Presiden Amanah ziarah mursyidul am PAS

Ahad, 25 Ogos 2019

Biarpun kini sudah berlainan parti - dan diberikan pelbagai gelaran jelik kerana membawa pendekatan berbeza - Presiden Amanah, Mohamad Sabu, tidak melepaskan peluang untuk menziarahi Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, di Perlis hari ini.

Menurut Mohamad beliau berkunjung ke rumah Hashim di Arau selepas selesai merasmikan serentak mesyuarat tahunan tiga kawasan Amanah Perlis.

Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata, sesuatu kunjungan ke Perlis tidak lengkap jika tanpa bertemu dengan Hashim, terutama apabila pemimpin tertinggi PAS itu dikatakan kurang sihat sejak akhir-akhir ini.

Kata Mohamad, Hashim adalah sahabat lama beliau dalam perjuangan politik dan selalu digandingkan di pentas ceramah suatu ketika dulu.

"Selesai merasmikan mesyuarat tahunan Amanah di tiga kawasan serentak di Perlis, saya singgah pula menziarahi sahabat lama dalam perjuangan Ustaz Haji Hashim Jasin.

"Saya dimaklumkan beliau sedikit uzur kebelakangan ini," katanya.

Untuk rekod, Hashim ialah pemimpin veteran PAS yang dilantik menjadi mursyidul am parti itu bagi mengisi kekosongan selepas penyandang sebelumnya, Dr Haron Din, meninggal dunia.

Sebelum ini Hashim pernah dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Perlis dan menganggotai Jawatankuasa Pusat PAS.

Beliau juga kini dikenali dengan gelaran Tuan Guru dalam kalangan anggota dan penyokong PAS.
Amanah pula menjadi salah satu parti paling dimusuhi oleh PAS dan sering digelar sebagai "khadam DAP".

Mohamad juga berharap Hashim diberikan kesihatan yang baik dan hubungan persaudaraan di antara mereka akan berpanjangan ke akhir hayat.

"Terima kasih kerana sudi menerima dan melayan kehadiran kami," katanya.

Kerajaan akan ambil tindakan tegas isu komplot tipu tender

KERAJAAN akan mengambil tindakan tegas terhadap siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mengenal pasti sekurang-kurangnya 10 projek kerajaan bernilai jutaan ringgit kerana penyelewengan semasa proses tender, kata Lim Guan Eng.

Menteri Kewangan itu berkata, tindakan komplot menaikkan harga tawaran lebih tinggi daripada tender adalah salah serta mewujudkan persaingan yang tidak adil.

“Kalau (wujud) kartel tentu harus ambil tindakan. Itu tidak diizinkan. Kita mahu itu persaingan yang adil tak harus ada konspirasi pihak tertentu untuk kekalkan harga supaya memihak kepada mereka.

“Ini bukan (meletakkan) harga rendah ini pastikan mereka dapat projek kerana mereka buat kartel, supaya dapat harga dekat mirip syarikat-syarikat (yang mengeluarkan tender),” kata beliau dalam satu sidang media selepas Majlis Karnival Merdeka di Bagan, Pulau Pinang.

Tambahnya, beliau turut berharap MyCC dan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengambil tindakan.

“Saya rasa sekiranya ada kes-kes sedemikian harap boleh dilaporkan bukan sahaja kepada kerajaan tapi harus dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ini adalah satu kesalahan.

“Ini di bawah KPDNHEP, saya percaya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai menteri bertanggungjawab, dia akan ambil tindakan,” katanya.

Sebuah akhbar tempatan hari ini mendedahkan sekurang-kurangnya 10 projek kerajaan bernilai jutaan ringgit, kini dalam siasatan MyCCC kerana syarikat yang memenangi tender itu disyaki berkomplot dalam bidaan hingga menyebabkan ketirisan dana awam.

Laporan itu turut menyebut siasatan berkenaan dibuat susulan aduan dan maklumat diterima MyCC mengenai taktik kontraktor dan pembekal yang membentuk komplot dalam pakatan untuk membuatkan sesuatu nilai kontrak menjadi lebih tinggi.

Elak politiking, kerja keras capai hasrat rakyat

PAKATAN Harapan (PH) perlu kurangkan berpolitik jika tidak mahu hilang keyakinan dan kepercayaan daripada rakyat.

Pengerusi Majlis Kepimpinan PH Selangor, Amirudin Shari berkata sebaliknya PH perlu bekerja keras dalam memenuhi kehendak rakyat agar mandat yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14  dapat dikekalkan pada PRU akan datang.

“Kita kena buktikan kita lebih baik dari kerajaan terdahulu, dan bukan berpolitik sepanjang masa. Kita kena ingat apa aspirasi dan cita-cita rakyat kepada kita, apa janji yang kita tawarkan, apa harapan yang kita tawarkan pada PRU lepas.

“Elakkan politiking keterlaluan, kita mesti kerja keras untuk capai hasrat dan impian rakyat, agenda reformasi terhadap institusi kerajaan, agenda pendidikan dan agenda kesihatan kita kena buat bersungguh-sungguh agar mandat yang kita dapat pada PRU yang lepas dapat dikekalkan,” katanya pada Majlis Perasmian Perdana Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PKR Selangor hari ini.

Turut hadir Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin,  Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Ketua Wanita PKR Selangor Dr Doroyah Alwi.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor turut menyeru agar semua pemimpin dan ahli PH Selangor terus bekerja keras untuk mempertahankan kedudukan sebagai kerajaan negeri.

“Kedudukan PH Selangor dalam keadaan baik dan perlu dipertahankan. Sejak 10 pentadbiran di negeri ini, kita semakin kukuh bertapak.

“Selangor adalah pusat penting dalam konteks politik nasional,” katanya. – Bernama,

Orang muda Sabah boleh dapat manfaat daripada Gojek, kata Pemuda PPBM negeri

KOTA KINABALU: Pemuda PPBM Sabah menyambut baik pengenalan perkhidmatan e-panggilan motosikal Gojek di negara ini dan berharap perkhidmatan tersebut akan diperluaskan ke negeri ini dalam masa terdekat.

Ketuanya Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, mereka yang memiliki motosikal di Sabah, terutamanya orang muda akan mendapat manfaat sekiranya perkhidmatan itu dimulakan di negeri ini segera.

Beliau berkata, ramai orang muda yang hanya mampu memiliki motosikal sebagai pengangkutan peribadi setakat hari ini, justeru Gojek boleh membantu memberikan pendapatan tambahan kepada golongan itu dengan serta-merta.

“Gojek akan membuka peluang kepada generasi muda selain memberi mereka pendapatan tambahan.
“Ia akan memberi kesan positif kepada orang muda terutamanya di bandar dan pinggir bandar,” katanya selepas menghadiri seminar anjuran Pemuda PPBM Tuaran dekat sini, hari ini.
Isquzawan berkata, kesesakan lalu lintas di bandar menyukarkan pemandu motokar sampai ke destinasi mereka tepat masa.

“Kadang-kadang satu jam pun tidak cukup untuk ke bandar, misalnya dari Putatan di mana saya tinggal (kira-kira 20 minit dari bandar) untuk menyudahkan urusan saya jika diambil kira masalah kesesakan dan parkir

“Tapi dengan Gojek, tempoh masa itu boleh dipendekkan.”

Bagaimanapun katanya, peraturan dan undang-undang berkaitan perkhidmatan tersebut harus diperketatkan, termasuk isu wanita sebagai penunggang atau pembonceng.

“Ini bagi mengelakkan kemalangan dan masalah berkaitan sosial daripada berlaku” kata beliau.

Baru-baru ini, Kabinet bersetuju untuk memperkenalkan perkhidmatan Gojek, sebuah syarikat gergasi berpangkalan di Indonesia yang menawarkan perkhidmatan e-panggilan motosikal yang turut beroperasi di negara Asean lain.

Kementerian Pengangkutan diberikan masa sebulan untuk mencadangkan peraturan berkaitan perkhidmatan itu, terutama isu keselamatan pembonceng dan perlindungan insurans.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kebimbangan seorang mufti berkait pengguna berlainan jantina juga akan ditangani.

Kajian projek terowong dasar laut 90% siap, kata ketua menteri

GEORGE TOWN: Kajian kebolehlaksanaan projek pembinaan terowong dasar laut kini di peringkat 90% penelitian, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, draf laporan itu masih diperiksa jurutera perunding bebas yang dilantik, HSS Engineers Bhd.

“Setelah segalanya dibereskan di pihak jururunding, barulah ia akan dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi kelulusan.

“Ia merupakan proses timbal balik, setelah mereka (Consortium Zenith Construction Sdn Bhd) kemukakan kepada HSSI, HSSI akan kaji dan memberi komen sebelum menghantar semula kepada Zenith bagi penambahbaikan.
“Ia masih pada tahap 90%, kerajaan negeri sentiasa menerima maklumat yang dikemas kini,” katanya selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang dirasmikan Majimor Shariff, isteri Yang Dipertua Pulau Pinang, Abdul Rahman Abbas.

Projek terowong sepanjang 7.2km itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos anggaran RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook baru-baru ini mengenai komitmen menaik taraf sistem perkhidmatan feri Pulau Pinang, termasuk pelan memperkenalkan bot jenis Catamaran yang boleh memberi kesan kepada projek terowong dasar laut, Chow berkata, tiada sebarang keputusan dibuat lagi ketika ini.

“Tiada keputusan lain selain meneruskan kajian kebolehlaksanaan. Tetapi (terowong) bukan keutamaan, keutamaan adalah lebuh raya (dari lebuh raya) dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. Kami berharap dapat memulakannya dalam tempoh 2 bulan.”

Sementara itu, laporan sebuah akhbar berbahasa Cina berkaitan perbezaan harga Toyota Camry 2.5 CBU baru yang dibeli kerajaan Pulau Pinang berbeza dengan Perak, Chow berkata, Pulau Pinang tidak mendapat pengecualian cukai.

“Tidak ada pengecualian cukai, jadi kami membelinya dengan harga pasaran, Perak mungkin telah mendapatnya (pengecualian cukai). Itulah sebabnya wujud perbezaan harga.”

Isnin, 1 Oktober 2018

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan beberapa perubahan besar di universiti khususnya dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi memberikan mahasiswa lebih banyak kebebasan berpolitik.

Antara perubahan tersebut termasuk menghapuskan peruntukan undang-undang yang menghalang mahasiswa daripada aktif berpolitik, serta memberi kuasa kepada mereka menjalankan pemilihan kampus sendiri tanpa campur tangan daripada pentadbiran universiti.

"Pada sesi parlimen yang akan datang, saya akan bawa (pelan) pemansuhan peruntukan tertentu yang menghalang pelajar daripada aktif dalam politik," katanya.

Terdahulu, Maszlee mengadakan sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan aktivis mahasiswa yang diketuai Asheeq Ali Sethi Alivi untuk membincangkan pemansuhan Auku di sebuah hotel di Putrajaya.

Maszlee berkata UIAM bersetuju membentuk kesatuan pelajar di mana pelajar dapat menguruskan aktiviti mereka sendiri dan universiti itu juga bersetuju mempunyai wakil pelajar di senat.
Sementara itu, Asheeq Ali berkata Maszlee juga bersetuju menggugurkan kesemua tindakan terhadap mahasiswa di bawah Auku.

"Kesalahan semua pesalah Auku dimulakan oleh kerajaan dahulu, tindakan bermotif politik di bawah Auku akan digugurkan serta merta.

"Kami gembira dan terima sepenuhnya keputusan kementerian untuk gugurkan kesemua kesalahan-kesalahan bermotif politik terhadap aktivis mahasiswa yang bersuara pada era Barisan Nasional," katanya dalam sidang akhbar berasingan.

Asheeq berkata Maszlee juga memberi kebenaran kepada pelajar membentuk sebuah jawatankuasa pemantau pemilihan kampus dan beliau menggesa universiti untuk memberikan kerjasama.

"Kebenaran diberikan untuk kami buat jawatankuasa untuk pantau. Saya menggesa semua pihak di universiti untuk terima kenyataan bahawa kerajaan dah berubah. Ini era rakyat Malaysia baru di mana mahasiswa patut diberi kebebasan bersuara, kebebasan bertanding tanpa intimidasi atau ugutan dari mana-mana belah pihak.

"Tindakan kotor seperti ugutan yang dilakukan pada era BN sudah tamat," katanya.

Asheeq, yang memprotes pelantikan Maszlee sebagai presiden UIA baru-baru ini, kini memuji beliau kerana mengadakan pertemuan dengan mahasiswa.

Sejauh mana kemesraan Pas-BN buahkan hasil?

Rabu, 25 Julai 2018

BAGI pemerhati politik ada perkara yang lebih menarik untuk dilihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Bukan soal siapa menang atau kalah tetapi soal sejauh mana ‘pakatan berbaik’ Pas-BN membuahkan hasil.

Menurut Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff, itu perkara yang paling menarik untuk diperhatikan dalam PRK kali ini.
“Apa yang menarik adalah sejauh mana hasil daripada pakatan mereka berbaik beri kesan kepada pengundi, itu sahaja,” katanya

Katanya, seandainya pakatan berbaik Pas-BN ini membuahkan hasil, dakwanya kedua-dua parti ini membuka lembaran baharu untuk mengadakan kerjasama yang lebih erat.

“Jika berkesan mungkin mereka akan bekerjasama secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas misi Pas dalam PRK kali ini yang dilihat senada dengan BN yang mahu melihat PH tewas.

Sinar Harian melaporkan tindakan Pas tidak meletakkan calon pada PRK Sungai Kandis bertujuan memastikan pertandingan satu lawan satu berlangsung.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, ini bagi memastikan undi pembangkang tidak pecah dan PH dapat ditewaskan.

Menurutnya, PH mesti dikalahkan dan ia akan menjadi satu isyarat kepada kerajaan hari ini bahawa rakyat tidak mahu terus dipermain dengan kegagalan mereka menunaikan janji pilihan raya seperti menghapuskan tol, menurunkan harga minyak dan menghapuskan hutang peneroka Felda.

Dalam pada itu ketika ditanya, sama ada pola pengundian kali ini berubah kerana PH dilihat seolah-olah ada beberapa perkara yang dilihat mereka ‘bercakap tidak serupa bikin’, Agus berkata, ia tidak memberi kesan.

“Saya fikir PH akan kekal, meskipun mereka  tak dapat tunai beberapa janji, tapi rakyat selesa dengan kerajaan sekarang tiada perkara yang menyebabkan rakyat perlu ajar PH,” katanya.
Sementara itu ketika ditanya, tentang kemampuan calon BN Datuk Lokman Noor Adam untuk memenangi PRK kali ini, Agus mendakwa Lokman tiada peluang kali ini.

“Lokman tak perlu buat apa-apa sebab dia dah tahu nak kalah, dia cuma boleh ‘test market’ untuk meneliti beberapa perubahan undi itu sahajalah,” katanya.

Dalam pada itu menyentuh mengenai calon PH Mohd Zawawi Mughni pula, Agus berkata Zawawi miliki cukup pakej untuk mengekalkan kerusi berkenaan ditangan PH.

“Nampak jelas wibawa calon ada pada Zawawi personaliti dia satu (tampak hebat)  beliau tak terpalit dengan rejim dulu,” katanya.

Dalam pada itu menyentuh mengenai calon Bebas pula, Agus berkata, Murti Krishnasamy hanya sebagai ‘kacau daun’ dalam PRK kali ini.

“Beliau boleh pecah undi sikit sahajalah,” katanya.

PRK Sungai Kandis  menyaksikan, pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan Bebas.
Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia, pada 2 Julai lalu ekoran kanser limfoma.

Pada PRU14, Mat Shuhaimi memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hanafiah Husin (76).

Pas disaran buat siasatan secara profesional tentukan suara

Rabu, 7 Mac 2018

Naib Presiden AMANAH, Husam Musa mempersoalkan sejak bila pula Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menjadi pakar pengecam suara.

Beliau berkata demikian mengulas laporan portal berita Malaysiakini mengenai dakwaan Khairuddin bahawa suara dalam rakaman audio yang kini tular di media sosial itu bukan suara MP Pasir Mas, Nik Abduh.

Seperti yang dilaporkan, menurut Khairuddin ramai yang boleh meniru suara orang lain, termasuk menyerupai suara Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta bapa Nik Abduh, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kata Husam lagi, jika Khairuddin benar-benar pakar mengecam suara, maka suara siapakah sebenarnya dalam rakaman tersebut.

Menurut Husam, memandangkan kesan isu rakaman audio berkenaan merupakan isu ‘besar’ buat Pas, beliau menyarankan supaya Pas membawa rakaman tersebut ke makmal untuk dianalisis secara profesional dan kemudian menafikan secara profesional pula.

“Bawa rakaman itu ke makmal yang berwibawa, atau ke pusat yang boleh membuat pengecaman secara profesional untuk mengesahkan bahawa itu suara siapa.

“Selepas itu umumkanlah,” kata beliau.

Bagi saya kata Husam, setakat yang saya kenal, saya mendapati suara itu adalah suara Ustaz Nik Abduh.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Wisma AMANAH di Selayang tengah hari ini.

Pemberi maklumat AKSB sedia jadi saksi jika ada siasatan SPRM, kata Husam

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Husam Musa berkata, sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berhubung kes pemberian tender, pemberi maklumat mengenai perkara tersebut sedia menjadi saksi.

Kata beliau, ia adalah ekoran pendedahan beliau berhubung penyalahgunaan kuasa dalam pemberian tender kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV Sdn Bhd bagi projek reka dan bina mekanikal dan elektrikal Fasa II (Pakej 1) Merbau Condong, Machang pada 5 Februari lalu.

Kata beliau, Cdah Construction Jangka Prestasi JV Sdn Bhd tidak mempunyai sebarang kelayakan terhadap projek berkenaan kerana pada waktu itu syarikat berkenaan adalah syarikat yang tidak berdaftar.

Setakat ini kata beliau, SPRM belum lagi mengambil apa-apa tindakan berhubung pendedahan beliau itu.

Menurut Husam, penjelasan Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB, Datuk Hanifa Ahmad semalam berhubung perkara tersebut mengukuhkan lagi dakwaannya terhadap isu AKSB itu.

Pada masa sama, Husam melahirkan rasa dukacita atas tindakan AKSB yang dalam siasatan dalamannya berhubung kebocoran maklumat pemberian tender berkenaan dengan menekan pegawai-pegawainya.

“Mereka (pegawai-pegawai tersebut) dianggap menikam dari belakang, jangan aniayai mereka,” kata Husam dalam sidang media di Wisma AMAHAH di Selayang hari ini.

Katanya, beliau hairan bagaimana Datuk Hanifa boleh membuat kenyataan terbuka mengenai siasatan dalaman tersebut kerana ia menjejaskan integriti AKSAB sendiri.

Kata Husam lagi, dokumen dan maklumat yang diberikan kepada beliau mengenai pemberian tender tersebut diperolehi daripada sumber lain.

“Mereka ini sedia menjadi saksi sekiranya kes pemberian tender ini disiasat oleh SPRM,” kata beliau.

Walau sakit tulang belakang, Azmin tetap kerja dari rumah

Isnin, 26 Februari 2018

KUALA LUMPUR, ― Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tetap meneruskan tugas sebagai menteri besar Selangor ketika sedang menerima rawatan akibat sakit tulang belakang.

“Dia tidak bercuti. Sedang bekerja dari rumah,” kata pembantunya Yin Shao Loong ketika dihubungi
Pengarah komunikasi strategik itu bagaimanapun tidak menyatakan tempoh Azmin akan bekerja dari rumah dan menjangkakan ia tidak mengambil masa terlalu lama.

Tulang belakang timbalan presiden PKR itu cedera selepas mengangkat perabot berat awal minggi lalu dan kini sedang menjalani rawatan fisioterapi.

Yin dalam satu kenyataan media berkata puncanya kerana Azmin begitu teruja menimang cucu pertama, lalu dia mengemas rumah sendiri termasuk mengalih perabot berat.


Ahli keluar parti proses pemutihan Bersatu


GUNUNG SEMANGGOL - Senario ahli Bersatu keluar parti merupakan suatu ‘rahmat’ bagi melancarkan proses pemutihan ahli yang tersasar daripada landasan sebenar perjuangan parti sebelum PRU14.

Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, di sebalik pelbagai ‘gimik’ ahli Bersatu keluar parti di seluruh negara sebagaimana dilaporkan media arus perdana, pihaknya mendapati terdapat dua kategori ahli parti yang bertindak melakukan perbuatan itu.

Menurutnya, satu kategori ahli parti yang mendakwa keluar parti sebenarnya bukan merupakan ahli yang mendaftarkan diri menyertai Bersatu sebelum ini.

“Satu lagi kelompok adalah mereka yang sebenarnya tidak berpegang kepada perjuangan parti, namun menyertai Bersatu atas tujuan kepentingan diri.

“Bersatu berpegang kepada apa diperjuangkan dan kepada mereka hendak terus dengan kami, (hasrat itu) amat dialu-alukan.

“Tetapi bagi mereka yang terkandas dan tidak menyakini perjuangan parti, Bersatu juga mengizinkan mereka keluar parti dengan sukarela,” katanya pada majlis penutup Kursus Latihan Gerak Kerja Pilihanraya Bersatu Bahagian Bagan Serai, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Bagan Serai, Ismail Ali.

Ahmad Faizal berkata, sebelum berlangsung PRU14, Bersatu mengalu-alukan golongan ahli ‘terkandas’ untuk meninggalkan parti.

Menurutnya, senario ini juga boleh juga dianggap sebagai proses pemutihan parti daripada sebarang anasir yang boleh mensabotaj parti di kemudian hari.

“Ini kerana sekiranya mereka bertindak keluar parti sewaktu PRU sedang berlangsung, akan memberi kesukaran kepada Bersatu.

“Jadi, bagi mana-mana ahli bertindak keluar lebih awal sebelum ‘berperang’, kami menganggap senario itu satu rahmat bagi melancarkan perjuangan lebih besar yang perlu didukung ahli sedia ada,” katanya.

Ahmad Faizal turut mengingatkan ahli Bersatu Perak agar segera mengetepikan segala masalah persengketaan antara mereka sebaik sahaja gong perang PRU14 dipalu.

Menyifatkan bibit perpecahan dalam Bersatu Perak bukan masalah besar, beliau mengakui apabila PRU14 semakin hampir, mungkin ada individu dalam parti yang terasa kemungkinan nama mereka tidak dicalonkan dan menyebabkan sedikit pergeseran berlaku.

“Namun isu itu tidak merunsingkan kerana isu perpecahan Umno lebih buruk dan mungkin tidak dapat diselesaikan menjelang pembubaran Parlimen dan DUN kelak,” katanya.

Ahmad Faizal turut menaruh keyakinan Bersatu Perak mampu menyapu bersih lapan kerusi Parlimen ditandingi parti itu di Perak termasuk Parlimen Bagan Serai.

“Keyakinan itu berdasarkan sentimen rakyat yang dilihat telah bersedia melakukan perubahan demi kepentingan negara.

“Selain itu, hubungan antara pemimpin parti-parti dalam Harapan cukup baik dan perlu diperkuatkan lagi memandangkan jentera memenangi PRU tidak tertakluk jentera Bersatu sahaja, namun perlu libat semua parti dalam Harapan,” katanya.

Bekas eksekutif BNM gesa kerajaan buang tongkat DEB

KUALA LUMPUR: Bekas penolong pengurus Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakop, hari ini berkata sudah sampai masanya kerajaan menghentikan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) secara perlahan dan menggantikannya dengan sistem berasaskan merit.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, orang Melayu hanya mendapat manfaat dengan menjadi sebahagian daripada sistem berasaskan merit.

“Jika kita terus menggunakan tongkat, kaki kita akan menjadi tidak berguna.

“Tambahan, DEB sudah memanfaatkan golongan elit Melayu lebih daripada penduduk di kawasan pedalaman,” katanya pada forum “Quo Vadis: Pembangunan Ekonomi di Malaysia?”.

Rosli yang pernah berkhidmat di Jabatan Ekonomi BNM, berkata negara tidak boleh meneruskan dasar sama yang dilaksanakan pada 1970-an.

Katanya, DEB dilaksanakan untuk meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu, tetapi ia tidak membantu orang Melayu untuk maju pada kadar sepatutnya.

Beliau berkata, ini kerana majoriti orang Melayu masih bekerja untuk kerajaan, manakala orang bukan Melayu terus menguasai sektor perniagaan.

Katanya, tinjauan Merdeka Centre ke atas DEB menunjukkan 71% orang Melayu bersetuju untuk memansuhkan DEB.

Rosli berkata, ini menunjukkan masyarakat mahu DEB dihentikan.
 
“Mereka mahu ia ditamatkan kerana ia memanfaatkan golongan elit Melayu.”
Rosli turut bertanya hadirin jika negara sudah bersedia untuk Wawasan 2020 – wawasan untuk menjadi sebuah negara perindustrian maju menjelang 2020 dalam semua aspek kehidupan, kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial, pendidikan, kestabilan politik dan juga keseimbangan psikologi.

Kebanyakan mereka berkata, negara gagal membentuk Bangsa Malaysia yang bersatu atau masyarakat demokratik dan beretika.

Beliau turut menegaskan orang Melayu, Cina dan India dalam sebuah kawasan perumahan tidak melawat satu sama lain seperti sepatutnya.

“Kecuali mereka ialah kawan baik, maka mereka mungkin melawat satu sama lain apabila seseorang dimasukkan ke hospital.”











Selepas tsunami politik, Tanjong Piai tunggu ombak PPBM

TANJONG PIAI: Ketika tsunami melanda sebahagian besar dunia pada 2004, kawasan paya bakau di Tanjong Piai menjadi benteng pertahanan, melindungi bandar persisiran pantai ini daripada kemusnahan yang dialami di kebanyakan negara.

Tetapi Tanjong Piai juga “selamat” daripada sebuah lagi tsunami, iaitu tsunami politik yang melanda seluruh Malaysia pada pilihan raya umum 2008, menyaksikan tamatnya dominasi Barisan Nasional dan Umno dalam politik negara.

Ketika “tsunami politik 2008” berlaku sekali pun, BN masih menang selesa di sini. Calon MCA mengalahkan calon Melayu dari DAP, dengan majoriti lebih 12,000 undi.

Calon Melayu oleh DAP bukan sesuatu yang asing di Tanjong Piai, yang mempunyai bilangan pengundi Melayu dan Cina yang hampir sama banyak.

Ia antara kawasan Parlimen yang memperlihatkan stereotaip DAP dan BN bertukar tempat.

Untuk 2 pilihan raya umum yang lampau, DAP yang sering dikaitkan sebagai parti orang Cina meletakkan calon Melayu, manakala BN yang sering dikaitkan dengan sokongan orang Melayu pula meletakkan calon berbangsa Cina.

Ia merupakan antara strategi menawan kerusi ini yang dicengkam BN sejak dulu.

Namun kesetiaan kepada parti, dan bukan calon, amat jelas di sini, sebuah kawasan persisiran pantai di bahagian paling selatan di Johor.

Walaupun DAP meletakkan calon Melayu, rata-rata pengundi Cina memberikan undi mereka kepada roket; dan walaupun BN memilih calon Cina, rata-rata pengundi Melayu tetap memangkah dacing.

Malah pada 2013 pun, ketika Gelang Patah menjadi kubur politik bekas menteri besar Johor Datuk Abdul Ghani Osman, DAP masih belum dapat melepaskan cengkaman BN di Tanjong Piai.

Tetapi ia bukan bermakna Tanjong Piai bebas daripada strategi berlandaskan sentimen kaum.

Mahdzir Ibrahim, bekas calon DAP yang tewas kepada calon MCA pada pilihan raya 2013, yakin partinya masih mampu merampas kerusi itu, dengan syarat 15% pengundi Melayu berubah selera.


Tetapi, kali ini, calon Melayu yang bakal mencabar BN datangnya bukan dari DAP, tetapi PPBM, parti Melayu yang merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH).

Bagi Mahdzir, ini menjadikan cabaran kali ini lebih berbeza dan sengit, dan menjangka peluang PH untuk menang pada PRU14 adalah 50-50 menentang Ahli Parlimen Tanjong Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Bercakap kepada FMT, Mahdzir berkata beliau gagal pada PRU lalu kerana tidak dapat sokongan 15% pengundi Melayu, kerana rata-rata mereka masih menyimpan sentimen lama terhadap parti itu.
“Jadi jika PPBM dapat menarik 15% pengundi Melayu untuk menyokong PPBM, Insha Allah kita akan menang,” katanya.

“Ini kerana pada pengetahuan saya, pengundi Cina di Tanjong Piai tiada masalah besar dan akan kekal menyokong PH,” katanya.

PH memperuntukkan 10 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor kepada PPBM pada PRU akan datang, yang perlu diadakan menjelang pertengahan tahun ini.

Selain Tanjong Piai, kerusi lain ditandingi calon PPBM ialah Pagoh, Mersing, Tenggara, Sri Gading, Pengerang, Pontian, Muar, Simpang Renggam dan Kota Tinggi.

Kebanyakan kerusi itu adalah kubu kuat Umno di kawasan bermajoriti Melayu, termasuk kawasan penempatan Felda.

Pada PRU 2013 lalu, Wee memperoleh 25,038 undi mengalahkan Mahdzir dengan majoriti 5,457 undi, majoriti yang jauh lebih kecil berbanding ketika BN menang pada 2008.

PH masih belum mengumumkan siapa calon PPBM yang akan bertanding.

Tetapi Mahdzir memberi bayangan: “Tak silap saya dia doktor klinik. Saya bagi yang secara umum, kita di peringkat DAP kawasan dan negeri, kita akan bantu sepenuhnya calon dari PPBM.
“Kita harap semua pihak, beri kerjasama kerusi Tanjong Piai,” katanya.

Mahdzir berkata tumpuan PH di Tanjong Piai ialah menarik pengundi Melayu dan penyokong tegar Umno.

Beliau yakin pengaruh bekas perdana menteri yang kini mempengerusikan PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, masih ada di Tanjong Piai.

“Kini peluang lebih cerah. Kalau dengan DAP dulu 40-60. Sekarang jadi 50-50.”

Tanjong Piai masih dianggap kawasan kampung, bukan seperti Gelang Patah atau Kluang, dan Mahdzir mengakui cabaran masih besar untuk PH.

Sementara itu, Wee menolak pendapat yang menyifatkan kemenangannya 2 penggal di sini adalah kerana pengundi Melayu.

Bagi Wee, semua kaum penting.

“Tetapi kita perlu bekerja keras. Lakukan apa yang patut nak bantu rakyat. Rakyat faham pengundi tahu nak buat pilihan.

“Ini politik. Rakyat faham siapa buat kerja siapa tidak,” katanya

Pada Januari lalu, MCA mengumumkan Wee kekal sebagai calon Tanjong Piai pada PRU ke-14.






























Ceramah Pakatan Harapan di Kg Pasir, Pulai diganggu samseng Umno

Jumaat, 9 Februari 2018

Ceramah ‘Gelombang Harapan’ yang berlangsung di Kampung Pasir, Pulai malam tadi diganggu samseng Umno namun tindakan pantas pihak polis berjaya mengelak kejadian tidak diingini.

Dalam kejadian itu, sekumpulan 30 orang pemuda yang berpakaian biru memaparkan lambang Barisan Nasional (BN) hadir ke ceramah yang berlangsung dengan membuat kecoh, mengejek serta melakukan provokasi.

Namun kehadiran pihak polis pada malam itu berjaya mengelak kumpulan tersebut daripada terus melakukan kekacauan sekaligus membolehkan program berjalan lancar.

Pengarah pilihan raya Pakatan Harapan (PH) Johor yang juga Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub menganggap insiden itu sebagai tindakan terdesak Umno-BN memperalatkan anak muda untuk melakukan provokasi.

“Perkara yang utama adalah soal kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan negeri yang dipimpin Umno-BN contohnya seperti rasuah hartanah Bumiputera yang masih belum dijawab Menteri Besar,” katanya.

Sehubungan itu, Salahuddin menasihati Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed agar tidak bersembunyi di belakang penyokongnya yang cuba membuat kacau dan bertanggung jawab dengan keadaan Kampung Pasir yang bakal dijadikan tempat loji kumbahan najis.

Suasana majlis ceramah Pakatan Harapan di Kampung Pasir, Pulai.

Mengulas isu yang sama, Setiausaha PH Negeri Johor yang juga bekas Adun Kempas, Datuk Osman Sapian menyifatkan tindakan membuat kekecohan itu bertujuan mengalihkan isu sebenar dihadapi penduduk.

“Ini adalah wayang yang dimainkan oleh Umno-BN bagi mengalihkan perkara atau isu sebenar yang berlaku di negeri Johor ini. Saya masuk PPBM adalah kerana mahu membawa suara rakyat yang semakin banyak ditindas dengan pemerintahan sekarang.

“PH hanya mahu membantu rakyat yang semuanya terbeban dengan apa yang berlaku hari ini termasuklah mereka yang berada di belakang sana yang hadir ke sini mahu mengganggu program ini,” tegas Osman ketika berucap.

Dalam pada itu, tindakan Adun Pengkalan Rinting Cheo Yee How yang memberi salam sebelum berucap tidak disenangi samseng Umno yang berkumpul di luar kawasan ceramah.

Kumpulan samseng itu berbuat bising dan cuba menimbulkan kekecohan namun keadaan terkawal apabila pihak polis bertindak meredakan keadaan.

Anggota polis kemudian mengarahkan kumpulan samseng itu berhenti melakukan provokasi dan majlis ceramah berjalan dengan aman.

AMANAH Sabah sedia bertanding 2 kerusi Parlimen, 3 Dun

AMANAH Negeri Sabah telah melakukan persediaan untuk bertanding di 2 kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan kerjasama parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) negeri.
Setiausaha AMANAH negeri, Abdillah Matlin berkata, sejak penubuhannya, AMANAH Sabah telah melakukan gerak kerja pilihan raya di kawasan-kawasan yang bakal ditandingi itu.

“Kerusi-kerusi yang akan ditandingi AMANAH Sabah adalah Parlimen Batu Sapi, Parlimen Kalabakan, DUN Merotai dan DUN Bugaya.

“Keempat-empat kerusi tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat rundingan kerusi Pakatan Harapan Sabah untuk AMANAH Sabah meletakkan calonnya.

“Selain itu, AMANAH sedang mempertimbangkan satu lagi kerusi Dun iaitu Dun Sekong untuk ditandingi,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun tambah beliau, perkara ini akan dibawa ke meja rundingan dengan PKR Sabah bagi memberi laluan kepada AMANAH negeri menghadapi BN.

Menurut beliau, berdasarkan keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu, calon Parlimen Batu Sapi Hamzah Abdullah telah dikenali, diterima baik dan disokong pengundi Parlimen Batu Sapi.

Hamzah ialah pengerusi AMANAH Sabah dan bertanding di Batu Sapi pada PRU lalu atas tiket Pas.

Menyentuh tindakan bekas timbalan pengerusi AMANAH negeri, Alias Sani menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan), Abdillah berkata AMANAH Sabah menghormati pilihan beliau.

“Sejurus selepas Alias keluar daripada AMANAH Sabah dan menyertai Warisan, AMANAH Sabah telah melantik Arbaani Akum sebagai timbalan pengerusi,” jelas beliau.

Arbaani Akum ialah Ketua AMANAH Kalabakan dan mempunyai pengalaman luas dalam politik Sabah.

“Beliau pernah ditawarkan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan namun menolak kesemua tawaran tersebut kerana yakin PH khususnya AMANAH Sabah adalah parti yang benar-benar mengangkat suara rakyat Sabah.

“Dalam pada itu, beliau juga pernah memperjuangkan isu gajah yang diburu secara haram di hutan simpan membabitkan Yayasan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar,” ujar Abdillah.










RUU 355: ‘Terus dibawa ke Parlimen, langgar Raja-Raja Melayu’

Rabu, 31 Januari 2018

Oleh Arif Atan

Bekas penasihat undang-undang Pas, Hisham Fauzi berkata, Presiden Pas tergesa-gesa membawakan Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 juga dikenali sebagai Akta 355 yang akan membuka laluan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Menurutnya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melanggar proses penelitian yang sedang berjalan dalam Jawatankuasa Teknikal Peringkat Kebangsaan berhubung penguatkuasaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 atau hudud.

“Tiba-tiba ketika tengah bincang, siap semua kaedah, Presiden Pas memasukkan Rang Undang-Undang Persendirian ke Parlimen, melanggar persetujuan dan ‘road map’ asal kita.

“Kalau ikut pelan asal kita, kita nak menghadap Raja-Raja Melayu dulu, kita dapatkan perkenan Raja-Raja Melayu dan kelulusan Majlis Raja-Raja,” ujarnya dalam Ceramah Pakatan Harapan di Machang baru-baru ini.

Hisham berkata, kaedah tertentu telah ditetapkan supaya pelaksanaan tersebut dapat dicapai melalui jawatankuasa yang terdiri daripada 18 anggota meliputi bekas hakim, profesor, hakim dan wakil penjara melibatkan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Kelantan.

“Kita sudah bincang belaka nak buat. Kita telah buat satu kaedah bagaimana pelaksanaannya supaya kita boleh buat.

“Sebab sebelum ini apa-apa pindaan yang melibatkan Mahkamah Syariah tidak pernah dibuat tanpa kebenaran dan persetujuan Majlis Raja-Raja.

“Kita sudah fikirkan kalau dapat persetujuan Majlis Raja-Raja, kita mendapat perkenan Raja-Raja Melayu maka bila bawa ke Parlimen, tiada ahli parlimen Islam yang membantah tapi terus dibawa ke Parlimen, langgar Raja-Raja Melayu,” tegasnya.

Untuk rekod, Abdul Hadi menghantar notis kepada Dewan Rakyat untuk membentangkan RUU 355 pada 19 Mac 2015 sebelum diberi peluang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk membacakan usul itu buat kali pertama pada 26 Mei 2016 iaitu 10 hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Walaupun begitu, Hadi meminta perbahasan mengenai RUU tersebut ditangguhkan diikuti pada 24 November 2016 dengan membentangkan versi yang disemak semula selepas memasukkan had hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun, rotan tidak melebihi 100 sebatan dan juga denda tidak melebihi RM100,000.

Selanjutnya, Ahli Parlimen Marang itu sekali lagi membentangkan usul berkaitan pindaan Akta 355 itu pada 6 April 2017 dengan menegaskan pindaan tersebut untuk memperkasakan Mahkamah Syariah bukannya pintu belakang untuk pelaksanaan hudud di negara ini.

Berhak potong

Mengulas lanjut, Hisham berkata, dalam sejarah Malaysia tidak pernah usul persendirian yang dibawa oleh pembangkang berjaya sebaliknya perlu dibentangkan oleh kerajaan.

“Tetapi ramai orang Pas, mereka ingat bila Haji Hadi bentang di Parlimen, lepas itu mengundi, lepas lulus, itu terus jadi undang-undang. Bukan begitu. Lihat Aturan 48, aturan tetap dewan.

“Baca, bentang, bahas. Kalau mengundi, menang maka usul itu akan dibawa kepada mana-mana menteri untuk diuruskan menteri berkenaan.

“Maknanya, kena beri kepada kerajaan juga bukan terus jadi undang-undang. Menteri pula bila dapat dia berhak potong, pinda, terpulang pada dia mahu angkat bila,” jelasnya.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) berkenaan menolak dakwaan kononnya AMANAH menolak pelaksanaan hudud.

“Kalau nak kata AMANAH tolak hudud, kami dulu setuju, kita terlibat (perbincangan) daripada awal,” katanya yang memegang jawatan Timbalan Pengerusi Lajnah Undang-Undang Pas Pusat pada 2014.

Mengimbas semula cadangan untuk ‘menghidupkan semula’ hudud ketika itu, Hisham memberitahu Lajnah Undang-Undang Pas Pusat bermesyuarat dengan dipengerusikan Hanipa Maidin yang kini Pengerusi Biro Kanun.

“Kita mesyuarat berkumpul di Kuala Lumpur. Kita bincang balik dan bahas selama dua hari dan kita bukukan cadangan kita itu supaya beberapa pindaan beberapa Akta Kanun Jenayah Syariah II 1993 dibuat.

“Maka dipilih 12 peguam untuk datang bentang perkara itu kepada Ketua Hakim Syariah Negeri Kelantan dan Datuk Mufti di Balai Islam, Lundang (Kota Bharu),” ujarnya sambil memberitahu tujuh daripada 12 peguam terbabit telah berada dalam AMANAH pada masa ini.

SPR panggil saja pemimpin BN, mereka punya banyak maklumat

Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mempersoalkan rasional campur tangan pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPR) yang masih berjalan.

Siasatan SPR membabitkan projek tiga lebuh raya dan terowong bawah laut di negeri itu.

“Mengapa pemimpin BN campur tangan dalam siasatan SPR yang masih berjalan dengan membuat pelbagai kenyataan?

“Biarkan SPR buat kerja dia, soal siapa dia suka, panggil sesiapa yang patut.

“Barangkali SPR perlu panggil pemimpin-pemimpin BN memandangkan mereka mempunyai banyak maklumat bagi membantu siasatan,” kata beliau semalam menurut laporan yang disiarkan dalam Facebook rasmi Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Kata beliau, jangan bazirkan maklumat daripada Wee Ka Siong, Teng Chang Yeow atau yang lain.
“Dengan cara ini siasatan boleh diselesaikan cepat, dakwa mereka yang terlibat jika ada kes.

“Jika tiada kes, tutup perkara itu dan biarkan projek berjalan,” kata Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir itu.

Tiada pemimpin politik lain mampu kecuali Tun M, kata Lim Kit Siang

Tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad gagal membantu mencipta gelombang perubahan dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar, tidak ada pemimpin politik lain boleh melakukannya.

“Ia adalah “misi mustahil,” memetik ucapan Lim dalam majlis Ceramah Luaskan Harapan, Menuju Harapan di Batu Pahat, Ahad lalu yang siarkan dalam blognya.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, Umno-Barisan Nasional (BN) kini jelas panik dan ketakutan setelah Pakatan Harapan (PH) mengisytiharkan Tun Dr Mahathir sebagai calon PM, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM ke-8 pada 7 Januari lalu.

“Pelajaran paling penting daripada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei, 2013 lalu ialah, adalah mustahil untuk membuat perubahan politik di Malaysia menerusi proses demokratik kecuali berlakunya tsunami di kedua-dua kawasan iaitu bandar dan luar bandar,” kata beliau.

Justeru katanya, semua rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Iban atau Orang Asli, sama ada Muslim, Buddha, Hindu, Kristian atau Sikh, sama ada di Semananjung Malaysia, Sabah atau Sarawak, sama ada di bandar atau kampung mesti bersatu.

“Pada PRU14 yang akan diadakan dalam masa 100 hari lagi, undilah untuk menukar kerajaan Persekutuan setelah 60 tahun menerusi peti undi.

“Kita mempunyai dua cabaran besar: pertama, untuk mengekalkan atau malah, meningkatkan jumlah pengundi yang keluar mengundi dan sokongan politik untuk perubahan pada PRU14 berbanding PRU13.

“Kedua, cabaran yang lebih sukar adalah untuk memastikan berlakunya tsunami politik di kawasan luar bandar agar sepadan dengan tsunami politik di kawasan bandar.

“Jika Mahathir tidak dapat membantu mencipta gelombang perubahan dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar dalam baki 100 hari menjelang PRU14 ini, maka tidak ada pemimpin politik lain berupaya menyelesaikan “misi mustahil” ini,” kata beliau.

Jelas beliau, tsunami politik kawasan bandar tanpa tsunami politik kawasan luar bandar akan berakhir seperti PRU13, dengan Datuk Seri Najib Razak terus menjadi PM minoriti kerana amalan demokrasi yang tidak adil.

“Kita perlukan kedua-dua tsunami, bandar dan luar bandar pada PRU14 ini – dan ia bergantung bukan sahaja pada Mahathir, Azizah, Anwar, Muhyiddin dan Mat Sabu tetapi juga usaha kesemua empat parti dalam PH iaitu DAP, PKR, AMANAH dan PPBM dan juga usaha “mobilisasi sosial” semua rakyat Malaysia, baik di bandar mahupun di luar bandar.

Menang atau ‘mati’ untuk MCA di Johor, kata bekas pemimpin

Sabtu, 27 Januari 2018

PETALING JAYA: Seorang bekas wakil rakyat MCA memberi amaran kepada parti itu yang perlu memenangi kerusi di Johor jika ia mahu terus hidup dan kekal relevan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bekas adun Subang Jaya, Datuk Lee Hwa Beng berkata, MCA akan berjuang “habis-habisan” mempertahankan Johor kerana parti itu memenangi paling banyak kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU13.

“Mereka tahu jika mereka gagal mengekalkan sekurang-kurangnya kerusi (yang ada) itu, mereka akan ‘mati’.

“Sudah tentu mereka takut. Tidak kira apa, mereka akan cuba pertahankan kerusi itu atau kepentingan mereka akan hilang selama-lamanya.”

MCA sekadar memenangi 7 daripada 37 kerusi Parlimen dan 11 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada PRU13, berbanding 15 kerusi Parlimen serta 32 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU12.

Sebanyak 4 daripada 7 kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU 2013 terletak di Johor, iaitu Labis, Ayer Hitam, Tebrau dan Tanjung Piai, manakala 3 lagi di Tanjung Malim (Perak), Bentong (Pahang) serta Alor Gajah (Melaka).

Sebanyak 11 kerusi DUN yang dimenanginya pada tahun sama ialah 3 di Melaka (Machap, Klebang dan Bemban), masing-masing 2 di Kedah (Gurun dan Kulim), Pahang (Damak dan Cheka) serta Johor (Paloh dan Pulai Sebatang), manakala 1 di Perlis (Titi Tinggi) dan Perak (Chenderiang).

Pada 2014, MCA dilaporkan berkata, mereka akan menumpukan 11 kerusi DUN di Johor pada PRU14.

Ia termasuk kerusi DUN Stulang, Johor Jaya, Parit Yaani dan Bekoh, di mana MCA kalah tipis kepada calon pembangkang dengan majoriti 3% hingga 8% undi.

Bagaimanapun, Lee berkata, pengundi Cina di Johor sudah memutuskan siapa yang akan mereka undi pada PRU14 dan ia bukannya MCA.

Bekas ahli Jawatankuasa Pusat MCA itu yang dipecat partinya pada 2013 berkata, pengundi Cina di Johor sanggup menyokong calon bukan Cina bagi menafikan kemenangan MCA.
“Mereka akan undi untuk perubahan, bukannya demi parti.”

Lee percaya tiada faktor yang mampu mengembalikan sokongan pernah dikecapi MCA dahulu.

“Orang Cina tahu kemenangan MCA bukan jaminan parti itu akan mendapat tempat dalam Kabinet.”

HARAPAN S'gor yakin sempat bantah sebelum PRU

Jumaat, 26 Januari 2018

Dijangka tempoh berbaki hanya kira-kira 100 hari sebelum pilihan raya umum (PRU) diadakan, Pakatan Harapan (HARAPAN) yakin mereka mampu mengumpul tandatangan mencukupi untuk membantah cadangan persempadanan semula di Selangor.

Pengarah Pilihan Raya HARAPAN Selangor Dr Xavier Jayakumar berkata mereka sedang giat melakukan gerak kerja untuk mencukupkan jumlah pembantah.

"Kita akan bantah 22 kawasan parlimen dan 56 dewan undangan negeri (DUN), sebab masih ada yang dilihat tidak adil," katanya pada sidang media mengenai persempadanan semula di Shah Alam hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dianggap HARAPAN menguntungkan BN.

Ekoran itu mereka mengemukakan bantahan kepada SPR dan turut mencabar kesahihannya di mahkamah.

Bagaimanapun setakat ini kesan bantahan itu hampir-hampir tidak ada kerana kebanyakannya ditolak.
Pada 15 Jan lalu SPR selesai menjalankan siasatan tempatan terhadap bantahan kali pertama mengenai kajian persempadanan berkenaan.

Isu pandang serius

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata sebanyak 116 wakil pembantah dijemput hadir untuk menyatakan hujah masing-masing.

Menurutnya, SPR telah menimbang semua representasi yang diterima dan menilai bantahan bertulis yang difailkan oleh pembantah sebelum membuat apa-apa perubahan terhadap syor diberikan.
Jayakumar yang juga anggota DUN Seri Andalas memberitahu sesuatu bantahan hanya dianggap sah jika mendapat sekurang-kurangnya 100 tandatangan.

Mengenai kemungkinan HARAPAN Selangor tidak mempunyai masa yang mencukupi sebelum PRU ke-14 diadakan Jayakumar berkata pihaknya yakin keperluan minimum itu mampu dicapai.
"Sebab kami memandang serius isu ini dan penting buat HARAPAN.

"Mesyuarat hari ini adalah salah satu cara kami menggerakkan usaha ini supaya semua parti dalam HAAPAN memulakan gerak kerja masing-masing," katanya.
 
Copyright © 2015 Wadah Baru - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger