Biarpun kini sudah berlainan parti - dan diberikan pelbagai
gelaran jelik kerana membawa pendekatan berbeza - Presiden Amanah,
Mohamad Sabu, tidak melepaskan peluang untuk menziarahi Mursyidul Am
PAS, Hashim Jasin, di Perlis hari ini.
Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata, sesuatu kunjungan ke Perlis tidak lengkap jika tanpa bertemu dengan Hashim, terutama apabila pemimpin tertinggi PAS itu dikatakan kurang sihat sejak akhir-akhir ini.
Kata Mohamad, Hashim adalah sahabat lama beliau dalam perjuangan politik dan selalu digandingkan di pentas ceramah suatu ketika dulu.
"Saya dimaklumkan beliau sedikit uzur kebelakangan ini," katanya.
Untuk rekod, Hashim ialah pemimpin veteran PAS yang dilantik menjadi mursyidul am parti itu bagi mengisi kekosongan selepas penyandang sebelumnya, Dr Haron Din, meninggal dunia.
Beliau juga kini dikenali dengan gelaran Tuan Guru dalam kalangan anggota dan penyokong PAS.
Amanah pula menjadi salah satu parti paling dimusuhi oleh PAS dan sering digelar sebagai "khadam DAP".
Mohamad juga berharap Hashim diberikan kesihatan yang baik dan hubungan persaudaraan di antara mereka akan berpanjangan ke akhir hayat.
"Terima kasih kerana sudi menerima dan melayan kehadiran kami," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan