PETALING JAYA: Pengerusi Amanah Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin
Shah mempertahankan Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang
menggambarkan sokongan kepada tindakan golongan mahasiswa berdemonstrasi
hujung minggu lalu mendesak MO1 ditangkap atas kehilangan wang 1MDB
seperti dinyatakan dalam tuntutan saman Jabatan Kehakiman (DoJ).
Raja Kamarul yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata
agamawan perlu menjalankan tugas menyuarakan ketidakadilan yang berlaku
dalam negara ini, terutama sekali apabila golongan mahasiswa menaruh
harapan yang tinggi supaya ulama menjadi penyelamat ummah.
Beliau berkata jika anak muda sudah bersuara, kenapa agamawan “bersara” daripada menjalankan tanggungjawab mereka.
“Yang berani bersuara seperti Datuk Asri diserang semalam oleh
setiausaha veteran Umno Datuk Mustafa Yacob, yang ingin beliau
dihentikan perkhidmatan sebagai mufti. Yang celik dua belah mata seperti
Asri hendak dihentikan khidmat.
“Inilah situasi yang aneh hari ini. Asri berani bercakap tentang isu
semasa seperti 1MDB. Bagaimana mufti lain?,” soalnya dalam satu
kenyataan hari ini.
Pada Sabtu lepas, Asri dalam Facebook memuat naik status seolah-olah
menyokong perhimpunan #TangkapMO1 yang dianjurkan sekumpulan mahasiswa
di ibu negara.
“Kibarkan jalur gemilang kita, bangkitlah membela amanah bernegara, tahniah mahasiswa!”
Ia mengundang gesaan daripada Mustapha supaya Asri meletak jawatan dan menceburi politik.
“Tidak salah dia menegur kepimpinan dengan cara berhemah sesuai
dengan jawatannya. Tetapi bukan secara berterusan campur tangan sehingga
melebihi batas kemuliaan institusi mufti itu,” Mustapha dilaporkan
berkata.
Raja Bahrin berkata ketika Umno menggesa Asri dipecat kerana bersuara
tentang kemungkaran, mengapa ulama lain tidak mempertahankannya dan ini
menunjukkan sindrom membisu sekali lagi melanda agamawan ketika sahabat
rakan sejawat mereka dizalimi.
“Adakah mereka hanya sanggup mengiakan kata-kata pemerintah dan hanya
membisu dalam keadaan sahabat sejawatan dan angkatan dianiayai?
“Kami tidak menuduh mereka ‘menutup sebelah mata’ dalam isu tersebut,
tetapi kami menuduh mereka ‘menutup kedua-dua belah mata’ dalam isu
pembelaan Asri dan 1MDB. Semua orang yang memegang tugas mesti
menjalankan tanggungjawab mereka seperti kami bersuara di Parlimen.
“Bagaimana pula agamawan dan ulama? Apa yang jelas diakui timbalan
menteri kewangan di Parlimen, 1MDB melabur berbilion ringgit di pusat
wang haram, judi dan dadah sedunia di Kepulauan Cayman.
Apabila saya
menyoal kenapa kerajaan melabur di kepulauan Cayman, kerajaan mengakui
ia untuk jangka masa pendek saja,” katanya.
Raja Bahrin turut mempertikaikan apa pendapat ulama kerajaan dalam isu ini kerana 1MDB juga menaja jemaah haji ke Mekah.
Pada masa sama, Raja Bahrin berkata himpunan #TangkapMO1 anjuran
mahasiswa Sabtu lalu ialah kejayaan besar apabila beribu-ribu anak muda
dan mahasiswa berkumpul berhampiran Dataran Merdeka memandangkan mereka
tidak ada sumber kewangan dan kemudahan komunikasi yang baik untuk
menjayakan satu himpunan yang besar.
“Gema Suara anak muda jelas kedengaran dan adakah kerajaan akan peka
keluhan anak muda serta mahasiswa? Amanah menyambut baik semangat
keberanian anak muda yang menghadapi pelbagai dugaan pemotongan bantuan
murid miskin daripada RM200 juta sehingga tinggal RM10 juta saja
diluluskan di Parlimen.
“Itu tidak termasuk pemotongan biasiswa, tuntutan pinjaman PTPTN dan
peningkatan kos sara hidup. Ayah dan emak mereka pula dikenakan GST,
kenaikan harga minyak serta elektrik dan kejatuhan nilai ringgit
membebankan tanggungan anak belajar di luar negara.
“Setelah susah payah mendapat ijazah mereka bergelut pula membayar
hutang PTPTN dan itu pun kalau bernasib baik mendapat pekerjaan. Itulah
nasib yang menimpa anak muda hari ini,” katanya.
Amanah pertahan mufti Perlis, bidas agamawan ‘tutup mata’
Written By Wadah Baru on Isnin, 29 Ogos 2016 | 2:16 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan