorang bekas menteri kewangan dan seorang lagi perdana menteri.

Parti Keadilan Nasional muncul selepas Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Anwar dilihat sebagai pewaris terdekat takhta Dr Mahathir. Gagasan Reformasi yang dipimpin Anwar mudah difahami rakyat. Isu mata lebam Anwar mendapat perhatian segera masyarakat.

Semangat 46 mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1990, menjadikan pertembungan pembangkang dengan Umno-BN tambah tajam, yang sebelumnya hanya menyaksikan Pas sebagai pencabar terkuat di kalangan pengundi Melayu di lokasi tertentu sahaja. Laluan untuk Semangat 46 memperolehi kerusi agak mudah, terutama apabila mendapat restu Pas yang sama-sama membentuk Angkatan Perpaduan Ummah.

Begitu juga dengan Keadilan, yang turut didukung Pas, dalam Barisan Alternatif, dalam PRU1999. Ketika itu tidak wujud lagi Semangat 46 yang berkubur selepas PRU1995 apabila diserap masuk semula secarfa en blocke dalam Umno. Persaingan sesama parti pembangkang tidak begitu ketara.

Krisis dalaman

Keadaan agak berbeda dengan Amanah, yang lahir ekoran krisis dalaman Pas yang tidak berjaya diuruskan dengan baik dan bijaksana. Umum tidak begitu mengetahui punca perbalahan, malah sebahagian ahli-ahli Pas sendiri jahil mengenainya. Lagi pun masyarakat luar tidak peduli dengan segala pertikaian dalaman sebuah parti pembangkang.

Orang ramai beranggapan pergeseran di antara pemimpin mana-mana pertubuhan politik adalah perkara biasa. Justeru, pemilihan kepemimpinan Pas pada 2015 walaupun digambarkan media sebagai pertarungan yang sengit di antara kumpulan ulamak dan profesional, masyarakat luar tidak memberi perhatian kepadanya.

Malah, ketika itu, kumpulan yang dianggap profesional dalam Pas, tidak mengisytiharkan secara terbuka penentangan terhadap Presiden, Ustaz Abdul Hadi Awang. Jadi apabila mereka kalah secara berkelompok dalam pemilihan itu, maka ditohmah pembentukan parti baru Amanah hanya kerana rasa kecewa tidak dapat menerima keputusan muktamar.

Kelahiran Semangat 46 dan Keadilan tentu lebih mendapat perhatian masyarakat disebabkan ia tumbuh dan membesar di atas konflik parti pemerintah. Justifikasi kewujudannya mudah difahami, apatah lagi tokoh kepemimpinannya adalah figura popular nasional yang mempunyai daya karismatik tersendiri. Titik pertembungan mereka adalah dengan perdana menteri, yang melibatkan polisi dan isu-isu kepentingan awam.

Jadi, tidak pelik jika masyarakat umum kurang mengenali kewujudan Parti Amanah Negara berbanding parti-parti serpihan Umno, termasuk yang terbaru Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang dipimpinan Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin. Bersatu yang lebih muda usianya berbanding Amanah, mudah dikenali kerana faktor negarawan ulung Dr Mahathir dan isu besar yang dibawanya iaitu skandal mega 1MDB.

Wadah alternatif

Amanah walaupun menampilkan bekas pemimpin kanan dalam Pas dahulu, misalnya Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Husam Musa, tetapi mereka tidak pernah memegang jawatan awam yang strategik. Mereka mungkin popular tetapi hanya dalam kalangan aktivis dan penyokong pembangkang, manakala Husam sebagai pembantu rapat Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih dikenali di negeri Kelantan. Apa pun tokoh-tokoh Amanah ini mengisi keunikan tersendiri bagi "menyempurnakan" satu kebangkiran rakyat yang menyeluruh.

Amanah juga lahir sebagai parti Islam yang progresif dan inklusif; bertindak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pas dalam pakatan pembangkang. Ia mengamalkan pendekatan lebih sederhana dan bersikap terbuka, terutama untuk menangani realiti kemajmukan di Malaysia.

Amanah turut memegang kukuh ikatan dan persefahaman di antara rakan-rakan parti pembangkang, serta bersikap tegas menolak politik perkauman dan tidak berkompromi dengan elit penguasa yang zalim dan korup.

Ketika pemimpin utama Pas, terutama Ustaz Abdul Hadi dan barisan ulamaknya dilihat condong dan bermesra dengan kleptokrat Najib Razak, Amanah muncul menawarkan wadah alternatif. Kekal berpaksikan Islam tetapi dengan konsep meratakan Islam sebagai rahmatan lil alamin; Islam yang indah dan ramah. Bagaimana mungkin pencinta Islam boleh bertolak-ansur dengan amalan rasuah, salahguna kuasa dan kecurian wang negara yang maha dahsyat itu? Bukankah ia memberi imej negatif buat Islam sendiri?

Ramai pemerhati politik percaya, jika Amanah tidak ditubuhkan, kemungkinan besar Pas nekad mengambil pendekatan politik untuk berbaik-baik dengan Umno-BN. Dengan kewujudan Amanah, hasrat itu tertunda kerana dibimbangi ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi akan berduyun-duyun menyertai parti Islam progresif itu jika Pas mengadakan tahaluf siyasi dengan Umno.

Malah permusuhan tajam Pas dengan DAP juga dilihat satu strategi untuk memudahkan pembentukan koalisi baru bersama Umno. Semua menyedari, termasuk strategis Pas bahawa tidak mungkin satu parti secara solo dapat membentuk kerajaan tanpa kerjasama dengan parti-parti lain.

Pas juga mungkin kehilangan sebahagian besar kerusi, apatah lagi di negeri-negeri Johor dan Selangor jika ia tidak mengadakan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan ataupun Barisan Nasional.

Laluan sukar

Dalam situasi seperti ini, ketika Pas dilihat belum terserlah hasratnya untuk bersama Umno -- walaupun lenggok badannya ditafsirkan ke arah itu -- maka pengaruh Amanah seakan-akan tersekat. Upayanya untuk menarik sokongan majoriti ahli-ahli Pas memerlukan lebih masa, termasuk kempen penerangan yang intensif dan penjelasan terperinci.

Tambah sukar apabila rakan-rakan kerjasama, seperti Keadilan, dikatakan masih mengintai peluang untuk mengadakan pakatan pilihan raya dengan Pas. Berpakat dengan Pas, apatah lagi dengan berunding tanpa restu Pakatan Harapan, hanya akan mengetepikan Amanah.

Namun, diteliti respons melulu pemimpin Pas, tampak agak mustahil untuk membentuk semula jalinan kerjasama dengan Pas. Malah Pas seperti berasa besar diri dan beranggapan dirinya terlalu penting sehingga diperlukan oleh semua pihak.

Mendekati beberapa personaliti utama Amanah, yang terkenal dengan semangat juang yang tinggi dan komitmen tidak berbelah-bahagi, parti itu mempunyai masa depan yang cerah.

Justeru, tanggapan negatif bahawa pengaruh Amanah hanya sekitar 1 peratus pasti tidak meninggalkan impak negatif, malah mampu menjadi pendorong untuk bekerja lebih gigih, menyampaikan risalah ke seluruh pelosok negara, berganding bahu dengan rakan-rakan Pakatan Harapan bagi menyelamatkan tanahair tercinta ini.

Ada pihak beranggapan kewujudan parti baru Bersatu pimpinan Dr Mahathir adalah satu anugerah tidak ternilai kepada gabungan pembangkang. Benar sekali, tetapi kelahiran Amanah juga adalah pelengkap kepadanya kerana tanpa Amanah nescaya akan wujud ketempangan sokongan pencinta Islam di negara ini kepada Pakatan Harapan.

Moga keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan ini, yang mengisi posisi tersendiri dan kubu masing-masing, mampu menggembleng dukungan rakyat untuk menyelamatkan negara ini dalam PRU14.

Kesempatan terbaik ini tidak datang selalu dan ia sama sekali tidak boleh dibiarkan berlalu hanya disebabkan perbedaan titik-bengik ataupun sedikit ketamakan yang tidak terurus.

Lawan Umno-Pas disamakan menentang Melayu Islam hujah terdesak

Oleh Arif Atan

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menegaskan, bukan sekadar Umno dan Pas sahaja parti politik yang mewakili orang Melayu dan penganut Islam di negara ini seperti yang digembar-gemburkan.

Menurutnya, AMANAH, Bersatu, PKR dan DAP juga dipimpin dan dianggotai ramai Melayu Islam sekaligus menjamin masa depan golongan majoriti rakyat berkenaan jika Pakatan Harapan (PH) diberi mandat menjadi kerajaan pusat.

"Bersatu, AMANAH, PKR bukan Melayu? Dalam DAP, 15 peratus daripada ahlinya Melayu Islam.
"Kalau lawan Umno-Pas menentang Melayu Islam. Ini satu hujah terdesak nak pertahankan Umno-BN guna sentimen Melayu Islam," ujarnya dalam ceramah Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Telok Emas, Melaka baru-baru ini.

Beliau berkata, kesedaran palsu bangsa dan agama yang dimainkan hanya untuk mempertahan rejim kleptokrasi sedia ada yang pada masa ini menyaksikan sejumlah fail mahkamah dibuka oleh banyak negara luar.

"Nabi pesan akan datang selepas diriku mereka adalah penipu, melakukan kezaliman. Maka sesiapa yang mengiyakan pembohongan mereka dan membantu mereka dalam kezaliman mereka, dia bukan daripada aku dan aku bukan daripada dia.

"Tapi sekarang ini tidak boleh (lawan) walaupun zalim sebab dia Melayu Islam, kena dipertahankan. Macam mana ni? Seolah-olah Umno-BN dan Pas sahaja Melayu Islam? Agama, bangsa diperalat untuk mempertahankan rejim yang zalim," bidasnya.

Mengulas sikap pimpinan Pas mutakhir ini yang dilihat banyak menyebelahi kerajaan Umno-BN, Ahli Parlimen Shah Alam itu berpendapat parti yang dianggotainya lebih tiga dekad itu semakin hilang punca.

"Tidak boleh jatuhkan kerajaan Melayu Islam, haram kecuali kalau ditukar kepada Pas. Ini 'fatwa' baru. Terbaru ini, tidak boleh jatuhkan kerajaan Islam, nasihat dengan cara baik, jangan malukan dia (Umno).

"Itu hujah cara Umno dulu. Tiba-tiba parti lama saya bawa. Parti lama saya sudah tidak tentu. Kiri pun tidak, kanan, tengah pun tidak. Tidak tahu mana dia mahu pergi.

"Saya dengan Pas ini 32 tahun, lebih daripada separuh hayat cuba jadikan Pas parti yang bawa risalah Islam agar boleh diterima masyarakat umum.

"Jangan jadi parti Islam yang hanya tahu gaduh dengan bukan Islam sebab Islam ini untuk seluruh manusia," luahnya.

Tambah Khalid, Pas sebelum ini tetap pendirian dengan bertindak dalam usaha menentang ketidakadilan rejim Umno-BN bukan sekadar berdoa dengan berharap situasi menjadi lebih baik.

"Islam tidak ajar begitu (berdoa tanpa melawan). Seolah-olah ajaran Islam itu berdoa. Dulu parti lama saya tolak, sekarang bawa pula fahaman begitu," tegasnya lagi dalam program anjuran AMANAH Kawasan Kota Melaka itu.

Tiada kerjasama PAS-PKR menjelang PRU14, kata PAS

PETALING JAYA: Kerjasama PAS-PKR tidak akan berlaku termasuk membabitkan isu penentuan kerusi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), lapor Berita Harian.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata perkara itu jelas selepas parti Islam itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR pada Mei lalu.

“Walaupun PAS dan PKR masih ada ruang untuk berbincang, setakat ini kami tidak akan berbuat sebarang rundingan dengan PKR.

“Kalau Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail kata mahu berbincang dengan PAS berkenaan penentuan kerusi PRU14, bagi kami senang sahaja, PKR jangan bertanding mana-mana kerusi yang PAS bertanding,” katanya.

Minggu lalu, Wan Azizah tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan PAS dalam perkara penentuan kerusi pada PRU14, selepas hampir 3 bulan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan PKR.

“Memang objektif kita adalah menjatuhkan Barisan Nasional. Kalau ada apa-apa yang boleh membantu kita ke arah itu, kita akan cuba,” katanya mengulas mengenai isu pembahagian kerusi di antara PKR dan PAS pada PRU akan datang bagi mengelak pertandingan 3 penjuru.

Pakatan Harapan Johor akan cabar semua kerusi Umno-BN

Pakatan Harapan (PH) Johor sudah pun bersiap siaga untuk merampas negeri Johor dengan mencabar semua kerusi Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Dalam sidang media diadakan di ibupejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Taman Kempas Utama Johor, hari ini,  Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin berkata PH Johor berpendapat situasi dan keadaan di Johor sudah sampai ke tahap matang untuk PH ambil alih negeri itu daripada kepimpinan Umno-BN.

"Ini berdasarkan fakta data tinjauan yang telah dibuat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Stratgegi PH Johor menawan Johor daripada Umno-BN untuk mengerakkan jentera parti di semua peringkat di bawah Tuan Salahuddin, untuk menyusun dengan strategi tepat dan ingin tentukan persiapan PRU disetiap kawasan Parlimen dan Dun.

"Kesemua kerusi akan dicabar terutama kerusi di  BN.

"Kita mahu persiapan sampai ke PDM (Pusat Daerah Mengundi) dalam kerangka yang diputuskan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). Jentera parti diperingkat akar umbi di bilik gerakan sudah disediakan bagi meninjau tahap kesiap siagaan setiap parti iperingkat negeri Johor," ujarnya.
Muhyiddin turut berkata, proses rundingan kerusi PH di negeri itu sudahpun dimulakan di peringkat Parlimen dan sebahagiannya sudah diputuskan dan akan mula berunding bagi kerusi Dun di negeri itu.
"Hari ini (mesyuarat hari ini) kita ada bincang untuk segerakan perundingan itu (pembahagian kerusi Dun) untuk memudahkan parti beri perhatian di kawasan berkenaan.
"Secara rasmi sudah diputuskan dan menunggu di bawa rundingan di peringkat nasional.Jika ada pertindihan antara parti kita akan selesaikan bersama.

"Semangat yang kita mahu wujudkan dalam perbincangan adalah persefahaman
"Saya fikir keputusan muktamad akan dibuat pucuk pimpinan PH di peringkat pusat dan pimpinan parti yang ada untuk menentukan siapa yang akan mengepalai negeri ini kelak," ujarnya yang menolak tanggapan bahawa berkemungkinan beliau akan memimpin negeri itu sekiranya PH menang PRU akan datang.

J/K PH Johor dibentuk:  Muhyiddin dilantik Pengerusi, Salahuddin Pengarah Pilihan Raya
Hari ini diadakan mesyuarat pertama Pakatan Harapan Negeri Johor  yang turut mengumumkan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor dan Salahuddin Ayub dilantik Timbalan Pengerusi Negeri dan Pengarah Pilihan Raya Negeri manakala Timbalan Pengarah Pilihan Raya dilantik Ir Mad Nasir Hashim dari Bersatu.

Setiap parti gabungan telah melantik tiga wakil untuk berada dalam jawatankuasa di peringkat negeri.
Bagi jawatan Setiausaha Pakatan Harapan dilantik Datuk Osman Sapian (Bersatu) dan Bendahari Gan Tek Cheng (DAP).

Manakala empat Jawatankuasa Biro juga turut dibentuk dalam Pakatan Harapan membabitkan Biro Penerangan dan Mobilasi dilantik Suhaizan Kaiat (Amanah); Biro Tawaran dan Dasar Dr Rama Krishnan (DAP); Biro Perpaduan Kuzan Abu Bakar(PKR); Biro Guaman Jimmy Puah (PKR); Biro Eonomi dan Pembangunan Mazlan Bujang (Bersatu).

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub dalam sidang media sama turut berkata, pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PH Negeri adalah keputusan konsensus parti dalam PH.
"Pemilihan Tan sri sebagai Pengerusi PH dibuat secara konsensus maknanya bukan majoriti.Saya katakan di Johor betapa kami dalam AMANAH DAP PKR dan PPBM serius di dalam membina kekuatan PH di Johor.

"Tiada sebarang 'distribute' dalam pemilihan Tan Sri. Rakyat Johor memberi isyarat jelas bahawa inilah pimpinan parti yang akan berjuang untuk rakyat negeri johor sebagai suatu keyakinan kita terhadap apa yang kita tawarkan kepada rakyat Johor kali ini.

"Kita boleh berubah dan kita ada barisan kepimpinan yang bila-bila masa boleh ambil alih kuasa Umno-BN," ujarnya.

Bagi Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong pula berkata, beliau mengalu-alukan pelantikan Muhyiddin dan Salahuddin dalam barisan kepimpinan PH di Johor untuk memastikan jentera pilihan raya berjalan lancar di setipa peringkat.

"Kami alukan Tan Sri Muhyiddin dan juga Salahuddin sebagai tokoh nasional. Mereka akan membantu Johor dan menjadikan Johor medan pertarungan penting dalam PRU untuk menang dan menawan Putrajaya.

"Kami perlu memenangi sebanyak mungkin kerusi Parlimen di Johor dan kedua tokoh ini sangat menyumbang membantu ke arah itu," ujarnya.

Dr Mahathir Mohamad tidak gentar dengan penubuhan RCI

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak gentar dengan penubuhan sebuah lagi suruhanjaya siasatan diraja (RCI) terhadapnya untuk merungkai insiden Kampung Memali lebih 3 dekad lalu.

“Banyak perkara yang berlaku semasa pentadbiran saya. Saya rasa mereka harus siasat segala-galanya. Orang yang bekerja dengan saya juga perlu disiasat,” kata bekas perdana menteri
Menurutnya, tindakan menubuhkan RCI hanya menunjukkan niat memburukkan mereka yang menentang kerajaan.

“Kita boleh tubuhkan banyak RCI, kerana kita mahu tunjukkan yang penentang kerajaan salah,” katanya dengan nada sinis.

Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sedia pertimbangkan penubuhan RCI untuk mengkaji peristiwa Memali 1985.

Dr Mahathir kini menjadi tumpuan dalam RCI mengenai kerugian tukaran matawang asing Bank Negara Malaysia yang memulakan prosiding minggu ini.

Peristiwa di Kampung Memali yang meragut 18 nyawa termasuk 4 anggota polis menjadi tumpuan selepas soalan mengenainya diajukan kepada Dr Mahathir pada forum “Nothing to Hide” anjuran PPBM pada 13 Ogos lalu.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri ketika peristiwa itu yang menyaksikan konfrontasi antara polis dan pengikut guru agama dan pemimpin PAS Ibrahim Mahmud, yang cuba ditahan pihak berkuasa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kerajaan pernah menerbitkan kertas putih mengenai insiden Memali pada 1986, tetapi kandungannya dipersoalkan penduduk kampung dan PAS.

Dr Mahathir sebelum ini mempertahankan tindakan polis ketika itu dan berkata mereka mesti mempertahankan diri daripada serangan penyokong Ibrahim.

Ketika ditemui di pejabatnya semalam, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu yang terkenal dengan sikap tenang menjawab soalan wartawan, apabila ditekan, menyindir Datuk Seri Najib Razak:
“Seperti yang Najib cakaplah, saya tidak berbuat apa-apa sepanjang 22 tahun itu. Selama 22 tahun saya duduk dan tak buat apa-apa.

“Jadi dia mesti ada bukti. Mungkin gambar saya sedang duduk dan tak buat apa-apa. Tentu sekali semua dakwaan itu politik.”

Beliau mengulangi gesaan menubuhkan RCI menyiasat dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib.

“Mereka mesti tidak mahu tubuhkan suruhanjaya untuk siasat RM2.6 bilion dalam akaun Najib, atau ke mana perginya wang 1MDB.

“Kita mahu tahu ke mana perginya itu, tetapi kamu jangan siasat, kerana peguam negara kata Najib tidak melakukan kesalahan.

“Apabila peguam negara kata begitu, bererti Najib tidak melakukan kesalahanlah,” katanya sinis.
Najib sebelum ini mendakwa wang RM2.6 bilion yang diterimanya pada 2013 merupakan derma daripada kerabat diraja Arab Saudi kepada Umno.

Khalid sah bersara jawatan ketua polis negara

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan beliau akan bersara pada bulan depan, selepas 40 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Portal Berita Harian Online memetiknya sebagai berkata, beliau tidak akan menyambung kontrak perkhidmatannya selepas genap berusia 60 tahun pada 5 September ini.

"Tempoh perkhidmatan saya akan tamat pada usia 60 tahun, 5 September ini.

"Ini keputusan saya sendiri. Sudah sampai masanya saya berehat," katanya yang dipetik portal itu.
Susulan persaraan itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid dilapor akan mengambil alih tugas Khalid.

Khalid memulakan kerjaya dengan PDRM pada 1976 pada usia 19 tahun. Beliau kemudian memperolehi ijazah sarjana muda undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 1995.

Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan pada 2005 sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, seterusnya Ketua Polis Selangor pada Jun 2007.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman pada 2010 dan selepas itu sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada April 2011 menggantikan Tan Sri Husin Ismail yang bersara wajib.

Pada 17 Mei 2013, Khalid yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.

Mahkamah Tinggi kekalkan sabitan OSA terhadap Rafizi

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini mengekalkan salah satu sabitan terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli atas pertuduhan mendedahkan satu halaman Laporan Pengauditan 1MDB, tahun lalu yang adalah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan mengekalkan hukuman penjara 18 bulan.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan OSA kedua, Hakim Datuk Azman Abdullah membenarkan rayuan Naib Presiden PKR itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan memiliki dokumen yang sama.

Hakim membenarkan penangguhan hukuman, sementara menunggu Rafizi memfailkan notis rayuan.
Mahkamah Sesyen sebelum ini mensabitkan Rafizi atas dua pertuduhan OSA dan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan, dengan hukuman itu diperintahkan berjalan serentak.

Rafizi didapati bersalah mendedahkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, tetapi dibebaskan daripada pertuduhan memiliki dokumen itu.


80 peratus ahli Bersatu Tasek Gelugor bekas ahli Umno

Selasa, 22 Ogos 2017

Melihat kepada senario politik terkini, Umno-BN di Parlimen Tasek Gelugor tidak lagi mampu untuk mendapat kemenangan sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Malah rekod kemenangan mereka dalam PRU13 yang lalu dengan kemenangan tipis di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Teluk Air Tawar yang dimenangi oleh Ketua Pembangkang Dun Pulau Pinang, Datuk Jahara Abdul Hamid dengan majoriti 840 undi serta Dun Sungai Dua dengan kemenangan hanya 357 undi bukan lagi suatu imaginasi.

Demikian dizahirkan oleh Timbalan Ketua Bahagian, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tasek Gelugor, Azmi Alang ketika ditemui semalam.

Jelas beliau lagi, keahlian Bersatu yang telah mencecah lebih 3,000 ahli kini merupakan tamparan hebat kepada Umno Bahagian Tasek Gelugor yang diterajui oleh Shabudin Yahaya selaku Ahli Parlimen.

"Lebih 80 peratus ahli Bersatu di Parlimen Tasek Gelugor kini adalah terdiri dari pimpinan Umno cawangan dan penyokong tegar mereka.

"Selain itu terdapat juga ahli Pas yang telah muak dengan permainan politik pemimpin atasan mereka menyertai Bersatu dan juga Parti Amanah Tasek Gelugor.

"Yang terbaru ialah penyertaan 120 orang lagi ahli Umno yang menyerahkan borang kemasukan mereka yang mewakili cawangan Permatang Tok Bidan, Permatang Binjai, Permatang Tok Jaya dan Pekan Darat," ujarnya lagi.

Umno gagal bela orang kampung

Menurut Azmi lagi, kegagalan Umno Bahagian memberi pembelaan terhadap golongan miskin dan orang kampung menyebabkan mereka semakin tertekan dan menyertai pembangkang.
"Umno di Parlimen Tasek Gelugor hanya mementingkan temolok pemimpin dan mengkayakan kroni-kroni mereka secara melampau.

"Dahulu semasa Datuk Seri Shariff Omar memimpin Umno Tasek Gelugor, beliau telah berjaya melaksanakan pengambilan tanah untuk pembinaan Masjid Simpang Tiga yang berdiri megah kini.
"Namun kini, Umno Tasek Gelugor sudah tidak lagi mempunyai keupayaan untuk memberi pembelaan kepada golongan marhaen khususnya yang semakin bercambah miskin di kampung-kampung," tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, kesedaran yang ada pada golongan luar bandar kini menyebabkan mereka mulai bangkit dan menolak kepimpinan Umno.

"Kehadiran Zahid Hamidi dengan program kenduri rakyat di Tasek Gelugor minggu lalu tidak mampu untuk menambah keahlian Umno di Parlimen ini.

"Sebaliknya kehadiran beliau selepas kenduri rakyat yang sama dianjurkan oleh Najib di Permatang Pauh itu tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada pengundi dan rakyat di kedua-dua buah Parlimen tersebut.

"Mereka kerahkan semua agensi kerajaan, pelajar sekolah, maktab dan penjawat awam untuk hadir bagi menunjukkan sokongan kepada kedua-dua pemimpin Umno tersebut, bukanlah kehadiran atas kerelaan tetapi kerana terpaksa, " katanya lagi.

Walau bagaimana pun tambahnya, hampir 60 ribu pengundi yang ada di Tasek Gelugor akan memberi tamparan yang hebat kepada Umno dan BN dalam PRU ke 14 yang akan datang.

"Penduduk miskin di Tasek Gelugor yang menjual petai, menjual tapai, memanjat pokok buah kelapa juga tidak diberi pembelaan oleh Umno.

"Apa lagi yang menjual daun pandan, pisang dan ubi kayu serta kangkung dan bayam turut hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Manakala pimpinan Umno Bahagian hidup senang lenang, yang kaya semakin kaya, yang papa dan kedana tidak dibela sehingga kini, " keluhnya kesal.

Sehubungan itu katanya, pengundi di Tasek Gelugor mesti bangkit dan menolak Umno dan BN di Tasek Gelugor.

"Sebaliknya berikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk membawa perubahan yang lebih baik dalam pilihan raya umum yang akan datang," katanya.

Bacalah Wahai Orang Hari Ini Berkuasa



Pelakon yang terkenal (Arnold Schwarzenegger) menyiarkan gambar dirinya tidur di jalan di bawah patung gangsa yang terkenal, dan menulis sedihnya.

"Bagaimana masa telah berubah".

Sebab dia menulis hukuman itu bukan sahaja kerana dia sudah tua, tetapi kerana ketika, sebagai Gabenor California, dia membuka hotel dengan patungnya di depan.

Para pegawai hotel telah memberitahu Arnold:

"Pada bila-bila masa anda boleh datang dan mempunyai bilik yang disediakan untuk nama anda." Apabila Arnold meninggalkan kerajaan dan pergi ke hotel, pentadbiran itu enggan memberi dia bilik berhujah bahawa hotel itu telah dipesan sepenuhnya.

Dia membawa penutup dan tidur di bawah patung itu dan meminta orang ramai membayangkannya.

Dia ingin menyampaikan mesej bahawa ketika dia berada dalam kedudukan yang tinggi mereka memuji dia, dan ketika dia kehilangan posisi ini mereka lupa dan tidak memenuhi janjinya kepadanya.

Ya, kali telah berubah. Jangan mempercayai kedudukan anda atau kuasa anda atau kecerdasan anda. Semua ini tidak akan berterusan.

Mapim desak kerajaan lucut penyertaan Myanmar dalam sukan SEA

Majlis Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendesak kerajaan melucutkan penyertaan Myanmar di Sukan SEA ke-29 yang sedang berlangsung ketika ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, desakan itu dibuat sebagai tanda protes dengan tindakan Myanmar yang melancarkan semula operasi ketenteraan di Rakhine.

Katanya, Myanmar dijemput menyertai sukan itu atas nama keamanan dan persabahatan tetapi kerajaan negara itu sebaliknya melakukan kekejaman terhadap rakyatnya terutama kanak-kanak juga wanita.

“Kami tidak boleh terima tindakan ini. Mereka berseronok di sini tetapi etnik Rohingya dilaporkan dibunuh dan diperlakukan dengan kejam setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar berhubung keputusan Myanmar melancarkan operasi ketenteraan menentang masyarakat Rohingnya di Myanmar, semalam.
Sehubungan itu, Mapim akan menghantar surat bantahan kepada Menteri Belia dan Sukan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia dan Ketua chef-de-mission (CDM), Myanmar ke Sukan SEA 2017.

Pada masa sama, Mapim dan beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan Islam sepakat menggesa negara Asean memberi tekanan kepada Myanmar untuk menghentikan operasi ketenteraan.

“Kami juga mendesak Setiausaha Agung Asean memanggil mesyuarat khas menyelesaikan konflik ini.

“Kami mahu Penasihat negara Myanmar, Aung San Suu Kyi memainkan peranannya dalam menegakkan keadilan dan mempertahankan hak kumpulan minoriti,” katanya.

Selepas Unisel, SPRM serbu pejabat SUK Selangor

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu pejabat Menteri Besar Diperbadankan (MBI) milik kerajaan Selangor bagi menyiasat pertikaian kontrak membabitkan universiti itu dengan bekas kontraktornya, Jana Niaga Sdn Bhd, dan dakwaan rasuah membabitkan RM10 juta.

Sepasukan 5 anggota SPRM dari Putrajaya berpakaian seragam tiba dengan 2 kenderaan rasmi di pusat pentadbiran kerajaan negeri di Bangunan SUK di sini kira-kira 10.50 pagi tadi, sebelum naik ke tingkat 14.

Kunjungan SPRM ini hanya kurang sejam selepas serbuan di Unisel di Bestari Jaya dan Shah Alam, serta pejabat Jana Niaga.

Sumber memberitahu , Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman kini di Mekah untuk mengerjakan haji, menyebabkan SPRM mengambil butiran daripada pegawai MBI yang lain.

Pada 25 Julai, MBI mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mendakwanya terbabit dalam rasuah berhubung pembayaran kepada Jana Niaga.

MBI sebelum ini menafikan membuat bayaran RM60 juta kepada Jana Niaga dan mahkamah tidak pernah memutuskan syarikat itu mahupun Unisel berlaku salah.

Menurutnya, dakwaan membuat pembayaran kepada Jana Niaga, walaupun kontraktor itu melanggar perjanjian dan gagal dalam tuntutan tunggakan bayaran adalah tidak benar.

Susulan itu, pegawai khas kepada Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor mempersoalkan MBI bila proses timbangtara dengan Jana Niaga akan dilakukan.

Ia selepas MBI menyatakan terdapat proses untuk menyelesaikan pertikaian mengenai pembayaran kepada syarikat itu.

Rizal meminta MBI menyatakan siapa yang terlibat dalam timbangtara itu, sambil berkata Unisel tidak bersetuju dengan terma yang dicadangkan MBI dan bayaran pendahuluan RM10 juta kepada Jana Niaga, merujuk kepada dakwaan sebuah blog.

SPRM serbu Universiti Selangor di Shah Alam

Pada 25 Julai lalu, MBI Selangor mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mendakwanya terbabit dalam rasuah berhubung pembayaran kepada Jana Niaga.


MBI Selangor yang dipetik Malaysiakini menafikan membayar RM60 juta kepada Jana Niaga dan mahkamah tidak pernah memutuskan syarikat itu mahupun Unisel berlaku salah.

MBI Selangor berkata, dakwaan membuat pembayaran kepada Jana Niaga, walaupun kontraktor itu mengingkari perjanjian dan gagal dalam tuntutan tunggakan bayaran adalah tidak benar.

Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor kemudiannya mempersoalkan MBI Selangor bila dan siapa yang akan terbabit dalam proses timbang tara dengan Jana Niaga.

Ia selepas MBI Selangor menyatakan proses timbang tara untuk menyelesaikan pertikaian mengenai pembayaran kepada syarikat itu akan dilakukan.

Rizal merujuk laporan portal Selangor-Leaks yang melaporkan Unisel tidak bersetuju dengan terma dicadangkan MBI Selangor dan bayaran pendahuluan RM10 juta kepada Jana Niaga.

Peguam terkejut Khalid tak tahu SOP larang suspek berbaju lokap

PETALING JAYA: Seorang peguam mempersoalkan tahap kesedaran ketua polis negara mengenai prosedur operasi standard (SOP) Bukit Aman sendiri yang melarang suspek direman dibawa ke mahkamah dengan berpakaian seragam lokap.

N Surendran yang juga ahli Parlimen Padang Serai merujuk SOP bertajuk “Prosedur Kualiti Pengurusan Lokap, Bukit Aman” yang dikeluarkan pada 1 Julai 2014.
“Polis dengan itu melanggar SOP sendiri setiap hari dalam layanan terhadap suspek direman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Tan Sri Khalid Abu Bakar mempertahankan amalan membawa suspek ke mahkamah dengan berpakaian lokap supaya pihak keselamatan dapat mengecam dan mengenal pasti tahanan dengan mudah.

Beliau berkata: “Tahanan polis ramai, kita bawa dengan lori ke mahkamah. Kalau dia berpakaian biasa, macam orang biasa, kalau jadi apa-apa kita tak dapat mengambil tindakan dengan pantas.”
Ia selepas Surendran mempersoalkan amalan itu berlawanan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang mahu layanan adil diberikan kepada pesalah undang-undang, di samping melanggar Peraturan Penjara 2000.

Beliau mempertikaikan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa 2 suspek terkenal ke mahkamah untuk permohonan reman dengan berpakaian seragam lokap SPRM berwarna oren.

Dua tahanan itu ialah bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

Surendran berkata, tiada peruntukan dalam Peraturan-peraturan lokap 1953 yang memberi kuasa kepada polis untuk membawa suspek ke mahkamah dengan berpakaian seragam lokap kerana undang-undang menganggap orang ditahan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.
“Membawa suspek ke prosiding mahkamah dengan berpakaian seragam lokap secara dasarnya salah. Ia adalah prinsip kardinal untuk membenarkan suspek atau tertuduh hadir ke mahkamah berpakaian biasanya, bukannya memakai baju seragam yang memberi kesan melabelkan mereka sebagai penjenayah atau penjahat.”

Wakil rakyat PKR itu berkata, ia melanggar hak suspek atau tertuduh untuk dibicarakan secara adil di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, apabila mereka dipaksa berpakaian seragam lokap di depan hakim.

Sehubungan itu, beliau menggesa ketua polis negara dan ketua pesuruhjaya SPRM tidak mempertahankan amalan haram dan tidak berperlembagaan itu.
“Amalan ini perlu dihentikan serta-merta. Ia tidak boleh diteruskan walaupun untuk sehari lagi.

Khairuddin: ‘Kalut’ dengan RCI Memali, mana RCI 1MDB?

Isnin, 21 Ogos 2017

PETALING JAYA: Penyelaras Deklarasi Rakyat Datuk Khairuddin Abu Hassan akan menulis surat sekali lagi kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat skandal 1MDB.

Beliau berkata demikian selepas timbalan perdana menteri hari ini berkata kerajaan sedia pertimbangkan penubuhan RCI untuk menyiasat peristiwa Memali 1985 jika ada permintaan dari individu, pertubuhan dan parti politik.

“Zahid Hamidi kata kerajaan sedia pertimbangkan mana-mana permintaan dari individu, pertubuhan atau parti-parti politik untuk menubuhkan RCI; macam mana pula dengan permintaan kami selama ini untuk menyiasat kes skandal 1MDB,” kata Khairuddin dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata RCI membongkar skandal 1MDB wajar ditubuhkan kerana skandal itu menyebabkan keadaan politik, ekonomi dan sosial negara menjadi kemelut dan tegang, dan menjadi masalah undang-undang di Singapura, Switzerland, London, Luxembourg dan Amerika Syarikat.

“Zahid Hamidi tak mahu tubuh RCI tetapi kes Memali yang berlaku pada tahun 1985 dia kalut mempertimbangkan untuk tubuh RCI bagi menyiasatnya. Nampak sangat pemimpin-pemimpin Umno begitu terdesak untuk mengaibkan kredibiliti Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Sekiranya ditubuhkan, RCI Memali itu merupakan suruhanjaya siasatan kedua yang ditubuhkan untuk menyiasat peristiwa yang berlaku di bawah pentadbiran Dr Mahathir. RCI menyiasat kerugian akibat dagangan mata wang asing 1990-an akan bersidang esok.

PAS pada 16 Ogos lalu menggesa kerajaan menubuhkan RCI dan menggesa kerajaan memohon maaf di atas konfrontasi antara pihak berkuasa dan pengikut penceramah agama Ibrahim Mahmud 32 tahun lalu di Kampung Memali di Baling, Kedah, yang menyaksikan Ibrahim, 13 pengikutnya dan 4 anggota polis terbunuh.

Kerajaan pernah menerbitkan kertas putih Peristiwa Memali yang dikemukakan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 1986.

Namun Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata saksi kejadian mendakwa Kertas Perintah 21 itu satu “pembohongan”.

Isu ini kembali hangat selepas kekecohan yang berlaku di forum “Nothing to Hide 2.0” Ahad lepas, selepas objek dilontarkan ke pentas semasa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan hadirin mengenai peristiwa itu.

RCI Memali: Rakyat tahu kerajaan Najib ‘gabra’ dengan Dr M

PETALING JAYA: Rakyat sebenarnya tahu kesediaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kedua untuk menyiasat satu lagi peristiwa semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad kerana pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak tentu arah dengan faktor Dr Mahathir pada pilihan raya umum nanti, kata seorang peguam.

Haniff Khatri, peguam kepada bekas perdana menteri itu, berkata demikian selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini berkata kerajaan sedia pertimbangkan penubuhan RCI untuk mengkaji tragedi Memali jika ada permintaan daripada individu, pertubuhan atau parti politik.

“Walau beribu RCI ditubuhkan tentang apa isu sekalipun terhadap Dr Mahathir, pada hakikatnya, rakyat yang prihatin sedar dan tahu ia sebenarnya menzahirkan ‘gabra’ kerajaan Najib Razak dengan faktor Dr Mahathir dan Pakatan Harapan menjelang PRU14,” kata Haniff dalam kenyataan hari ini.

Beliau mempertikaikan niat di sebalik kesediaan kerajaan menubuhkan satu lagi RCI selepas penubuhan suruhanjaya siasatan ditubuhkan untuk menyiasat kerugian akibat dagangan mata wang asing 1990-an. RCI itu akan bersidang esok.

“Cuba mencari ‘semut hitam dalam kegelapan malam’ berkaitan isu Memali pula,” kata Haniff.

Beliau mengambil maklum kesediaan kerajaan itu selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang 15 Ogos lalu dilaporkan berkata tiada guna mengungkit sejarah hitam itu jika orang yang bersalah tidak meminta maaf dan membayar pampasan dan ganti rugi.

PAS pada 16 Ogos lalu menggesa kerajaan menubuhkan RCI dan menggesa kerajaan memohon maaf di atas konfrontasi antara pihak berkuasa dan pengikut penceramah agama Ibrahim Mahmud 32 tahun lalu di Kampung Memali di Baling, Kedah, yang menyaksikan Ibrahim, 13 pengikutnya dan 4 anggota polis terbunuh.

“Bukankah rentetan peristiwa itu menzahirkan bagaimana kerajaan Najib mencetuskan dengan curang isu Memali yang telah berlalu 32 tahun yang lalu, semata-mata kerana ‘gabra’ dengan faktor Dr Mahathir dan PH,” katanya.

Kerajaan pernah menerbitkan kertas putih Peristiwa Memali yang dikemukakan dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 1986.

Namun Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata saksi kejadian mendakwa Kertas Perintah 21 itu satu “pembohongan”.

Isu ini kembali hangat selepas kekecohan yang berlaku di forum “Nothing to Hide 2.0” Ahad lepas, selepas objek dilontarkan ke pentas semasa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan hadirin mengenai peristiwa itu.

PAS nafi guna tragedi Memali pancing undi PRU14

PETALING JAYA: PAS menafikan dakwaan Amanah, anggota Pakatan Harapan, yang mendakwa parti itu mahu menjadikan peristiwa Memali sebagai modal politik untuk memancing undi orang Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, peristiwa Memali merupakan perkara yang perlu dibincangkan oleh semua pihak dan PAS tidak mempunyai sebarang kepentingan politik dalam hal tersebut.

“Ini bukan soal menarik undi kerana isu ini memang sejak dahulu diperjuangkan oleh PAS,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Dalam komennya awal hari ini, Presiden Amanah Mohamad Sabu menyifatkan isu tragedi Kampung Memali yang kini muncul kembali sebagai 1 polemik yang dibangkitkan menjelang pilihan raya.
Laporan Sinar Harian hari ini memetik Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata PAS sengaja menimbulkan isu Memali yang berlaku 32 tahun lalu demi meraih undi orang Melayu.
Salahuddin berkata, menjadi perkara biasa apabila seseorang individu menentang BN, mengungkit kembali kesalahan lampau.

Menurutnya, Amanah menganggap perkara itu sudah lama berlaku, hampir empat dekad lamanya.
“Isu ini seolah-olah sengaja ditimbulkan apabila bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersatu dengan kita.

“Apabila seseorang itu menentang BN, maka segala kesalahan masa lalu diungkit kembali. Saya tidak melihat isu itu terlalu besar kerana ia berlaku, pada ketika itu.

“Ini hanya bermotifkan politik untuk ketika ini. Isu dibangkitkan (sekarang) untuk mendapatkan sokongan dalam kalangan orang Melayu,” katanya.

Menurut Salahudin, Amanah menyambut tangan Dr Mahathir kerana bekas pemimpin negara itu menentang kezaliman paling besar iaitu skandal 1MDB.

“Ketika saya di dalam PAS, pihaknya pernah mengadakan majlis sambutan memperingati Ibrahim Libya.

“Namun, selepas mengadakan mesyuarat bersama Ketua Polis Kedah, majlis itu dihentikan bagi mengelak kekecohan dan rasa tidak puas hati. Hanya sambutan memperingati sekolah yang diasaskan oleh Ibrahim Libya sahaja dibuat,” katanya.

Pada 16 Ogos lalu, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menggesa kerajaan agar mewujudkan sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat kembali peristiwa itu.

Peristiwa Memali yang menyaksikan 18 orang terbunuh kembali hangat susulan kekecohan yang berlaku semasa majlis Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam, Selangor berikutan tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Dr Mahathir.

Malah, minggu lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man merujuk beberapa kenyataan saksi kejadian itu yang mendakwa Kertas Putih yang dikemukakan kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir ketika itu sebagai “pembohongan”.

Beliau turut mempersoalkan sama ada mereka yang pernah mengikuti tragedi itu secara dekat kini menerima hujah Dr Mahathir mempertahankan tindakan pihak berkuasa menyerang Kampung Memali.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri ketika peristiwa Memali berlaku pada November 1985. Dalam kejadian itu, pertempuran tercetus apabila penduduk kampung mempertahankan Ibrahim Mahmud, seorang guru agama yang tidak disenangi pihak berkuasa ketika itu.

Mat Sabu: Memali hanya isu masa PRU, tenggelam timbul

KUALA LUMPUR: Presiden Amanah Mohamad Sabu hari ini menyifatkan isu tragedi Kampung Memali yang kini muncul kembali sebagai 1 polemik yang dibangkitkan menjelang pilihan raya.

“Isu ini dimain bila dekat dengan pilihan raya atau suatu majlis misalnya dulu bila Tengku Razaleigh (Hamzah) tubuhkan Semangat 46.

“(Tan Sri) Rais Yatim, menteri penerangan masa keputusan Memali, isu ini dimainkan. Kemudian hilang begitu. Kemudian isu ini timbul semula sekarang,” kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan di ibu negara hari ini.

Tragedi berdarah itu muncul semalam kebelakangan ini termasuk dibangkitkan ketika program Nothing To Hide 2.0 Ahad lalu.

Mengulas mengenai desakan agar Dr Mahathir meminta maaf mengenai insiden Memali yang berlaku pada 32 tahun lalu, Mat Sabu berkata, ia terserah kepada pengerusi Pakatan Harapan terbabit.

Beliau yang juga merupakan pengkritik Dr Mahathir khususnya mengenai isu Memali sebelum ini berkata, isu berkaitan Memali telah lama reda.

“Dah reda lama dah. Timbul hanya dekat pilihan raya. Tak ada apa isu itu,” kata beliau yang turut dikenali sebagai Mat Sabu.

Ditanya mengenai desakan PAS yang mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat insiden Memali, Mat Sabu berkata parti itu tidak mempunyai masalah jika ia dibentuk.

“Kita bukan sokong PAS. Apapun mesti buat termasuk suruhanjaya menyiasat 1MDB. Yang itu yang paling popular sekarang. Kenapa yang itu di diam? Itu paling besar, malu pada dunia kita,” katanya.

Mengulas mengenai hasrat Hindraf yang mahu menyertai Pakatan Harapan, Mat Sabu berkata mereka akan berbincang dalam mesyuarat Pakatan Harapan pada 28 Ogos ini.

Mat Sabu dalam masa yang sama turut ditanya mengenai tindakan PKR yang masih mahu berunding dengan PAS mengenai soal pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Siapapun boleh berunding tapi mesti lapor kepada mesyuarat Pakatan Harapan,” katanya.

Kit Siang ramal Pakatan mampu kuasai 36 kerusi DUN Perak

PETALING JAYA: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yakin Pakatan Harapan (PH) boleh merampas balik kerajaan negeri Perak daripada Barisan Nasional (BN) meskipun kemungkinan berlaku persaingan 3 penjuru membabitkan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahli Parlimen Gelang Patah ini berkata dengan PAS memainkan peranan sebagai “perosak” dan harapan agar peningkatan sokongan Melayu kepada PH adalah sebanyak 10% dan 5% lagi daripada bukan Melayu, barisan pembangkang itu boleh memenangi 39 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak.

Kata Kit Siang, dalam senario sedemikian BN akan mendapat 20 manakala PAS tiada kerusi.
“Perak akan menjadi salah 1 kerajaan negeri yang akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang,” kata beliau.

Bagaimanapun menurut Kit Siang, bukan 1 tugas mudah untuk membawa perubahan seperti apa yang dicapai oleh BN pada pilihan raya umum 2013 apabila ia berjaya mempertahankan negeri itu.

“Tetapi semua rakyat Malaysia patriotik, tanpa mengira bangsa, agama, rantau atau politik, mesti bersatu untuk ‘Menyalamatkan Malaysia’ daripada menjadi negara yang gagal demi anak-anak kita,” kata beliau dalam ucapannya pada perhimpunan PH di Parit Buntar, Perak baru ini.

Beliau berkata pilihan raya umum 2013 telah menyaksikan “ketidakadilan” di mana parti-parti dari pakatan pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat (PR), memenangi 55% undi popular di Perak.

Bagaimanapun, BN terus membentuk kerajaan negeri kerana memenangi 31 kerusi DUN berbanding 28 kerusi di pihak DAP, PKR dan PAS yang menganggotai PR, kata beliau.

Beliau juga berkata PR ditewaskan di 4 kerusi dengan kurang daripada 303 undi iaitu Lubuk Merbau di mana kurang 53 undi, Manjoi (132), Manong (231) dan Pasir Panjang (302).

Kit Siang berkata, kemenangan PH tidak mustahil kerana situasi politik negara ini telah mengalami perubahan besar dengan keanggotaan 4 parti dalam PH iaitu DAP, PKR, Amanah dan PPBM yang bertindak bersama selepas pengumuman struktur gabungan, logo dan kepimpinan baharu pada 14 Julai lalu.

“Amaran polis baru-baru ini Negara Islam (IS) merancang untuk melancarkan serangan di Perak semasa perayaan sambutan merdeka dan perisytiharan baru-baru ini oleh ulama dan ahli akademik Islam antarabangsa Malaysia tidak lagi negara yang sederhana adalah perkembangan yang mengganggu masa depan kecuali isyarat-isyarat ini diambil serius oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik,” katanya.

Parti komponen PR menguasai Perak pada pilihan raya umum 2008 tetapi kerajaan negeri diambil alih oleh BN pada Februari 2009 selepas 3 wakil PR berpaling untuk menjadi calon bebas menyokong BN, sekali gus membolehkan BN menuntut majoriti di Dewan Undangan Negeri.

Kit Siang juga mengulangi kemungkinan PH boleh memenangi 113 kerusi Parlimen di Semenanjung dengan bantuan “tsunami Malaysia” terhadap pemerintahan persekutuan BN selama 60 tahun.

Semalam beliau berkata, beliau yakin DAP mampu membantu PH menawan semula Kedah jika parti itu bertanding di Kulim dan Gurun dalam PRU14.

Kata beliau, sekiranya PH dan BN berhadapan dengan situasi kemungkinan terikat 18:18 kerusi Dewan Undangan Negeri di Kedah, DAP boleh membawa kemenangan kepada barisan pembangkang jika parti itu bertanding di kedua-dua kawasan terbabit.

Dewan Unangan Negeri Kedah mempunyai 36 kerusi. Pada PRU13 BN menguasai 21 kerusi manakala PAS 9, PKR (4) dana DAP (2).

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger