BAGI pemerhati politik ada perkara yang lebih menarik untuk dilihat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.
Bukan soal siapa menang atau kalah tetapi soal sejauh mana ‘pakatan berbaik’ Pas-BN membuahkan hasil.
Menurut Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM), Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff, itu perkara yang paling
menarik untuk diperhatikan dalam PRK kali ini.
“Apa yang menarik adalah sejauh mana hasil daripada pakatan mereka
berbaik beri kesan kepada pengundi, itu sahaja,” katanya
Katanya, seandainya pakatan berbaik Pas-BN ini membuahkan hasil,
dakwanya kedua-dua parti ini membuka lembaran baharu untuk mengadakan
kerjasama yang lebih erat.
“Jika berkesan mungkin mereka akan bekerjasama secara rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas misi Pas dalam PRK kali ini yang dilihat senada dengan BN yang mahu melihat PH tewas.
Sinar Harian melaporkan tindakan Pas tidak meletakkan calon pada PRK
Sungai Kandis bertujuan memastikan pertandingan satu lawan satu
berlangsung.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, ini bagi memastikan undi pembangkang tidak pecah dan PH dapat ditewaskan.
Menurutnya, PH mesti dikalahkan dan ia akan menjadi satu isyarat kepada
kerajaan hari ini bahawa rakyat tidak mahu terus dipermain dengan
kegagalan mereka menunaikan janji pilihan raya seperti menghapuskan tol,
menurunkan harga minyak dan menghapuskan hutang peneroka Felda.
Dalam pada itu ketika ditanya, sama ada pola pengundian kali ini
berubah kerana PH dilihat seolah-olah ada beberapa perkara yang dilihat
mereka ‘bercakap tidak serupa bikin’, Agus berkata, ia tidak memberi
kesan.
“Saya fikir PH akan kekal, meskipun mereka tak dapat tunai beberapa
janji, tapi rakyat selesa dengan kerajaan sekarang tiada perkara yang
menyebabkan rakyat perlu ajar PH,” katanya.
Sementara itu ketika ditanya, tentang kemampuan calon BN Datuk Lokman
Noor Adam untuk memenangi PRK kali ini, Agus mendakwa Lokman tiada
peluang kali ini.
“Lokman tak perlu buat apa-apa sebab dia dah tahu nak kalah, dia cuma
boleh ‘test market’ untuk meneliti beberapa perubahan undi itu
sahajalah,” katanya.
Dalam pada itu menyentuh mengenai calon PH Mohd Zawawi Mughni pula,
Agus berkata Zawawi miliki cukup pakej untuk mengekalkan kerusi
berkenaan ditangan PH.
“Nampak jelas wibawa calon ada pada Zawawi personaliti dia satu (tampak
hebat) beliau tak terpalit dengan rejim dulu,” katanya.
Dalam pada itu menyentuh mengenai calon Bebas pula, Agus berkata, Murti
Krishnasamy hanya sebagai ‘kacau daun’ dalam PRK kali ini.
“Beliau boleh pecah undi sikit sahajalah,” katanya.
PRK Sungai Kandis menyaksikan, pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan Bebas.
Kerusi Dun Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat
Shuhaimi Shafiei meninggal dunia, pada 2 Julai lalu ekoran kanser
limfoma.
Pada PRU14, Mat Shuhaimi memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas
memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon
BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah
(7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hanafiah Husin (76).
Related Articles
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
0 ulasan:
Catat Ulasan