Saya tidak pasti
di mana masa depan PAS, tetapi kegemilangan sememangnya terlipat
dalam sejarah PAS. Bermula dari serpihan UMNO, parti ini membangun
sehingga menjadi pembangkang yang paling menggugat kedudukan UMNO,
untuk seketika. Parti pembangkang pertama yang menguasai kerajaan
negeri ini pernah kalah teruk dalam pilihan raya umum, dan bertahan
dengan hanya satu kerusi parlimen pada tahun 1986, tetapi berjaya
bangkit semula untuk menawan kerajaan negeri Kelantan pada tahun
1990.
Di sebalik jatuh
bangun parti ini, jatuh bangun pemimpin tertingginya juga tidak
kurang menarik. Haji Ahmad Fuad bin Hassan, Yang Dipertua PAS
pertama, melepaskan jawatan nombor satu itu lantaran berbeza
pandangan dengan pucuk pimpinan PAS yang lain. Haji Ahmad Fuad yang
lebih akrab dengan Datuk Onn Jaafar ketika itu, cenderung untuk
menyokong Datuk Onn yang keluar dari UMNO; tetapi rakan
seperjuangannya pula lebih bersedia untuk berunding dengan UMNO. Haji
Ahmad Fuad tidak memaksakan pendiriannya ke atas partinya, sungguhpun
memegang tampuk kuasa. Haji Ahmad Fuad memilih untuk meletakkan
jawatan dan meninggalkan PAS.
Dr Haji Abbas
Alias kemudian memangku jawatan Yang Dipertua. Babak ini agak
menarik, kerana Dr Haji Abbas Alias sememangnya hanya mahu “memangku”
jawatan tertinggi dalam parti itu, dan bukan mengambil alih tampuk
kuasa. Lompong kepimpinan ini perlu diisi, tetapi tiada tokoh yang
cukup berwibawa untuk bersaing dengan pemimpin UMNO yang setara. Maka
Dr Haji Abbas Alias berusaha untuk “meminang” Dr. Burhanuddin
Al-Helmy, yang terkenal sebagai nasionalis tulen dan “kiri”,
untuk mengemudi PAS.
Agendanya terang
lagi bersuluh. Dr.Burhanuddin menyertai PAS pada 14 Disemberi 1956,
lantas terpilih sebagai Yang Dipertua dalam pemilihan yang
berlangsung pada 23-25 Disember 1956. Insiden ini memperlihatkan
bagaimana PAS ketika itu membuka pintunya, bukan sahaja untuk
menerima, malah menobatkan pemimpin yang berbakat pada kedudukan yang
tertinggi. Soal kesetiaan atau wala tidak timbul. Yang penting, parti
ini dipimpin mereka yang berpotensi untuk mengangkat martabat parti.
Keputusan
PAS ini dibuktikan tepat. Di bawah kepimpinan Dr.Burhanuddin, PAS
berjaya menawan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu dalam pilihan
raya umum pertama setelah merdeka. Sungguhpun dilihat sebagai “orang
luar”, apatah lagi dengan latar belakang “kiri”-nya, yang
sering disamakan dengan “komunis”, Dr.Burhanuddin tetap meraih
sokongan dalam PAS. Beliau bertahan, meskipun dua kali dicabar oleh
Profesor Zulkifli Muhammad, “orang dalam” PAS, yang tamat
pengajian dari Universiti Al-Azhar, dan menekankan perjuangan Islam.
Ia seolah-olah persaingan antara orang kiri dengan ulama dalam
pemilihan PAS, tetapi berakhir dengan kemenangan orang kiri.
Kemudian
Dr.Burhanuddin di-ISA-kan. PAS memasuki zaman Datuk Asri Muda, yang
mengundang pertikaian. Apapun yang dituduh terhadapnya, sejarah
mencatatkan bahawa Datuk Asri Muda tunduk kepada tekanan parti dan
memilih untuk meletakkan jawatan selaku Yang Dipertua Agong PAS. Apa
maksud di sebaliknya? Akar umbi PAS berani bangkit untuk mendesak
pemimpinnya, di samping pemimpinnya masih “tahu malu” dengan
melepaskan jawatan, dan bukan mengamuk untuk mempertahankan kuasa
dengan segala cara.
Hakikatnya “letak
jawatan” bukan sesuatu yang asing pada zaman itu. Haji Yusof Rawa,
pemimpin yang mengambil alih pucuk pimpinan PAS, turut memilih untuk
meletakkan jawatan apabila kepimpinan beliau dipertikaikan. Chinese
Consultative Council (CCC) yang ditubuhkan pada zaman 1980-an untuk
melebarkan sayap PAS kepada masyarakat Cina ketika itu, tidak dibalas
dengan sambutan positif. PAS membayar harganya dalam pilihan raya
umum, dan pemuda PAS ketika itu mengusul agar CCC dinilai semula.
Haji Yusof Rawa menganggap usul itu seolah-olah undi tidak percaya
terhadap kepimpinan dirinya, lantas almarhum meletakkan jawatan atas
nama “prinsip”.
Sungguhpun dipujuk
untuk menarik balik keputusan itu, tindakan Haji Yusof Rawa
memperlihatkan bagaimana pemimpin tertinggi PAS ini tidak ragu-ragu
untuk mengundur diri dari kedudukannya.
Tempoh kepimpinan
ustaz Fadzil Noor memahat kegemilangan PAS pada zaman serta
kekurangan, berbanding hari ini. Bangkit dari 1 kerusi parlimen dalam
PRU7 tahun 1986, PAS menawan semula kerajaan negeri Kelantan dengan
gandingan bersama Semangat 46. Ustaz Fadzil Noor tidak memilih untuk
“berkecuali” ketika UMNO berpecah pada zaman 1990-an. Ustaz
Fadzil Noor mencari kesempatan untuk melonjakkan partinya tatkala
musuh politik dilanda krisis. PAS menambah kerusi Dewan Rakyat dari 7
kepada 27, dan menawan Kelantan dan Terengganu dalam PRU10 tahun
1999.
0 ulasan:
Catat Ulasan