Oleh Anwar Ibrahim
Usul yang di bawa oleh Yang Berhormat Marang di bawah Peraturan
Mesyuarat Parlimen No 49(1) untuk kebenaran mencadang satu Rang
Undang-Undang untuk meminda Akta 355
Rang Undang-Undang untuk
meminda Akta 355 bermula dengan polemik hangat mengenai pelaksanaan
hukum hudud dan perundangan Islam. Maka, pembentangan YB Dato’ Seri
Ustaz Abdul Hadi Awang (Ahli Parlimen Marang) dan YB Datuk Takiyuddin
Hassan (Ahli Parlimen Kota Baru) membantu meredakan sambil memberikan
pencerahan.
YB Dato' Seri Ustaz Abdul Hadi dan YB Datuk
Takiyuddin menerangkan di Parlimen bahawa RUU Pindaan kepada Akta 355 (
“RUU 355”) bukanlah percubaan untuk melaksanakan hudud dan jaminan
diberi RUU 355 ini tidak terpakai kepada yang bukan Islam sebab
dilakukan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Yang ditekankan
adalah pemerkasaan Mahkamah Syariah yang wajar dipersetujui secara
prinsipnya oleh semua.
Yang dikesalkan ialah kesempatan untuk
berbahas dinafikan oleh Speaker Parlimen Tan Sri Pandikar Mulia kerana
menangguhkan sidang pada jam 4 petang. Ini jelas bertentangan dengan
amalan demokrasi dan prinsip syura serta perundingan dalam Islam. Saya
percaya Ustaz Hadi tidak akan keberatan untuk meneruskan perbahasan.
Kegagalan Speaker dan kerajaan Barisan Nasional untuk bertindak serius
dalam perkara tersebut memperkukuhkan persepsi bahawa kerajaan sengaja
melengahkan dan mengharapkan agar kontroversi akan berlarutan.
Saya ulangi kenyataan bertarikh 23hb November 2016 oleh Presiden
KEADILAN tahun lalu, pertama, untuk menghormati hak YB Marang membentang
usulnya; dan kedua, untuk mendapatkan jawapan tegas daripada Perdana
Menteri samada kerajaan sedia membentuk satu Jawatankuasa Pilihan untuk
meneliti Rang Undang-Undang pindaan tersebut yang dicadang oleh YB
Marang.
Setelah menunggu dua tahun, Perdana Menteri Dato' Sri
Najib telah menyatakan kerajaan tidak akan mengambilalih RUU tersebut
dan membentangnya seperti dicadang atau dengan pindaan atau perubahan,
jika ada.
Peraturan mesyuarat Parlimen No 49 yang terpakai kepada
Rang Undang-Undang Persendirian menghendaki kerajaan melalui peraturan
49(2), selepas usul untuk kebenaran dilulus melalui peraturan 49(1),
untuk mengambil alih, meneliti dan menyediakan laporan berkenaan rang
yang dicadangkan, untuk dibentang semula ke Parlimen; dan nampaknya,
kerajaan telah awal-awal menolak tanggungjawab tersebut. Pada peringkat
penelitian dan penyediaan laporan tersebut, satu Jawatankuasa Pilihan
boleh ditubuhkan oleh Parlimen untuk melaksanakan tugas itu.
KEADILAN telah menyatakan kerelaan menyertai Jawatankuasa Pilihan untuk
meneliti, secara menyeluruh, pemerkasaan Mahkamah Syariah yang akan
dilaksanakan termasuk yang berikut:
keutuhan, kebebasan dan kompetensi
kehakiman Mahkamah Syariah, pendakwaan bebas, sistem penjara termasuk
tahap hukuman, program latihan yang perlu serta infrastruktur yang lebih
baik dan belanjawan yang bersesuaian. Maknanya, usul Jawatankuasa
PIlihan lebih luas dan mencakupi, dan tidak hanya terbatas kepada tahap
hukuman.
Satu aspek kontroversi dan membimbangkan dalam RUU 355
adalah hukuman yang jauh lebih tinggi daripada yang sedia ada dan perlu
penelitian dan pemerincian.
Pendekatan ini lebih bermakna dan
terjamin keberkesanannya, dan akan membuka peluang untuk memberikan
penjelasan kepada rakyat termasuk bukan Islam.
Anwar Ibrahim
Sabtu, 8hb April 2017
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan