Mampukah kita dirikan media merdeka?

Ahad, 25 Ogos 2019

Oleh  Lim Hong Siang
 
Dua tahun lalu, saya berkesempatan untuk menghadiri satu seminar anjuran sebuah badan yang memperjuangkan kebebasan kewartawanan di Taiwan. Seminar itu diadakan dalam kampus, dan saya dapat merasakan sedikit riuh ketika para panelis mengambil tempat.

Salah seorang peserta tempatan berbisik kepada saya, “Nampak tak? Siswa-siswi itu tak sabar-sabar untuk bersemuka dengan idola mereka.” Sambil dia menuding kepada salah seorang panelis wanita di depan.

“Siapa dia?” tanya saya. “Editor sebuah majalah siasah di sini. Bukan main kekaguman siswa-siswi kepadanya. Mereka jadikannya idola, bagai bintang dalam dunia kewartawanan.” Saya memandang ke arah siswa-siswi. Mata mereka bersinar ketika menatap seorang editor dengan paras rupa yang biasa. Apa yang pasti, ada sesuatu yang luar biasa di sebalik susuk itu.

Malam itu saya merenung ketika pulang ke hotel. Agak-agak siapa pengamal media di Malaysia, yang mampu memercikkan cahaya dalam mata siswa-siswi, menginspirasikan mereka untuk berkecimpung dalam bidang kewartawanan?

Apakah ciri-ciri yang dimilikinya sebagai teladan dalam bidang kewartawanan? Apakah beliau menjiwai kebebasan bersuara? Apakah beliau berani kerana benar? Apakah beliau mendukung nilai sejagat, yang merentasi semua batas kaum, agama, budaya dan bahasa?

Soalan-soalan ini melantun-lantun dalam otak saya, pada malam yang langitnya gelap-gelita.

Skandal Malaysia dibongkarkan media asing

Balik ke Malaysia. Imej wartawan cukup negatif. Macam-macam tuduhan dilemparkan kepada wartawan, dari “memetik di luar konteks”, “memutar-belitkan kenyataan”, hinggalah “mereka berita palsu” – sama ada oleh politikus yang sengaja mengkambinghitamkan media, mahupun pembaca yang tidak berpuas hati dengan kualiti kandungan media yang dihidangkan.

Media dituduh sebagai alat propaganda, lidah parti yang mana agendanya bukan lagi melaporkan kebenaran, sebaliknya mengulangi pembohongan agar ia menjadi kebenaran pada suatu hari nanti.
Sesungguhnya, fenomena ini gagal diperincikan tanpa mengambil kira konteks persekitaran media yang pincang di Malaysia. Kebanyakan media tempatan dimiliki parti politik, atau mereka yang mempunyai hubungan erat dengan parti politik. Terlalu sedikit media tempatan independen yang mampu bertahan lama – kekal bebas, dan kekal bernafas dalam pasaran pada zaman ini.

Teori “pemilik media menentukan kandungan” menjelaskan sebahagian fenomena ini. Dengan akta yang mencengkam kebebasan, ditambah pula dengan politik perkauman dan agama sempit yang disuburkan, alam media sebenarnya merencatkan perkembangan media independen, lantas mencantas wartawan yang kritis dan profesional.

Cuba kita renung, bukankah ia satu penghinaan kepada dunia kewartawanan tanah air, apabila skandal 1MDB buatan Malaysia dibongkarkan media asing, dan akhirnya mengkalungkan Anugerah Scoop dan Anugerah Kecemerlangan Laporan Penyiasatan kepada Tom Wright, editor ekonomi rantau Asia untuk The Wall Street Journal? Di manakah peranan wartawan dan media tempatan, sepanjang penyiasatan dan pendedahan skandal ini?

Jikalau dikupas lagi, ia bukan sahaja soal “keberanian” seseorang wartawan atau sesebuah institusi media, tetapi juga “kepakaran” wartawan dari media tempatan untuk menguasai selok-belok isu ini, khususnya media bahasa Melayu. Biar berterus-terang, siapakah wartawan dalam kalangan media bahasa Melayu, yang mampu menyusuli perkembangan seterusnya skandal 1MDB, selepas ia dibongkarkan?
Persoalan ini bermain dalam otak saya, ketika diajak masuk ke dalam satu kumpulan untuk membincangkan isu tokoh kewartawanan. Antara syarat yang diperbincangkan dan digariskan, karya calon perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar. Saya tercari-cari calonnya, malah saya tertanya-tanya, tulisan rencana (feature) manakah yang paling memahat dalam ingatan saya, sepanjang pembacaan saya dalam tempoh 10 tahun ini?

Wartawan mengubah dunia?

Membaca pengalaman media asing sememangnya mengujakan. Wartawan memikul misi untuk membawa perubahan kepada dunia. Dalam satu kes di Amerika Syarikat, dua orang wartawan dari akhbar tempatan Belleville News-Democrat telah melakukan kerja siasatan, membongkar bagaimana kes aduan pencabulan seks yang tidak dipedulikan balai polis tempatan, dan tidak dikendalikan mahkamah – selepas editornya menerima satu panggilan daripada seorang nenek tua yang mengadu bahawa cucunya dirogol secara beramai-ramai. Bertahun-tahun mereka menyiasat dan mengumpul maklumat, dengan temu bual, penelitian statistik dan sebagainya, akhirnya mereka membuat pendedahan yang menggegarkan.

Banyak lagi topik yang relevan, jikalau tumpuannya difokuskan di Malaysia. Bagaimana ratusan ribu tan sisa sampah dari Australia, United Kingdom, Jepun, Kanada dan sebagainya, boleh diimport dalam kontena ke Malaysia? Siapakah dalang yang mengaut keuntungan di sebaliknya? Isu ini berkait rapat dengan “kedaulatan bumi Malaysia”, juga kebersihan alam dan kesihatan rakyat. Apakah ada media tempatan yang membongkarkannya, atau wartawan kita lebih ghairah untuk membincangkan “Tanah Melayu milik siapa”?

Demikianlah realiti media di Malaysia. Pernah saya mengikuti satu rombongan sambil belajar ke Jerman kira-kira tujuh tahun lalu. Ketika melawat sebuah institusi media tempatan, saya sempat menjeling buku-buku yang tersusun rapi di meja wartawannya. Bukan gosip dunia hiburan, bukan cerita romantis rekaan, tetapi buku teori yang tebal dan berat. Mereka masuk ke dunia kewartawanan dengan berbekalkan pengetahuan, dan pandangan tersendirinya.

Apakah Malaysia terlalu ketinggalan? Saya masih ingat bagaimana pensyarah universiti saya cuba membuka mata kami dengan memperkenalkan teori-teori kewartawanan yang kritikal. Kami diasuh untuk mengikis imej stereotaip, mengambil perspektif yang berbeza ketika membincangkan isu gender, teknologi, etnik, agama dan sebagainya. Di situ kami mula peka terhadap bagaimana sesuatu imej ditampilkan dalam produk budaya, dan lebih kritis untuk mempersoal struktur kuasa di sebaliknya.

Malangnya teori-teori ini kekal dalam dewan kuliah. Apakah wartawan pada hari ini akan bangkit mempertikai menteri yang membuat kenyataan bahawa “Cina ada di universiti kerana kedudukan ekonomi yang lebih berada”, atau mereka akan turut mengiyakan imej stereotaip yang cuba dipahat dalam minda masyarakat? Apakah wartawan pada hari ini akan mengupas isu kemiskinan dari sudut kelas dan struktur, dan bukan sekadar menggaru-garu kulit yang berlainan warna?

Kita dirikan media merdeka?

Hakikatnya, wartawan dan media kita amat jauh tersasar dari landasan. Sebagai kuasa keempat, media dilihat lebih memijak mereka yang tidak berkuasa, daripada mempersoalkan mereka yang berkuasa. Fenomena ini lebih ketara sebelum PRU14.

Dengan perkembangan teknologi maklumat terkini, saban hari wartawan menghambat kelajuan berita, namun seolah-olah tidak tahu ke mana hala tujunya. Malah, wartawan dan editor sekadar berpuas hati untuk menyuapkan pembacanya dengan berita yang diinginkan pembaca, tetapi bukan lagi menerokai berita yang penting untuk pembacanya.

Artikel ini ditulis tatkala Utusan Malaysia sedang mengharungi waktu-waktu gentingnya lantaran masalah kewangan. Moga-moga ia dipermudahkan, dan masalah pembayaran gaji diselesaikan dengan baik antara pihak majikan dengan kakitangannya.

Apa yang menimpa Utusan Malaysia pada hari ini, harus dijadikan renungan kita untuk memikirkan nasib media tempatan pada masa depan. Setuju atau tidak dengan Utusan Malaysia, tidak kira jatuh naiknya Utusan Malaysia, kita tetap berdepan dengan cabaran yang lebih meruncing di depan kita. Apakah media mampu menyajikan kandungan yang berkhasiat untuk masyarakat kita? Apakah media kita telah mempersiap-sediakan dirinya sebelum mempersiap-sediakan masyarakat kita untuk menghadapi masa depan yang tidak menentu?

Saya tidak menyimpan niat agar Utusan Malaysia dirobohkan, tetapi meminjam ayat pantun Dr.Burhanuddin Al-Helmi, “Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa Merdeka”, saya ingin melontarkan cabaran, “Mampukah kita dirikan media merdeka?”

LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).

Pertembungan PAS-Amanah dan gerakan Islam di Malaysia

Isnin, 5 Mac 2018

Oleh Zin Mahmud

Serangan politik yang diterima PAS umumnya lebih banyak datang daripada penyokong Amanah berbanding pihak lain. Begitu juga serangan dilakukan PAS adalah lebih banyak ditujukan kepada Amanah berbanding kepada parti lain.

PAS adalah sebuah parti pembangkang yang musuh tradisinya adalah Umno. Dari awal penubuhannya pada 1951, pesaingnya adalah Umno walaupun ia lahir sebagai pecahan parti itu.

Pertembungan PAS-Umno berlaku dari tahun 1951 hingga 1973 apabila parti itu menubuhkan kerajaan campuran dengan Perikatan yang diketuai Umno diikuti dengan penyertaannya ke dalam Barisan Nasional (BN). Serangan di antara PAS dan Umno tercetus semula apabila parti itu keluar daripada BN.

Ia berterusan sehinggalah apabila PAS menghentikan kerjasama dengan DAP diikuti dengan pembubaran Pakatan Rakyat pada 2015. Hubungan PAS dengan Umno menjadi mesra dan akhirnya disifatkan oleh pemimpinnya sebagai berbentuk kerjasama.

Sejak itu, serangan PAS terhadap Umno berkurangan, sebaliknya ia beralih arah kepada parti pembangkang yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya Amanah. Parti pecahan ini menjadi sasaran utamanya walaupun anggotanya itu dahulu adalah rakan seperjuangan mereka.

Amanah disifatkan oleh sebahagian daripada penyokong PAS sebagai pengkhianat kerana keluar parti dan menentang mereka. Mereka yang kekal dalam PAS dianggap sebagai beristiqamah. Terdapat program yang dilancarkan oleh PAS selepas penubuhan Amanah yang dinamakan Fastaqim, bermakna beristiqamah sehingga mencapai kemenangan.

Sejak perpecahan itu, ada kalangan PAS menegaskan diri mereka sebagai parti Islam dan kerajaan negeri Kelantan sebagai kerajaan Islam. Penegasan ini juga memberi implikasi bahawa PAS adalah parti Islam dan siapa yang menentangnya adalah menentang parti Islam dan gerakan Islam. Begitu juga, sesiapa yang menentang kerajaan Kelantan, maka mereka adalah penentang kerajaan Islam.

Besar implikasi apabila seseorang atau sesuatu kumpulan dikatakan sebagai penentang parti Islam, gerakan Islam dan kerajaan Islam. Ia bermakna menentang Islam.

Keadaan ini berasaskan kepada fahaman politik bahawa hanya PAS adalah parti Islam, yang lain bukan parti Islam. Kerajaan yang dipimpin oleh parti Islam adalah kerajaan Islam, sementara kerajaan yang ditadbir oleh parti lain adalah bukan kerajaan Islam. Perkara ini tidak disebut secara nyata, tetapi itulah pemahamannya.

Penyokong Amanah membantah pemahaman begini. Mereka berkata Amanah juga adalah parti Islam. Lebih-lebih lagi para ahlinya adalah bekas ahli PAS. Mereka keluar PAS kerana tidak setuju tindakan parti itu yang meruntuhkan kerjasama dengan parti pembangkang lain.

Perbezaan pendirian ini bukan dari segi menentang fahaman politik Islam tetapi perbezaan kaedah perjuangan. Walaupun hakikatnya perbezaan kaedah politik berpunca dari perbezaan fahaman politik, walaupun pada peringkat cabang dan bukannya teras.

Bagi penyokong Amanah, mereka tidak mengkhianati perjuangan PAS, sebaliknya merekalah yang istiqamah. Ini kerana PAS yang dipimpin presiden sebelumnya, Datuk Fadzil Nor, dan juga dipandu oleh Mursyidul Am sebelumnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menetapkan kerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menentang BN. Maka fahaman bekerjasama inilah yang disifatkan sebagai dikhianati oleh PAS sekarang ini.


Bagi pendokong Amanah, parti mereka adalah penerus perjuangan yang dilakarkan pemimpin PAS terdahulu khususnya Fadzil dan Nik Aziz. Amanah terus menentang Umno dan BN sementara PAS kini sudah bekerjasama dengan mereka.

Ketika mana ada penyokong PAS yang beranggapan bahawa terdapat hanya satu parti Islam yang patut disokong oleh umat Islam, bagi penyokong Amanah pula, parti Islam tidak semestinya ada satu.

Dengan tidak menafikan PAS adalah sebuah parti Islam, mereka juga menganggap diri mereka sebuah parti Islam. Maka menentang kerajaan pimpinan PAS tidak bererti menentang kerajaan Islam.

Amanah juga memperjuangkan penubuhan kerajaan Islam, walaupun pendekatan pentadbirannya adalah berbeza. Jika Amanah menubuhkan kerajaan, maka ia juga adalah kerajaan Islam.

Parti Islam, parti Muslim

Walaupun tidak disebut, pemahaman mengenai parti Islam oleh PAS dan Amanah adalah berbeza daripada apa yang dipegang oleh parti orang Islam atau parti Muslim semata-mata.

Parti Islam ditakrifkan sebagai parti politik yang memperjuangkan Islam. Sementara parti Muslim adalah parti politik yang dipimpin oleh orang Islam dan kebanyakan ahlinya adalah orang Islam.
Maka PAS, Amanah, PKR, Umno dan PPBM adalah parti Muslim. Tetapi bagi sebahagian orang, PAS dan Amanah boleh disebut sebagai parti Islam. Seperti juga Berjasa dan Hamim.

Tetapi PKR, PPBM dan Umno tidak boleh disebut sebagai parti Islam. Mereka adalah parti Muslim sahaja. Ini kerana PPBM dan Umno meletakkan landasan nasionalisme Melayu sebagai asas perjuangannya. Sementara PKR mempunyai landasan demokrasi dan liberalisme. Malah ada pemimpinnya yang menyifatkan diri mereka sebagai “Muslim democrat”. Sementara ada orang Amanah menyebut diri mereka sebagai “Islamic democrat” untuk membezakan diri mereka dengan PKR dan PAS.

Namun bagi PKR, PPBM dan Umno, mereka turut memperjuangkan Islam walaupun mereka berbeza fahaman politik keagamaan dengan PAS dan Amanah.

Bagi mereka fahaman nasionalisme Melayu dan demokrasi tidak bercanggah dengan Islam. Maka kesemua parti Muslim adalah memperjuangkan Islam walaupun dengan kaedah dan personaliti pemimpin yang berbeza.

Gerakan Islam dan parti Islam

Di sini perlu dilihat juga konsep gerakan Islam yang mana parti-parti Islam dianggap sebagai wadah politik untuknya.

Konsep gerakan Islam yang diberikan tafsiran khusus menjadi popular pada lewat 1970-an dengan suasana global yang dipanggil kebangkitan Islam pada tahun 1979.

Bukan bermakna sebelum itu tidak ada gerakan Islam. Konsep gerakan Islam dilihat sebagai usaha kumpulan Islam untuk memulihkan pemerintahan Islam selepas kejatuhan khilafah Uthmaniah. Maka ia dikira bermula dengan gerakan pan-Islamisme yang dipelopori Jamaluddin Al-Afghani.

Kemudian ia ditandai dengan penubuhan Ikhwanul Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di India dan Masyumi di Indonesia.

Di Malaya pula ialah Hizbul Muslimin yang turut bergabung dalam Pusat Tenaga Rakyat (Putera) pimpinan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Tetapi konsep gerakan Islam yang diulas secara tersusun hanya dilakukan oleh Dr Kalim Siddiqui dari Muslim Institute, London, selepas Revolusi Iran.

Gerakan Islam di Iran dipimpin Ayatullah Khomeini yang menghasilkan Revolusi Islam dan menubuhkan Negara Islam dan Kerajaan Islam. Gerakan Islam boleh muncul dalam pelbagai bentuk sama ada parti politik atau pertubuhan rakyat dan orang ramai.

Bentuk perjuangan juga boleh pelbagai dan negara serta kerajaan Islam yang hendak ditubuhkan juga beragam. Tetapi ciri keislaman itu adalah nyata, paling ketara ialah keadilan dan kebajikan rakyat.

Pada awal 1980-an di Malaysia, pertubuhan-pertubuhan Islam seperti PAS, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Arqam, Islamic Representative Council (IRC) dan Suara Islam dilihat sebagai sebahagian daripada gerakan Islam ini. Pada masa itu suasana masih bebas kerana belum ada lagi ancaman keganasan.

Setelah 30 tahun berlalu tentu pemahaman terhadap gerakan Islam sudah berubah. Iran juga tidak seindah dahulu. Ancaman keganasan Al-Qaeda dan Daesh menimbulkan persoalan terhadap gerakan Islam.

Perkembangan di Turki dan kegagalan Arab Spring dan Ikhwanul Muslimin juga memerlukan pemahaman semula terhadap gerakan Islam.

Di Malaysia, pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah bukan suatu yang boleh dijadikan contoh. Kehadiran Abim dan pertubuhan Islam baharu seperti Pertubuhan Ikram Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Islamic Renaissance Front (IRF) mewarnai pemikiran dan kegiatan aktivisme Islam kini.

Kesemua mereka termasuk PAS dan Amanah adalah sebahagian daripada gerakan Islam. Daripada pengalaman dan perubahan generasi tentunya keadaannya sudah berbeza. Malah pemahaman apakah itu gerakan Islam, parti Islam, Negara Islam dan kerajaan Islam juga sudah berubah.

Mungkin konsep-konsep itu sudah tidak relevan. Apa yang relevan adalah sama ada perjuangan mereka menghasilkan keadilan dan kebajikan rakyat serta perikemanusiaan sejagat.'

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Hukum baru- pangkah lah parti suci demi solat anda!!!

Ahad, 4 Mac 2018

Oleh Hanipa Maidin

1. Pagi pagi lagi dah ada sahabat yang hantar kat saya mesej melalui applikasi whatsapp kenyataan seorang pemimpin parti suci negeri Perak yang kaitkan betul atau betulnya solat seseorang itu dengan pangkah atau x pangkah parti suci.

2. Sahabat itu, lepas tu tinggalkan pesan kat saya- akhi, cili sikit mulut mamat tu!!!

3. Saya x pasti betul atau x betul pemimpin negeri itu ckp begitu..so, komen saya ni based on assumption betul lah dia kata begitu.

4. Komen saya, hebatlah. Jika betul, dia sedang edit atau "re-write" kitab2 fiqh tentang fiqh al-solat dalam bab betul atau tak betul solat seseorang.

5. Kesianlah di tempat- tempat di mana tak ada parti suci..susahlah nak pastikan solat betul atau tidak.. Risau juga jika pergi buat haji atau umrah utk solat di masjid al-haram atau masjid al-Nabi..nampak gaya kena suruh pak imam masjid tu isi borang parti suci dulu lah gamaknya.

6. Apapun, jika anda ahli parti suci- tak kisahlah sokong 1MDB ke atau berkecuali ke, tak perlu risau dengan status solat anda.

7. Jika yang x pangkah parti suci tak tahu mcm mana status solat dia- betul atau tidak..Mafhum mukhalafahnya ( makna sebaliknya ) yang pangkah parti suci , confirmlah betul solatnya.
Yang jadi ahli parti suci lagi lagi lah dari awal betulah solatnya, dari segi, orang kata, " min babil aula" ( dari segi keutamaan ).

So x salah lah saya gelar parti tu parti suci kan?

Allah lebih tahu.
YB Sepang.

Penipuan sedang dirancang

Isnin, 26 Februari 2018

Saya ada terbaca kenyataan Mahathir Muhamad pengerusi Pakatan Harapan. Mahathir memberi penerangan kepada media tentang dasar dan isi manifesto Pakatan Harapan untuk PRU14.
Antara lain, mengikut Mahathir, dalam masa 100 hari Pakatan Harapan berkuasa di Putrajaya, Najib – yang telah menjadi bekas perdana menteri - akan ditangkap dan didakwa.

Untuk saya ini satu kenyataan yang amat bahaya. Untuk saya ini satu berita yang menakutkan. Saya faham kenapa kenyataan ini dibuat. Saya faham kenapa dasar ini dimasukkan ke dalam manifesto Pakatan Harapan. Tetapi saya merasa takut. Apa yang saya takutkan?

Dari satu segi manifesto Pakatan Harapan yang ini memang menggembirakan hati rakyat Malaysia. Isi manifesto PRU14 seperti ini memang ditunggu-tunngu oleh 30 juta warga Malaysia. Anak semua bangsa, bangsa semua agama, di Malaysia ini telah lama tertunggu-tunggu untuk melihat Najib dan Rosmah didakwa.

Rakyat satu Malaysia, malah rakyat dunia gian bagai nak rak. Satu dunia tak sabar hendak melihat Najib dan Rosmah memakai baju lokap. Tetapi awas!

Secara jujur saya katakan, saya juga menyimpan harapan yang sama. Dalam hati kecil, saya juga mahu melihat Najib dan Rosmah ditangkap dan didakwa. Tetapi saya merasa gusar. Saya merasa risau. Ada sesuatu yang menakutkan saya.

Saya akui pada ketika ini Pakatan Harapan semakin mantap. Organisasi dan struktur Pakatan semakin tersusun. Kluk Klak di Selangor kini telah selesai tuntas. Tidak ada lagi niat dan cita-cita gelap untuk membuat kerjasama dengan parti Islam PAS.

Parti Islam PAS ini semakin jelas dilihat sebagai musuh rakyat. Menjalin kerjasama secara terang atau gelap akan memudaratkan sokongan rakyat yang telah muak mual loya dengan pembelotan PAS.

Pengagihan kerusi bakal calon semakin selesai. Ini langkah yang bijak – bersedia seawal mungkin. Kritikan di sana sini membuktikan bahawa perbincangan sedang berjalan. Bersuara mengeluarkan pandangan dibaca sebagai politik sihat. Ini membuktikan dalam Pakatan Harapan tidak wujud kuasa hegemoni dari mana-mana parti politik. Ini satu yang amat positif.

Dalam Pakatan Harapan tidak wujud parti besar. Tidak ada kuasa hegemon atau veto. Semua disuarakan untuk dituntaskan secara bersama.

Justeru dalam keadaan sedemikian saya melihat sokongan orang ramai terhadap Pakatan semakin ampuh. Di mana-mana saya pergi, bakal pengundi akan bertanya bila PRU? Penyokong dan orang ramai sudah mula tidak sabar untuk menghumbankan United Malays National Organisation ke dalam tong sampah sejarah.

Jiwa tak tenteram

Keadaan sedemikian menakutkan saya. Ini menjadikan jiwa saya tidak tenteram. Sokongan terhadap Pakatan Rakyat yang semakin mengampuh menakutkan saya.

Saya takut kerana Najib juga sedang membaca keadaan yang sama. Najib dan konco-konconya sedang melihat sokongan terhadap Pakatan Rakyat semakin merebak.

Contoh awal ialah Felda. Najib sedar warga Felda kini telah huru-hara. Warga Felda yang selama ini menjadi undi simpanan United Malays National Organisation kini telah pecah terbarai.

Rancangan telah disusun. Projek tangkap Isa Samad diatur. Penangkapan ini bertujuan untuk menenteramkan jiwa dan hati warga Felda yang barah membara kerana hutang yang tidak pernah selesai.

Projek ini membenarkan jurukamera menunggu dari posisi kamera yang amat strategik. Ini untuk merakam muka dan baju kuning penjara SPRM yang dipakai oleh Isa Samad.

Sayangnya gambar klasik Isa Samad digari masuk ke dalam lokap SPRM telah gagal memandulkan kemarahan warga Felda. Tup tup meledak berita tanah Felda di Jalan Semarak lesap terjual. Ini menambahkan kemarahan warga Felda. Lagu Madah Berhelah nyanyian Ziana Zain pun tidak lagi dapat menghiburkan hati marah peneroka.

Ada 54 kerusi Parlimen terikat dengan undi Felda. Justeru jika warga Felda meninggalkan Najib maka dengan serta merta kuasa Najib akan runtuh. Ini bermakna Pakatan Harapan akan mengambil alih kerajaan. Ini bermakna Najib akan ditangkap.

Fakta ini menjadikan saya takut dan gusar. Apakah Pakatan akan menangkap Najib dan Rosmah? Untuk saya ini bahaya. Bahaya apa?

Pada hemat saya bahaya besar akan datang. Bahaya yang saya maksudkan ialah Najib akan menyusun. Najib akan memastikan Pakatan Harapan tidak akan sampai ke Putrajaya. Najib akan memastikan Rosmah akan terus selamat dan dapat memiliki Hermes Birkin edisi kulit anak buaya biru 2018.

Ketika ini, Najib telah menyusun Felda 2.0. Ini adalah jawapan Najib terhadap Mahathir. Najib sedar bahawa Mahathir telah berjaya mendapat sokongan warga Felda. Najib juga sedar akan peranan ANAK - NGO kaum kerabat Felda yang menyokong Pakatan Harapan.

NGO ANAK telah berjaya mentarbiah dan menghasut generasi kedua warga Felda untuk membenci Najib dan menyokong Pakatan Harapan.

Najib juga sedar pengaruh Mahathir makin merebak melintasi Felda. Justeru pada Hari Raya Cina tahun ini si Najib telah menziarahi Langkawi. Di Langkawi Najib telah mengumumkan dana sebanyak 1.3 bilion ringgit untuk warga Langkawi.

Dedak Langkawi

Dedak Langkawi ini ditabur untuk memastikan pengaruh Mahathir lupus atau dapat dikurangkan. Didesasdesuskan bahawa Mahathir akan bertanding di Langkawi. Dana 1.3 bilion ringgit ini adalah kereta kebal Najib untuk bertahan.

Pengaruh Mahathir bukan hanya di Langkawi, Malah di Kedah bekas ketua bahagian United Malays National Organisastion untuk kawasan Kubang Pasu ini amat-amat berpengaruh. Menteri besar Kedah yang bukan dari Pakatan Harapan terpaksa menerima hakikat bahawa Mahathir telah berjasa di Kedah.

“Orang Kedah sayang Mahathir...” adalah antara kata-kata MB Kedah Ahmad Basah yang dilapor oleh Malaysian Insight pada 19/2/18. Ini kenyataan berbahaya. Kenyataan seperti inilah yang menakutkan saya.

Berita dari warung ke warung makin merebak. Kedah akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan. Pengaruh Parti BERSATU cukup ampuh di Kedah. Ke mana sahaja kita menapak kita akan terlihat kibaran bendera merah Bunga Raya BERSATU. Ini menakutkan.

Apa yang saya takutkan? Saya tidak takut dengan rancangan dedak Langkawi atau Najib membuat Felda 2.0 sampai ke Felda 100 pun. Ini tidak menakutkan. Apa yang menakutkan ialah rancangan Najib untuk menyelamatkan dirinya masuk penjara.

Mustahil Najib tidak sedar bahawa dalam PRU14 kali ini Pakatan Harapan akan menang. Sama seperti PRU13 dahulu rakyat akan berbondong-bondong turun untuk mengundi Pakatan Rakyat. 
Mustahil Najib tidak terhidu perkara ini. Mustahil si Najib tidak mendapat laporan risikan tentang sokongan terhadap United Malaysa National Organsiation makin merosot.

Malah kelmarin 18/2/18 akhbar China Press telah melaporkan bagaimana Timbalan Pengerusi MCA Wee Ka Siong telah meramalkan United Malays National Organisation akan kalah dalam PRU14 nanti.

Ini bukan ramalan kecil anak. Ini ramalan parti cukong MCA, parti kawan setia Najib. Ramalan ini dibuat mungkin dengan niat jujur agar Najib bersedia menerima hakikat untuk mengundur diri. Atau ramalan ini cara MCA membeli insurans nyawa untuk selamat apabila Pakatan Harapan berkuasa sesudah PRU14.

Semua jarum kompas politik sedang menunjukkan Pakatan Harapan akan menang dalam PRU14 ini. Kerana kompas politik ini semakin jelas maka saya semakin takut.

Saya bukan takut untuk menang. Dasar saya ialah berani berjuang berani menang. Apa yang amat amat saya takuti ialah rancangan Najib. Mustahil Najib tidak bersedia.

Pada 11/2/18, Malaysiakini melaporkan kenyataan Najib tentang penipuan dalam PRU14. Najib menafikan kemungkinan akan berlaku tipu dalam PRU14. Mengikut Najib pilihan raya dibuat dengan “ketat” oleh SPR. Dari logik Najib, kerana ketat maka penipuan tidak wujud. Apa yang ketat lagi sendat tidak pula dibutirkan oleh Najib.

Lawak seram

Ini lawak seram. Saya ketawa apabila terbaca lawak ini. Dalam masa yang sama saya merasa takut. Saya ketawa kerana umum tahu bahawa SPR ini ialah jentera kerajaan. Pengerusi SPR dilantik oleh Najib. SPR bukan bawah kawalan parlimen.

Saya merasa takut kerana Najib berkata tidak ada penipuan. Ini kenyataan yang amat amat menakutkan. Ini kenyataan yang amat berbahaya.

Najib kata tidak ada penipuan dalam PRU14. Ini bermakna semua bentuk penipuan sedang diatur dan sedang disusun. Ini hakikat. Jika tidak ada dakwaan penipuan apa perlunya Najib membuat kenyataan tentang penipuan. Garam yang masin tidak perlu diiklankan masin, kecuali telah ditambah racun atau gula.

Kalau tidak ada dakwaan penipuan dalam PRU14 kenapa Najib perlu membuat kenyataan tidak ada penipuan? Kenapa Najib perlu menafikan?

Di Malaysia cara membaca media cukup senang. Apa yang dinafikan oleh politikus maka perkara itu wujud. Politikus akan menuduh wartawan salah lapor atau salah dengar.

Dalam PRU13 Pakatan Rakyat telah menang. Pakatan Rakyat mendapat 52 peratus undi rakyat. Tapi Pakatan Rakyat telah dinafikan kuasa untuk mengambil alih kerajaan.

Kali ini sekali lagi perkara yang sama akan berlaku. Dalam PRU14 Pakatan Harapan akan menang. Kalau kalah mungkin kerana ditipu.

Ketika saya menulis ini satu atau dua kes persempadan semula sedang berjalan. Satu demi satu kes bantahan orang ramai terhadap persempadan semula ini telah dibatalkan oleh mahkamah. Akhirnya persempadan semula akan berlaku.

Persempadan semula ini didakwa penipuan terbuka. Ini satu penipuan yang dijalankan seolah-oleh mengikut hukum dan hakam. Sebenarnya semuanya karut lagi marut. Ini namanya penipuan halal.

Persempadan semula ini boleh mengabui mata orang ramai. Orang ramai terpengaruh dengan proses mahkamah. Terpengaruh dengan proses bantahan. Orang ramai boleh membantah. Orang ramai boleh menulis ketidakpuasan hati mereka.

Tapi semua ini adalah hampeh.

Persempadan semula ini penipuan terbuka dan halal boleh menafikan Pakatan Harapan dari menang. Apakah ada lagi yang rancangan yang lebih menakutkan? Tunggu minggu hadapan.
 

HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Agamawan Dan Institusi Agama Yang Merosakkan Agama

Sabtu, 27 Januari 2018

Oleh Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi

1. Mengikut watanonline, Presiden Aswaja dilaporkan berkata mengundi DAP adalah haram. Terbaru, seorang felo kanan IKSIM mendesak para mufti mengeluarkan fatwa mengundi DAP adalah haram.

2. Inilah wajah sebahagian agamawan kita yg menjadikan agama hak ekslusif mereka. Agama ditafsir sekehendak hati seolah-olah hanya tafsiran mereka sahaja tentang agama adalah benar dan terpakai.


3. Oleh kerana mereka mengetuai persatuan agama dan bekerja diinstitusi berlabel agama, maka kalimah haram dan halal menjadi hak mutlak mereka. Kalimah itu boleh dilabel kpd sesiapa saja yg mereka lihat tidak seiring dgn wajah agama yg mereka mahu.

4. Agamawan sebegini tidak membina imej positif agama tetapi menconteng wajah agama dgn arang ektrimisme. Islam yg asasnya adalah rahmat dan keadilan menjadi rosak angkara agamawan yg berasa diri mereka suci berbanding orang lain.

5. DAP adalah parti politik sama seperti Umno, Pas, MCA, MIC dan selainnya. Jika mengundi MCA dan MIC halal mengikut mereka, macam mana boleh berlaku mengundi DAP jadi haram pula?

6. Oh, DAP musuh Islam...! Itu kata kamu berdasarkan tafsiran agama dlm versi kamu. Jika kami kata DAP adalah pembantu perkembangan Islam, adakah mengundi DAP haram juga?

7. Kalau ada pihak lain berkata berdasarkan tafsiran Islam versi mereka Umno dan MCA adalah musuh Islam, adakah mufti perlu diminta memfatwakan Umno dan MCA juga haram?

8. Atau, ada orang berkata IKSIM membawa Islam dlm wajah ekstrim yg boleh mencetuskan perbalahan antara kaum dan agama, dan mereka minta IKSIM difatwakan haram oleh mufti, apa perspektif IKSIM dalam hal sebegini?

9. IKSIM sebagai sebuah agensi yg dibiayai oleh wang pembayar cukai termasuk cukai yg dibayar oleh ahli dan penyokong DAP sepatutnya berusaha meletakkan Islam pada tempatnya yg strategik dlm realiti kepelbagaian Malaysia, bukan berusaha menjadikan Malaysia negara mullah.

10. IKSIM wajar meraikan kepelbagaian organisasi politik sebagai suatu solusi dan pengimbang kpd keresahan yg ditanggung oleh rakyat Malaysia akibat kebejatan amalan politik parti berkuasa kini.
11. IKSIM tidak boleh melihat organisasi lain yg wujud secara sah mengikut undang-undang sebagai musuh tetapi melihatnya sebagai peluang utk melebarkan kebaikan Islam melalui usaha dialog dan wacana dlm pelbagai versi dan sudut pandang tentang agama dan tafsirannya.

12. Jika IKSIM kerjanya mendesak mufti mengharamkan sokongan kpd organisasi itu dan ini, ternyata kewujudan IKSIM tidak membawa manfaat besar kpd usaha utk meletakkan Islam pada tempatnya yg strategik di negara ini.

13. Bak kata orang utara, buat peghabih beghaih saja...!

Senarai calon Pas Kelantan bocor?

Selasa, 23 Januari 2018

Oleh Mohd Sayuti Omar

DARIPADA senarai calon Pas yang bolos, mencatatkan sekurang-kurang sembilan (11) orang wakil rakyat tidak terdapat dalam senarai awal ini membayangkan mereka akan digugurkan sebagai calon dalam pilihan raya akan datang.

Dari jumlah itu tiga wakil rakyat wanita termasuk seorang Exco, manakala selebihnya lelaki. Daripada lapan (8) wakil rakyat lelaki itu dua dikaitkan sebagai orang kuat Husam Musa semasa Adun Salor itu dalam Pas dahulu.

Secara terus terang nama-nama wakil rakyat yang tidak ada dalam senarai berkenaan, atau ditulis dengan perkataan “digugurkan” ialah:
1. Zaki Ibrahim (Kelaboran).
2. Abdul Latif Abdul Rahman (Mengkebang).
3. Abdul Aziz Kadir (Jelawat).
4. Abdul Rasul Mohamad (Bukit Tuku).
5. Abdul Halim Abdul Rahman (Chetok).
6. Muhamad Awang (Gual Periok).
7. Muntaz Md Nawi (Demit).
8. Wan Ubaidah Wan Omar (Kijang).
9. Rohani Ibrahim (Tanjung Mas).
10. Nik Mazian Nik Mohamed (Parlimen Pasir Puteh).
11. Ahmad Baihaki Athqullah (Parlimen Kubang Kerian).

Nama-nama yang dicadangkan untuk mengganti wakil rakyat berkenaan juga disenaraikan. Ia akan didedahkan dalam laporan seterusnya. Tunggu!

Meneliti senarai calon itu apa mengejutkan apabila nama Muntaz Md Nawi yang juga anggota Exco turut sama ditulis sebagai digugurkan.

Kedudukan Zaki Ibrahim sudah diduga awal-awal, namun ketiadaan Abdul Latif Abdul Rahman memeranjatkan. Bersambung. Trims.

TUKAR KAWASAN STRATEGI SELAMATKAN KELANTAN

Daripada senarai calon Pas yang bolos menamakan beberapa orang wakil rakyatnya dipindah kawasan baik daripada kerusi parlimen ke DUN atau sebaliknya.

Antara nama yang disebut sebagai dipindahkan kawasan ialah Mohd Amar Nik Abdullah dikatakan akan dipindah ke kerusi parlimen Pengkalan Chepa, Nasaruddin Daud dari kerusi Meranti ke parlimen Rantau Panjang.

Adun Bukit Panau Abdul Fattah Mahmood ke parlimen Tanah Merah. Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat ke kerusi parlimen Machang.

Turut sama disebut akan berpindah kawasan ialah Ramli Mamat ke Dun Demit. Adun Pengkalan Pasir Hanifa Ahmad juga disebut akan bertukar kawasan tetapi tidak dinyatakan kawasan mana.

Adun Tawang Hassan Mahmood diletakkan ke kerusi parlimen Bachok.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas, Che Abdullah Nawi dipindahkan ke kerusi Kelaboran masih kekal di DUN. Kerusi itu dikira paling selamat untuk Exco pertanian itu.

Sementara ahli parlimen yang akan bertukar ke kawasan DUN ialah Siti Zailah Yusuf ke Dun Gual Periok, Takiyuddin Hassan ke sama ada, Bunut Payung ataupun Tanjung Mas. Ahli Parlimen Bachok Marzuk Shaari ke DUN Tawang.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Dr Izani Husin dikirimkan ke Panchor, bagaimana pun nama Nik Amar masih ada diletakkan di Pachor sebagai pilihan kedua.

Menurut senarai calon yang bolos itu lain-lain wakil rakyat baik DUN tidak mengalami perubahan termasuk ahli parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz kekal di Pasir Mas.

Meneliti kepada penyusunan itu menjelaskan ia strategi Pas Kelantan untuk mempertahankan kerajaan negeri. Mereka yang ditukar kerusi dari DUN ke parlimen mungkin mereka yang dikategorikan sebagai wakil rakyat "menganggu" kekuatan Pas di kerusi DUN.

Persoalannya pihak manakah bertanggungjawab menyusun calon-calon berkenaan, dan yang menyusun itu tentulah berpendapat mereka dipindah kerusi khasnya meninggalkan kerusi DUN itu tidak diyakini akan wakil itu dapat memberi kekuatan kepada Pas Kelantan.

Apakah ianya dari Jabatan Pilihan Raya Pas Kelantan? Yang penting senarai itu menjadi sumber rujukan utama dalam membuat spekulasi ini.

“Fitnah” seterusnya siapakah muka baru diletakkan oleh Pas dan siapa tokoh luar diimport ke Kelantan.

Kini PH Lebih Mantap Serta Tetap Bergaya Menyertai PRU 14

Khamis, 11 Januari 2018

Oleh HAYAR HASSAN
Seusai Konvensyen Pakatan Harapan(PH) akhir minggu pertama 2018 lalu memberikan banyak bahan untuk semua rakyat berbicara tentang politik tanah air tercinta ini. Lumrahnya begitu lah. Pemimpin dan penyokong UMNO/BN tetap mencari-cari sudut-sudut negatif agar rakyat tidak memberikan undi mereka dalam PRU ke 14 nanti kepada calon-calon PH . Banyak berpendapat bahawa UMNO/BN dalam keadaan panik dan ketandusan modal baru untuk mempromosi agenda perjuangan mereka. Yang mereka mampu buat adalah mengitar semula  modal-modal lama memberikan kritikan negatif kepada PH.
Mengikuti perjalanan Konvensyen PH itu , walaupun secara live online tetap memberikan kita kepuasan, seolah-olah kita masih berada di IDCC Shah Alam. Syabas saya ucapkan kepada panitia dan sekretariat konvensyen. Konvensyen PH ini tetap menyajikan perkara-perkara baru dan penuh relevan kepada rakyat Malaysia menjelang PRU ke 14.
Pengumuman utama yang ditunggu oleh semua rakyat adalah nama calon Perdana Menteri PH seandainya PH memenangi PRU ke 14. Seperti yang telah diramalkan oleh banyak pihak, Yang Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad adalah calon Perdana Menteri ketujoh Malaysia. Dato’Seri Wan Azizah Wan Ismail(DSWAWI) pula adalah calon Timbalan Perdana Menteri. Rupanya untuk sekian lama, semenjak merdeka, hanya PH bakal mampu mengangkat seorang wanita untuk menjawat jawatan nombor dua pentadbiran Negara itu.
Disamping itu, ini adalah bakal kali pertama jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tidak dimonopoli oleh hanya satu parti seperti BN. Sudah sewajarnya lah parti-parti komponen BN merenung akan fenomena ini. PH tidak mempunyai konsep kepimpinan Abang Long seperti yang diamalkan oleh UMNO/BN ! Dalam PH, semua parti adalah sama penting, saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Duduk sama rendah ,berdiri sama tinggi !
Entah bila agaknya seorang wanita boleh menjadi calon Timbalan Perdana Menteri Malaysia seandainya UMNO/BN terus menerajui tampok pemerintahan Putrajaya. Pastinya undi untuk PH dalam PRU ke 14 nanti akan bertambah apabila mengenangkan bahawa kita bakal menobatkan seorang ahli parlimen wanita menjadi Timbalan Perdana Menteri. Amat wajar sekali aktivis-aktivis tegar dalam Wanita UMNO dan Puteri UMNO merenung hal ini !
Pengumuman penting kedua adalah pengagihan kerusi-kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia yang bakal ditandingi oleh  calon parti-parti PH. Seperti yang telah diumumkan calon-calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) akan bertanding 52 kerusi. Calon-calon Parti Keadilan Rakyat(PKR) pula akan bertanding 51 kerusi. Calon-calon DAP akan bertanding 35 kerusi. Parti Amanah Negara(AMANAH) pula akan bertanding 27 kerusi.
Seperti yang dijelaskan oleh YB Saudara Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR, pengagihan ini dibuat dengan maksud bahawa semua parti-parti dalam PH adalah penting dan saling memerlukan antara satu sama lain. Tidak ada satu parti yang terlalu dominan dan tiada parti yang terlalu kerdil dalam PH. Berlainan dengan Barisan National(BN). Ada parti kecil yang tidak diberikan langsung kerusi parlimen. Sekali lagi PH tetap melebihi BN.
Kerusi-kerusi yang agak banyak diberikan kepada PPBM tentu lah dengan tanggongjawab yang lebih besar juga. PPBM telah diamanahkan oleh PH untuk menang dalam kawasan kubu-kubu UMNO yang agak sukar ditembusi oleh pembangkang dalam PRU yang lalu. Ini bukan lah tugas yang ringan untuk calon-calon dan aktivis-aktivis PPBM, tetapi ianya amat wajar kerana bakal calon Perdana Menteri PH adalah Tun Dr Mahathir Mohamad. Sesungguhnya tanggongjawab dan gerak kerja PPBM dalam PRU ke 14 nanti bukan lah mudah kerana mereka akan berhadapan dengan jentera UMNO!
Saya mengjangkakan, calon-calon DAP tidak akan sukar untuk memenangi kerusi-kerusi yang telah diperuntukkan kepada mereka. Kata orang, tanpa poster dan ceramah-ceramah pun DAP akan tetap menang di kubu-kubu pembangkang seperti parlimen Bagan, Bukit Mertajam, Tanjung, Wilayah Persekutuan KL dan banyak lagi.
Untuk Amanah pula, walau pun diperuntukkan jumlah kerusi yang paling kecil, kerusi-kerusi tersebut adalah merupakan kerusi-kerusi parlimen yang cukup berpotensi untuk dimenangi berbanding dengan kerusi-kerusi PPBM! Semua ahli-ahli AMANAH sewajarnya lah berlapang dada terhadap keputusan Majlis Presiden PH yang telah pun dimeteraikan. Selepas ini tugas utama kita adalah memenangkan semua calon-calon PH, bukannya mengungkit-ungkit keputusan yang telah dibuat.
Menyuarakan rasa tidak puas hati Amanah Johor dan Wilayah Persekutuan adalah wajar. Semoga nanti keputusan pengagihan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) akan dapat merawat hati ahli-ahli AMANAH yang telah sedikit terluka. Dalam hal ini wakil pimpinan AMANAH hendak lah lebih bijaksana dan tegas sebelum mempersetujui semua keputusan.
Yang idealnya dalam setiap kawasan parlimen itu , semua calon DUN hendaklah kalau boleh diwakili juga oleh calon-calon dari semua parti dalam PH.
Yang jelasnya dengan pengumuman muktamad pengagihan kerusi-kerusi parlimen Semenanjung Malaysia antara parti-parti PH, kemungkinan untuk PAS untuk bergabung juga dengan PH di saat akhir menjelang PRU ke 14 adalah amat mustahil. Pintu rundingan PAS dengan PH telah tertutup rapat. Apa yang mungkin hanya lah tokoh-tokoh dan ahli-ahli PAS memohon untuk menyertai parti-parti komponen dalam PH. Apa yang bakal terjadi kepada PAS selepas PRU ke 14 nanti, sama-sama lah kita tunggu dan lihat.
Sesungguhnya dua pengumuman utama seusai Konvensyen PH hujung minggu lalu adalah cukup menarik dan dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa ianya wajar dan tepat.
Disamping dua pengumuman penting di atas, ucapan-ucapan daripada wakil-wakil peneroka FELDA, bekas anggota tentera Malaysia(ATM), anak muda, wanita, kalangan artis dan petani amat menarik sekali. Sebelum ini kalau kita amati, Perhimpunan Agung UMNO(PAU) pun tidak pernah memberikan peluang orang luar parti untuk berucap. Ini lah pembaharuan yang cuba diketengahkan oleh PH. Percaya lah ianya akan memberikan kesan yang baik kepada semua rakyat dan pengundi.
Apa yang ingin disampaikan kepada semua pengundi dan rakyat Malaysia adalah, “PH sentiasa perihatin terhadap semua permasaalahan rakyat, berilah peluang kepada PH untuk melakukan perubahan, demi kesejahteraan dan kelangsungan masa depan kita semua !”.
Akhirnya kita menyeru agar semua pengundi-pengundi membuat perubahan dalam PRU ke 14 nanti. Undi lah calon-calon PH demi masa depan kita yang lebih cemerlang !

Bangunan Ibu Pejabat PAS Bakal Di Jual ?

Selasa, 9 Januari 2018

Oleh Mohd Sayuti Omar

Kewangan parti Islam seMalaysia (Pas) kini dikatakan tenat. Paling dirasai ialah di Jabatan Penerangan yang menerbitkan akhbar tabloid Harakah. Kegatawan kewangan sangat dirasai sehingga langkah-langkah awal diambil mengurangkan kakitangan akhbar berkenaan bagi mengatasi masalah itu.


Beberapa hari lalu sebilangan kakitangan sudah diarah berhenti secara tektikal apabila mereka diberhentikan dan diberikan kontrak baru dengan maslahat agar berhenti.

Misalnya tawaran gaji baru sebanyak RM1,000 dengan tempoh kontrak enam bulan. Tawaran itu dianggap tidak adil dan bertentangan dengan semangat parti itu berprinspkan Islam, sejahtera dan matang bila mana tangga gaji (kontrak) itu tidak sampai separuh dari mata gaji asal.

Seorang penata hias yang gaji dulunya RM4,000 setelah bekerja lebih 10 tahun ditawar kontrak baru dengan RM1,000 sahaja. Kakitangan itu juga pembayaran gaji bulan sejak dari Nomber tersangkut-sangkut masam motor kapcai kehabisan minyak.

Parti itu juga kini sedang menanggung hutang penerbitan akhbar berkenaan. Difaham sejumlah RM2.4 juta hutang tertangguh dengan sebuah percetakan di Shah Alam Selangor risiko itu
sungguh membebankan.

Sehubungan itu pihak pengurusan telah mengambil berbagai langkah dan membawa kepada penyelesaian dipihak eksekutif parti sendiri. Salah satu pelan ialah memaksa wakil rakyat Pas atau Pas kawasan membeli akhbar berkenaan untuk diagihkan kepada ahli. Namun usaha penambahan pendapatan ini menerusi kempen 3B (entah apa?) tidak menjadi dan kurang mendapat sambutan.

Difahamkan terbaru ada cadangan dikemukakan untuk Pas menjual mana-mana aset hartanah yang dibeli dizaman parti itu mewah dahulu untuk melunasi segala hutang serta menyelesaikan masalah berbangkit.

Salah satu aset yang dicadangkan dijual ialah Ibu Pejabatnya terletak di Jalan Raja Laut. Langkah menjual ibu pejabat berkenaan dikira tepat dan sesuai. Perkara ini khabarnya sudah sampai ke pengetahuan Tuan Presiden.

Sebelum ini veteran Pas Subky Latif pernah mempertikaikan pembelian bangunan berkenaan dianggap tidak relevan kerana kedudukannya di tengah-tengah bekas kawasan pelacuran.Mengambil kira pandangan Subky itu molek kalau Pas menjual bangunan berkenaan.

Bukan itu sahaja bangunan itu perlu dijual kerana sedikit sebanyak ada imej pemimpin Amanah di situ kerana ia khabarnya diusahakan atas inisiatif bekas pemimpin Pas yang kini menyertai Amanah.

Difahamkan pemegang amanah bangunan berkenaan juga termasuk pemimpin AMANAH.

Menaakuli masalah dihadapi parti itu kini ia menjawab tuduhan bahawa parti itu menerima RM90 hingga RM200 juta dari penyonglapan wang 1MDB mungkin tidak benar? Mustahil kalau Pas memiiki jutaan ringgit hutang dibiarkan bertepekan.

Atau pun mungkin segala hutang piutanganya sengaja tidak mahu diselesaikan kerana ada motif tersendiri?

Hutang harus dijelas walaupun tidak dituntut. Trims.

Menyorot Impak Laporan RCI Forex

Selasa, 5 Disember 2017

Oleh Hayar Hassan
Sehari dua ini, akhbar-akhbar arus perdana, stesyen-stesyen TV tempatan dan portal-portal  berita sibuk memperkatakan tentang hasil Laporan Royal Commission Of Inquiry (RCI) berkaitan skandal kerugian perniagaan pertukaran wang asing(Foreign Exchange/FOREX) yang melibatkan Bank Negara Malaysia.
Seperti yang dilaporkan oleh akhbar Sinar Harian tanggal 1 Disember 2017, RCI berkenaan berpandangan bahawa terdapat elemen menyembunyikan fakta dengan sengaja memandangkan Laporan Tahunan Bank Negara tidak menunjukkan kerugian sebenar yang dialami akibat urus niaga forex dari tahun 1992 hingga tahun 1994. Selanjutnya RCI itu percaya Tun Dr Mahathir Mohamad merelakan tindakan-tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim(DSAI) yang mengakibatkan Bank Negara Malaysia rugi RM31.5 billion.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcob pula telah dinamakan sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap urusniaga tersebut.
Dari awal lagi, sebelum penubuhan RCI ini, banyak pihak berpendapat bahawa motif penubuhannya adalah kerana politik. Tun Dr Mahathir Mohamad dan DSAI yang menjadi pimpinan utama Pakatan Harapan(PH) waktu ini adalah saingan utama kepada kelangsungan UMNO/BN untuk terus menguasai pentadbiran Putrajaya. Oleh yang demikian, keyakinan pengundi dan rakyat kepada dua sosok utama PH ini perlu diruntuhkan atau dicemarkan menjelang PRU ke 14.
Tidak hairan lah , selepas laporan RCI itu diedarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen pada hari terakhir persidangan Parlimen, YAB Perdana Menteri secara riang dan berseloroh menyatakan bahawa Parlimen “ sudah boleh dibubarkan”. Disamping itu YB Timbalan Perdana Menteri  menyatakan bahawa UMNO/BN sudah “ 95 % bersedia menghadapi PRU ke 14”. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamudin Tun Hussein pula berkata bahawa “ Bekas pimpinan bukan ancaman UMNO”. Itu lah sebahagian daripada strategi-strategi politik yang lazim dibuat oleh orang-orang politik.
Persoalannya sekarang, “ Apakah keyakinan pengundi-pengundi terhadap PH akan tergugat atas isu ini ?” Adakah Tun Dr Mahathir Mohamad dan DSAI akan mendiamkan diri sahaja terhadap strategi-strategi yang sedang dibuat oleh UMNO/BN ?
Ternyata jelas bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lah seorang yang mudah mengalah dan kekurangan idea untuk bertindak. Peguam Tun Dr Mahathir Muhamad, Hanif Khatri dengan segera mengumumkan bahawa beliau telah diarahkan untuk menulis surat kepada sekretariat RCI menuntut mereka menghentikan pengedaran penemuannya, menghentikan pengedaran atau menerbitkan laporan semasa sehingga mereka memasukkan kesemua 492 muka surat penyerahan bertulis Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam laporan berkenaan.
Seandainya pihak Sekretariat gagal berbuat seperti yang ditegaskan oleh peguam Tun Dr Mahathir itu, peguam Tun Dr Mahathir Mohamad akan  memfailkan  permohonan semakan terhadap dapatan laporan RCI itu . Tarikh yang diberikan adalah tanggal 10 Disember 2017.
Dalam hal ini kita masih menunggu reaksi-reaksi DSAI dan juga Tun Daim Zainuddin yang diberitakan nama-nama mereka berdua turut disebut dalam laporan RCI berkenaan.
Tun Dr  Mahathir Mohamad, sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam dunia politik dan pentadbiran Negara, tentunya sudah menjangkakan akan isi kandungan laporan RCI  itu. Tidak hairan lah beliau dengan pantas dan segera memberikan reaksinya.   Itu lah kelebihan Tun Dr Mahathir, beliau begitu teliti dan cukup arif akan masalah-masalah yang sedang dihadapinya. Beliau sudah dapat membaca akan sepak terajang saingan politiknya !
Sudah pun tersiar cerita kemungkinan bagaimana reaksi-reaksi rakyat seandainya UMNO/BN benar-benar serious untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad atas isu RCI dagangan mata wang asing(Forex) ini. Mungkin gelombang Reformasi 1998 akan berulang lagi. Pada waktu itu apabila DSAI dizalimi rakyat bangkit membuat protes . Ada  kah kita bakal menyaksikan episod yang serupa berulang kembali ?
Dalam hal ini kalau diamati wawancara akhbar Mingguan Malaysia(MM) dengan YAB Timbalan Perdana Menteri pada hari semalam, 2 Disember 2017, ianya menjadi cukup menarik. Wawancara itu dibuat menjelang Perhimpunnan Agong UMNO yang akan diadakan pada selasa akan datang(5 Disember 2017).
Diberitakan bahawa YAB Pemangku Timbalan Presiden UMNO itu meminta agar ahli-ahli UMNO tidak berlebihan dalam membuat serangan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad. Dibimbangi, serangan yang kasar dan berlebihan akan membuatkan rakyat simpati terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad!
Apa pun kita perlu mengambil kira komen –komen yang diberikan oleh pimpinan PH. Semalam, sewaktu ceramah PH di Ipoh, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Mahyuddin Yassin menyatakan bahawa laporan RCI itu tidak akan menjejaskan semangat serta keazaman PH untuk merampas tampuk pemerintahan Putrajaya.
Timbalan PPBM , Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula menyatakan bahawa adalah sesuatu yang pelik dan janggal apabila pihak PDRM hanya diminta memulakan siasatan ke atas Tun Dr Mahathit Mohamad dan DSAI hanya selepas RCI selesai menjalankan siasatan. Lazimnya PDRM mendahului siasatan mereka dan pegawai-pegawai PDRM kemudiannya memberikan keterangan kepada siasatan RCI  berkenaan. Dikhabarkan bahawa RCI Forex  ini dibuat secara tergesa-gesa dan semata-mata mempunyai motif politik ! Lebih menarik lagi Ketua Polis Negara(KPN) memaklumkan bahawa siasatan PDRM berkaitan kes  Forex  akan mengambil masa yang panjang !
Sehingga kini kita hanya perlu bersabar sebelum menyaksikan aksi dan silat-silat politik yang bakal dipertontonkan oleh kedua belah pihak.
Adakah UMNO/BN sekadar mahu mencemarkan imej Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PH ? “Sekadar Gertak Sambal”, kata orang Indonesia.
Berkemungkinan kah dengan pendedahan laporan RCI  ini akan membuatkan Tun Dr Mahathir Mohamad lembut sedikit membuat kritikannya terhadap UMNO/BN?
Berkemungkinan juga kah Tun Dr Mahathir Mohamad akan lebih keras lagi mengkritik pimpinan UMNO/BN. Membongkar semua rahsia mereka ! Sama-sama lah kita tunggu dan lihat episod-episod seterusnya.

PAS ke mana?

Isnin, 4 Disember 2017

Oleh Lim Hong Siang

Saya tidak pasti di mana masa depan PAS, tetapi kegemilangan sememangnya terlipat dalam sejarah PAS. Bermula dari serpihan UMNO, parti ini membangun sehingga menjadi pembangkang yang paling menggugat kedudukan UMNO, untuk seketika. Parti pembangkang pertama yang menguasai kerajaan negeri ini pernah kalah teruk dalam pilihan raya umum, dan bertahan dengan hanya satu kerusi parlimen pada tahun 1986, tetapi berjaya bangkit semula untuk menawan kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1990.

Di sebalik jatuh bangun parti ini, jatuh bangun pemimpin tertingginya juga tidak kurang menarik. Haji Ahmad Fuad bin Hassan, Yang Dipertua PAS pertama, melepaskan jawatan nombor satu itu lantaran berbeza pandangan dengan pucuk pimpinan PAS yang lain. Haji Ahmad Fuad yang lebih akrab dengan Datuk Onn Jaafar ketika itu, cenderung untuk menyokong Datuk Onn yang keluar dari UMNO; tetapi rakan seperjuangannya pula lebih bersedia untuk berunding dengan UMNO. Haji Ahmad Fuad tidak memaksakan pendiriannya ke atas partinya, sungguhpun memegang tampuk kuasa. Haji Ahmad Fuad memilih untuk meletakkan jawatan dan meninggalkan PAS.

Dr Haji Abbas Alias kemudian memangku jawatan Yang Dipertua. Babak ini agak menarik, kerana Dr Haji Abbas Alias sememangnya hanya mahu “memangku” jawatan tertinggi dalam parti itu, dan bukan mengambil alih tampuk kuasa. Lompong kepimpinan ini perlu diisi, tetapi tiada tokoh yang cukup berwibawa untuk bersaing dengan pemimpin UMNO yang setara. Maka Dr Haji Abbas Alias berusaha untuk “meminang” Dr. Burhanuddin Al-Helmy, yang terkenal sebagai nasionalis tulen dan “kiri”, untuk mengemudi PAS.

Agendanya terang lagi bersuluh. Dr.Burhanuddin menyertai PAS pada 14 Disemberi 1956, lantas terpilih sebagai Yang Dipertua dalam pemilihan yang berlangsung pada 23-25 Disember 1956. Insiden ini memperlihatkan bagaimana PAS ketika itu membuka pintunya, bukan sahaja untuk menerima, malah menobatkan pemimpin yang berbakat pada kedudukan yang tertinggi. Soal kesetiaan atau wala tidak timbul. Yang penting, parti ini dipimpin mereka yang berpotensi untuk mengangkat martabat parti.

Keputusan PAS ini dibuktikan tepat. Di bawah kepimpinan Dr.Burhanuddin, PAS berjaya menawan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya umum pertama setelah merdeka. Sungguhpun dilihat sebagai “orang luar”, apatah lagi dengan latar belakang “kiri”-nya, yang sering disamakan dengan “komunis”, Dr.Burhanuddin tetap meraih sokongan dalam PAS. Beliau bertahan, meskipun dua kali dicabar oleh Profesor Zulkifli Muhammad, “orang dalam” PAS, yang tamat pengajian dari Universiti Al-Azhar, dan menekankan perjuangan Islam. Ia seolah-olah persaingan antara orang kiri dengan ulama dalam pemilihan PAS, tetapi berakhir dengan kemenangan orang kiri.

Kemudian Dr.Burhanuddin di-ISA-kan. PAS memasuki zaman Datuk Asri Muda, yang mengundang pertikaian. Apapun yang dituduh terhadapnya, sejarah mencatatkan bahawa Datuk Asri Muda tunduk kepada tekanan parti dan memilih untuk meletakkan jawatan selaku Yang Dipertua Agong PAS. Apa maksud di sebaliknya? Akar umbi PAS berani bangkit untuk mendesak pemimpinnya, di samping pemimpinnya masih “tahu malu” dengan melepaskan jawatan, dan bukan mengamuk untuk mempertahankan kuasa dengan segala cara.

Hakikatnya “letak jawatan” bukan sesuatu yang asing pada zaman itu. Haji Yusof Rawa, pemimpin yang mengambil alih pucuk pimpinan PAS, turut memilih untuk meletakkan jawatan apabila kepimpinan beliau dipertikaikan. Chinese Consultative Council (CCC) yang ditubuhkan pada zaman 1980-an untuk melebarkan sayap PAS kepada masyarakat Cina ketika itu, tidak dibalas dengan sambutan positif. PAS membayar harganya dalam pilihan raya umum, dan pemuda PAS ketika itu mengusul agar CCC dinilai semula. Haji Yusof Rawa menganggap usul itu seolah-olah undi tidak percaya terhadap kepimpinan dirinya, lantas almarhum meletakkan jawatan atas nama “prinsip”.

Sungguhpun dipujuk untuk menarik balik keputusan itu, tindakan Haji Yusof Rawa memperlihatkan bagaimana pemimpin tertinggi PAS ini tidak ragu-ragu untuk mengundur diri dari kedudukannya.

Tempoh kepimpinan ustaz Fadzil Noor memahat kegemilangan PAS pada zaman serta kekurangan, berbanding hari ini. Bangkit dari 1 kerusi parlimen dalam PRU7 tahun 1986, PAS menawan semula kerajaan negeri Kelantan dengan gandingan bersama Semangat 46. Ustaz Fadzil Noor tidak memilih untuk “berkecuali” ketika UMNO berpecah pada zaman 1990-an. Ustaz Fadzil Noor mencari kesempatan untuk melonjakkan partinya tatkala musuh politik dilanda krisis. PAS menambah kerusi Dewan Rakyat dari 7 kepada 27, dan menawan Kelantan dan Terengganu dalam PRU10 tahun 1999.

Sungguhpun PAS hari ini bukan berada pada kedudukan paling lemah dalam sejarahnya, tetapi kita tidak jelas ke arah mana parti ini menuju. “Wala” ditekankan, anggota akar umbinya membisukan diri sungguhpun merasai sesuatu yang tidak kena pada saf pimpinannya. Pimpinannya pula enggan berundur. Kini ada pula yang memilih untuk “berkecuali”, pada detik saat di mana sejarah baru boleh dilakar. Jadi, ke mana PAS selepas ini?

Wisma Tokguru jadi rebutan adik beradik

Sabtu, 18 November 2017

Oleh Mohd Sayuti Omar

Ahli dan penyokong Pas Kelantan semalam dan malam tadi bersorak dan bertakbir besar kerana meraikan kemenangan atas penolakan injuksi dibuat Husam Musa. Husam membuat injuksi terhadap orang bernama Yassin Yusuff daripada membawa Pas memasuki ke premis Wisma Tokguru di Salor.

Dua hari mahkamah mendengar perdebatan terhadap injuksi dibuat Husam itu dan semalam memutuskan bahawa injuksi itu ditolak, serentak itu membenarkan Pas memasuki premis berkenaan untuk melakukan upacara solat syukur dan hajat yang sudah dirancangkan sebelum ini. 

Kegembiraan Pas Kelantan itu ditumpangi sama oleh orang Pas di seluruh negeri lain. Pas mengalu-alukan dan bersyukur atas apa yang berlaku itu sebagai satu kemenangan kurba. Yang hadir dalam majlis kesyukuran malam tadi semua pemimpin utama Pas Kelantan, termasuk Ahmad Yakob bersama timbalan-timbalannya dan ketua-ketua dewan.

Wajar kalau Pas meraikan kemenangan itu dan menyatakan kesyukuran kerana kejayaan itu bagi mereka sangat besar signifikannya. Namun ada hal-hal tertentu yang boleh dipertikaikan dari konteks untung rugi politik. Tegasnya 'kemenangan' yang dirayakan semalam dan mungkin juga sepanjang zaman, masih belum mutlak kerana kasus mengenai itu belum muktamad. Apapun sejarah politik Melayu Kelantan akan mencatatnya sebagai satu lagi moment tawarikh.

Setakat ini berdasarkan keputusan mahkamah semalam, mengesahkan bahawa Husam tidak ada locus standy terhadap tanah yang menempatkan Wisma Tokguru itu kerana tanah yang menempatkan bangunan itu milik orang lain, milik Yassin Yusuff yang menjadi prokasi Pas Kelantan.

Nama Husam tidak ada secalit pun atas geran tanah mengandungi dua lot itu. Itulah alasan dan hujah hakim menolak injuksi cegahan dibuat oleh Husam itu.

Perbicaraan 4 Disember.

Seperti mana maklum tahu perbicaraan mengenai pertikaikan bangunan yang terletak di atas tanah itu akan berlangsung pada 4 Disember hadapan. Bahawa isu pertikaiannya belum tuntas lagi. Apabila dibicara nanti, ia akan menentukan apakah Pas berhak turut sama memiliki ke atas bangunan yang didaftarkan atas nama pejabat Adun Salor itu atau sebaliknya.

Ertinya status hari ini Husam masih berkuasa ke atas bangunan itu, manakala Yassin mutlak memiliki tanah itu apabila dia membeli daripada pemunya bernama Saripah Dollah isteri Allahyarham Ahmad Rusli Ibrahim dengan nilai RM700,000. Sebagai rekod tanah itu turut dimasukan dalam senarai harta pesaka yang dituntut oleh adik-adik beradik arwah Rusli dan akan didengar di mahkamah syariah tahun depan.

Di sini saya tidak berhajat untuk mengulas dan membuat telahan atau mendahului mahkamah apa yang akan berlaku terhadap bangunan itu selepas ini. Apakah ia menjadi milik Yassin bersama tanahnya, ataupun mahkamah akan membuat keputusan sejumlah pampasan perlu dibayar kepada Husam sebagai ganti rugi, atau tidak mendapat satu sen pun. Itu mahkamah akan menentukan.

Apa yang hendak diulas berhubung pertikaian itu ialah dari segi matemetik politik; melihat kesan dan implikasi yang wujud daripada pertikaian premis itu kepada kedua-dua pihak, Pas dan Amanah. Apakah yang Pas perolehi dari tindakannya itu. Hujah dan alasan Pas kenapa ia bergagah untuk mendapatkan premis berkenaan ialah kerana hendak menjaga maruahnya apabila beranggapan premis itu hak mereka yang dimiliki Husam secara salah?

Maka untuk menyelamatkan maruah Pas berusaha mengambilnya. Pas menggerakkan serangan baik secara fizikal dan psikologi untuk mendapatkan premis itu, dengan muqadimahnya datang memancak bendera dan berdoa ramai-ramai.

Ia tidak salah kalau itu tafsiran Pas, tetapi sejauh manakah maruah Pas hilang dan tercalar dengan keadaan itu. Sejauh manakah Pas dianggap dayus kalau tidak mengambil kembali premis yang didakwa miliknya itu? Inilah perkara yang mungkin tidak dikaji dan dihitung oleh Pas secara mendalam, terutamanya dari segi kesan politik sebelum bertindak.

Bukankah sebelum ini Pas memperlecehkan kewujudan Amanah dengan pelbagai sindiran dan anologi sinikal. Apabila Pas bersungguh hendak menebus maruah dengan mengambil premis itu, secara tidak langsung Pas kecundang dengan dakwaan-dakwaan sombongnya sebelum ini.

Seelokknya sebelum bertindak demikian Pas patut menghisab hitung sebaik mungkin untung dan rugi, laba dan kurang dengan tindakannya itu. Apakah damage yang berlaku kepadanya kalau tindakan diteruskan juga. Dan apakah pula kebaikan yang diperolehi kalau Pas mendiamkan sahaja isu itu. Dalam politik tindakan paling baik dan menguntungkan apabila rakyat mempunyai persepsi baik kepada kita walaupun perbuatan kita sebaliknya. Itulah fatanahnya.

Inilah yang sepatutnya diselidiki terdahulu oleh Pas sebelum membuat tindakan demikian. Apabila melihat ada kesan buruk kepada Pas, bagi saya tindakan Pas kurang bijaksana. Sebagai sebuah parti besar di Kelantan apa lagi menjadi kerajaan selama 27 tahun, Pas sepatutnya tidak melakukan begitu. Pas harus menunjukkan sikap berhemah dan diplomasi tinggi dengan mana-mana musuh, apa lagi dengan Amanah di mana sebahagian besar orang-orangnya dikenali.

Sebagai parti memerintah, parti agama ia patut menjadi parti memimpin bukan parti boleh memperpanjangkan perbalahan dan pergaduhan.

Apalah sangat dengan Amanah. Ia parti compingan Pas yang baru berusia setahun jangung. Amanah adalah anak kelahiran Pas dari tulang selangka bukan tulang rusuk seperti Hawa. Dari segi aset dan harta Pas mempunyai lebih banyak aset berbanding dengan parti itu. Pas tidak akan sesak dan miskin papa kedana kalaupun tidak mengambil premis itu. Sepatutnya Pas membiarkan sahaja premis itu kepada Amanah.

Apabila Pas bertindakan begitu dan terpaksa diheret ke mahkamah, tindakan itu tidak fasal fasal memberi publisiti percuma kepada Amanah. Baik-baik orang tidak mengenali Amanah kini orang sudah mengetahui akan kelincahan Amanah dalam berpolitik, keberanian anak kecil melawan orang dewasa atau terperasaan kesungguhan sang kancil menjatuhkan gajah. Bagi saya, kalau Pas mendiamkan isu itu lebih baik kerana ia melenyapkan nama Amanah telinga dan mata umum. Dalam isu itu Amanah nohthing to lose.

Sebab itu dalam hal ini saya nampak isu kecil itu sengaja dilayan serius oleh Husam kerana tektiknya hendak meruapkan nama Amanah. Beliau mahu menjualkan nama Amanah dan meraih simpati daripada rakyat. Beliau mahu biar sikap dan sifat "tidak munasabah" - nilai-nilai Pas sebagai parti Islam, telanjang di khayalak umum.



Sebagai seorang yang kreatif, Husam tentu arif mengenai apa kesudahannya dengan pertikaikan itu, tetapi dia sengaja kerana mahu menarik Amanah ke gelanggang gunanya ialah untuk dipersaksikan sikap Pas kepada umum. Inilah bijaknya Husam yang gagal dikesan oleh Pas. Dalam kes ini saya nampak Pas tanpa disedari terperangkap dengan jerat bingkas (sidin) yang dipasang Husam berumpankan "keladi colek". (Keladi Colek, sejenis keladi hutan yang buahnya merah disukai oleh sesetengah burung, antara merebah kuning, merah jambul dan lain-lain).

Kenapa ini berlaku menjelaskan dalam Pas Kelantan waktu ini tidak ada ahli piskologis alias strategis politik. Semuanya seakan lemau dengan keadaan beremotif yang digerakkan oleh anak-anak muda yang menguasai politik. Begitulah kalau urusan politik digerakkan oleh anak-anak muda yang cetek ilmu sepak terang politiknya, lemah dengan strategi siasah, ia mudah terjerat.

Mengusik sarang tebuan.

Bagi saya tindakan Pas terhadap Amanah itu tak ubah seperti budak nakal mengusik sarang tebuan. Mereka mengagak tindakan itu main-main sahaja dan boleh memusnah dan melarikan tebuan apabila sarangnya dilastik dan diroboh, tetapi jadi sebaliknya. Ia tidak tahu, tindak balas oleh tebuan yang sudah terlatih. Nah, risikonya kini apabila tebuan keluar beramai-ramai dari sarangnya bukan sahaja pemlastik yang dicari tetapi kepala orang lain juga turut disengat dan dipangkahnya. Akhirnya yang terpaksa lari lintang pukang hari ini ialah sang pempelastiknya.

Jika Pas bijak Pas akan biarkan tebuan itu berada dalam sarangnya. Biarlah sarangnya tersangkut di pokok tanpa sesiapa mengetahuinya. Tetapi apabila dilastik dan sarangnya roboh, menjadi tanggungjawab mereka bertindak, ibu tebuan keluar berduyung dan berdaung maka orang semua sudah tahu mengenai kewujudannya. Paling parah apabila turut dipangkah.

Demikian adalah salah kalau Pas memperhitungkan apabila merampas Wisma Tokguru itu Amanah akan hancur dan Husam akan lari. Tidak. Mereka seperti tebuan yang tidak gentar dengan halangan. Mereka seperti tabuan sejenis serangga yang hidup berkomuniti dan akan segera membina sarang baharu bila sarang lama rosak. Mereka tidak akan mengaku kalah. Mungkin sarang baru yang akan dibangunkan lebih besar dan kukuh. Lagi merbahaya.

Kita juga faham tindakan Pas menyerang Amanah itu kerana hendak mempertahankan kerajaannya kerana dari sehari ke sehari sambutan terhadap Amanah makin meluas dan menjadi-jadi. Namun kesilapan Pas ialah persis orang menandak air untuk mengelakkan banjir. Mereka tersalah tandak, tempat yang ditandak tempat sudah sedia tinggi tetapi dilembah dibiarkan. Yang perlu ditandak Pas ialah aliran arus dan gelombang Umno bukan Amanah. Inilah tindakan kurang cekap dan kurang bijak Pas.

Barang kali saya tidak perlu menarik perhatian apa didakwa Husam tindakan ke atas premis Wisma Tokguru itu ialah berasaskan kerana dendam kepadanya. Saya enggan sentuh kerana disamping saya menggesakan Pas supayan melayani Husam dengan baik, jangan sampai menyingkirnya, saya juga menegur Husam supaya tidak terlampau menyerang kerajaan Pas. Semua tugasan itu sudah saya perlakukan.

Yang saya hendak simpulkan, pertikaian dan perebutan premis di Wisma Tokguru itu adalah perbalahan adik beradik. Ia menjadi pertikaian selepas kedua-dua mereka ketiadaan orang tua dan tiada orang yang dimalui kedua-dua pihak. Hal yang sedemikian lazim berlaku dalam komuniti dan masyarakat Melayu. Perbalahan di antara adik beradik ia boleh jadi lebih dahsyat lagi.

Dan selalunya orang Melayu akan berbalah sampai bertikam dan berkapak kerana tiga elemeh sahaja. Pertama, kerana kalah judi, laga ayam atau lembu, kedua kerana berebut orang bujang (janda) dan ketiga kerana berebut mentara tanah atau tanah pusaka.

Apapun saya berharap atas prinsip bergaduh sesama sendiri adik beradik, di mana air dicicang tidakkan putus, sebusuk-busuk daging dicicah dan dilapah dimakan jua, di hujung titik nanti kedua mereka, Pas dan Amanah akan dapat duduk bersama semula untuk menilai apakah perbuatan, tindakan-tindakan mereka selama ini baik dan bertepatan dengan syariat. Itu harapan saya.

Wisma Tok Guru :Dendam PAS, Menguntungkan AMANAH

Rabu, 15 November 2017

Oleh Mohd Sayuti Omar

Tanggal 16 November, lusa adalah tarikh akhir yang ditetapkan oleh Pas Kelantan untuk memasuki Wisma Tokguru di Salor itu sebagai menandakan parti itu memiliki premis itu secara rasmi. Pada hari itu juga Pas akan mengadakan solat hajat dan syukur; dikerahkan para penyokongnya beramai-ramai. Khabarnya untuk menjayakan majlis itu dan bagi menarikan kehadiran disediakan makanan (upah) untuk 5,000 orang.

Ertinya Pas mensasarkan majlis itu nanti dihadiri 5,000 orang. 5,000 orang kalau mengikut kapasiti batalion dalam askar sebanyak lima batalion.

Dan malam tadi pihak Amanah telah berhimpun di premis itu untuk mengadakan majlis munajak dan memohon kepada Allah agar premis itu selamat terus menjadi hak mereka. Majlis malam tadi diketuai sendiri oleh "pemilik" premis itu Husam Musa yang juga merupakan penasihat Amanah Kelantan merangkap Pengerusi Pakatan Harapan.

Yang hadir malam tadi bukan sahaja di kalangan orang Amanah tetapi turut sama dihadiri oleh anggota komponen Pakatan Harapan (PH) daripada PPBM dan juga PKR serta mereka tidak berparti yang bersimpati dengan nasib diterima Amanah dan dialami Husam. Majlis munajak malam tadi menampakan wujud solidariti di kalangan komponen PH menyerlahkan semangat juang yang gigih dan tidak mudah mengaku kalah.

Itulah mungkin rahmat di sebalik onar brutal yang dibuat oleh Pas, membeli tanah bangunan Wisma Tokguru itu secara senyap, akhirnya perbuatan itu menyuntik semangat juang dan mendapat simpati di kalangan penyokong dan ahli Amanah dan komponen PH di Kelantan.

Selepas bermunajak semalam, Husam membuat sedikit penjelasan berkaitan dengan status Wisma Tokguru berkenaan. Ramai orang tidak menyedari bahawa Wisma itu adalah pusat khidmat Adun Salor yang mana beliau adalah Adunya. Dari penjelasan itu menunjukkan Wisma itu adalah menjadi haknya dan ini dikukuhkan dengan pengakuan oleh pihak Majlis Daerah Kota Bharu (MDKB) yang menamakan bagunan itu sebagai Pusat Khidmat Adun Salor, di mana dalam penamaannya tidak ada pun perkataan PAS.

Menyentuh mengenai bangunan itu, Husam memperakui tanah tempat berdirinya bangunan itu adalah milik isteri Allahyarham Rusli Ibrahim yang mana telah diberikan kebenaran kepadanya mengguna bangunan itu dan membina bangunan tambahan. Surat keizinan itu ada kepadanya. Yang menghairankan dan timbul persoalan kenapa penjualan tanah itu oleh isteri Rusli tidak diberitakan kepada Husam dan dilakukan secara senyap.

Apakah isteri Rusli ada masalah dengan Husam atau beliau dihasut? Kerana kalau beliau tidak ada masalah sepatutnya sebelum menjualkan tanah itu beliau seharusnya bertanyakan Husam terlebih dahulu yang sedang menduduki tanah berkenaan yang mana sepatutnya Husam dahulu yang ditawarkan.

Di sinilah timbul anggapan penjualan dan pembelian tanah itu ada konspirasi. Ia sengaja diaturkan demikian rupa dengan motif tertentu. Apa lagi proses pembelian itu, menanda tangani borang 14A (penjualan) dilakukan di rumah bukan di pejabat seperti lazimnya.

Memahami apa dijelaskan Husam semalam bahawa kerja-kerja membina dan membesarkan bangunan yang dinamakan Wisma Tokguru itu dibuat dengan kebenaran dan menggunakan wang beliau bukannya ia diambil dari wang derma orang ramai khasnya PAS. Tidak ada mana-mana institusi atau pun taukeh pasir dan balak membantunya.

Semalam Husam sekali lagi mencabar mana-mana orang Pas dikatakan menghulurkan derma untuk pembinaan itu memberi tahunya agar pembayaran balik boleh dibuat. Beliau juga bertanya sebanyak manakah Ahmad Yakob selaku Pesuruhjaya Pas dan MB menderma untuk membina Wisma berkenaan.

"Berapa banyak Ustaz Mat derma tolong bagi tahu?" tanyanya.  Menurutnya tidak ada satu sen pun begitu juga dengan Nik Amar, katanya Nik Amar usahkan satu sen, setengah sen pun tidak ada.
"Apa yang Nik Amar buat ialah dengan membeli 10 buah kereta, itu saja," tengkis dan sindir Husam.

Mengenai notis yang dihantarkan kepadanya agar keluar dari bangunan itu Husam menegaskan ia sesekali tidak akan berbuat demikian kerana bangunan itu adalah haknya. "Notis bukan perintah mahkamah," katanya membayangkan beliau tidak akan berganjak dari bangunan itu sehingga ada perintah mahkamah.

Dia yakin berhak ke atas bangunan itu. Sambil mengakui tanah itu hak orang lain, tetapi sebahagian daripada bangunan itu dibina hasil titik peluh dan wang ringgitnya, derma Allahyarham Rusli serta bersama sebuah jawatankuasa khas yang dibentuk. Apa yang berlaku terhadap Wisma Tokguru itu ialah tuntutan bertindih di antara tuan tanah (Yassin) dengannya yang memilik bangunan itu. Jelas dari segi keadilan ia perlu diselesaikan menurut lunas undang-undang agar tidak ada yang teraniaya dan dianiaya.

Atas hujah itu Adun Salor itu mempertahankan bangunan itu dan beliau tidak akan keluar hanya sekadar dengan menerima notis daripada orang bernama Yassin yang bertindak bagi pihak Pas. "Notis bukan perintah mahkamah, notis hanya pemberitahuan," tegasnya sekali lagi. Justeru katanya dia meminta anak-anak muda Amanah terus menjaga dan mempertahankan bangunan itu sehingga ada perintah mahkamah.

Dalam pada itu juga berhadapan dengan isu itu Husam menasihati orang-orang Amanah bertindak secara waras, patuh kepada undang-undang , banyak berdoa dan menyerah kepada Allah.

Sesuatu yang pelik juga mengenai notis yang diterima Husam itu ia berakhir 16 November tetapi sebelum tamat tempoh beliau sudah dihalau keluar. Ini menggambarkan niat busuk dipihak Pas serta kejahilan mereka dalam membaca maksud notis itu sendiri.

Husam turut membaca perenggan akhir notis yang diterimanya, yang menyebut sekiranya beliau enggan keluar atau tidak patuh pihak penghantar notis itu akan membawa ke mahkamah. Jelas apa disebut notis itu, tarikh yang diberikan belum matang dan usaha membawa ke mahkamah juga belum dilakukan. Ertinya mahkamah belum berbuat apa-apa keputusan dan perintah. Anihnya pihak Pas sudah ghairah untuk memasukinya.

Sikap ini menyebabkan Husam menyifatkan Pas menerusi Setiausahanya Che Abdullah Nawi tidak memahami maksud dan makna notis itu.

"Takkan sampai begitu sekali (bodohnya) takkan Che Abdullah sendiri tidak memahami notis yang dihantar," tempelak Husam.

Untuk lebih harmonis Husam mencadangkan kedua-dua pihak, pihaknya dan pihak Pas sabar menunggu keputusan mahkamah dan tidak bertindak di luar batas undang-undang kerana kes itu sudah dibawa ke mahkamah. Mahkamah sedang dan akan memperimbangkan.

Beliau sendiri telah memfailkan injuksi bagi menghalang Pas memasuki ke premis itu. Beliau berharap mahkamah akan mendengar injuksi itu dan membuat keputusan sebelum 16 November. Manakala perbicaraan mengenai perebutan itu akan diadakan pada 4 Disember nanti. "Dah tak lama takkan tidak boleh tunggu," katanya.

Katanya dia dan Amanah bersedia menerima apa sahaja keputusan nanti. Kalau mahkamah berpihak kepadanya, alhamdulilah, tetapi kalau sebaliknya semua pihak kena terima.

Memerhati kemelut mengenai Wisma Tokguru ini saya teringat kepada pertanyaan seorang yang hadir dalam ceramah berkelompok di Panji dimana Mohd Amar Nik Abdullah sebagai penceramah utamanya. Orang itu menanyakan Mohd Amar sejauh manakah Pas mendapat keuntungan dengan membeli Wisma Tokguru itu.

Nik Amar tidak menjawab secara spesifik pertanyaan itu hanya mengatakan, pembelian itu untuk menjaga maruah Pas. Katanya maruah penting mengikut maqasid syariah.

Maruah apa? Maqasid apa? Bagi saya Pas akan menjadi lebih bermaruah kalau tidak menganggu Amanah, melakukan kerja-kerja pembelian tanah itu secara senyap apa lagi menggunakan wang hasil meluluskan tanah hutan di Kuala Krai seperti mana dakwa Husam itu.

Sebaliknya Pas akan dilihat sebagai parti yang cerdik dan matang apabila tidak merebut secomping tanah dan sesandang rumah yang cuba dimiliki Amanah untuk dijadikan tempat berteduhnya itu. Bukakah kita juga mengatakan Amanah anak yang dilahir cacat sejak dalam telor tetapi kenapa harus takutkannya bagaikan takut harimau serkas yang terlepas?

Apabila Pas telah melakukan pembelian itu dengan niat mahu menyusahkan Amanah, menyusahkan Husam dan menyakiti hati seluruh orang Amanah dan PH selamanya Pas akan dikenang sebagai parti jahat dalam kasus itu. Parti yang tidak cekap dan bodoh sombong berpolitik.

Percayalah dan yakinlah Amanah tidak akan lebur walaupun Pas dapat membela maruahnya dengan memiliki premis itu. Husam tidak akan mudah mengaku kalah dan berundur kalaupun Pas menganggu kloninya. Kalau beliau takut tentu tidak dimula sejak awal. Sebaliknya benar seperti kata Husam semalam, Amanah mungkin akan kehilangan Wisma Tokguru, tetapi Amanah akan mendapat sokongan dan simpati rakyat. Sesungguhnya Wisma Tokguru memberi simbol dan makna besar kepada Amanah dan Husam.
 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger