Bantuan Untuk Warga Emas Mengalami Ketirisan, Inikan Pula Bantuan Yang Lain

Rabu, 2 Ogos 2017

Sepertimana Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1, mendapati bantuan geran untuk Program Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PAWE) telah disalahgunakan bagi tujuan peribadi dan aktiviti persatuan.

Bantuan geran diperuntukkan sebanyak RM95,200 telah disalahgunakan dengan memberi pinjaman kepada penyelia dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan pusat berkenaan.

Bagaimana perbelanjaan sebegitu besar nilainya tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan dan begitu mudah diluluskan? Malah terdapat lebihan belanja berjumlah RM46,733 di mana perbelanjaan tersebut tidak mempunyai sebarang permohonan dibuat.

Selepas teguran audit dilakukan, saya berharap perkara seumpama ini tidak akan berlaku lagi dan segala kelemahan dapat diperbaiki segera supaya lebih cekap, akauntabel dan telus dalam melaksanakan urus tadbir dan memikul amanah rakyat.

Walaupun nilai atau jumlah yang ditegur oleh pihak audit tidak mencecah jutaan ringgit, namun segala ketirisan yang berlaku tidak boleh dikompromi langsung.

Wang peruntukan sepatutnya dapat dibelanjakan bagi tujuan yang betul  terhadap program bantuan dan perkhidmatan warga emas menerusi lebih 10 PAWE di seluruh negara.

Warga emas yang terabai perlu diberikan sokongan dan bantuan kerana mereka juga mempunyai hak untuk menikmati kualiti hidup yang baik dalam masyarakat.

Walaupun, terdapat pelbagai pihak yang memberikan perkhidmatan sokongan kepada golongan ini tetapi jangan sesekali menganiaya warga emas yang perlukan diberikan sokongan dan bantuan kerana mereka juga mempunyai hak untuk menikmati kualiti hidup yang baik dalam masyarakat.

Penetapan norma-norma dan amalan untuk rumah warga emas dan rumah penjagaan perlu diberi keutamaan untuk memastikan keadaan ianya mencapai standard.

YB Rodziah Ismail
ADUN Batu Tiga
Parti KEADILAN Rakyat

Harapan baru buat pekerja Malaysia

Isnin, 1 Mei 2017

Perutusan sempena Hari Pekerja.

Pakatan Harapan  mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup, mengurangkan pengangguran di kalangan anak muda, mempertahan hak pekerja sambilan, dan membantu rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara .

Pimpinan Pakatan Harapan dalam satu kenyataan bersama diwakili Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Pekerja yang menjadi cuti umum pada 1 Mei setiap tahun.

Pakatan Harapan cukup prihatin tentang kebajikan pekerja di Malaysia.Kejayaan yang dinikmati negara hari ini adalah hasil daripada keringat dan usaha para pekerja, dan tanpa mereka ekonomi tidak akan berjaya. Amatlah penting hak dan kebajikan pekerja di Malaysia dipertahan demi masa depan negara malah juga ekonomi.

Untuk Hari Pekerja 2017, Pakatan Harapan mengetengahkan empat fokus isu pekerja di Malaysia untuk mencari penyelesaian lebih baik sekiranya berjaya memegang tampuk kuasa nanti.

1. Kos sara hidup
 
Kos sara hidup merupakan satu isu penting buat semua pekerja di Malaysia, terutama bagi mereka yang mempunyai gaji yang mendatar atau tidak meningkat pada kadar melebihi kadar inflasi terutama bagi dua tahun kebelakangan ini, yang berlaku antara lain akibat pengenalan GST dan kejatuhan nilai matawang ringgit.

Kami akan:
* Menghapuskan GST yang merupakan satu cukai regresif yang menzalimi rakyat terutamanya golongan miskin;

* Meningkatkan mutu pengangkutan awam secara menyeluruh untuk mengurangkan kos pengangkutan bagi rakyat terbanyak, oleh kerana kos pengangkutan - terutama bagi pemilik kenderaan - merupakan antara kos (malah juga hutang) terbesar bagi sesebuah keluarga;

* Menghapuskan kapitalisme kroni (crony capitalism) dan memastikan persaingan sihat dalam penyediaan pelbagai barangan dan perkhidmatan, seperti beras, jalan bertol, perkhidmatan telco dan internet.
2. Pengang
guran di kalangan anak muda

Pakatan Harapan cukup bimbang dengan peningkatan kadar pengangguran, terutama pengangguran anak muda pada skala jangkamasa panjang.

Pengangguran dianggarkan pada 3.5% pada 2016, iaitu peningkatan dari 3.1% (2015) dan 2.9% (2014).
Laporan Bank Negara Malaysia 2016 yang diterbitkan pada 23 Mac 2017 mengandungi seksyen khusus mengenai pengangguran anak muda, dengan dapatan-dapatan berikut:

* Pengangguran anak muda di Malaysia dianggar mencecah 10.7% pada 2015, iaitu lebih tiga kali ganda pengangguran di peringkat nasional iaitu 3.1%;

* Anak muda merupakan separuh dari jumlah pekerja yang menganggur, walaupun mereka merupakan satu pertiga jumlah tenaga kerja di negara kita;

* Kadar pengangguran pada 2015 di kalangan mereka yang mendapat pengajian tinggi adalah 15.3% dan 9.8% bagi mereka yang tiada pengajian tinggi;

* Dari segi pendapatan, 54% graduan menerima gaji kurang dari RM2,000 sebulan. Gaji permulaan bagi graduan masih kekal sama sejak 2007.

Anak muda adalah masa depan negara, dan pengangguran di kalangan anak muda bakal mendatangkan kesan negatif jangkamasa panjang kepada masyarakat dan negara, terutama jika kita gagal membendung masalah ini pada kadar yang segera.

Oleh itu, Jawatankuasa Manifesto dan Dasar Pakatan Harapan serta Pemuda Pakatan Harapan telah diarah untuk bertemu dengan pelbagai kumpulan sasar serta pihak berkepentingan pada Mei ini untuk mewujudkan satu pelan tindakan untuk mengurangkan pengangguran anak muda di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.

3. Hak pekerja sambilan, terutama pemandu teksi dan 'e-hailing'

Pakatan Harapan amat prihatin terhadap nasib rakyat Malaysia terutama mereka yang bekerja secara sambilan mahupun bersendirian. Satu laporan Bank Dunia menganggar 35% kepala isirumah di Malaysia bekerja di sektor tidak formal, seringkali sebagai pekerja sambilan atau bekerja bersendirian.

Sebagai contoh, terdapat lebih 70,000 pemandu teksi berdaftar dan dianggarkan terdapat 200,000 pemandu perkhidmatan 'e-hailing'.

Oleh kerana Parlimen bakal membahaskan pindaan kepada Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 untuk membenarkan perkhimatan e-hailing, terdapat satu keperluan untuk memastikan kebajikan kedua-dua pihak iaitu pemandu teksi dan juga pemandu 'e-hailing' terjaga.

Rang undang-undang ini tidak mampu menjaga hak pemandu 'e-hailing' kerana pihak Kerajaan hanya berurusan dengan syarikat seperti Uber dan Grab manakala syarikat-syarikat tersebut yang akan mengawal sendiri para pemandu mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menggubal sebuah rang undang-undang khusus buat pemandu 'e-hailing' tanpa mengabai nasib dan kebajikan para penandu teksi serta lain-lain pekerja sambilan.

4. Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negeri

Lebih dari sejuta rakyat Malaysia bekerja di luar negara, terutama di Singapura. Hampir 300,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari di antara Johor dan Singapura. Jumlah yang begitu besar ini merupakan satu kegagalan ekonomi negara yang jelas tidak mampu menjana pekerjaan yang diharapkan rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia mencari peluang pekerjaan yang lebih baik di luar negara kerana ekonomi Malaysia yang suram terutama dua dekad mutakhir ini, iaitu sejak krisis ekonomi Asia.

Bagi jangkamasa pendek, Pakatan Harapan berjanji membantu untuk memudahkan proses perjalanan pekerja Malaysia di antara Johor dan Singapura. Pada jangkamasa panjang, Kerajaan Pakatan Hatapan akan berusaha untuk menghidupkan semula ekonomi negara untuk memastikan lebih ramai pekerja Malaysia akan memilih untuk bekerja di Malaysia berbanding di luar negara.

Tatkala para pekerja di Malaysia menyambut Hari Pekerja tahun ini, pasukan Jawatankuasa Manifesto dan Dasar Pakatan Harapan akan terus mendengar suara, aspirasi dan harapan rakyat Malaysia dan juga pihak-pihak berkepentingan untuk menjaga para pekerja dan memberi harapan baru buat semua rakyat Malaysia.

SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA 2017.

Laporan Palsu Naib Ketua Pemuda Umno

Jumaat, 5 Ogos 2016


1. Otai Reformasi Kedah mengikuti rapat isu laporan polis yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Saudara Khairul Azwan Harun mengenai konspirasi peringkat tertinggi untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri pada 26 Julai 2016 Repot No: CHOWKIT/005870/2016.

2. Laporan polis tersebut mendakwa bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dipercayai terbabit dalam satu konspirasi menjatuhkan Datuk Seri Najib dan kerajaan Malaysia yang sah.

3. Ketiga-tiga mereka disyaki memberi maklumat sulit kepada agensi - agensi asing termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Amerika Syarikat, tanpa kebenaran dan didakwa memalsukan maklumat untuk mencapai agenda mereka.

4. Walaubagaimanapun melalui pengumuman pada 2 Ogos 2016, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata laporan Khairul Azwan itu berdasarkan andaian dan tidak memerlukan siasatan lanjut. Beliau juga dilaporkan berkata Khairul Azwan tidak akan disiasat kerana membuat laporan palsu.

5. Oleh kerana dalam laporan polisnya, Khairul Azwan mengatakan bahawa laporan polisnya dibuat dengan asas, namun tiada bukti dikemukakan, maka laporan polis tersebut dibuat berdasarkan maklumat palsu.

6. Maka, pada hari ini, kami, Otai Reformasi Kedah 1998 dan Amanah Kawasan Merbok, Amanah Kawasan Sungai Petani dan Amanah Kawasan Jerai tampil menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat yang cintakan keadilan dan kebebasan dan demi mempertahankan maruah dan integriti institusi-institusi utama pentadbiran negara yang pernah diterajui oleh ketiga-tiga Tan Sri dengan membuat laporan polis yang bertujuan agar pihak Polis diRaja Malaysia menyiasat Khairul Azwan kerana telah membuat laporan palsu yang merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan termasuk seksyen 182 dan 194 Kanun Keseksaan.

7. Kami menegaskan bahawa pihak polis hendaklah menjalankan siasatan segera secara bebas dan adil dan tidak memilih bulu atau 'double standard' kerana tindakan ini mencemari prinsip kedaulatan dan keluhuran undang-undang, integriti dan kredibiliti pihak polis. ‪#‎dakwanaibketuapemudaumno‬

Otai Reformasi Kedah 1998
& Parti Amanah Negara
5 Ogos 2016

Tindakan Terhadap Yab Lim Guan Eng, Amanah Kutuk Pendakwaan Terpilih

Rabu, 29 Jun 2016

Oleh MOHAMAD SABU

1. Petang ini kita dikejutkan dengan penahanan YAB Lim Guan Eng oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Beliau akan didakwa sekali lagi di Mahkamah.

2. Kali pertama dulu, YAB Lim Guan Eng telah membela seorang gadis yang dianiaya oleh seorang pempimpin politik, bekas ketua menteri Melaka. Hasil daripada pendedahan melalui satu surat, beliau telah didakwa di bawah akta mesin cetak dan dihukum penjara. Mangsa dan pembela teraniaya sedang orang yang melakukan jenayah terlepas bebas. 
3. Disebelah pihak lagi, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak mengaku terang-terangan bahawa beliau menerima RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau. Namun Peguam Negara diarah berhenti, Timbalan Perdana Menteri dipecat, Menteri Luar Bandar dipecat, Menteri Besar Kedah dipecat, Timbalan Pengarah Cawangan Khas ditukar tempat kerja, pegawai-pegawai SPRM disiasat dan pucuk kepimpinan SPRM pula berhenti secara mengejut.

4. Tiba-tiba dalam bulan Ramadan YAB Lim Guan Eng ditangkap dan akan didakwa atas kes rasuah. Dakwaan terpilih sentiasa berulang kali berlaku di Malaysia. Kita berharap pasukan pembela akan dapat melakukan pembelaan terbaik ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP ini.

5. Soalnya, rakyat Malaysia terutamanya orang Islam masih tidak sensitif dengan rasuah dan penyelewengan. Lebih menghairankan, ada dikalangan mereka bergelar pemimpin berkelulusan agama pembangkang, tetapi menyokong perdana menteri yang mengaku menerima wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi.

6. Inilah corak kehidupan rakyat Malaysia terutama orang Islam. Sampai bila kita hendak berkeadaan begini dengan tidak melaksanakan tanggungjawab agama iaitu menyeru kepada makruf dan menentang kemungkaran.

7. AMANAH mengharapkan YAB Lim Guan Eng akan diadili sebaik-baiknya di mahkamah terbuka sementara rakyat perlu terus bangun melawan rasuah dan penyelewengan 1MDB atau RM2.6 bilion dan pelbagai skandal yang lain.
Selamatkan Malaysia
MOHAMAD SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
29 Jun 2016

KENYATAAN MEDIA AMANAH SEMPENA HARI PEKERJA

Isnin, 2 Mei 2016


1. Sempena 1 Mei 2016 ini, Parti Amanah Negara (AMANAH) ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga pekerja yang telah banyak berkorban dan menabur jasa dalam membangunkan negara ini.

2. AMANAH turut memahami dan merasai keperitan golongan pekerja pada hari ini yang terpaksa berhadapan dengan kemelut ekonomi negara ekoran kegagalan pentadbiran pemimpin Umno Barisan Nasional.

3. Golongan pekerja pada hari ini juga berhadapan dengan cabaran getir apabila banyak sayarikat termasuk syarikat-syarikat gergasi yang terpaksa membuang pekerja ekoran krisis ekonomi yang melanda.

4. Tidak cukup dengan itu, dasar kerajaan Barisan Nasional membawa masuk jutaan pekerja asing atas alasan bayaran gaji lebih murah, telah membunuh peluang kerja rakyat tempatan.

5. AMANAH melihat, semua masalah yang berlaku ini adalah berpunca daripada kegagalan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional. Korupsi dan salah urus dana negara semakin membarah. Malah skandal 1MDB dan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut menjejaskan imej Malaysia di mata dunia.

6. AMANAH menyeru kepada seluruh warga pekerja khususnya yang berada di sekitar Lembah Klang untuk hadir bersama-sama ke Himpunan Hari Pekerja 2016 yang dianjurkan MTUC, bertempat di Wisma MTUC di USJ 9, bermula jam 8 pagi ini.

"Harapan Baru"

MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara
1 Mei 2016

Polemik Kedah ; Pemuda Amanah Fokus Usaha Bela Rakyat Susah

Jumaat, 22 Januari 2016

Konflik kem Najib dan Mahathir yang melatari cubaan menukar Menteri Besar Kedah menjadi bukti jelas UMNO semakin jauh daripada nadi kesusahan rakyat. Ketika ribuan rakyat Kedah terhimpit mahu meneruskan hidup, UMNO hanya berfikir dan bertindak menurut survival politik masing-masing, bukan kepentingan rakyat terbanyak.

Berapa ramai lagi rakyat khususnya di kampung-kampung Melayu Kedah yang perit mahu meneruskan hidup? Berapa ramai pula yang masih bergelut meneruskan hidup dengan pendapatan kasar hanya RM100 sebulan? Pernahkah UMNO mengambil kira keadaan payah rakyat sebelum menggerakkan 'stunt' politik yang langsung tidak menguntungkan rakyat ini?

Lantas Pemuda AMANAH menggesa untuk UMNO berhenti bertindak seolah-olah rakyat boleh lupa penyelewengan dan pengkhianatan UMNO terhadap rakyat dan negara. Perdana Menteri, Najib Tun Razak sendiri masih berhutang besar dengan mahasiswa apabila menghentikan biasiswa JPA ketika pada masa yang sama peruntukan bawah Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM20.3 billion tidak dikurangkan langsung!

Kata kuncinya, fokus. Jentera Pemuda AMANAH khususnya di Kedah diarah untuk fokus kepada usaha membela rakyat susah di kampung-kampung. Perlu ditanam di minda rakyat, siapa pun bakal menjadi Menteri Besar, jika asalnya UMNO, tetap tidak akan mengubah kesusahan rakyat.

''Harapan Baru"

SANY HAMZAN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

Krisis Umno Kedah - Mukhriz

Khamis, 21 Januari 2016

Ketiga-tiga parti Pakatan Harapan Kedah:

1) Kesal dgn krisis di ketika rakyat sedang menghadapi kepayahan ekonomi yg teruk, kos kehidupan meningkat, Ringgit turun, harga getah turun, pendapatan petani turun dll.
Dalam rakyat susah, Umno berebut kuasa dan ini menyusahkan rakyat.

2) Krisis ini adalah kesan langsung dari pertarungan Najib - Tun M berkaitan isu 1MDB. Ini satu lagi bukti 1MDB ini telah menyusahkan setiap rakyat Malaysia.

3) Penyelesaian krisis ini yg tuntas ialah dgn DS Najib meletakkan jawatan dan dinaikkan satu kepimpinan baru yg peka dgn kesejahteraan dan kebajikan semua rakyat.

4) Akhir sekali, penyelesaian krisis hendaklah dengan mengambil kira segala kehendak undang-undang dan perlembagaan tanpa menyusahkan rakyat.

- Dr Azman Ismail,
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Keadilan Kedah.
- Dato Dr Ismail Salleh,
Pengerusi Parti Amanah Negara, Kedah.
- YB Tan Kok Yeu,
Pengerusi DAP Kedah.

AMANAH Kutuk Insiden SeranganBerani Mati Indonesia

Jumaat, 15 Januari 2016

1. Insiden serangan berani mati di tempat awam sama ada daripada Al-Qaeda atau ISIS atau apa-apa kumpulan sekalipun sudah menjadi kebiasaan di negara-negara seperti Pakistan, Afghanistan, Iraq, Syria, Yaman, Tunisia dan Mesir.

2. Namun sekarang, serangan tersebut nampaknya mula merebak ke Turki, dan terbaru semalan di Jakarta.

3. Kita hairan mengapa perjuangan kononnya untuk mencegah kemungkaran dan menegakkan keadilan, perlu memangsakan orang ramai dan tempat-tempat awam seperti stesen bas, hospital, masjid dan gereja.

4. Serangan yang berlaku di Turki sebulan lalu, mengorbankan puluhan nyawa, iaitu kaum Kurdi yang merayakan perayaan mereka. Begitulah juga, serangan yang berlaku di Istanbul berdekatan masjid Sultan Muhammad, yang menyebabkan pelancong daripada Jerman dan beberapa negara lain menjadi mangsa.

5. Serangan hari ni pula berlaku di Jakarta di pos polis yang kecil, kemudian di McDonald dan Starbuck yang juga melibatkan orang awam. Berita yang kita terima menyatakan bahawa pihak polis dan pihak risikan lndonesia bertindak begitu cepat menenangkan keadaan dan suasana sehingga ia diberitakan keadaan kembali pulih hanya beberapa jam selepas kejadian tembak menembak yang mengorbankan tujuh mangsa itu.‎

6. Pihak pemerintah dan orang ramai hendaklah mencari dan mengkaji 'the root cause' yang menyebabkan terjadinya insiden begini. Pandangan bahawa orang awam boleh dimangsakan untuk mencapai cita-cita perjuangan mesti dikritik dan ditentang dan tidak boleh diterima akal mahupun hujah agama.

7. Ajaran mana-mana pihak yang membolehkan untuk melakukan 'suicide bomb' terhadap orang awam untuk mencapai cita-cita perjuangan perlu dikaji dan dilihat secara serius. Jika ia dilakukan atas nama Islam, apakah ia membawa imej yang baik mencemar imej agama dan orang Islam sendiri.

8. Marilah kita semua berikrar untuk menjadikan Islam agama rahmat untuk semua, iaitu tempat pergantungan semua manusia dan makhluk seperti yang dikehendaki turunnya agama itu dan turunnya al-quran itu.

9. Orang awam dan rakyat jelata tidak terlibat dalam membuat dasar negara.
Sebarang bentuk keganasan yang melibatkan orang awam, bukan menjadi sasaran untuk mencapai matlamat sesuatu perjuangan.‎

"Harapan Baru"

HJ MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara
15 Januari 2016‎
04 Rabi'ul Akhir 1437H

Perjanjian Pakatan Harapan Le Arah Membina Kesatuan Politik Yang Mampan

Selasa, 5 Januari 2016

Pertukaran kepimpinan kerajaan di negara ini telah menjadi satu keperluan mendesak. Tidak pernah sebelum ini rakyat dihukum dengan dasar-dasar kerajaan yang membebankan dalam keadaan prospek ekonomi yang murung seperti sekarang.

Malaysia berada di persimpangan genting yang bakal menentukan halatujunya dalam tempoh 30 tahun akan datang. Oleh itu kelompongan kepimpinan yang jujur dan boleh dipercayai perlu diisi segera untuk memberi harapan kepada rakyat.

Mengambil iktibar itu, Pakatan Harapan akan mengadakan satu Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan buat julung-julung kalinya pada 9 Januari 2016 di Pusat Persidangan SACC, Shah Alam dari jam 9 pagi yang bakal menyaksikan majlis memeterai Perjanjian Pakatan Harapan yang mengikat KEADILAN, DAP dan AMANAH di dalam sebuah kesatuan politik yang mampan.

Rundingan dan perbincangan untuk memuktamadkan Perjanjian Pakatan Harapan telah bermula sejak pertengahan Oktober 2015 sejurus selepas pelancaran Pakatan Harapan. Keputusan untuk menguatkan lagi persefahaman politik di antara KEADILAN, DAP dan AMANAH melalui sebuah Perjanjian Pakatan Harapan ini lahir dari keinsafan kami bahawa rakyat mahukan sebuah pakatan politik yang lebih bersatu padu dan utuh yang padan dengan sokongan rakyat terhadap agenda perubahan yang kami bawa selama ini.

Rakyat sedia maklum pandangan dan keputusan Pakatan Harapan dalam isu-isu besar negara. Perkara ini termaktub di dalam dokumen dasar-dasar Pakatan Harapan sebelum ini (Kerangka Dasar Bersama, Belanjawan Pakatan Harapan, Buku Jingga dan lain-lain) atau telah pun diterjemahkan oleh pentadbiran Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang. Pun begitu, ada keperluan untuk menguatkan lagi kerjasama politik ini dengan membuktikan keikhlasan dan niat politik yang mengikat ketiga-tiga parti. Niat politik yang ikhlas ini menjadi asas kepada kepatuhan ketiga-tiga parti kepada prinsip yang dipersetujui di dalam dasar-dasar dan keputusan bersama. Keikhlasan dan kejujuran politik sebegini adalah sebahagian dari harapan rakyat yang perlu dikotakan oleh Pakatan Harapan.

Justeru, Perjanjian Pakatan Harapan yang akan ditandatangani pada 9 Januari 2016 akan memberi fokus kepada perkara-perkara utama yang menjadi pra-syarat kepada pembinaan sebuah kesatuan politik yang mampan di antara ketiga-tiga parti. Perjanjian Pakatan Harapan mengandungi tujuh (7) fasal utama mengenai pra-syarat tersebut iaitu:

  i.  Prinsip dan kaedah membuat keputusan

 ii.  Prinsip dan kaedah membina kesatuan politik di antara parti

iii.   Prinsip dan kaedah dalam menyelesaikan pertikaian di antara parti

 iv.  Prinsip dan kaedah dalam membangunkan dasar-dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar-dasar bersama

v. Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan pilihanraya termasuk penentuan kerusi yang ditandingi

vi.  Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan dan blok pembangkang

vii.   Prinsip dan kaedah menangani keadaan bila mana perjanjian ini dilanggari

Kami yakin pemeteraian Perjanjian Pakatan Harapan ini merupakan kemajuan besar yang melambangkan kematangan politik KEADILAN, DAP dan AMANAH yang berjaya mengenepikan kepentingan politik masing-masing demi mencapai persetujuan ini.

Di atas kekuatan kesatuan politik hasil dari Perjanjian Pakatan Harapan ini, kami akan memberi tumpuan seterusnya untuk membangunkan satu kerangka dasar-dasar yang jitu dan radikal ke arah mencari penyelesaian berkesan kepada masalah rakyat dan membina sebuah negara yang inklusif dan berdaya saing. Ini akan membentuk dokumen Dasar-Dasar Bersama Pakatan Harapan yang akan diumumkan di Konvensyen Pakatan Harapan yang dijangka akan diadakan menjelang Jun 2016.

5 Januari 2016

YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
YAB LIM GUAN ENG
TUAN HAJI MOHAMAD SABU

Presiden KEADILAN
Setiausaha Agung DAP
Presiden AMANAH

Sokong Tindakan Sekatan Terhadap Atlet Israel

Ahad, 27 Disember 2015


Pemuda AMANAH menyokong beberapa sekatan yang dikenakan terhadap terhadap peserta luncur angin dari Israel yang dijadualkan mengambil bahagian dalam satu kejohanan di Langkawi.

Tindakan ini disambut baik sebagai sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin yang dizalimi oleh kerajaan haram Israel secara berterusan dengan cara yang amat tidak bertamadun.

Selain mengambil kira faktor hubungan diplomatik Malaysia-Israel, sekatan yang dilakukan ini perlu sebagai tanda protes terhadap Israel dan ia perlu diterjemah di setiap perkara, bukan hanya sukan semata-mata.

Pemuda AMANAH juga mengharapkan agar kerajaan konsisten dalam memastikan tidak berlaku sebarang hubungan dengan Israel seperti yang berlaku sebelum ini termasuklah penglibatan firma perunding Israel, APCO Worldwide dalam memberikan khidmat rundingan komunikasi terhadap kerajaan Malaysia.

Dalam masa yang sama, kami melahirkan rasa kecewa atas kenyataan Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak, Chong Zhemin yang menyelar tindakan Khairy, kononnya menteri itu menggunakan sentimen politik dan peribadi dalam acara sukan antarabangsa itu.

Pada hemat kami, kenyataan tersebut sangat mengguriskan perasaan rakyat khususnya umat Islam dan pencinta keamanan sejagat yang sehingga kini sangat peduli terhadap nasib rakyat di negara Palestin.
Sebagai rakan gabungan Pakatan Harapan, kami berhak untuk menegur DAP dalam hal ini kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam dalam negara ini.

Kami sangat mengharapkan agar DAP lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan pandangan khususnya melibatkan sensitiviti umat Islam dan hukum hakam agama.

‪#‎HarapanBaru‬

USTAZ HAJI MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional /
Ketua Pemuda AMANAH Perak
27 Disember 2015

Kesilapan Kami Adalah Kerana Terlalu Bersangka Baik

Pemuda Amanah Negeri Perak terpanggil untuk memberi penjelasan terhadap viral berkenaan seorang individu yang menyertai Amanah semalam.Semalam Pemuda Amanah Negeri Perak telah mengadakan program turun padang ke Dun Changkat Jering. Kami telah menyusun program sepanjang hari bermula malam kelmarin hingga petang semalam.

Kami telah didatangi oleh seorang individu yang dikenali sebgai Zack atau nama sebenarnya Mohd Zakaria. Tanpa diketahui beliau hadir ke Pejabat Amanah Kawasan Bukit Gantang iaitu lokasi kami berkumpul.

Kami 'bermanis mulut' menawarkan beliau menyertai Amanah walaupun kami mengetahui bahawa beliau adalah individu yang sangat aktif dengan PAS. Beliau bersetuju untuk menyertai Amanah dengan alasan-alasan yang beliau luahkan kepada kami pada masa itu. Beliau turut bersetuju untuk menyerahkan borang keahlian yang masih belum diisi kepada Adun Changkat Jering, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai gimik penyertaannya.

Beliau bersetuju untuk mengisi borang kemudian dan akan berurusan dengan pimpinan Amanah Kawasan Bukit Gantang oleh kerana kekangan masa pada waktu itu disebabkan masing-masing telah diberikan tugas program seterusnya. Tambahan pula, beliau bukanlah asing dengan pimpinan Amanah kawasan.

Zakaria secara pantas terus memberikan khidmatnya kepada Amanah. Beliau membantu kami membeli barangan bantuan dan beliau turut menjadi penunjuk arah rumah yang kami lawati.

Di dalam perjalanan, beliau dengan penuh semangat menceritakan pelbagai perkara termasuklah kekecewangan beliau terhadap PAS hingga membuatkan beliau terdetik untuk menyertai Amanah.

Namun, ketika program sedang berlangsung, kelihatan beliau seolah-olah tidak tentu hala dan bergegas untuk pulang dengan alasan ada perkara yang perlu diselesaikan.

Tidak lama kemudian, kami menerima satu "screenshort" tentang penafian beliau menyertai Amanah. Dalam posting itu, beliau menyangkal dengan nama Allah bahawa beliau menyertai Amanah. Beliau mengatakan ia hanyalah borang kosong.

Kami tidak menafikan bahawa memang benar borang di dalam gambar itu masih kosong kerana ia hanyalah gimik penyerahan semata-mata kerana kami dengan penuh sangka baik percaya soal pengisian maklumat borang akan diselesaikan selepas selesai program.

Sudah tentu kami sangat terkejut apabila beliau ingin menyertai Amanah, ini kerana kami sedia maklum mengenali beliau 'orang kuat' Ustaz Idris Ahmad dan beliau memang terlibat secara aktif dengan PAS Kawasan Bukit Gantang.

Kami mengakui kesilapan besar kami adalah terlalu bersangka baik kepada beliau. Ini kerana kami meletakkan keyakinan beliau adalah seorang ahli parti Islam yang komited dan melalui tarbiah secara langsung dengan Ustaz Idris iaitu salah seorang pimpinan yang berperanan besar mempelopori tarbiah PAS selama ini.

Apakan daya, sifat berprasangka baik kami ini adalah kesilapan besar dan kini kami dianggap penipu dan menyebar perkara yang palsu. Berita ini juga telah menjadi perbualan hangat di laman sosial dan turut dimuatnaik oleh Ustaz Idris Ahmad sendiri.

Dengan penuh berlapang dada, kami sangat menghormati jika beliau ingin 'u-turn' kembali kepada PAS kerana menganggapnya perbuatan itu salah atau terburu-buru namun tindakan beliau menafikan hingga pihak kami dituduh menipu, ia adalah satu tindakan yang tidak wajar.

Secara logik akalnya, kami yakin semua akan berfikiran matang untuk menilai perkara ini. Amatlah tidak masuk akal kami berbohong atau memaksa kerana beliau sendiri yang hadir kepada kami. Beliau turut memberi respon di dalam group Whatsapp Amanah Bukit Gantang.

Semoga sedikit pencerahan ini dapat menjawab segala persoalan dan tohmahan yang dilontarkan. Kami berlapang dada ditohmah, kami juga berharap kalian berlapang dada untuk mendengar penjelasan kami.

Kami mengharap fitnah ini dapat dihentikan kerana ia tidak membawa apa-apa manfaat kepada ummah secara keseluruhan.    Kami mendoakan kebaikan baik untuk saudara Zack, Ustaz Idris Ahmad yang menjadikan posting Zack ini viral dan juga kepada parti AMANAH yang kami cintai.

#FastabiqulKhairat
Belumba-lumbalah melakukan kebaikan

USTAZ MOHD RASHIDI NASHARUDDIN
Pengarah Komunikasi,
Pemuda Amanah Negeri Perak

Pakatan Harapan mengutuk sekeras-kerasnya ucapan Dato’ Seri Najib Tun Razak

Jumaat, 11 Disember 2015

Pakatan Harapan mengutuk sekeras-kerasnya ucapan Dato’ Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung Umno semalam yang cuba memainkan api perkauman untuk mengalihkan perhatian dari skandal politik yang sedang beliau hadapi. Antara lain, beliau dilaporkan menggambarkan bahawa sekiranya Umno kalah dalam Pilihanraya Umum 14 (PRU14), negara ini akan ditadbir oleh Pakatan Harapan yang menentang perjuangan Islam, Melayu dan Bumiputra.

Kenyataan beliau itu tidaklah mengejutkan kerana setiap kali Umno berhadapan dengan krisis, ia akan menggunakan helah menakut-nakutkan rakyat dengan isu perkauman dan penjajahan asing.

Majlis Presiden Pakatan Harapan menegaskan bahawa ketiga-tiga parti iaitu KEADILAN, DAP dan AMANAH menjunjung sepenuhnya peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan termasuklah yang berkaitan dengan perkara-perkara penting berhubung kedudukan Bumiputra, agama Islam, institusi Raja-raja Melayu dan bahasa Melayu.

Muafakat ini telah pun ditandatangani bersama di dalam Buku Jingga dan dipiagamkan seperti berikut:

1.      Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153;

2.      Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan; dan

3.      Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.

Skandal politik yang sedang menekan Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak ada kena mengena dengan perjuangan Islam, Melayu dan Bumiputra. Krisis yang melanda Umno sekarang sehingga lunturnya sokongan rakyat kepada parti itu berpunca dari skandal kewangan 1MDB dan dana RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak yang masih belum dijawab sehingga hari ini.

Helah beliau yang cuba memainkan api perkauman bagi menutup skandal peribadi adalah terkutuk dan merendahkan lagi kedudukan beliau di mata rakyat. Malah, pentadbiran beliau jugalah yang merangka undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 yang diluluskan baru-baru ini yang dilihat mencabar kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong bila mana pengumuman yang membolehkan kuasa darurat dilaksanakan kini boleh dibuat oleh Perdana Menteri; bukan lagi terhad kepada pengisytiharan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong.

Pakatan Harapan menyeru supaya rakyat terutamanya dari kaum Melayu tidak terperangkap dengan permainan perkauman. Kami yakin rakyat boleh membezakan permasalahan sebenar dan tidak akan terheret ke dalam permainan perkauman ini yang menjadi tali hayat terakhir Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Pakatan Harapan akan terus menumpukan kepada isu-isu penting rakyat seperti kos sara hidup yang meruncing, sistem percukaian yang tidak adil, peluang pekerjaan untuk golongan muda dan menekankan tata kelola bagi membanteras rasuah yang berleluasa.

11 Disember 2015

TUAN HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH

YB TUAN LIM KIT SIANG
Penasihat DAP

YB DATO' SRI WAN AZIZAH ISMAIL
Presiden KEADILAN

Isu RM2.6 Bilion ; Dulu najib nafi sekarang kata Bank Negara Pun Tahu

Rabu, 9 Disember 2015

OLEH DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR

1. Temu bual media bersama PM Najib menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) mendedahkan pengakuan Najib menerima RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi beliau dan Bank Negara telah pun dimaklumkan tentang kewujudan akaun tersebut.

2. Persoalan susulan pengakuan Najib ini ialah kenapa di awal pendedahan yang dilakukan oleh Wall Street Journal (WSJ) dan Serawak Report (SR) Najib menafikan hal berkaitan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau?

3. Najib juga mendakwa bahawa tuduhan isu RM2.6 bilion adalah kerja pembangkang dan Tun Mahathir dalam satu konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan dan kepimpinan beliau.

4. Kini Najib mengakui wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau daripada seorang penderma. Sedangkan dalam dokumen pemindahan kredit MT 103 yang disyaratkan untuk diisi oleh pengirim yang didedahkan oleh WSJ tercatit jumlah dan perkatan "Partial Payment",  bukannya partial donation untuk kiriman pertama bertarikh 21 Mac 2013 dan scand part for final payment untuk kiriman kedua bertarikh 25 Mac 2013. Tidak ada satu pun perkataan "donation" disebut.

5. Persoalannya, ialah adakah Bank Negara tahu tentang wujudnya akaun peribadi Najib dan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Najib seperti mana dakwaan Najib bahawa Bank Negara maklum akan hal ini? Adakah Bank Negara telah maklumkan dan buat laporan pada SPRM, bukankah kemasukan ke dalam akaun peribadi ada hadnya (limit)? Jika Bank Negara tahu akan akaun dan derma ini m, adakah Bank Negara telah meneliti segala dokumen dokumen berkaitan yang didedahkan oleh WSJ? Adakah ada persamaan maksud perkataan "Payment" dengan "donation"?

6. Tan Seri Zeti, Gabenor Bank Negara perlu menjelaskan kekusutan ini. Tolong jelaskan siapa kah Jin penderma yang derma kepada akaun Najib? Adakah Jin sua suway kemuning yang derma? Sila jelaskan kepada rakyat bilakah wang tersebut dikeluarkan dari akaun Najib dan kepada siapa pembayaran itu dibuat dari akaun Najib di AmIslamic bank? Adakah wang tersebut diberikan pada Ahmad Albab?

"AHMAD ALBAB YANG PUNYA".

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena.
9 Des 2015/27 Safar 1437 HKenyataan Media.

Kenyataan sebenar YB Dr Mujahid Yusof Rawa:Gejala Penularan Ekstrimisma Di Malaysia

Rabu, 25 November 2015

Peperangan ke atas terorrisma yang dilancarkan masyarakat dunia nampaknya tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Kebangkitan ISIS dan letupan Paris yang terkini membuktikan dunia memerlukan nafas yang panjang untuk mendepani isu kegiatan terror yang menjadikan orang awam yang tidak berdosa sebagai korban.

Kegiatan terror berakar umbi dari faktor yang menyuburkannya dan asas kepada tapak yang membina fenomena ini ialah ekstrimisma dan tiada toleran dalam kepelbagaian. Walaupun fahaman dan kecenderungan ektrimisma atau sikap melampau ada berkait dengan Islamofobia dan peperangan yang berlaku di Asia Barat namun apa yang lebih bahaya ialah aspek ideologi yang membentuk corak ekstrimisma sebagai satu sikap dan kepercayaan.

Menularnya ideologi ekstrimisma di Malaysia kini menuntut beberapa persoalan yang perlu digarapkan. Asasnya ialah sebaran secara tidak sedar atau disedari beberapa doktrin di kalangan para pengkuliah dan penceramah agama, antaranya ialah

1. Menganggap jamaah atau kelompoknya yang memiliki kebenaran yang mutlak (absolute truth) lalu mewajarkan pelabelan sesat, munafik dan mengkafirkan sesama umat Islam yang bukan dari kalangannya. Fenomena takfiri ini adalah asas pemikiran ISIS dan yang seumpamanya.

2. Memilih wadah politik lain dengan meninggalkan parti lama dianggap pengkhianat dan layak mendapat laknat malah memaksa supaya isteri diceraikan berpandukan kepada ikatjanji yang dibuat. Pemikiran ini menjadikan tinggalkan parti politik tertentu dengan memilih wadah lain seolah keluar dari agama Islam. Inilah pelabelan murtad , sesat munafik dan tinggalkan Jamaah yang dikuliahkan oleh sebahagian pengkuliah dan penceramah. Corak pemikiran inilah yang membentuk gaya ISIS dan seumpamanya yang amat membahayakan masyarakat.

3. Penafsiran ayat al Quran dan al Hadith dikupas secara tekstual tanpa melihat konteks yang amat penting dalam disiplin ilmu memahami teks yang dipetik. Begitu juga keterasingan memahami realiti kenegeraan dan perundangan negara dan kedudukan masyarakat berbagai membawa penafsiran literal dari bahan yang dibaca sehingga melahirkan hubungan anti-establisment (anti-negara) dengan negara yang didiami. Maka konsep Islamic State yang sesat fahamannya mudah meresapi pemikiran awam.

4. Menegaskan dan hanya menekankan Islam dalam kerangka Hukuman Jenayah tanpa melihat aspek Syariat dalam kerangka Tujuan Besar Syariat melahirkan pembawaan Islam yang keras sehingga hilang asas Islam yang Ramah dan penuh kemanusiaan. Pembawaan ini mendedahkan masyarakat menjadi ekstrim dalam pandangannya.

Hari ini hasil dan benih ekstrimisma telah menular apabila insiden-insiden melibatkan beberapa ahli Parti Amanah Negara menjadi mangsa kepada pandangan-pandangan ekstrim terhadap mereka. Beberapa laporan polis telah dibuat khususnya di Terengganu dan beberapa insiden lain yang menyebut secara khusus orang tertentu Murtad dan Sesat serta keluar Jamaah yang wajar dihalalkan darah mereka. Begitu juga sesetengah pengkuliah yang mengheret orang awam di mesjid dan surau dengan fatwa-fatwa kecil yang arus bawahnya membentuk corak pemikiran ekstrim. Kami tidak hanya bimbang kepada Ahli Parti Amanah Negara tetapi masyarakat lain pun boleh menjadi mangsa apabila jalur keras ini menguasai pemikiran orang ramai.

Kami menuntut kerajaan supaya lebih sensitif kepada corak pemikiran ini dan proaktif menangani kegiatan pra-terrorisma secara ideologi ini dengan mengambil langkah berikut;

1. Membentuk Jawatankuasa Mendepani Ideologi Ekstrimisma di peringkat Parlimen.

2. Menggesa Majlis Agama negeri-negeri memantau isi kandongan para pengkuliah di mesjid dan surau agar jalur pemikiran ekstrim dibendung dengan menasihati dan membetuli perkara fundamental tentang bahaya Takfiri.

3. Mengusahakan dokumentasi fahaman Fiqh Kenegaraan mengikut metode Malaysia dengan mengambil kira teks dan konteks untuk menangani fahaman literal yang membahayakan keutuhan negara.

4. Menggesa JAKIM menangani secara berkesan fenomena Takfiri dan bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai cita yang sama.

Kami mengharapakan agar isu ini menjangkau segala fahaman politik dan supaya pihak berwajib tidak mendiamkan diri dengan mengeksploitasi keadaan untuk kepentingan politik tertentu. Seluruh masyarakat harus menyokong usaha mengawal penularan virus ekstrimisma dan pada waktu yang sama menolak parti-parti politik yang mengiyakan fahaman sebegini dan menyebarkannya di kalangan orang ramai.

Sekian

1. Yb Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia

2. Yb Dato' Raja Kamarul Baharin
Ahli Parlimen Malaysia

24/11/2015
Bangunan Parlimen Malaysia

Penolakan Bajet 2016 oleh Pakatan Harapan – Keadaan Sebenar

Isnin, 16 November 2015

1. Penolakan bajet oleh pihak pembangkang adalah amalan biasa dalam sistem demokrasi berparlimen. Ianya bukan merupakan perkara yang aneh mahupun baru. Ianya pernah dilakukan oleh Pakatan Rakyat termasuk Ahli-ahli Parlimen PAS sebelum ini. Ianya dilakukan melalui tindakan belah bahagi selepas sahaja bajet dibentangkan. Walaupun ianya ditolak pembangkang, undi menyokong dari Ahli Parlimen BN melebihi undi pembangkang dan dengan itu ianya diluluskan.

2. Sikap berkecuali seperti yang dicadangkan PAS tidak wajar diambil oleh pihak pembangkang dewasa ini. Ini adalah kerana bajet itu merupakan perlaksanaan dasar-dasar kerajaan BN yang tidak dipersetujui. Ini bukan sekadar aspek cara kutipan hasil tetapi juga keutamaan dalam penggunaan wang rakyat. Oleh itu ianya ditolak dan ditentang. Sikap berkecuali tidak akan membantu rakyat terbanyak dan menjadikan kehadiran di Parlimen tidak bermakna.

3. Tahun ini keadaannya sedikit berbeza. Ini adalah kerana ada kemungkinan bajet akan ditolak apabila undi sokongan dari Ahli Parlimen BN dikatakan tidak padu dan ada yang diberitakan akan menolaknya.

4. Kemungkinan bajet ditolak menimbulkan banyak reaksi dan kekeliruan. Antaranya adalah tanggapan bahawa kakitangan kerajaan tidak akan menerima gaji, hospital tidak akan menerima bekalan ubat-ubatan dan sebagainya. Dikatakan akan berlaku 'government lock-down' iaitu keadaan di mana kerajaan tidak dapat berfungsi.

5. Hakikatnya bukan itu yang akan terhasil. Sebaliknya, penolakan bajet akan menjadi pukulan hebat terhadap DS Najib dan kabinetnya. Ianya boleh menjadi undi tidak percaya terhadap Najib. Kemungkinan besar usul undi tidak percaya yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang tidak akan diangkat untuk perbahasan oleh pihak kerajaan. Oleh itu tindakan penolakan bajet boleh menjadi penggantinya.

6. Najib akan terpaksa sama ada membentangkan bajet alternatif yang boleh dipersetujui oleh Parlimen atau meletak jawatan dan memberi laluan kepada pembentukan kabinet baru. Pakatan Harapan bersedia untuk menghadapi dua kemungkinan ini.

7. Memandangkan pengundian terhadap bajet akan dilakukan pada 16hb November, tempoh masa untuk membentangkan kembali bajet atau membentuk kabinet baru untuk menyediakan bajet baru, adalah lebih dari mencukupi.

8. Alternatif ketiga, sepertimana yang disebut oleh YB Dato Mahfuz Omar, ialah DS Najib boleh bubarkan Parlimen untuk diadakan Pilihan Raya peringkat Parlimen. Pembubaran Parlimen boleh dilakukan selepas terlebih dahulu meluluskan bajet untuk tempoh 3 bulan yang sekadar bertujuan menjamin perjalanan kerajaan. Dalam tempoh 3 bulan itu, pihak yang memenangi pilihan raya Parlimen telah membentuk kerajaan dan menyediakan bajet baru untuk diluluskan Parlimen.

9. Penolakan bajet harus dilihat sebagai peluang keemasan untuk membetulkan bajet yang membebankan rakyat. Sekiranya bajet baru dikemukakan, mungkin akan dapat memasukkan pindaan seperti yang diingini. Kadar GST dapat disifarkan, pembasmian rasuah dapat diutamakan, usaha kronisme dapat ditamatkan dan subsidi serta bantuan yang lebih bermakna kepada rakyat dapat dilaksanakan.

10. Sekiranya kesan penolakan bajet adalah semestinya 'government lock down', sudah pasti tiada siapa akan menolak bajet! Dalam keadaan itu amalan membahas dan melulus bajet menjadi amalan yang tidak bermakna kerana semua akan ‘terpaksa’ melulskannya! Maka pemahaman sedemikian akan menjadikan Parlimen 'rubber stamp' yang memungkinkan kerajaan BN meluluskan apa sahaja yang diinginkan.

11. Kami syorkan supaya jangan ada mana-mana pihak cuba menimbulkan keresahan dan ketakutan di kalangan rakyat terhadap tindakan menolak bajet. Usaha itu akan dilihat sebagai tindakan membela DS Najib. Kalau ada yang ingin melakukannya, biarlah ianya dilakukan oleh pihak BN. Sudah pasti jentera dan kelengkapan BN mencukupi untuk kerja-kerja sedemikian.

Sekian terima kasih.

YB Dato Johari Abdul
Ketua Whip Ahli Parlimen PKR

YB Loke Siew Fook
Ketua Whip Ahli Parlimen DAP

YB Khalid
Ketua Whip Ahli
Parlimen AMANAH

Usul Tidak Percaya

Khamis, 22 Oktober 2015

Dalam kapasiti saya selaku Ketua Pembangkang, saya telah mengemukakan suatu usul pada hari ini untuk mengambil ketetapan bahawa Dewan ini tidak ada kepercayaan terhadap Yang Amat Berhormat Pekan, Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Saya mempunyai sebab-sebab munasabah berkeyakinan bahawa majoriti dalam Dewan Rakyat, bererti bukan sahaja 88 orang Ahli Parlimen Pembangkang, tetapi juga bilangan Ahli Parlimen dalam Barisan Nasional yang mencukupi, yang telah hilang kepercayaan terhadap pimpinan Yang Amat Berhormat untuk menerajui Kerajaan.

Perlu dijelaskan bahawa Usul tersebut hanya berkenaan dengan kehilangan kepercayaan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak dan bukannya terhadap Kerajaan. Ini kerana saya dan banyak lagi, tanpa mengira fahaman politik, kami percaya bahawa krisis ekonomi, sosial dan politik yang tenat dan sedang dihadapi negara ini berasal daripada krisis kepimpinan dalam negara. Rakyat sedang menderita kos kehidupan yang semakin meningkat dan kesengsaraan ekonomi di bawah jagaan beliau di mana polisi-polisi beliau terbukti gagal. Transformasi yang dihebohkan itu sekadar retorik.
Sungguhpun terdapat faktor luaran yang menyebabkan kejatuhan nilai ringgit seperti penurunan harga minyak dan harga komoditi, ‘sentimen’ yang disebutkan oleh ahli-ahli profesional dan ekonomi sebagai salah satu sebab kejatuhan ringgit adalah akibat daripada cara menguruskan siasatan skandal 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Penyingkiran Dato’ Gani Patail sebagai Peguam Negara secara tergesa-gesa tanpa penjelasan, pelucutan YB Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan YB Semporna Datuk Shafie Apdal, pembubaran selanjutnya pasukan bertindak menyiasat skandal 1MDB, pemindahan atau penukaran pengarah-pengarah yang mengetuai penyiasatan dan pegawai-pegawai SPRM yang menjalankan tugas penyiasatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, merupakan satu percubaan untuk campur tangan ke atas penyiasatan. Keadaan bertambah buruk dengan pelantikan pengerusi dan tiga anggota PAC Dewan Rakyat (ke Kabinet) yang menghalang PAC daripada menjalankan penyiasatannya terhadap pengurusan dan pengarah-pengarah 1MDB yang sepatutnya didengar di hadapan PAC. Institusi-institusi kita telah diganggu-gugat daripada melaksanakan tugas-tugas tanpa rasa takut.

Kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak semakin bertambah rakus dengan timbulnya pelbagai perundangan menindas yang disegerakan menerusi parlimen dan lebih dari seratus ahli aktivis, cendekiawan, wartawan dan pelajar disiasat, didakwa atau dihadapkan pertuduhan. Meskipun terdapat jaminan di dalam parlimen, SOSMA dan undang-undang lain yang berkaitan dengan penahanan tanpa bicara telah diperalatkan terhadap mereka yang tidak ada kena-mengena dengan keganasan. Perbicaraan dan pemenjaraan mantan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dikutuk oleh badan kehakiman antarabangsa (contohnya ICJ) sebagai satu perbicaraan yang songsang dan penganiayaan politik.

Tokoh-tokoh tersohor dalam persidangan anti-rasuah antarabangsa (IACC) telah menggesa Perdana Menteri menjelaskan ‘derma’ RM2.6 bilion. Mereka mempersoalkan siapa membayar wang itu dan kenapa? Dan ke mana wang itu pergi? Tidak ada penjelasan yang munasabah diberikan.

Oleh yang demikian, tidak memeranjatkan untuk melihat pelabur-pelabur dalam dan luar negara mengeluarkan pelaburan mereka dari negara kita. Mantan Perdana Menteri dan para pimpinan kanan kerajaan kini menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib.
Ratusan ribu rakyat biasa telah memberanikan diri selama 34 jam dalam keadaan hujan dan panas bagi mendesak peletakan jawatan Dato’ Seri Najib. Tinjauan-tinjauan terkini menunjukkan bahawa populariti beliau telah menjunam ke tahap paling teruk dalam sejarah, dan beliau ditolak oleh rakyat.

Majlis Raja-raja telah mengeluarkan kenyataan yang tiada tolok-banding yang menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat dan menghukum dalang-dalang yang terbabit dalam skandal 1MDB. Seluruh negara menyokong penuh tanpa kecuali gesaan Duli-duli Raja-raja Melayu.

Saya yakin Ahli-ahli Parlimen akan mengundi menurut hati nurani. Kita mesti mengetepikan perbezaan politik dan meletakkan kepentingan negara mengatasi segala. Kita tidak boleh berdiam diri apabila kedaulatan, kemerdekaan dan maruah negara tergugat hanya kerana seorang manusia.        

Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen
Ahli Parlimen Permatang Pauh

Muafakat Penubuhan Pakatan Harapan

Rabu, 23 September 2015

Krisis kepimpinan negara dan tekanan kewangan terhadap rakyat akibat kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak memerlukan penyelesaian segera. Lebih lama krisis ini berlanjutan, rakyat biasa akan terus menjadi mangsa menanggung beban ekonomi seharian dan berhadapan permainan adu domba perkauman sesetengah pihak.

Krisis yang melanda negara ini juga mendesak parti-parti pembangkang bersatu untuk lebih berkesan dalam menentang Umno/Barisan Nasional. Harapan rakyat tinggi menggunung supaya sebuah pakatan pembangkan yang bersatu dan kuat dapat memainkan peranan mengekang salah tadbir dan kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Mengambil kira kepentingan rakyat yang utama ini, parti-parti yang hadir bersidang di dalam Rundingan Mejabulat yang dipanggil oleh Ketua Pembangkang pada hari ini bersetuju untuk menubuhkan sebuah pakatan pembangkang yang baru bernama Pakatan Harapan dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (PAN) berkuatkuasa hari ini.

Sebuah Jawatankuasa Khas dengan diwakili oleh Setiausaha Agung dan wakil dari setiap parti akan ditubuhkan untuk memperhalusi terma-terma penubuhan Pakatan Harapan termasuklah perjanjian pakatan, dasar bersama, etika kerja sesama parti yang menganggotai Pakatan Harapan dan lain-lain.

Mulai dari hari ini, Pakatan Harapan akan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik yang jitu untuk membela rakyat dan berdepan dengan Umno/Barisan Nasional.

Langkah pertama Pakatan Harapan adalah mengumumkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). Kami yakin bahawa beliau adalah di antara pemimpin yang paling sesuai untuk menangani kemelut ekonomi, salah urus kerajaan, kebajikan rakyat, perpaduan kaum dan krisis kredibiliti yang ditinggalkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Pakatan Harapan mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk bersama-sama Pakatan Harapan dalam misi menyelamatkan rakyat dan negara dari kepincangan Umno/Barisan Nasional tertakluk kepada persetujuan perjanjian pakatan, dasar bersama dan etika permuafakatan politik.

Kami yakin kewujudan Pakatan Harapan akan memberi harapan baru kepada rakyat Malaysia ke arah sebuah negara yang adil, inklusif, berdaya saing, berkebajikan dan berpaksikan keluhuran undang-undang.

YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH ISMAIL
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

YB SAUDARA LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP

YBhg HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH

22 September 2015

Berhubung Isu Cemuhan Atas Bangsa Cina

Sabtu, 19 September 2015

Oleh Profesor Dr. Taufiq Yap Yun Hin, FASc

Bangsa Melayu terkenal dengan kehalusan budi. Bahkan sebelum kami berhijrah ke Islam, ramai antara kami tertarik mengenal Islam hasil kewibawaan akhlak Melayu.

Kami memartabatkan hak istimewa Melayu tetapi Allah SWT meletakkan setiap hak istimewa sebagai tanggungan di dunia yang akan di jawab di hadapan Allah SWT kelak.

Maka, Melayu Muslim memikul tanggungan yang lebih berat untuk menunjukkan contoh sebagai khairu ummah. Ramai keluarga kami yang belum Muslim berusaha mengenal Islam. Jangan biarkan Islamofobia berlarutan bila segelintir umat Islam menghalalkan kata-kata kesat seperti Cina Babi dan menghalalkan rasisme dengan mengaitkannya dengan Islam.

Kami Pertubuhan Cina Muslim Malaysia atau MACMA, mempunyai 19 cawangan seluruh Malaysia, meminta pihak-pihak berkenaan untuk kembali menghayati Islam dan memohon maaf atas keterlanjuran kata.

Bak kata pantun Melayu:

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum mencemuh dan merendah-rendahkan kaum yang lain. Mungkin kaum yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka."
(Surah al-Hujurat 49:11)

Profesor Dr. Taufiq Yap Yun Hin, FASc
Presiden
Persatuan Cina Muslim Malaysia

Parti AMANAH Negara sebagai medan muhasabah untuk bekerja

Khamis, 17 September 2015

Oleh Mazlan Aliman

Parti AMANAH NEGARA telah dilancarkan dengan jayanya semalam. Ia menambah koleksi parti politik di Malaysia. Berbagai ramalan dibuat mengenai jangka hayatnya, namun, segala galanya dalam pengetahuan Allah jua.

Terima kasih atas semua komen terhadap penyertaan saya di dalam Parti AMANAH NEGARA. Saya amat menghargainya, juga sebagai medan muhasabah untuk bekerja lebih kuat demi perjuangan yang suci dan murni. Kekalkan ukhuwwah seperti sedia kala. Berjiwa besar dengan setiap teguran. Saya tidak berhasrat menjawab kritikan dan komen, ia tiada kesudahannya. Sambil menyedari, sebagai manusia biasa, tentu sekali saya banyak kelemahan dan cacat cela.

Selain Parti AMANAH Negara yang saya pilih sebagai wadah politik, Ngo ANAK akan terus fokus sepertimana visi dan misinya. Pejabat pentadbiran di Ukay Perdana, menangani isu isu utama seperti FGV, KPF, perumahan Gen 2, Kadar Perahan Gred, kos tanam semula, saman peneroka di Mahkamah dll.

ANAK sedang mempertimbangkan melalui perbincangan dengan berbagai pihak untuk mengadakan himpunan aman di hadapan pintu masuk bangunan Parlimen pada sidang Dewan Rakyat oktober ini mengenai isu kejatuhan harga komoditi. Ia sebagai salah satu usaha menangani isu kejatuhan komoditi sawit dan getah yang sudah berlarutan beberapa tahun kebelakangan ini. Kesan atas rakyat sangat dirasai.

ANAK akan meneruskan engagement dengan tokoh tokoh negara dan masyarakat seperti mana pertemuan terdahulu dengan Tun Dr Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Kadir Syeikh Fadhir dan Tan Sri Syed Hamid Albar. Ia bukan sahaja ruang bertukar pandangan, tetapi dokongan bersama menyelamatkan institusi orang melayu seperti Felda yang berada pada tahap membimbangkan.

ANAK sedang menunggu kelulusan atas permohonan menubuhkan koperasi Anak Anak peneroka. Mesyuarat Agung telah diadakan, hanya sijil kelulusan sahaja belum diperolehi. Baru baru ini, saya mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Koperasi Ukhwah, Dato' Mustapha Kamal Maulut, bagi menimba pengalaman dan membuka ruang kerjasama.

Meskipun kita berbeza wadah perjuangan, tetapi gerakerja untuk menjatuhkan Kerajaan Korup BN dalam Pru 14, adalah cita cita bersama.

Berfikiran positif, memandang kehadapan dengan gagasan besar!
Semoga usaha kita di berkati Allah

AMANAH, PROGRESIF, PEDULI

Kenyataan Media Amanah Berkaitan Logo Parti

1. Pertamanya, saya ingin mengucap syukur di atas kejayaan Majlis Pelancaran Perdana Parti Amanah Negara (AMANAH) yang berlangsung di Shah Alam, semalam yang menyaksikan ribuan hadir memberi sokongan.

2. Bagaimanapun, saya difahamkan terdapat kegelisahan dikalangan ahli dan penyokong Parti AMANAH berkaitan logo parti yang baru sahaja diperkenalkan kepada umum pada majlis pelancaran semalam.

3. Ingin saya jelaskan bahawa penentuan logo parti telah melalui proses sepatutnya. Satu jawatankuasa logo dibentuk dan kemudian mereka telah mengemukan beberapa cadangan kepada Jawatankuasa Pusat parti, dan akhirnya logo "A" seperti dilancarkan semalam telah dipilih dan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan ROS.

4. Berkait isu persamaan logo yang timbul itu, ia berkemungkinan berlaku secara kebetulan dan pihak kami telah mengambil maklum. Kami sangat menghargai pandangan serta komen orang ramai dan akan berbincang dengan pihak berkaitan.

5. Namun lebih besar daripada isu itu adalah, sebuah lagi parti politik Islam baru telah berjaya dilancarkan bersempena tarikh penubuhan Malaysia semalam, dan bersedia untuk menawar khidmat kepada seluruh rakyat.

HJ MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Amanah Negara
17 September 2015
 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger