Oleh Zin Mahmud
Serangan politik yang diterima PAS umumnya lebih banyak datang
daripada penyokong Amanah berbanding pihak lain. Begitu juga serangan
dilakukan PAS adalah lebih banyak ditujukan kepada Amanah berbanding
kepada parti lain.
PAS adalah sebuah parti pembangkang yang musuh tradisinya adalah
Umno. Dari awal penubuhannya pada 1951, pesaingnya adalah Umno walaupun
ia lahir sebagai pecahan parti itu.
Pertembungan PAS-Umno berlaku dari tahun 1951 hingga 1973 apabila
parti itu menubuhkan kerajaan campuran dengan Perikatan yang diketuai
Umno diikuti dengan penyertaannya ke dalam Barisan Nasional (BN).
Serangan di antara PAS dan Umno tercetus semula apabila parti itu keluar
daripada BN.
Ia berterusan sehinggalah apabila PAS menghentikan kerjasama dengan
DAP diikuti dengan pembubaran Pakatan Rakyat pada 2015. Hubungan PAS
dengan Umno menjadi mesra dan akhirnya disifatkan oleh pemimpinnya
sebagai berbentuk kerjasama.
Sejak itu, serangan PAS terhadap Umno berkurangan, sebaliknya ia
beralih arah kepada parti pembangkang yang bergabung dalam Pakatan
Harapan (PH) khususnya Amanah. Parti pecahan ini menjadi sasaran
utamanya walaupun anggotanya itu dahulu adalah rakan seperjuangan
mereka.
Amanah disifatkan oleh sebahagian daripada penyokong PAS sebagai
pengkhianat kerana keluar parti dan menentang mereka. Mereka yang kekal
dalam PAS dianggap sebagai beristiqamah. Terdapat program yang
dilancarkan oleh PAS selepas penubuhan Amanah yang dinamakan Fastaqim,
bermakna beristiqamah sehingga mencapai kemenangan.
Sejak perpecahan itu, ada kalangan PAS menegaskan diri mereka sebagai
parti Islam dan kerajaan negeri Kelantan sebagai kerajaan Islam.
Penegasan ini juga memberi implikasi bahawa PAS adalah parti Islam dan
siapa yang menentangnya adalah menentang parti Islam dan gerakan Islam.
Begitu juga, sesiapa yang menentang kerajaan Kelantan, maka mereka
adalah penentang kerajaan Islam.
Besar implikasi apabila seseorang atau sesuatu kumpulan dikatakan
sebagai penentang parti Islam, gerakan Islam dan kerajaan Islam. Ia
bermakna menentang Islam.
Keadaan ini berasaskan kepada fahaman politik bahawa hanya PAS adalah
parti Islam, yang lain bukan parti Islam. Kerajaan yang dipimpin oleh
parti Islam adalah kerajaan Islam, sementara kerajaan yang ditadbir oleh
parti lain adalah bukan kerajaan Islam. Perkara ini tidak disebut
secara nyata, tetapi itulah pemahamannya.
Penyokong Amanah membantah pemahaman begini. Mereka berkata Amanah
juga adalah parti Islam. Lebih-lebih lagi para ahlinya adalah bekas ahli
PAS. Mereka keluar PAS kerana tidak setuju tindakan parti itu yang
meruntuhkan kerjasama dengan parti pembangkang lain.
Perbezaan pendirian ini bukan dari segi menentang fahaman politik
Islam tetapi perbezaan kaedah perjuangan. Walaupun hakikatnya perbezaan
kaedah politik berpunca dari perbezaan fahaman politik, walaupun pada
peringkat cabang dan bukannya teras.
Bagi penyokong Amanah, mereka tidak mengkhianati perjuangan PAS,
sebaliknya merekalah yang istiqamah. Ini kerana PAS yang dipimpin
presiden sebelumnya, Datuk Fadzil Nor, dan juga dipandu oleh Mursyidul
Am sebelumnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menetapkan kerjasama dengan
parti pembangkang lain bagi menentang BN. Maka fahaman bekerjasama
inilah yang disifatkan sebagai dikhianati oleh PAS sekarang ini.
Bagi pendokong Amanah, parti mereka adalah penerus perjuangan yang
dilakarkan pemimpin PAS terdahulu khususnya Fadzil dan Nik Aziz. Amanah
terus menentang Umno dan BN sementara PAS kini sudah bekerjasama dengan
mereka.
Ketika mana ada penyokong PAS yang beranggapan bahawa terdapat hanya
satu parti Islam yang patut disokong oleh umat Islam, bagi penyokong
Amanah pula, parti Islam tidak semestinya ada satu.
Dengan tidak menafikan PAS adalah sebuah parti Islam, mereka juga
menganggap diri mereka sebuah parti Islam. Maka menentang kerajaan
pimpinan PAS tidak bererti menentang kerajaan Islam.
Amanah juga memperjuangkan penubuhan kerajaan Islam, walaupun
pendekatan pentadbirannya adalah berbeza. Jika Amanah menubuhkan
kerajaan, maka ia juga adalah kerajaan Islam.
Parti Islam, parti Muslim
Walaupun tidak disebut, pemahaman mengenai parti Islam oleh PAS dan
Amanah adalah berbeza daripada apa yang dipegang oleh parti orang Islam
atau parti Muslim semata-mata.
Parti Islam ditakrifkan sebagai parti politik yang memperjuangkan
Islam. Sementara parti Muslim adalah parti politik yang dipimpin oleh
orang Islam dan kebanyakan ahlinya adalah orang Islam.
Maka PAS, Amanah, PKR, Umno dan PPBM adalah parti Muslim. Tetapi bagi
sebahagian orang, PAS dan Amanah boleh disebut sebagai parti Islam.
Seperti juga Berjasa dan Hamim.
Tetapi PKR, PPBM dan Umno tidak boleh disebut sebagai parti Islam.
Mereka adalah parti Muslim sahaja. Ini kerana PPBM dan Umno meletakkan
landasan nasionalisme Melayu sebagai asas perjuangannya. Sementara PKR
mempunyai landasan demokrasi dan liberalisme. Malah ada pemimpinnya yang
menyifatkan diri mereka sebagai “Muslim democrat”. Sementara ada orang
Amanah menyebut diri mereka sebagai “Islamic democrat” untuk membezakan
diri mereka dengan PKR dan PAS.
Namun bagi PKR, PPBM dan Umno, mereka turut memperjuangkan Islam
walaupun mereka berbeza fahaman politik keagamaan dengan PAS dan Amanah.
Bagi mereka fahaman nasionalisme Melayu dan demokrasi tidak
bercanggah dengan Islam. Maka kesemua parti Muslim adalah memperjuangkan
Islam walaupun dengan kaedah dan personaliti pemimpin yang berbeza.
Gerakan Islam dan parti Islam
Di sini perlu dilihat juga konsep gerakan Islam yang mana parti-parti Islam dianggap sebagai wadah politik untuknya.
Konsep gerakan Islam yang diberikan tafsiran khusus menjadi popular
pada lewat 1970-an dengan suasana global yang dipanggil kebangkitan
Islam pada tahun 1979.
Bukan bermakna sebelum itu tidak ada gerakan Islam. Konsep gerakan
Islam dilihat sebagai usaha kumpulan Islam untuk memulihkan pemerintahan
Islam selepas kejatuhan khilafah Uthmaniah. Maka ia dikira bermula
dengan gerakan pan-Islamisme yang dipelopori Jamaluddin Al-Afghani.
Kemudian ia ditandai dengan penubuhan Ikhwanul Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di India dan Masyumi di Indonesia.
Di Malaya pula ialah Hizbul Muslimin yang turut bergabung dalam Pusat
Tenaga Rakyat (Putera) pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Tetapi konsep gerakan Islam yang diulas secara tersusun hanya
dilakukan oleh Dr Kalim Siddiqui dari Muslim Institute, London, selepas
Revolusi Iran.
Gerakan Islam di Iran dipimpin Ayatullah Khomeini yang menghasilkan
Revolusi Islam dan menubuhkan Negara Islam dan Kerajaan Islam. Gerakan
Islam boleh muncul dalam pelbagai bentuk sama ada parti politik atau
pertubuhan rakyat dan orang ramai.
Bentuk perjuangan juga boleh pelbagai dan negara serta kerajaan Islam
yang hendak ditubuhkan juga beragam. Tetapi ciri keislaman itu adalah
nyata, paling ketara ialah keadilan dan kebajikan rakyat.
Pada awal 1980-an di Malaysia, pertubuhan-pertubuhan Islam seperti
PAS, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Arqam, Islamic Representative
Council (IRC) dan Suara Islam dilihat sebagai sebahagian daripada
gerakan Islam ini. Pada masa itu suasana masih bebas kerana belum ada
lagi ancaman keganasan.
Setelah 30 tahun berlalu tentu pemahaman terhadap gerakan Islam sudah
berubah. Iran juga tidak seindah dahulu. Ancaman keganasan Al-Qaeda dan
Daesh menimbulkan persoalan terhadap gerakan Islam.
Perkembangan di Turki dan kegagalan Arab Spring dan Ikhwanul Muslimin juga memerlukan pemahaman semula terhadap gerakan Islam.
Di Malaysia, pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah bukan
suatu yang boleh dijadikan contoh. Kehadiran Abim dan pertubuhan Islam
baharu seperti Pertubuhan Ikram Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia
(Isma) dan Islamic Renaissance Front (IRF) mewarnai pemikiran dan
kegiatan aktivisme Islam kini.
Kesemua mereka termasuk PAS dan Amanah adalah sebahagian daripada
gerakan Islam. Daripada pengalaman dan perubahan generasi tentunya
keadaannya sudah berbeza. Malah pemahaman apakah itu gerakan Islam,
parti Islam, Negara Islam dan kerajaan Islam juga sudah berubah.
Mungkin konsep-konsep itu sudah tidak relevan. Apa yang relevan
adalah sama ada perjuangan mereka menghasilkan keadilan dan kebajikan
rakyat serta perikemanusiaan sejagat.'
* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
Pertembungan PAS-Amanah dan gerakan Islam di Malaysia
Written By Wadah Baru on Isnin, 5 Mac 2018 | 11:29 PG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan