Home » , » Perjanjian Pakatan Harapan Le Arah Membina Kesatuan Politik Yang Mampan

Perjanjian Pakatan Harapan Le Arah Membina Kesatuan Politik Yang Mampan

Written By Wadah Baru on Selasa, 5 Januari 2016 | 3:58 PTG

Pertukaran kepimpinan kerajaan di negara ini telah menjadi satu keperluan mendesak. Tidak pernah sebelum ini rakyat dihukum dengan dasar-dasar kerajaan yang membebankan dalam keadaan prospek ekonomi yang murung seperti sekarang.

Malaysia berada di persimpangan genting yang bakal menentukan halatujunya dalam tempoh 30 tahun akan datang. Oleh itu kelompongan kepimpinan yang jujur dan boleh dipercayai perlu diisi segera untuk memberi harapan kepada rakyat.

Mengambil iktibar itu, Pakatan Harapan akan mengadakan satu Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan buat julung-julung kalinya pada 9 Januari 2016 di Pusat Persidangan SACC, Shah Alam dari jam 9 pagi yang bakal menyaksikan majlis memeterai Perjanjian Pakatan Harapan yang mengikat KEADILAN, DAP dan AMANAH di dalam sebuah kesatuan politik yang mampan.

Rundingan dan perbincangan untuk memuktamadkan Perjanjian Pakatan Harapan telah bermula sejak pertengahan Oktober 2015 sejurus selepas pelancaran Pakatan Harapan. Keputusan untuk menguatkan lagi persefahaman politik di antara KEADILAN, DAP dan AMANAH melalui sebuah Perjanjian Pakatan Harapan ini lahir dari keinsafan kami bahawa rakyat mahukan sebuah pakatan politik yang lebih bersatu padu dan utuh yang padan dengan sokongan rakyat terhadap agenda perubahan yang kami bawa selama ini.

Rakyat sedia maklum pandangan dan keputusan Pakatan Harapan dalam isu-isu besar negara. Perkara ini termaktub di dalam dokumen dasar-dasar Pakatan Harapan sebelum ini (Kerangka Dasar Bersama, Belanjawan Pakatan Harapan, Buku Jingga dan lain-lain) atau telah pun diterjemahkan oleh pentadbiran Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang. Pun begitu, ada keperluan untuk menguatkan lagi kerjasama politik ini dengan membuktikan keikhlasan dan niat politik yang mengikat ketiga-tiga parti. Niat politik yang ikhlas ini menjadi asas kepada kepatuhan ketiga-tiga parti kepada prinsip yang dipersetujui di dalam dasar-dasar dan keputusan bersama. Keikhlasan dan kejujuran politik sebegini adalah sebahagian dari harapan rakyat yang perlu dikotakan oleh Pakatan Harapan.

Justeru, Perjanjian Pakatan Harapan yang akan ditandatangani pada 9 Januari 2016 akan memberi fokus kepada perkara-perkara utama yang menjadi pra-syarat kepada pembinaan sebuah kesatuan politik yang mampan di antara ketiga-tiga parti. Perjanjian Pakatan Harapan mengandungi tujuh (7) fasal utama mengenai pra-syarat tersebut iaitu:

  i.  Prinsip dan kaedah membuat keputusan

 ii.  Prinsip dan kaedah membina kesatuan politik di antara parti

iii.   Prinsip dan kaedah dalam menyelesaikan pertikaian di antara parti

 iv.  Prinsip dan kaedah dalam membangunkan dasar-dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar-dasar bersama

v. Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan pilihanraya termasuk penentuan kerusi yang ditandingi

vi.  Prinsip dan kaedah menguruskan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan dan blok pembangkang

vii.   Prinsip dan kaedah menangani keadaan bila mana perjanjian ini dilanggari

Kami yakin pemeteraian Perjanjian Pakatan Harapan ini merupakan kemajuan besar yang melambangkan kematangan politik KEADILAN, DAP dan AMANAH yang berjaya mengenepikan kepentingan politik masing-masing demi mencapai persetujuan ini.

Di atas kekuatan kesatuan politik hasil dari Perjanjian Pakatan Harapan ini, kami akan memberi tumpuan seterusnya untuk membangunkan satu kerangka dasar-dasar yang jitu dan radikal ke arah mencari penyelesaian berkesan kepada masalah rakyat dan membina sebuah negara yang inklusif dan berdaya saing. Ini akan membentuk dokumen Dasar-Dasar Bersama Pakatan Harapan yang akan diumumkan di Konvensyen Pakatan Harapan yang dijangka akan diadakan menjelang Jun 2016.

5 Januari 2016

YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
YAB LIM GUAN ENG
TUAN HAJI MOHAMAD SABU

Presiden KEADILAN
Setiausaha Agung DAP
Presiden AMANAH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger