Oleh Firdani Adam
Setelah setengah tahun Pakatan Rakyat berkubur di Sabah apabila PKR
dan DAP memutuskan hubungan dengan rakannya PAS, kini muncul pula
parti-parti baharu ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dengan slogan
“Sabah 4 Sabahan”.
Sebagaimana didakwa pengasas parti yang bakal diumumkan namanya tidak
lama lagi, ia lebih bersifat setempat berbanding parti-parti
pembangkang sedia ada dari Semenanjung Malaysia. Suatu pendekatan yang
kita harus raikan atas kesungguhan memperjuangkan kepentingan warga
Sabah yang selama ini teraniaya.
Namun demikian, sebagai warga Sabah yang bijak, beberapa persoalan
perlu kita timbulkan dengan penubuhan parti-parti baharu ini, kerana
dendangan perjuangan mereka tidak menjanjikan apa-apa.
Pertama, sejauh mana parti-parti baharu ini benar-benar berjuang
untuk kepentingan warga Sabah? Cuba kita singkap kembali tabir sejarah
politik negeri Sabah, kita dapat lihat pemain-pemain politik ini lebih
mementingkan kelangsungan karier politik berbanding berjuang untuk
rakyat.
Ada sebahagian ahli politik tersebut pernah memegang jawatan di
peringkat persekutuan, tetapi keadaan di pedalaman masih sama dengan
jalan raya berlumpur, masalah elektrik dan bekalan air tidak pernah
berakhir.
Kalau benar berjuang untuk warga Sabah, kenapa sewaktu menjawat
jawatan di peringkat persekutuan dahulu tidak diperjuangkan
habis-habisan? Sepatutnya kedudukan tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin
demi kepentingan rakyat, bukan untuk kepentingan penyokong sahaja.
Kedua, andai benar mereka berjuang untuk rakyat, kenapa perlu
tubuhkan parti berbeza kemudian menyatakan akan bergabung dengan
parti-parti tempatan yang akan menentang BN?
Kenapa tidak tubuhkan satu parti untuk pejuang ini berada di dalamnya
semua sekali dan menumpukan sepenuh tenaga dan usaha meraih sokongan
rakyat yang akan membina sebuah kesatuan kukuh? Bukankah lagi mudah
mendapat sokongan rakyat dalam jumlah banyak kerana sokongan itu penting
untuk menentukan kemenangan dalam PRU.
Kemudian dengan bangganya menyatakan parti-parti Semenanjung ini
tidak diperlukan lagi di Sabah, sedangkan itulah parti yang dahulunya
disanjung dan dipuja – parti yang pernah dijadikan tempat persinggahan,
selepas melompat daripada parti sebelumnya.
Adakah kewujudan ‘Sabah-based party’ ini benar-benar memperjuangkan
kepentingan warga Sabah atau sekadar medan untuk pemain politik ini
meneruskan kelangsungan karier mereka? Rekod silam jelas menunjukkan
pemain-pemain politik ini banyak sandiwaranya.
Terlalu awal untuk diserahkan segala harapan kepada parti-parti ini
kerana PBS yang pernah dijadikan harapan warga Sabah juga kecundang
kepada BN dan kini menjadi rakan komponen BN sudah hilang taringnya.
Oleh yang demikian, kita sebagai warga Sabah cintakan negeri inilah
yang akan membuat pilihan, pada bahu mana yang kita perlu sandarkan
harapan. Jangan pernah lupakan sejarah. Kalau pejuang hak Sabah
menyatakan Malaya adalah musuh utama rakyat Sabah, jangan lupa
pengkhianatan ahli politik tempatan kita sendiri.
Kita akui, kita ramai ahli politik di Sabah, tetapi kita kekurangan
negarawan yang sanggup berkorban demi masa hadapan Sabah yang gemilang.
Sudah tiba masanya kita berikan laluan kepada golongan muda untuk
menerajui pentas politik Sabah. Kita rehatkan pemain-pemain politik
veteran yang banyak sandiwara mereka pada PRU akan datang.
Rehatkan pemain veteran bersandiwara di Sabah pada PRU14
Written By Wadah Baru on Sabtu, 8 Oktober 2016 | 2:59 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan