Home » , » Amanah akan terbit akhbar sendiri

Amanah akan terbit akhbar sendiri

Written By Wadah Baru on Khamis, 7 Januari 2016 | 3:29 PTG

OLEH HUSIN MAHAT 

Parti Amanah Negara (Amanah) sedang berusaha menerbitkan akhbarnya sendiri dan berada di fasa
akhir menyiapkan segala dokumen diperlukan untuk dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memohon permit penerbitan, kata Setiausahanya, Mohd Anuar Tahir.

Sehubungan itu beliau menafikan sebarang kaitan dengan kewujudan sebuah akhbar dengan nama "Harapan Baru" yang sedang tersebar di laman sosial dan melalui aplikasi Whatsapp yang menggunakan logo parti.

"Ia bukan dikeluarkan oleh Amanah dan kami tidak bertanggungjawab di atas sebarang kesulitan yang timbul dari penerbitan akhbar tersebut," ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun tambah beliau, Amanah tetap menghargai sebarang usaha daripada ahli, penyokong atau mana-mana pihak yang bersemangat untuk mempromosikan parti yang baru berusia hampir lima bulan ini.

"Jika akhbar seperti yang gambarnya sedang tersebar itu benar-benar wujud, Amanah mempelawa pihak terbabit untuk datang berbincang langkah-langkah yang boleh diambil ke arah mempromosikan Amanah secara strategik dan mengikut saluran yang betul," jelas beliau.

Menurut beliau, pihaknya menyatakan komitmen bahawa penerbitan akhbar rasmi parti akan dibuat mengikut prosedur dan proses undang-undang yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, Anuar menasihatkan semua pihak bersabar dan menunggu akhbar rasmi yang akan dikeluarkan dalam sedikit masa lagi selepas permit penerbitan diluluskan KDN.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger