BUDAYA politik Malaysia sudah dipengaruhi budaya kurang ajar dengan
pemimpinnya hilang adab dan sopan sehingga perangai buruk itu dicontohi
oleh pengikut mereka, kata bekas pemimpin kanan Umno Rafidah Aziz.
“Orang yang lebih tua, pangkat bapa kepada kita, diperkotak-katik seperti budak-budak, tiada langsung adab dan sopan.
“Itukah contoh kepimpinan yang hendak ditunjukkan kepada anak-anak
muda? Dalam bahasa kasar, budaya kurang ajar?” tanya bekas ketua Wanita
Umno itu dalam satu tulisan di Facebook.
Kenyataan Rafidah itu dilihat merujuk kepada insiden kekecohan dalam
semasa forum “Nothing to Hide 2.0” di Shah Alam semalam apabila
sekumpulan pengacau membaling kasut ke arah Dr Mahathir Mohamad dan
kemudiannya kerusi dan suar kepada hadirin sehingga menimbulkan
kekecohan.
Rafidah berkata segelintir pihak sanggup bertindak keterlaluan dalam
majlis kerana mendapat isyarat daripada tingkah laku pemimpin atasan
yang sudah lupa kenapa mereka jadi pemimpin.
Katanya, pemimpin kini sudah tidak lagi ada rasa segan dan silu
menunjukkan keangkuhan dan kuasa “dengan tutur bahasa kasar, melulu dan
tidak beralas cakap”.
Mereka juga sudah tidak ada rasa rendah diri dan lupa tanggungjawab
berat yang datang bersama jawatan yang dipikul apabila memegang jawatan
tinggi, tambahnya.
Katanya, politik jalanan yang ganas, biadab dan tidak menghormati
orang lain sudah sampai ke peringkat membimbangkan di negara ini,
ditambah pula dengan kepimpinan yang tidak berhaluan, rakus kuasa dan
tidak berintegriti.
Menyifatkan budaya politik gengster ini selalu berlaku di negara
ketiga, Rafidah berkata: “Sekarang kita sudah mula melihat politik dunia
ketiga itu menular di negara kita Malaysia, negara yang diharap
meningkat ke status negara maju dalam tiga tahun lagi!”
“Nampaknya jauh pemanggang dari api.”
Rafidah aktif politik sejak awal 1970-an. Beliau dilantik sebagai
senator di Dewan Negara pada 1974 dan kemudian menang kerusi Parlimen
pertamanya dalam pilihan raya umum 1978. Beliau jadi ahli Parlimen
Selayang antara 1978 hingga 1982 sebelum berpindah kerusi ke Kuala
Kangsar dan jadi wakil rakyat kawasan itu sehingga 2013.
Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan dalam Kabinet termasuk
yang terakhir sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri
antara 1987 hingga 2008.
Dengan pengalaman yang luas itu, Rafidah membuat pemerhatian politik
kini jadi laluan dan alasan serta dorongan mencaci dan memburukkan orang
yang tidak sekawan.
“Hilang semangat 1Malaysia yang dilaung-laungkan dulu. Rupa-rupanya
ia hanya 1Malaysia jika satu keturunan, satu kelompok, sama sebulu, sama
sekroni, sama sekongkol, satu niat untuk sesuatu matlamat,” katanya.
Rafidah seterusnya memberi ingatan kepada pemimpin supaya membina
negara atas landasan yang sudah dibangunkan oleh pemimpin terdahulu, dan
bukannya menidak dan menghancurkan apa yang dibina oleh pemimpin
sebelumnya.
“Pemimpin sekarang harus membina terus atas landasan yang sudah
disediakan. Terus menambah baik, memperkukuh. Bukan menghancurkan apa
yang ada,” katanya.
Sejak beberapa minggu lalu, pemimpin Umno silih berganti menyerang Dr
Mahathir yang pernah memimpin mereka dalam parti itu, dengan mengungkit
dan mempersoalkan tindakan dan dasar beliau sepanjang tempoh 22 tahun
jadi perdana menteri dan presiden Umno.
Dalam pada itu, Rafidah juga mengingatkan pemimpin supaya sayangkan
negara dengan melakukan perkara yang betul dan berpegang pada sumpah
jawatan masing-masing kerana “buruk padahnya jika sumpah itu
dipersia-siakan”.
Inikah contoh pemimpin, budaya kurang ajar, soal Rafidah Aziz
Written By Wadah Baru on Isnin, 14 Ogos 2017 | 11:44 PTG
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan