Home » , » Pemberi maklumat AKSB sedia jadi saksi jika ada siasatan SPRM, kata Husam

Pemberi maklumat AKSB sedia jadi saksi jika ada siasatan SPRM, kata Husam

Written By Wadah Baru on Rabu, 7 Mac 2018 | 10:23 PTG

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Husam Musa berkata, sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berhubung kes pemberian tender, pemberi maklumat mengenai perkara tersebut sedia menjadi saksi.

Kata beliau, ia adalah ekoran pendedahan beliau berhubung penyalahgunaan kuasa dalam pemberian tender kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV Sdn Bhd bagi projek reka dan bina mekanikal dan elektrikal Fasa II (Pakej 1) Merbau Condong, Machang pada 5 Februari lalu.

Kata beliau, Cdah Construction Jangka Prestasi JV Sdn Bhd tidak mempunyai sebarang kelayakan terhadap projek berkenaan kerana pada waktu itu syarikat berkenaan adalah syarikat yang tidak berdaftar.

Setakat ini kata beliau, SPRM belum lagi mengambil apa-apa tindakan berhubung pendedahan beliau itu.

Menurut Husam, penjelasan Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB, Datuk Hanifa Ahmad semalam berhubung perkara tersebut mengukuhkan lagi dakwaannya terhadap isu AKSB itu.

Pada masa sama, Husam melahirkan rasa dukacita atas tindakan AKSB yang dalam siasatan dalamannya berhubung kebocoran maklumat pemberian tender berkenaan dengan menekan pegawai-pegawainya.

“Mereka (pegawai-pegawai tersebut) dianggap menikam dari belakang, jangan aniayai mereka,” kata Husam dalam sidang media di Wisma AMAHAH di Selayang hari ini.

Katanya, beliau hairan bagaimana Datuk Hanifa boleh membuat kenyataan terbuka mengenai siasatan dalaman tersebut kerana ia menjejaskan integriti AKSAB sendiri.

Kata Husam lagi, dokumen dan maklumat yang diberikan kepada beliau mengenai pemberian tender tersebut diperolehi daripada sumber lain.

“Mereka ini sedia menjadi saksi sekiranya kes pemberian tender ini disiasat oleh SPRM,” kata beliau.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger