Home » » Pas perlu lihat perubahan politik semasa

Pas perlu lihat perubahan politik semasa

Written By Wadah Baru on Isnin, 23 Mei 2016 | 6:52 PTG


HULU KELANG - Senario politik yang berbeza perlu diambil kira oleh Pas dalam isu meletakkan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tidak dinafikan Pas mempunyai hak untuk mempertahankan kerusi tradisi tersebut, namun parti itu perlu melihat perubahan politik semasa.

Beliau berkata, besar harapannya supaya isu calon itu dapat diselesaikan sebelum hari penamaan calon pada 5 Jun depan.

“Saya tidak akan putus asa dan akan terus berusaha berbincang dengan semua wakil parti pembangkang sama ada Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam isu calon untuk menguatkan jentera sebagai persediaan menentang BN.

“Jika kita berpegang kepada objektif yang sama (iaitu) mahu menewaskan BN dan menurunkan perdana menteri, kita pasti mampu capai kata sepakat,” katanya.

Ditanya sama ada isu dalaman PKR dan pentadbiran kerajaan negeri boleh memberi kesan kepada PRK nanti, beliau katanya, perkara itu tidak menjejaskan undian kepada Pakatan Harapan, sebaliknya tumpuan lebih kepada masalah rakyat.

“Kerajaan negeri bertanggungjawab dengan prinsip telus dan tulus. Jika ada aduan atau bukti melibatkan sebarang dakwaan, kita syorkan bawa kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
“Apa yang perlu dijelaskan dan difokuskan adalah isu rakyat (seperti) kenaikan harga barangan (dan) kos sara hidup. Saya ingatkan kepada komponen parti supaya tidak menyebar fitnah atau (melancarkan) serangan politik, sebaliknya tumpukan kepada fakta dan rekod prestasi kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin kemenangan akan berpihak kepada pembangkang, dengan syarat mereka bekerja keras.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger