Home » , » Nik Abduh kalah di Pengkalan Chepa: Suratan atau kebetulan?

Nik Abduh kalah di Pengkalan Chepa: Suratan atau kebetulan?

Written By Wadah Baru on Selasa, 28 Mac 2017 | 9:01 PG

Oleh Irwan Muhammad Zain

SELEPAS kalah teruk pada pemilihan merebut jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memberitahu beliau bertanding 'sekadar suka-suka'.

Sebagai seorang ahli politik, yang memegang jawatan Ketua Pemuda sebuah parti yang kononnya berjuang untuk Islam dan gagah perkasa serta sebagai ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat, jawapan 'bertanding sekadar suka-suka' menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati politik dan ahli-ahli Pas sendiri.

Memberi jawapan 'bertanding sekadar suka-suka' selepas hanya mendapat 37 undi menimbulkan persoalan kepada pemerhati politik dan ahli Pas, adakah parti Islam yang sangat hebat di Malaysia ini mempunyai seorang Ketua Pemuda yang tidak serius? Rakyat di Pasir Mas juga tertanya-tanya, kalau itu standardnya, macam mana mahu menjadi seorang pemimpin?

Ramai juga yang bertanya, kalau 'bertanding sekadar suka-suka', Nik Abduh sebenarnya mahu menjadi ahli politik atau sekadar seorang ustaz? Ada suara yang lebih nakal dan sinis bertanya, "Nik Abduh tengah asah bakat nak masuk Maharaja Lawak Mega ke?".

Selepas Nik Abduh tumbang di tangan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Husin yang memperoleh 207 undi, ada yang mengaitkan kekalahan tersebut sebagai usaha untuk menyekat legasi Allahyarham Nik Abdul Aziz. Ia satu kemungkinan tetapi Nik Abduh bukan satu-satunya anak Nik Aziz kerana bekas Mursyidul Am Pas itu mempunyai ramai anak lelaki. Nik Omar misalnya boleh diasuh untuk menjadi pemimpin dan menggantikan ayahnya.
Yang Dipertua Pas kawasan Pengkalan Chepa, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika mengulas kekalahan Nik Abduh itu menafikan perwakilan Pas kawasan Pengkalan Chepa menolak Nik Abduh atau mahu menamatkan legasi ayahnya.

Sebaliknya Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Naib Presiden Pas itu berkata peranan Nik Abduh lebih diperlukan di peringkat pusat selaku Ketua Dewan Pemuda Pas dan sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas.

"(Pemenang) Dr Izani Husin adalah orang paling layak memandangkan beliau juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa," kata Mohd Amar.

Sebelum ini, Nik Abduh sudah memaklumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda Pas Pusat pada pemilihan yang dijadualkan April nanti. Jadi alasan Mohd Amar bahawa Nik Abduh sibuk sebagai Ketua Pemuda sangat lemah kerana Mohd Amar sendiri adalah Naib Presiden Pas dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, jadi tentunya beliau lebih sibuk berbanding Nik Abduh.

Kerana itu, ada yang menganggap alasan Mohd Amar tidak kukuh. Ada yang melihat, kekalahan Nik Abduh bersama pasukannya dalam pertandingan di Pengkalan Chepa sudah dirancang.

Selepas kalah di Pengkalan Chepa, di manakah 'tapak' politik Nik Abduh di Kelantan? Adakah terdapat usaha menyekat Nik Abduh dari mengintai kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti? Dan sekiranya Nik Abduh menang dalam PRU14 di Dun Chempaka, mungkin ada yang merasakan kedudukan mereka dalam kerajaan Kelantan akan tergugat dengan kehadiran anak gemulah Nik Aziz itu.

Itu persoalan yang timbul selepas kekalahan Nik Abduh biarpun tuan punya badan memberi alasan 'bertanding sekadar suka-suka'. Cakap-cakap mengaitkan usaha menyekat Nik Abduh berlegar dalam kalangan akar umbi Pas di Kelantan biarpun Mohd Amar memberi alasan komitmen Nik Abduh lebih diperlukan di Pas Pusat.

Dengan kekalahan ini, Nik Abduh perlu sedar, mungkin dia tewas disebabkan kurang karisma. Perwakilan Pas Pengkalan Chepa mungkin melihat beliau sebagai anak Allahyarham Nik Aziz bukan Nik Abduh yang ada karisma sendiri dan mempunyai idea-idea segar untuk Pas.

Mungkin Nik Abduh yang gemar tersenyum dan tersengeh itu, kurang memikat hati perwakilan Pas Pengkalan Chepa kerana sebelum ini, ketua pemuda dilihat agresif bukan 'shy-shy tiger'.

Pas bakal mengadakan pemilihan pucuk pimpinan peringkat pusat pada April nanti. Apakah nasib yang bakal diterima Nik Abduh. Kepada Allah kita berserah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Follow by Email

 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger