Home » , » Amanah bertanding elak hubungan Pas - PKR terjejas

Amanah bertanding elak hubungan Pas - PKR terjejas

Written By Wadah Baru on Selasa, 24 Mei 2016 | 6:49 PTG


KUALA LUMPUR - Kesediaan Parti Amanah Negara (Amanah) bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar bertujuan untuk mengelakkan hubungan PKR dan Pas terjejas.

Pengarah Strateginya, Khalid Abdul Samad berkata, berikutan keengganan Pas menarik diri, parti yang sesuai berdepan dengan Pas ialah Amanah yang tidak mempunyai hubungan politik dengan parti Islam itu.

"Oleh kerana PKR tak boleh pastikan satu lawan satu dan rundingan dengan Pas gagal, lebih baik kedua-dua kerusi ini ditandingi Amanah. Ini kerana kita tak mahu hubungan PKR dengan Pas terjejas.

"Kita tak mahu PKR dan Pas bergaduh. Ianya akan menjejaskan hubungan mereka dalam Kerajaan Negeri Selangor," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kelmarin bahawa hasrat Amanah itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti  sebelum dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Khalid juga berkata, PKR perlu memandang jauh dengan hasrat Amanah itu sebagai objektif jangka masa panjang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

"Bila Pas tak mahu tarik diri, sudah tentu akan wujud pertandingan tiga penjuru. Persoalannya ialah siapa yang terbaik untuk berdepan dengan Pas?

"Dengan objektif masa panjang dalam menghadapi PRU14, adalah yang terbaik jika Amanah berdepan dengan Pas," ujarnya.

Bagaimanapun beliau berkata, keputusan bertanding itu bergantung kepada hasil mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dijangka diadakan esok.

"PKR tak kata tak setuju lagi (Amanah bertanding). Kalau kita bincang, kita akan pastikan tiada pertindihan parti-parti dalam Pakatan Harapan.

"Kalau akhirnya keputusan itu seperti mana yang diputuskan, kita akur lah," ulasnya.
Khalid berkata lagi, jika Amanah diberi peluang bertanding, sekurang-kurangnya parti itu dapat membuktikan ia mampu mendapatkan sokongan masyarkat Melayu Islam sebagai pengganti Pas dalam Pakatan Harapan.

"Bagusnya juga sekiranya kita bertanding, kita nak tahu sejauh mana masyarakat mengenali Amanah dan akan sanggup menyokong kami," katanya lagi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger