Home » , » Insiden N2H 2.0 : Pengacau memalukan dan tidak beradab, selar Angkatan Muda

Insiden N2H 2.0 : Pengacau memalukan dan tidak beradab, selar Angkatan Muda

Written By Wadah Baru on Isnin, 14 Ogos 2017 | 11:38 PTG

Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mengecam keras insiden membabitkan keganasan dalam sebuah himpunan aman yang diadakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam.

Menurut belia program Nothing to Hide 2.0 (N2H 2.0) adalah program yang dirancang dan dibuka kepada semua latarbelakang politik di negara ini, sewajarnya insiden baling kerusi, kasut, suar dan botol air tidak berlaku dalam sebuah negara demokrasi.

"Saya mengecam insiden memalukan dan ganas di forum Nothing to Hide 2?0 di Shah Alam pada 13 Ogos 2017.

"Semua rakyat, tanpa mengira latarbelakang politik ada hak turut serta dalam perhimpunan aman tanpa merisaukan keselamatan mereka.

"Apa yang berlaku di forum tersebut tidak normal. Tiada orang waras akan menjustifikasikan pergaduhan dan pembakaran suar (flare) di forum awam tidak kira apa sebab," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berkata tindakan yang dilakukan sekumpulan anak muda itu menggambarkan ketidakhormatan tergadap Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

"Mereka yang bertanggungjawab secara langsung dan tidak langsung patut malu tentang tindakan mereka," ujarnya.

Beliau turut mengesa pihak polis menjalankan siasatan mendalam terhadap kejadian tersebut dan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab tanpa terkecuali.

Terkini dilaporkan tiga remaja telah ditahan di Ibupejabat Polis Shah Alam bagi membantu siasatan terhadap insiden baling kerusi, botol minuman, kasut dan suar ke arah pentas di mana Dr Mahathir sedang menjawab soalan hadirin.

Ketua Armada dalam kenyataan hari ini turut mempersoalkan kebarangkalian ada usaha pihak tertentu mengunakan remaja bawah umur yang bukan ahli Bersatu untuk membuat provokasi dalam program yang dianjurkan oleh Armada Bersatu itu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger