Home » » Selamat Hari Lahir, Pak Anwar!

Selamat Hari Lahir, Pak Anwar!

Written By Wadah Baru on Isnin, 10 Ogos 2015 | 10:17 PTG

Oleh Muhammad Luqman Ahmad Tarmizi

Penulis mulai berkenalan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Pak Anwar ketika 2008, pasca Pilihan Raya Umum ke-12 yang menyaksikan buat pertama kalinya majoriti dua pertiga kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan berjaya dinafikan.

Siapa tidak terpukau dengan karisma beliau di khalayak umum, pidato yang memukau, persembahan bertenaga di Parlimen dan keupayaan menyatukan barisan pembangkang yang berlainan ideologi. Kini semua tinggal kenangan; beliau kini dinafikan kebebasan, kebebasan yang beliau sendiri perjuangkan berpuluh tahun lamanya.

Kini beliau terpenjara di sebalik jeriji besi, tidak mampu lagi berpencak di pentas pidato; apa lagi yang tinggal untuk kita?

Artikel ini ditulis atas kesedaran penulis yang sudah terlalu lama kita mengagumi beliau sebagai politikus yang lincah, pemidato yang memukau dan bekas timbalan perdana menteri yang dizalimi; saya kira tiba masanya kita menghargai beliau selaku seorang intelektual pencerah, pelontar idea dan pencetus gelombang kebangkitan Malaysia di era moden.  

Politikus intelektual

Memulakan karier awal selaku aktivis mahasiswa, beliau pantas memacu nama selaku aktivis-intelektual muda Islamis yang menggerakkan kebangkitan Islam ketika periode 70-80an, di mana beliau selaku arkitek utama selaku presiden Abim, sebelum mengambil langkah mengejut terjun ke dunia politik sebagai ahli Umno.
Ramai yang mengeluh, alangkah baiknya Pak Anwar terus sahaja setia dengan dunia aktivisme-intelektualisme tanpa perlu menjadi politikus, siapa tahu sekarang mungkin beliau akan dikenang sebagai intelektual sebaris mentornya Syed Naquib dan Syed Hussein al-Attas.

Gelaran “politikus intelektual” yang pernah beliau kalungkan kepada Almarhum Muhammad  Natsir, maestro gerakan dakwah-politik Islam Indonesia, saya kira wajar juga kita kalungkan kepada Pak Anwar. Lincah berpencak di medan siasah, pada masa sama akalnya tidak kontang dari idea-idea pencerahan dan lidahnya tidak kontang dari wacana-wacana segar tentang demokrasi, masyarakat madani dan keadilan sosial.

Berapa ramai politikus di Malaysia yang mampu menukil kata-kata pujangga  Muhammad Iqbal, Jalaluddin Rumi dan Shakespeare dalam ucapannya? Berapa kerat politikus kita yang menghargai tradisi intelektualisme barat dan timur, John Locke dan Rabindranth Tagore?

Konsep “karamah insaniyyah” (kemuliaan insan) berjaya diangkat sebagai wacana sementara konsep Imago Dei dalam tradisi Kristian, di mana manusia dicipta berdasarkan “wajah Tuhan” dikupas dengan bagus sekali.
Selaku anak didik Prof Syed Mohd Naquib al-Attas di masa muda, hal ini sangat tidak menghairankan. Dibantu pula oleh think tank beliau, Institut Kajian Dasar yang beliau sendiri asaskan, di samping menggabungkan diri dengan International Institute of Islamic Thought; asas intelektual berakar begitu kuat dalam diri beliau.

Enam tahun di penjara, pelbagai buku berjaya dihadamkan; dari Origin of Species (Charles Darwin) ke Hamlet (Shakespeare), perspektif dan sudut pandang beliau cukup luas.

Setiap kali saya membaca, meneliti dan bergaduh soal politik, sering kali saya teringat peringatan beliau untuk ahli-ahli politik: Sepak terajang politik itu meruntunkan dan memberi karat pada intelektualisme, maka sekali-sekala, kena kilatkan ia kembali dengan wacana-wacana segar dan perbahasan-perbahasan idea
Tidak ramai ahli politik yang mempunyai gagasan dan visi yang jelas, namun salah seorangnya ialah Pak Anwar.  Gagasan Kebangkitan Asia yang beliau bawa dan rangkumkan dalam buku The Asian Renaissance wajar kita jadikan kajian dan panduan. Antara yang menarik untuk dibahaskan ialah idea mengenai demokrasi dan Asia.

Idea-idea beliau mengenai demokrasi tampak sangat bertentangan dengan bekas mentor beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew. Kedua-duanya mewakili dua kutub pemikiran yang berbeza.

Di kala Pak Anwar tidak ragu-ragu akan kesejajaran prinsip demokrasi dan nilai-nilai Asia/ketimuran, dan mempromosi demokrasi versi Asia, Dr Mahathir dan Lee menganggap nilai-nilai Asia yang mementingkan disiplin, kesatuan dan kepatuhan, dan menganggap demokrasi ala Barat akan menghancurkan Asia itu sendiri.

Tradisi intelektualisme timur dan barat

Ucapan beliau di London School of Economics pada 18 Mac 2010 bertajuk ‘Religion and Pluralism in a Divided World’ menggemparkan seisi Malaysia. Beliau dianggap mempromosikan agenda pluralisme agama, melalui kata-katanya:

“...it is a stark reality of our world that certain religious groups hold that only certain fundamental doctrines may lead to salvation.”

Sudah tentu, dalam masyarakat Malaysia yang rata-ratanya sangat konservatif, ucapan ini akan ditanggap dengan sikap reaktif dan terus “jump into the conclusion” tanpa perbahasan teliti dan penjelasan daripada beliau sendiri. Kemudian beliau memetik pula syair Rumi:

Back in the 13th century, the mystical poet Jelaluddin al-Rumi wrote in the Masnavi:
“The lamps are different but the Light is the same, it comes from Beyond; If thou(you) keep looking at the lamp, thou art lost; for thence arises the appearance of number and plurality.”

Beliau menambah:

“I believe I’m not alone in saying that for religious pluralism to flourish in a divided world, it is morally unacceptable to say to people of other faiths:

We believe in our God and we believe we are right; you believe in your God, but what you believe in is wrong.”

Soal kontroversi pluralisme agama dan faham liberalisme ini, saya serahkan kepada pembaca untuk menilai dan mengkajinya sendiri.

Cuma jika kita meneliti ucapan ini, kita akan dapati betapa penguasaan beliau terhadap tradisi intelektualisme timur mahupun barat sangat mendalam; memulakan ucapan dengan puisi T.S Elliot, penyair lagenda England, membahaskan pula idea kesatuan transenden Jalaluddin Rumi, ahli sufi mistik kelahiran Iran, kemudian memetik pula pandangan Dante mengenai keamanan universal.

Tabah dan gagah tidak pernah menyerah!

Memperingati Pak Anwar bukan dengan merintih akan terkuburnya Pakatan Rakyat selepas beliau ke penjara. Bukan juga dengan mempertahankan kesilapan ijtihad politik yang beliau lakukan daripada Projek 16 September ke Langkah Kajang.

Cara terbaik saya kira ialah dengan kita mendengungkan kembali idea, gagasan dan wacana yang beliau lontarkan lewat buku, artikel, temu bual, ucapan dan pembentangan. Mencontohi kecintaan beliau pada buku dan ilmu, penghargaan beliau pada ulama dan ilmuwan, serta mengangkat martabat daya rasional dan intelek manusia ke tempat yang sepatutnya.

Itulah sebaik-baik cara untuk kita mengenang beliau. Saya akhiri bingkisan ringkas ini dengan titipan sebuah sajak oleh Allahyarham Usman Awang khusus untuk Pak Anwar.

“Selamat Hari Lahir (buat Saudara Anwar Ibrahim)
Palu dijatuhkan
Lama sebelum tanganmu terikat ke belakang
Kau gegar aras kayangan
Kekuasaan yang mula tergoncang
Sekali tanganmu terancung ke udara
Sejuta teriakan menyambutnya
Sekali suaramu terpancar ke angkasa
Sejuta gelombang gema menyahutnya
Demi sumpah perjuangan
Demi maruah keadilan
Tabah dan gagah
Tidak pernah menyerah.”
Selamat Hari Lahir, Pak Anwar!
.
* Penulis adalah ahli Mahasiswa Progresif Usim (Sispro)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger