PETALING JAYA: Himpunan Bersih 5 akan diteruskan pada 19 November ini
dan penganjur bersiap sedia dengan pasukan keselamatan sendiri untuk
berdepan ancaman Gerakan Baju Merah, kata Maria Chin Abdullah.
“Kami juga berharap mendapat bantuan daripada pihak polis untuk
memastikan undang-undang dipatuhi semasa perhimpunan itu,” katanya
ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pengerusi Bersih 2.0 itu berkata, lokasi perhimpunan hanya akan
didedahkan pada masa sesuai, walaupun menerima ancaman Baju Merah yang
meminta Bersih membatalkan perhimpunan itu.
“Peserta Baju Merah ganas, tetapi ancaman mereka tidak akan
menghentikan usaha kami. Mereka bertindak seperti gengster dan tindakan
sepatutnya diambil terhadap mereka. Bagi pihak kami, langkah-langkah
keselamatan sudah dilakukan,” katanya.
Minggu lalu, Gerakan Baju Merah bertembung dengan konvoi Bersih di
beberapa lokasi, termasuk di Teluk Intan menyebabkan pergaduhan tercetus
antara penyokong Bersih dan Baju Merah, manakala ribuan penyokong
berkumpul di Gurney Drive sebagai tanda bantahan terhadap perhimpunan
Bersih 5.
Bersih dalam kenyataannya mendakwa pergaduhan itu hampir membunuh
penyokongnya dan menegaskan badan itu hanya mahu menggalakkan keamanan,
bukannya menimbulkan rusuhan.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim
ketika dihubungi berjanji kumpulan Baju Merah di Pulau Pinang tidak akan
bertindak ganas, kecuali diprovokasi kumpulan Bersih.
“Objektif Baju Merah adalah untuk menghentikan perhimpunan daripada
diadakan kerana ia mengganggu keamanan di negara ini. Sehubungan itu,
jangan provokasi kami, jika anda tidak mahu perkara tidak diingini
berlaku,” katanya.
Rafizal berkata, konvoi Bersih 5 di Pulau Pinang tidak mendapat
sambutan memberangsangkan daripada orang ramai kerana pertuduhan rasuah
yang dihadapi Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
“Reputasi Guan Eng tercemar dan beliau sendiri cakap tidak serupa
bikin. Bagaimana masyarakat mahu mempercayai tuntutan yang dibuat
Bersih, jika counterpart mereka menghadapi tuduhan rasuah?” katanya.
Rafizal berkata, Baju Merah di Pulau Pinang sedia berdepan Baju Kuning, jika mereka berkumpul tanpa permit polis.
Semasa perhimpunan di Gurney Drive minggu lalu, kira-kira 300 pemuda
bermotosikal menuntut Guan Eng meletak jawatan dan mendakwa perhimpunan
Bersih diadakan bertujuan menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak.
Baju Merah ganas seperti gengster, kata pengerusi Bersih
Written By Wadah Baru on Ahad, 9 Oktober 2016 | 3:09 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan