Home » , » Tun Mahathir PM, Azizah TPM?

Tun Mahathir PM, Azizah TPM?

Written By Wadah Baru on Selasa, 5 Disember 2017 | 1:09 PTG

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (Harapan) difahamkan telah sepakat melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail sebagai timbalannya sekiranya menang PRU14.

Kesepakatan itu dicapai selepas cadangan menamakan dua pemimpin berpengaruh itu dikemukakan pada permukiman Harapan yang diadakan pada Jumaat dan Sabtu lalu di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Beberapa pemimpin pakatan itu juga telah mengesahkan cadangan tersebut ada dibuat pada permukiman tersebut dan hanya menunggu restu daripada Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Biro Politik PKR, Datuk Johari Abdul mengesahkan cadangan itu dibuat ketika pemimpin kanan Harapan mengadakan pemukiman dua hari itu.

Katanya, cadangan tersebut perlu restu daripada Anwar terlebih dahulu selain menghormati bekas timbalan perdana menteri itu.

Sementara itu, ada juga laporan menyebut semua parti dalam Harapan bersetuju untuk menamakan Dr Mahathir dan Wan Azizah sebagai perdana menteri interim dan timbalan perdana menteri kecuali PKR.

Sementara itu, portal The Malaysian Insight  memetik sumber melaporkan, cadangan itu dikemukakan dalam pemukiman Harapan itu dipersetujui Bersatu, Amanah dan DAP.

“Kecuali PKR, disebabkan PKR masih mahu tangguh membincangkan dalam biro politik mereka mengenai perkara ini, kita tangguhkan untuk buat keputusan,” kata sumber itu kepada portal tersebut.
Portal sama juga melaporkan, sumber dari Amanah berkata, partinya sudah membuat keputusan mengenai sebulan lalu.

“Namun parti lain masih belum buat keputusan,” katanya.

Isu kepimpinan dan calon perdana menteri menjadi satu faktor yang banyak diperdebatkan ketika tarikh PRU14 semakin menghampiri.

Untuk rekod, Mahathir ialah Pengerusi Bersatu merangkap Pengerusi Harapan dan Wan Azizah dipilih sebagai presiden gabungan empat parti pembangkang itu.

Sebelum ini, Anwar dinamakan calon perdana menteri pembangkang, namun kedudukannya yang masih ditahan di penjara tidak memungkinkan beliau dilantik ke jawatan berkenaan serta-merta.
Dr Mahathir pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun sejak 1981 dan pada sebahagian tempoh itu Anwar pernah menjadi timbalannya.

Anwar dijangka dibebaskan dari penjara pertengahan tahun depan tetapi undang-undang semasa melarangnya memegang atau terlibat dalam politik selama lima tahun.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger